Tuesday 2 June 2020

VAKSIN HPV DAN PENCEGAHAN KANSER : BAB 3


Bab 3 adalah bab terakhir dalam rencana mengenai Vaksin HPV. Untuk memahami dengan lebih baik Bab 3 ini anda perlu membaca Bab 1 dan Bab 2 yang telah saya tulis di dalam status facebook saya yang lalu (pautan bawah)



Pada asalnya suntikan vaksin HPV diberikan melalui suntikan dalam otot sebanyak 3 kali dalam masa 6 bulan. Pada hari ini bilangan suntikan telah dikurangkan kepada 2 kali kerana kajian menunjukkan bahawa suntikan sebanyak 2 kali mempunyai keberkesanan yang sama dengan suntikan 3 kali jika penerima berusia kurang daripada 15 tahun. Vaksin HPV tidak disyorkan kepada ibu-ibu hamil, tetapi jika terambil maka tidak ada apa-apa tindakan lanjut perlu dilakukan. Disebabkan wanita hamil telah terdedah kepada hubungan kelamin, keberkesanan vaksin HPV adalah rendah. Vaksin HPV tidak boleh diberikan kepada seseorang yang pernah mengalami alahan terhadap bahan vaksin.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-92 yang bersidang pada 15 - 17 Disember 2010 telah membincangkan Hukum Pengambilan Vaksin Human Papilloma Virus (HPV). Muzakarah telah memutuskan bahawa pengambilan Vaksin Human Papilloma Virus (HPV) yang telah dipastikan tiada unsur meragukan dalam kandungannya dan tidak mendatangkan kemudharatan adalah diharuskan bagi mencegah penyakit kanser pangkal rahim (servik) dalam kalangan wanita.

Program imunisasi HPV kebangsaan di negara kita bermula pada bulan Julai 2010. Di dalam program imunisasi HPV kebangsaan di Malaysia, kanak-kanak sekolah (perempuan sahaja) yang berusia 13 tahun (tingkatan 1) akan ditawarkan suntikan vaksin. Vaksin HPV ini diberikan dalam 2 suntikan dan adalah percuma. Liputan suntikan vaksin HPV di dalam program ini telah mencapai 90%, satu pencapaian yang menggalakkan. Kerajaan tidak menyediakan suntikan vaksin kepada golongan lain, maka wanita ataupun lelaki yang ingin mengambil vaksin HPV perlu mendapatkannya daripada klinik ataupun hospital swasta.

Semenjak tahun 2006 sehingga 2017, sebanyak lebih 270 juta dos vaksin HPV telah diberikan kepada manusia di seluruh dunia. Setakat bulan Mei 2018, sudah terdapat 79 buah negara termasuk Malaysia yang memasukkan suntikan vaksin HPV ke dalam program imunisasi kebangsaan negara mereka. Setakat ini banyak agensi-agensi antarabangsa seperti WHO, FDA, EMEA, CDC dan lain-lain lagi telah mengesahkan bahawa vaksin HPV adalah selamat dan berkesan. Kesan sampinganya adalah ringan dan kadar kesan sampingan serius adalah terlalu kecil sehingga dikatakan ianya lebih selamat daripada bermain di padang permainan ataupun mengayuh basikal.

Walaupun program suntikan vaksin HPV dilaksanakan, ujian saringan seperti Pap smear ataupun ujian HPV perlu diteruskan kerana vaksin HPV hanya berkesan ke atas 70-80% daripada keseluruhan kanser serviks.

Pada hari ini Ahli Sains telah berjaya menghasilkan Vaksin HPV 9-valent, iaitu Vaksin HPV yang boleh mencegah 7 jenis HPV berisiko tinggi iaitu HPV 16,18,31,33,45,52 dan 58 dan 2 jenis HPV berisiko rendah iaitu HPV6 dan 11. Memandangkan ia boleh mencegah lebih banyak jenis HRHPV, maka dijangka akan dapat mencegah hampir 90% daripada kanser serviks. Vaksin HPV 9-valent ini telah diluluskan oleh FDA pada tahun 2014. Vaksin ini sudah berada dipasarkan di negara kita.

Mungkinkah satu hari nanti kita akan dapat menyaksikan terhapusnya penyakit kanser serviks di atas muka bumi ini.

Dato’Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Kementerian Kesihatan Malaysia
https://www.facebook.com/rushdan.noor

VIDEO MENGENAI VAKSIN HPV


No comments:

Post a Comment