Thursday 18 June 2020

BENARKAH NASI LEBIH MERBAHAYA DARIPADA MINUMAN BERSODA


Pernah tular di dalam media sosial mengenai dakwaan semangkuk nasi lebih merbahaya daripada satu tin minuman bersoda. Jika dibaca rencana yang ditulis tentu ramai akan membuat kesimpulan bahawa lebih baik minum 1-2 tin atau botol minuman soda manis daripada semangkuk nasi.

Saya telah membuat beberapa rujukan termasuk kajian yang diterbitkan oleh British Medical Journal pada tahun 2012 berkenaan dengan penemuan yang ditularkan. Kajian metanalisis dan systematic review itu melibatkan lebih 350,000 peserta yang disusuli selama 4-22 tahun. Ia melibatkan 4 kajian prospektif kohort yang melibatkan beberapa negara Asia dan negara Barat. Empat negara terlibat iaitu Amerika, Australia, China dan Jepun.

Berikut adalah beberapa komen saya tentang hasil kajian tersebut:

1. Daripada segi kualiti kajian, kajian prospektif kohort bukan yang paling atas sebaliknya pada tahap 3.

   2. Jenis nasi yang menjadi tumpuan di dalam kajian ini adalah nasi putih. Maklumat tentang kuantiti nasi yang diambil berdasarkan kepada soal selidik secara subjektif dan sukar untuk mendapat nilai yang tepat.

  3. Diagnosis diabetes diperolehi melalui lapuran oleh peserta (self report) dan ini juga memberi gambaran bahawa data tentang bilangan yang menghidap diabetes ini tidak tepat.

   4. Terdapat banyak lagi factor yang meningkatkan risiko penyakit diabetes seperti pengambilan makanan dan minuman bergula yang lain, berat badan dan juga aktiviti fizikal. Data yang tepat mengenai semua perkara ini sangat sukar diperolehi.

 5. Kajian ini menunjukkan pengambilan nasi putih yang berlebihan meningkatkan risiko diabetes jenis 2 terutama ke atas peduduk Asia.

   6. Bagi penduduk Asia, risiko relative (“relative risk’) untuk setiap tambahan hidangan nasi putih sehari adalah 1.11. Relative Risk 1.0 bermaksud tidak ada risiko, jadi 1.11 adalah penambahan 0.11 kali risiko ataupun 11%.

   7. Kajian ini TIDAK membandingkan mudarat kesihatan antara pengambilan nasi putih dan minuman bersoda/bergula.

Berdasarkan kepada analisa kajian yang dijalankan tersebut jelas menunjukkan terdapat banyak kelemahan walaupun memang fakta mengenai pengambilan nasi putih yang berlebihan meningkatkan risiko diabetes tetapi penyelidik tidak dapat menolak kemungkinan peningkatan ini juga disebabkan oleh factor-faktor lain seperti kurang melakukan senaman dan pengambilan makanan dan minuman lain yang tinggi kandungan gula.

Berita yang ditularkan mengenai nasi lebih merbahaya daripada minuman bersoda manis adalah lebih kepada untuk tujuan sensasi kerana ianya hanya berdasarkan kepada kajian perbandingan nilai indek glisemik yang lebih rendah di dalam air gula bersoda berbanding dengan nasi putih. Ramai penganalisa berpendapat bahawa ada agenda pihak yang berkepentingan di dalam perniagaan menjual air minuman manis bersoda dengan menularkan satu rencana yang berat sebelah bagi melegakan perasaan pelanggan produk mereka. Tidak ada kajian perbandingan daripada segi kesan ke atas kesihatan di antara kedua-duanya. Malahan terdapat banyak kajian dan rencana yang menunjukkan bahawa pengambilan air soda manis meningkatkan risiko kesihatan. Di antaranya adalah Pengkaji Harvard telah mendapati pengambilan air manis bersoda termasuk minuman sukan (sport drink) meningkatkan risiko kematian  daripada penyakit jantung, risiko kanser payudara dan kanser usus besar. Pengkaji mendapati bahawa setiap penambahan minuman bergula meningkatkan risiko kematian akibat sakit jantung sebanyak 10%. Minuman bersoda manis juga meningkatkan risiko diabetes jenis 2.

Kesimpulannya anda boleh terus mengambil nasi jika nasi adalah makanan ruji anda setiap hari tetapi hendaklah mengambilnya dalam kuantiti yang disarankan oleh pakar pemakanan. Nasi mempunyai banyak manfaat terutamanya nasi perang yang tinggi serat dan mikronutrien seperti zat besi, kalsium dan mangenese. Di samping sumber karbohidrat, nasi juga membekalkan lemak dan protein. Amalan pemakanan yang baik adalah seperti yang disyorkan oleh WHO iaitu mengikut prinsip healthy plate yakni sumber karbohidrat termasuk nasi hendaklah hanya merangkumi satu perempat daripada hidangan, manakala 50% daripada makanan hendaklah daripada sayuran dan buah-buahan. Satu perempat lagi adalah daging dan sumber protein yang lain. Menghadkan satu hidangan nasi tidak lebih daripada satu cawan sehari adalah satu cadangan yang baik. Kepada yang berkemampuan, nasi perang lebih baik daripada nasi putih. Apa-apapun untuk mencapai kesihatan yang optima, banyak lagi factor gayahidup yang perlu diamalkan seperti mengambil cukup air(amalkan air kosong), mengurangkan pengambilan makanan serta minuman yang mengandungi gula tersembunyi. melakukan senaman yang tetap, tidur yang mencukupi, mengurangkan stress, tidak merokok, tidak minum alkohol dan lain-lain lagi.

Dato' Dr. Rushdan Noor

RUJUKAN

Emily A Hu, An Pan, Vasanti malik, Wi Sun. White rice consumption and risk of type 2 diabetes: Meta-analysis and systematic review. BMJ 2012;344 doi: https://doi.org/10.1136/bmj.e1454

Vasanti S. Malik, Yanping Li, An Pan, et al. Long-term consumption of sugar-sweetened and artificially sweetened beverages and risk of mortality in US adults. Circulation, 2019; DOI:10.1161/CIRCULATIONAHA.118.037401

https://www.livescience.com/50461-brown-rice-health-benefits-nutrition-facts.html

https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/27577106/

https://www.bmj.com/content/344/bmj.e1454

https://www.cambridge.org/core/journals/public-health-nutrition/article/rice-consumption-incidence-of-chronic-diseases-and-risk-of-mortality-metaanalysis-of-cohort-studies/A3745E58C7475450432D260A06C00EF4

https://www.ahajournals.org/doi/abs/10.1161/circ.132.suppl_3.17006

https://www.hsph.harvard.edu/nutritionsource/food-features/rice/

https://www.asianscientist.com/2012/03/health/white-rice-associated-with-type-2-diabetes-risk-in-asian-populations-2012/

https://www.hsph.harvard.edu/news/hsph-in-the-news/eating-white-rice-regularly-may-raise-type-2-diabetes-risk/

https://www.cnbc.com/2019/03/18/harvard-researchers-say-soda-sports-drinks-increase-risk-of-dying.html

No comments:

Post a Comment