Friday 22 October 2021

BAHAYA SIKAP TAKSUB KEPADA TEORI KONSPIRASI

 



Saya dapati salah satu masalah besar yg dihadapi oleh sebahagian ahli masyarakat kita adalah terlalu percayakan kepada teori konspirasi. Apabila mengikuti perbincangan dan tulisan oleh golongan yang menentang penggunaan vaksin contohnya, kita boleh dengar banyak hujah2 konspirasi yang diutarakan. Begitu juga dengan teori2 konspirasi yang dikaitkan dengan penyakit Covid-19. Fenomena ini sebenarnya tidak terhad kepada Covid-19  tetapi kepada hampir apa sahaja kejadian-kejadian besar yang berlaku di dunia.


Individu2 yg terjebak dan taksub dengan teori konspirasi ini bukan sahaja sukar untuk dipulihkan tetapi juga seringkali mengalami tekanan perasaan akibat obses dan prasangka. Mereka menjadi paranoid dan takut kepada banyak insiden2 yg berlaku di sekeliling mereka hingga hidup mereka tidak tenteram. Mereka jadi risau dan adakalanya marah serta kadangkala berpotensi untuk bertindak di luar batas. Salah satu ciri2 mereka adalah "immune to evidence" maksudnya berilah apa sahaja bukti, pendirian mereka tidak akan berubah.


Tidak keterlaluan jika dikatakan ketaksuban kepada teori konspirasi ini boleh dianggap satu masalah kesihatan mental. Saya tidak pasti di bawah kategori apakah pentaksub teori konspirasi ini patut diletakkan dalam jenis2 pesakit mental. Pakar2 psikologi berpendapat salah satu punca seseorang menjadi pentaksub teori konspirasi adalah manifestasi masalah psikologi dinamakan “psychological projection” iaitu tindakbalas mempertahan diri untuk menutup kelemahan diri sendiri dengan memprojeksi sesuatu perasaan serta emosi tidak baik kepada orang lain ataupun pihak lain.


Anda jangan pula salah faham, saya bukan melabel semua org yg percaya teori konspirasi ini mempunyai masalah mental. Sebaliknya saya hanya merujuk kepada individu2 yang terlalu percaya kepada teori konspirasi sehingga mengubah sikap dan memberi kesan kepada kualiti hidup mereka. Ada pun selainnya, hanya terpengaruh seperti mana orang2 lain yang terpedaya dengan cerita palsu. 


Tidak dapat dinafikan bahawa kita perlu mempunyai sikap waspada dan peka  terhadap ancaman2 atau konspirasi musuh supaya kita sentiasa bersedia dan dapat melindungi. Walaubagaimana pun kepekaan itu  hendaklah berlandaskan kepada maklumat yang betul dan bukti2 yang cukup. Malangnya teori konspirasi bukanlah rujukan yang betul dan kajian sudah mengesahkan hanya peratusan yang sangat kecil teori2 ini (saya tidak setuju dgn perkataan "teori" tetapi sepatutnya "khabar angin") didapati benar2 sebuah konspirasi.


Hari ini penyebaran teori konspirasi terlalu luas sehingga ramai yang terpengaruh disebabkan oleh sikap kurang teliti dan mudah percaya. Hatta, golongan2 yang berkedudukan juga tidak terlepas seperti  ahli politik, pemimpin pertubuhan, agamawan, doktor perubatan, peguam, guru, selebriti dan lain2. Mereka ini mungkin tidak tergolong dalam kategori pentaksub tetapi mereka boleh membawa pengaruh yang besar kepada masyarakat kerana mereka dikenali dan ramai penyokong.


Agaknya kita perlu memasukkan matapelajaran teori konspirasi ini di dalam silibus pendidikan anak2 kita di sekolah dan institusi pengajian tinggi untuk menyedarkan bakal generasi akan datang ini tentang bahaya teori konspirasi. Ianya sama penting dengan pengetahuan tentang jenis2 scam dan pseudosains. Bimbang masa depan generasi akan datang menjadi masyarakat yang lemah daya fikir, suka berprasangka dan  mundur ke belakang.


Saya ada membuat pembacaan yg agak mendalam tentang teori konspirasi dan saya kongsikan hasil bacaan saya itu di laman blog saya. Di dalam tulisan itu, saya kongsi juga jenis2 teori konspirasi, bagaimana mengenalinya, puncanya dan lain2. Jika anda ada kelapangan, boleh membaca di pautan bawah :

TEORI KONSPIRASI : FAKTA ATAU AUTA  


Sebahagian teori konspirasi tentang Covid-19 ada dinyatakan di pautan bawah: 

TEORI KONSPIRASI COVID-19


MITOS DAN MAKLUMAT PALSU COVID-19 DAN VAKSIN



Dato' Dr.Rushdan Noor

23hb Okt 2021

Tuesday 19 October 2021

PATUTKAH ANTIVAKSIN "DISUSAHKAN"?


