Saturday 20 June 2020

PERLUKAH BERPANTANG SELEPAS MELAHIRKAN ANAK ?


SEJARAH PANTANG

Amalan berpantang telah diamalkan semenjak zaman berzaman mungkin semenjak adanya manusia.  Pantang merangkumi makanan, minuman dan juga gaya hidup ataupun perlakuan. Pantang terhadap makanan tertentu mempunyai kaitan dengan budaya, kepercayaan, tempat tinggal dan agama. Sehingga hari ini amalan pantang seolah-olah seperti  salah satu pegangan hidup kepada sebahagian ahli masyarakat kita. Ianya diamalkan apabila berlaku perubahan hidup seperti  kedatangan haid, hamil, selepas bersalin, menyusukan anak dan lain-lain fasa kehidupan. Apabila amalan ini tertanam begitu dalam di dalam kehidupan mereka, maka tidak hairanlah mengapa ianya sukar dikikis.

Bagaimana amalan berpantang ini bermula tidak dapat diketahui dengan pasti. Di antara pendapat tentang sejarah keujudan amalan ini adalah berpunca daripada pengalaman orang zaman dahulu yang mengalami sesuatu masalah kesihatan apabila mengambil makanan tertentu. Pengalaman ini dikumpulkan dan maklumatnya dibawa turun menurun hingga ke hari ini. Berpantang juga disebabkan oleh kepercayaan orang tua terhadap adanya makanan yang bersifat sejuk, panas dan tajam. Di samping berpantang mempunyai kaitan dengan pengalaman, ada juga pantang yang dikaitkan dengan budaya, agama dan tidak kurang juga dengan kepercayaan khurafat dan hubungannya dengan makhluk halus. 

Seperti yang saya nyatakan tadi, salah satu punca amalan berpantang ini adalah pengalaman orang tua2. Persoalannya, adakah pengalaman seseorang itu sama dengan orang lain. Pada pandangan sains moden, pengalaman sahaja tidak cukup kerana seringkali manusia silap mengaitkan punca dan akibat. Tambahan pula setiap individu mempunyai keunikan masing-masing. Sains moden memerlukan bukti yang kukuh berdasarkan kepada kaedah saintifik mengaitkan punca dan akibat. Ini bagi memastikan bahawa akibat yang terjadi memang mempunyai kaitan yang kuat dengan punca yang dikaitkan. Kaitan itu pula hendaklah boleh dijelaskan oleh ilmu pengetahuan yang betul tentang fungsi organ badan manusia.

PANTANG SELEPAS MELAHIRKAN ANAK

Di dalam banyak-banyak amalan berpantang, berpantang terhadap makanan tertentu selepas bersalin adalah tajuk yang sering diperkatakan oleh masyarakat kita. Isu ini juga menjadi tajuk perdebatan yang hangat dalam kalangan masyarakat dan pengamal perubatan. Disebabkan oleh faktor ini, maka di dalam rencana ini saya akan memfokuskan penulisan hanya kepada amalan berpantang (makanan) selepas bersalin. 

Masyarakat kita menggunakan istilah tempoh berpantang kepada ibu yang baru melahirkan anak. Pada pandangan kami, perkataan pantang yang digunakan ke atas ibu-ibu yang telah melahirkan anak adalah tidak tepat. Istilah pantang digunakan semenjak zaman berzaman disebabkan kepercayaan perlunya berpantang oleh masyarakat kita.  Di dalam perubatan moden, kami menggunakan istilah tempoh postnatal ataupun puerperium merujuk kepada tempoh 6 minggu (42 hari) selepas bersalin

Semasa proses kehamilan, ibu akan mengalami pelbagai perubahan fisiologi untuk menampung keperluan anak di dalam kandungan dan semasa melahirkan anak. Ketika melahirkan anak, ibu akan kehilangan tenaga, kehilangan darah dan ada juga ibu-ibu yang perlu menjalani pembedahan. Tempoh postnatal adalah tempoh di mana organ2 termasuk organ peranakan dan sistem peredaran darah akan beransur-ansur pulih seperti sediakala. Pada hari ke 42 selepas bersalin, fungsi organ peranakan, aliran darah, fungsi jantung, fungsi paru-paru dan buah pinggang sepatutnya kembali seperti sedia kala.

