Tuesday 2 June 2020

VAKSIN HPV DAN PENCEGAHAN KANSER: BAB 2


Sebelum membaca BAB 2 ini anda perlu membaca tulisan saya dalam BAB 1 mengenai virus HPV dan Vaksin HPV. Jika anda tidak membaca BAB 1, sukar untuk memahami BAB 2.


Memandangkan Vaksin HPV berfungsi untuk mencegah jangkitan virus HPV, maka ia TIDAK berkesan ke atas seseorang wanita yang sudah dijangkiti oleh virus ini. Sebab itulah vaksin HPV hanya disasarkan kepada individu yang belum pernah melakukan hubungan kelamin. Ini disebabkan jangkitan virus HPV adalah jangkitan bawaan seks yang paling kerap dialami oleh lelaki dan wanita. Kebanyakan jangkitannya tidak disedari dan sembuh dengan sendiri. Sukar untuk menentukan kadar jangkitan virus ini kerana ia boleh datang dan pergi, berbeza-beza mengikut usia serta negara. Ahli Sains percaya bahawa sehingga 70-80% kaum wanita yang pernah melakukan hubungan kelamin pernah dijangkiti oleh virus ini dalam satu masa ketika hidupnya. Kajian cross-sectional iaitu mengambil sampel pada satu titik masa menunjukkan bahawa kadar jangkitan virus HPV berisiko tinggi di Malaysia adalah 4-5% (wanita), tetapi ini bukan gambaran sebenar kadar jangkitan kerana ramai yang diuji negatif mungkin telah dijangkiti dan sembuh pada masa yang lalu.

Terdapat 2 jenis utama vaksin HPV yang ada di pasaran pada masa ini iaitu:

1. Vaksin Bivalent (Cervarix) dan 
2. Vaksin Quadrivalent (Gardasil). 

Vaksin Bivalent mencegah jangkitan dua jenis virus HPV iaitu jenis 16 dan 18 yang menjadi punca kepada 70-80% daripada penyakit kanser serviks. Quadrivalent pula bermaksud 4 jenis virus HPV iaitu jenis 16,18,6 dan 11, jadi vaksin ini boleh mencegah jangkitan ke-empat2 virus ini. Virus HPV jenis 6 dan 11 tidak menyebabkan penyakit kanser sebaliknya menyebabkan penyakit kutil pada bahagian kemaluan dan peti suara bayi yang baru lahir ("Respiratory Papillomatosis"). Vaksin Quadrivalent memberi perlindungan tambahan.

Kajian telah menunjukkan bahawa kedua-dua vaksin Bivalent dan Quadrivalent mempunyai keberkesanan yang sama iaitu lebih daripada 90% di dalam mencegah jangkitan virus HPV 16 dan HPV 18. Ini bermaksud kedua-duanya juga mempunyai keberkesanan yang sama di dalam mencegah kanser serviks. 

Suntikan vaksin HPV juga dapat mencegah beberapa lagi jenis kanser walaupun pada peratusan yang lebih rendah, di antaranya adalah kanser vulva, kanser faraj, kanser anus (dubur), kanser leher dan tekak. Vaksin HPV juga bermanfaat kepada kaum lelaki kerana ia juga boleh mengurangkan risiko kanser penis, anus, tekak dan mencegah jangkitan ke atas kaum wanita. Terdapat negara-negara yang memberi vaksin HPV kepada lelaki dan wanita. Di negara kita vaksin HPV hanya diberikan kepada kaum wanita.

Vaksin HPV dilesenkan kepada wanita dan lelaki seawal usia 9 tahun sehingga usia 26 tahun, tetapi mereka-mereka yang berusia hingga 40 tahun boleh juga mendapat manfaat jika belum pernah terdedah kepada hubungan kelamin. Keberkesanan vaksin ini lebih tinggi ke atas penerima yang lebih muda. Usia yang paling sesuai menerima vaksin HPV adalah di antara 9-14 tahun. Lagi muda usia seseorang, lagi tinggi keberkesanan vaksin. 

Kedua-dua jenis vaksin ini boleh diperolehi di negara kita. Vaksin Quadrivalent digunakan di dalam program immunisasi kebangsaan. Hospital kerajaan dan fasiliti kesihatan kerajaan tidak menyediakan vaksin HPV untuk golongan selain daripada kanak perempuan yang terlibat di dalam program imunisasi kebangsaan. Orang ramai boleh mendapatkannya daripada klinik dan hospital swasta.LPPKN juga menyediakan khidmat pemberian vaksin HPV kepada golongan terpilih (sila rujuk LPPKN untuk maklumat lanjut dipautan ini : http://www.lppkn.gov.my/index.php/perkhidmatan-kesihatan-reproduktif/99-pvhpv-human-papilloma-virus.html).

Untuk mengikuti maklumat lanjut mengenai Vaksin HPV dan Pencegahan Kanser, sila ikuti Bab terakhir iaitu Bab 3 yang akan saya kongsikan nanti. Dalam Bab 3 saya akan memfokuskan maklumat lanjut mengenai vaksin HPV termasuk keberkesanan dan juga sejauh mana vaksin ini selamat diambil.


Dato’Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Kementerian Kesihatan Malaysia
Ahli Medical Mythbusters Malaysia
https://www.facebook.com/rushdan.noor




No comments:

Post a Comment