Perkataan "menyusahkan" yang digunakan ke atas antivaksin sebenarnya adalah merujuk kepada peraturan2 dan SOP2 yang mensyaratkan lengkap vaksinasi. Ia bukan suka2 atau sengaja dilakukan untuk menyakitkan hati tetapi dilakukan untuk melindungi orang lain dan mengawal wabak. Ianya juga dilakukan untuk tujuan meningkatkan liputan vaksinasi. Nak ke luar negara, masuk negara lain dan nak mengerjakan umrah serta haji pun dikenakan syarat vaksinasi.

Ia sudah menjadi salah satu kaedah menjaga kebajikan orang ramai di seluruh dunia. Mereka2 yang tak mahu ambil vaksin, boleh terus dengan pendirian mereka tetapi tentulah akan merasa susah dengan peraturan ini. Pilihan di tangan mereka. Jika mereka ada hak untuk tidak ambil vaksin maka pihak kerajaan, KKM, majikan dan lain2 juga mempunyai hak untuk meletakkan peraturan2 tersebut apatah lagi jika ianya untuk melindungi orang ramai. Kemaslahatan orang ramai lebih besar dari pilihan dan pendirian peribadi. Hak orang ramai lebih utama dari hak peribadi.

Mungkin ada yang berkata mengapa diadakan peraturan vaksinasi sedangkan orang yang menerima vaksin pun boleh dijangkiti dan menjangkitkan orang lain. Malahan kata mereka ramai juga yang menerima vaksin mati dijangkiti Covid-19. Saya akan menjawab bahawa kajian telah menunjukkan orang yang tidak menerima vaksin mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menjangkiti orang lain berbanding dengan orang yang menerima vaksin, boleh baca di pautan ini untuk penjelasan lanjut dan di pautan ini.  Kedua, vaksin telah disahkan berkesan mencegah jangkitan, kemasukan ke wad dan menurunkan kadar kematian, baca keterangan di pautan ini. Maka peraturan2 ini akan mendesak lebih ramai mengambil vaksin walaupun secara "rela paksa" untuk manfaat mereka dan untuk melawan wabak. Mereka perlu "dipaksa" kerana mereka tertipu oleh maklumat yang salah dari antivaksin, pendek kata mereka enggan mengambil vaksin disebabkan salah faham dan bukan sengaja tidak mahu. Ketiga, setelah penerangan diberikan dan data2 disiarkan, golongan ini terus kekal dengan sikap mereka, malahan mereka terus menghasut, maka mereka ini bolehlah dianggap membebankan dan bahaya kepada orang ramai, maka sewajarnya mereka diberikan tekanan dalam bentuk peraturan vaksinasi. Inipun boleh dianggap tindakan yang berdiplomasi kerana mereka tidak dikenakan sebarang tindakan undang2. Peraturan2 ini juga dapat menekan aktiviti serta pengaruh antivaksin ke atas masyarakat.

Tentang pendapat yang mengesyorkan supaya berlembut dan mengambil pendekatan mendidik terhadap antivaksin. Saya rasa kita sudah melakukan sebaik mungkin sejak dari awal pandemik dulu lagi. Ianya berkesan ke atas vaccine hesitant tetapi golongan ini sudah sedikit. Ianya mungkin berkesan keatas golongan yang acah2 antivaksin tetapi sebenarnya ada kepentingan menjual produk. Golongan antivaksin tegar, berbeza. Bagi mereka ini, antivaksin ini adalah satu kepercayaan yang tertanam dalam diri seseorang dan merupakan sebahagian ideologi yang lebih besar. Mereka hampir tidak mungkin akan keluar dari ideologi ini umpama cuba menarik keluar seseorang dari pegangan hidupnya.

Pendekatan "paksa rela" dalam situasi tertentu sangat berkesan bukan untuk mendera atau sengaja menyusahkan tetapi demi kepentingan individu berkenaan dan orang2 di sekelilingnya. Tidak kisahlah apa sahaja alasan mereka untuk mengambil vaksin, pokok pangkalnya mereka telah melakukan sesuatu yang bermanfaat untuk diri sendiri dan orang lain. 

Malahan kaedah ini tidak sekeras penguatkuasaan undang2 memakai tali pinggang keledar dan had laju kerana jika anda ditangkap, anda akan disaman. Antivaksin tidak akan disaman jika tidak ambil vaksin, malahan ada antara mereka yang bebas menghasut. Sekarang mereka juga akan "disusahkan" dengan tindakan mendakwa jika menghasut, menyebarkan berita palsu dan memfitnah.


Dato' Dr.Rushdan Noor

19hb Okt 2021

Wednesday 13 October 2021

COVID-19 : BENARKAH HERD IMMUNITY (IMUNITI BERKELOMPOK) TIDAK AKAN TERCAPAI ?

Baru2 ini laman facebook KKM ada menjelaskan tentang kesukaran kita untuk mencapai herd immunity ataupun imuniti berkelompok. Majoriti netizen faham dan menerima hakikat ini berdasarkan kepada jumlah 'like' yang diberikan. Banyak juga komen yang negatif, boleh jadi kesempatan yang digunakan oleh antivaksin.