Ibu yang telah melahirkan anak akan melalui tempoh postnatal dan pada asasnya makanan yang diperlukan oleh mereka adalah sama seperti semasa hamil. Malangnya pendidikan tentang pemakanan selepas bersalin seringkali diabaikan dan tidak ditekankan seperti mana pemakanan semasa hamil. Sedangkan isu pemakanan ketika tempoh ini sangat penting memandangkan ini adalah tempoh pemulihan. Tahap nutrisi ibu juga penting untuk tujuan memelihara bayi serta membekalkan susu kepadanya. Penjagaan makanan ibu dan bayi yang baru lahir adalah sangat penting. 

Proses fisiologikal yang memulihkan organ seorang wanita selepas bersalin akan berlaku dengan sendiri secara semulajadi. Ianya tidak ada bezanya dengan lain-lain perubahan fisiologi yang berlaku di dalam hidup seorang wanita seperti semasa akhil baligh ("puberty") dan juga selepas putus haid. Ketika fasa-fasa kehidupan yang berbeza ini, pengambilan nutrien yang mencukupi adalah penting untuk mengekalkan kesihatam. Tidak ada makanan tertentu yang boleh menjejaskan fasa-fasa ini sebaliknya kekurangan nutrienlah yang akan memberi kesan negatif. Maka daripada pemahaman ini jelaslah bahawa prinsip pemakanan seorang ibu selepas bersalin seharusnya tidak mempunyai perbezaan besar berbanding dengan fasa-fasa yang lain. Prinsip pemakanan tersebut adalah makanan yang seimbang mengandungi makronutrien (karbohidrat,protein,lemak, serat) dan mikronutrient (mineral dan vitamin) yang mencukupi. 

Di dalam konteks fasa selepas bersalin, makanan yang mencukupi dan betul akan memberi cukup tenaga kepada ibu, melancarkan peredaran darah, mengurangkan gejala sembelit dan mencegah berlakunya kekurang zat makanan yang boleh meningkatkan risiko jangkitan dan menjejaskan kesihatan. Ia juga membantu mempercepatkan penyembuhan luka. Walaupun asas pemakanan selepas bersalin tidak mempunyai perbezaan besar dengan fasa-fasa lain, ada beberapa pengubahsaian yang perlu dilakukan bagi tujuan untuk menampung kekurangan dan mengurangkan gejala. Contohnya ibu kehilangan darah dan zat besi, maka mereka disyorkan untuk mengambil makanan yang boleh membekalkan zat besi seperti daging yang juga membekalkan protein. Ibu ini pula seringkali mengalami sembelit, maka mereka perlu mengambil air yang mencukupi, mengambil buah-buahan dan sayuran segar. Buah-buahan dan sayuran ini juga membekalkan vitamin, mineral dan antioksidan. Telur adalah sumber nutrient yang lengkap dan ini sangat baik diamalkan oleh ibu. Ibu juga disyorkan mengambil makanan ataupun sumber kalsium yang tinggi seperti susu, yogurt dan keju. Pengambilan makanan yang tinggi asid lemak essential seperti omega 3 (ikan) perlu ditekankan kepada ibu. Asid lemak ini bukan sahaja penting untuk ibu tetapi juga untuk perkembangan sistem saraf dan otak bayi yang disusukan. Air yang mencukupi bukan sahaja penting untuk fungsi organ2 seorang ibu dan kuantiti susu untuk anak, tetapi ianya juga dapat mengurangkan risiko darah beku di pembuluh darah yang dikenali sebagai "deep vein thrombosis". 

Di samping makanan, ibu juga perlu memulakan aktiviti fizikal secepat mungkin untuk tujuan yang sama dengan mana-mana fasa di dalam kehidupan mereka. Pergerakan anggota badan yang mencukupi memulihkan kekuatan otot, melancarkan perjalanan darah dan meningkatkan kesihatan jantung. Aktiviti fizikal juga boleh mengurangkan risiko "deep vein thrombosis". Kajian telah menunjukkan bahawa ibu-ibu yang aktif selepas bersalin mempunyai masa depan kesihatan yang lebih baik.

Kesimpulannya tidak ada makanan tertentu yang mesti dielakkan oleh semua ibu-ibu yang telah melahirkan anak. Secara umumnya, jika sebelum hamil mereka boleh mengambil makanan tersebut, maka ianya boleh diteruskan semasa hamil dan selepas melahirkan anak. Selagi makanan tersebut bersih, berkhasiat dan halal, maka ianya baik untuk ibu-ibu ini kecuali jika mereka diarahkan berpantang atas alasan yang munasabah oleh doktor yang merawat.

PANTANG DI DALAM AMALAN PERUBATAN MODEN

Pantang kepada makanan tertentu bukanlah sesuatu yang asing di dalam amalan perubatan moden. Berbeza dengan pantang cara tradisi yang berlaku pada fasa tertentu kehidupan manusia, pantang mengikut amalan perubatan moden perlu diamalkan setiap masa. 

Amalan berpantang atau tidak mengambil sesuatu jenis makanan sebenarnya wujud di dalam perubatan moden tetapi dengan ALASAN YANG BERBEZA. Berikut adalah 4 keadaan di mana Pengamal Perubatan moden mengiktiraf amalan berpantang:

1. Berpantang terhadap makanan yang boleh menyebabkan ketidakselesaan seperti makanan yang boleh menghasilkan gas yang banyak sehingga perut menjadi kembung dan tidak selesa,  jenis2 makanan ini hanya diketahui oleh wanita berkenaan kerana kandungan flora (bakteria usus) yang berbeza di dalam setiap individu menyebabkan apabila makanan ini diuraikan oleh bakteria menghasilkan kuantiti gas yang berbeza. Selalunya makanan yang mempunyai karbohidrat kompleks yang tinggi menyebabkan lebih banyak gas dihasilkan. Setiap wanita mempunyai makanan tertentu yang menyebabkan mereka rasa tidak selesa. Mungkin ada makanan tertentu yang diambil oleh ibu yang boleh menyebabkan gejala kepada anak yang disusukan. Jadi jika anak mengalami masalah kembung perut sehingga mengganggu tidur dan penyusuan, perlu berjumpa dengan doktor. Ikut nasihat doktor jika beliau mengesyorkan anda mengawal pengambilan makanan tertentu. Kaitan antara makanan ibu dengan gejala kembung perut bayi yang disusukan masih menjadi tanda tanya tetapi boleh melakukan "trial and error" menjaga pemakanan jika kaedah2 lain tidak berjaya mengurangkan gejala anak. Ini hanya tertumpu kepada ibu yang menyusukan anak dengan susu ibu. Kebanyakan gejala kembung perut ini disebabkan oleh sistem penghadaman yang belum matang dan tidak ada kaitan dengan makanan ibu. 

2. Makanan yang menyebabkan alahan. Ada wanita yang alah kepada makanan dan minuman tertentu sehingga apabila mengambilnya badan menjadi gatal, bengkak, bersin dan ada juga mengalami cirit birit. Setiap wanita akan mengalami alahan kepada makanan yang berbeza, ada juga wanita bernasib baik kerana tidak mengalami alahan kepada mana-mana jenis makanan/minuman.

3. Ada makanan tertentu yang boleh mengganggu ubat yang diambil oleh ibu ("food-drug interaction"). Ada makanan ataupun minuman tertentu yang boleh menganggu penyerapan ubat, berinteraksi dengan ubat, mengganggu metabolisma ubat dan ada juga yang mengubah kadar pengeluaran ubat daripada badan. Contohnya jika ibu mengambil warfarin iaitu sejenis ubat pencair darah, mereka tidak digalakkan mengambil terlalu banyak makanan yang tinggi vitamin K seperti bayam, brakoli dan asparagus yang boleh mengurangkan kesan ubat warfarin. Jus anggur boleh mengganggu banyak jenis ubat seperti aspirin dan ubat penyakit sawan. Jus limau boleh mengurangkan penyerapan ubat beta-blocker yang bernama celiprolol untuk rawatan penyakit darah tinggi. Antibiotik yang diambil dengan produk susu yang tinggi mineral kalsium dan magnesium boleh mengurangkan penyerapan antibiotik tersebut. Doktor yang merawat akan memberi nasihat kepada wanita ini jika ada ubat2 seperti itu.

4. Terdapat makanan tertentu yang boleh menjejaskan lagi penyakit contohnya pesakit buah pinggang yang perlu menghadkan makanan yang tinggi kandungan sodium dan potasium seperti avocados yang tinggi potasium dan makanan dalam tin yang tinggi sodium. Pesakit buah pinggang juga tidak digalakkan mengambil meniman bergas dan whole grain yang tinggi kandungan fosforus. Pesakit darah tinggi perlu mengurangkan pengambilan makanan yang mengandungi tinggi garam. Pesakit gastritis disyorkan supaya tidak mengambil alkohol, kopi, tomato, jus buah, makanan pedas dan minuman bergas. Penghidap penyakit crohn's tidak boleh mengambil alkohol, minuman bergas dan makanan yang menghasilkan banyak gas seperti kobis, bracoli dan bawang. Banyak pantang yang perlu diamalkan oleh penghidap penyakit-penyakit lain. Jika anda seorang pesakit, maka dapatkan nasihat doktor tentang makanan yang perlu dielakkan.

Pada pandangan peribadi saya pantang yang diamalkan oleh masyarakat kita di atas alasan turun menurun bolehlah dianggap seperti adat resam. Ada adat yang boleh diamalkan dan tidak bertentangan dengan hukum agama. Tetapi ada juga adat yang tidak selari dengan hukum agama. Begitu jugalah berpantang, jika berpantang itu mempunyai alasan yang betul dan tidak memudaratkan kesihatan maka ianya tidak menjadi halangan kepada pengamal perubatan moden dan mereka tidak menolaknya. Banyak pantang tradisional yang boleh memudaratkan kesihatan seperti menghadkan pengambilan air dan tidak boleh makan daging, telur dan lain-lain sehingga mengalami dehidrasi dan tidak ada sumber protin yang terbaik untuk diambil. Pantang seperti ini ditolak. Ada juga pantang yang alasannya tidak betul tetapi tidak memudaratkan ibu, maka ini diterima walaupun alasannya ditolak. Contohnya ibu yang sudah melahirkan anak tidak boleh makan laksa tetapi boleh memakan makanan lain yang seimbang. Maka tidak menjadi kemudaratan kepada kesihatan jika mereka tidak makan laksa dengan syarat mereka memilih untuk mengambil makanan lain yang seimbang dan cukup kandungan makronutrien dan mikronutrien seperti mana yang dikehendaki oleh pakar pemakanan. Banyak lagi contoh-contoh pantang yang memudaratkan dan terlalu panjang untuk ditulis di dalam rencana ini. Dapatkan nasihat daripada doktor dan pakar pemakanan untuk menentukan pola makanan yang sesuai diambil oleh anda.

KESIMPULAN

Berpantang mempunyai sejarah yang sangat panjang dan sehingga hari ini ianya dianggap seperti amalan tradisi yang tertanam ke dalam kehidupan masyarakat kita. Berpantang secara tradisional yang dibawa turun menurun oleh nenek moyang mempunyai banyak kaitan dengan pengalaman, budaya dan kepercayaan. Ianya tidak mempunyai asas saintifik yang kukuh tetapi ada di antaranya yang tidak bertentangan dengan amalan perubatan moden. Jika ianya bertentangan dengan amalan perubatan moden, maka ianya ditolak. Berpantang daripada perspektif perubatan moden adalah berdasarkan kepada 4 alasan iaitu makanan yang boleh menyebabkan ketidakselesaan, makanan yang menyebabkan alahan, makanan atau minuman yang boleh berinteraksi dengan ubat dan akhirnya makanan yang boleh memberi kesan negatif terhadap penyakit yang dihidapi oleh seseorang. Selain daripada itu, tidak ada bukti yang kukuh untuk menerima amalan berpantang seperti mana yang dipercayai oleh masyarakat berpandukan amalan turun menurun semata-mata, tambahan pula ada di antaranya boleh memudaratkan kesihatan. Individu-individu yang sihat tidak perlu untuk berpantang terhadap makanan ataupun minuman tertentu selagi ianya bersih, halal, tidak menyebabkan ketidakselesaan dan tidak berlebihan, tidak kira di dalam fasa apa kehidupan mereka.  Jika anda berpegang dengan prinsip pantang yang difahami oleh pengamal perubatan moden, kesihatan anda lebih terjamin, anda tidak tertekan dengan sekatan dan anda bebas mengambil makanan kegemaran anda. Pilihan di tangan anda.

KLIK PADA PAPARAN INI JIKA ANDA INGIN MEMBACA RENCANA YANG LEBIH LUAS MENGENAI PANTANG DARIPADA PERSPEKTIF PERUBATAN MODEN.

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor

Pakar Perunding Kanan Obstetriks & Ginekologi




No comments:

Post a Comment