Perkongsian ini adalah berdasarkan kepada pembacaan saya dan pendapat pakar2 epidemiologi tentang mengapa herd immunity ini sukar dicapai.  Sebenarnya pendapat ini bukan terhad kepada negara kita sahaja tetapi di seluruh dunia. Ia juga bukan perkara baru, sebaliknya sesuatu yang telah berlaku ke atas wabak penyakit yang lain.

Terdapat 5 sebab utama mengapa Herd Immunity terhadap Covid-19 sukar direalisasikan:

1. Kewujudan variant Delta yang lebih mudah merebak. Ini bermakna, sasaran 80% liputan vaksin terhadap varian terdahulu  akan berubah kepada angka yang lebih besar, mungkin 90-95% untuk mengekang variant delta. Angka ini adalah dari keseluruhan populasi dan BUKAN populasi dewasa sahaja, sedangkan hampir 30% penduduk adalah golongan yang berusia kurang daripada 18 tahun.

2. Liputan vaksin yang tinggi sukar dicapai kerana beberapa faktor termasuk penolakkan vaksin akibat pengaruh antivaksin. Terdapat lebih 1.2 juta orang dewasa yang belum menerima vaksin. Walaupun liputan vaksinasi 95% orang dewasa boleh dicapai, untuk mendapat liputan 90-95%  keseluruhan populasi, kita perlu mengvaksinasi 90-95% remaja dan kanak2 yang berusia kurang dari 18 tahun. Sasaran golongan kedua ini tidak mungkin dicapai kerana vaksin belum diluluskan untuk kanak2 kurang dari 12 tahun dan tidak mungkin kita mendapat liputan 100% remaja berusia 12-17 tahun.

3. Pengagihan vaksin yang tidak seragam dan sekata menyebabkan ada daerah, ada negara yang rendah liputan dan ada yang tinggi liputan. Ada yang dapat awal dan ada yang dapat lewat. Akibatnya daerah atau negara yang rendah kadar vaksinasinya akan menjadi punca penyebaran virus kerana sukarnya untuk mengawal sempadan dan pergerakkan manusia. Manakala lokaliti yang mendapat vaksin terlalu awal, akan berdepan pula dgn kadar keberkesanan yang semakin menurun. Ini menyebabkan virus berupaya untuk terus kekal di dalam komuniti.

4. Vaksin mengubah sikap dan gaya hidup manusia. Golongan yang menerima vaksin merasa terlalu selamat sedangkan vaksin tidak 100% berkesan. Mereka mula bergerak bebas, leka dan mengambil ringan langkah2 pencegahan yang lain sehingga bukan sahaja mereka dijangkiti tetapi juga mungkin boleh menyebarkan virus itu kepada orang lain termasuk yang tidak menerima vaksin.

5. Ciri2 vaksin yang paling penting untuk lebih mudah mencapai herd immunity adalah vaksin yang mempunyai keberkesanan mencegah jangkitan yang tinggi. Dengan variant delta, kadar keberkesanan vaksin mencegah jangkitan lebih rendah berbanding dengan mencegah gejala berat dan kematian. Apabila digabungkan faktor ini dengan faktor2 di atas, memang untuk mencapai herd immunity itu sangat sukar. Pakar epidemiologi berpendapat, vaksin perlu mampu untuk mencegah jangkitan pada kadar minima 60%. Keberkesanan yang lebih tinggi diperlukan ke atas virus yang lebih cepat merebak.

Adakah herd immunity ini benar2 mustahil untuk dicapai? Jawapannya TIDAK, terdapat pakar epidemiologi yang masih optimistik bahawa walaupun sukar, ianya tidak mustahil. Dengan meningkatkan liputan vaksinasi semaksima yang mungkin, dicampur dengan imuniti semulajadi yang diperolehi dari jangkitan Covid-19, mungkin lebih dari 90% populasi keseluruhan memperolehi kekebalan. Pada waktu yang sama vaksinasi yang telah diberikan kepada kumpulan berisiko tinggi akan mengurangkan beban kepada sistem kesihatan (menurunkan kemasukan ke wad dan ICU) dan mengurangkan kadar kematian.

Adakah vaksin tidak penting ? Jawapannya tentu sekali vaksin sangat penting. Membiarkan semua orang dijangkiti oleh virus yang ganas ini bukan jalan penyelesaian yang betul. Jika anda membaca dan faham apa yang saya tulis di atas, saya tidak perlu menjelaskan lagi. Kebetulan KKM telah mengeluarkan data2 keberkesanan vaksin Covid-19 ke atas rakyat Malaysia termasuk ke atas variant Delta. Keadaan Covid-19 di negara kita akan jauh lebih parah tanpa ikhtiar dari vaksinasi.

Golongan antivaksin seronok dan mempersendakan pendirian KKM tentang Herd Immunity ? Ya mereka nampaknya menggunakan isu ini untuk menonjolkan kononnya kredibiliti pakar2 dan KKM terjejas. Tapi mereka silap, penghinaan itu sebenarnya kembali kepada mereka; sikap mereka ini sebenarnya memperlihatkan kejahilan mereka tentang wabak dan sifat bodoh sombong. Mereka tidak sedar bahawa mereka adalah sebahagian daripada punca masalah ini.  

Biarkan mereka bersorak sekarang, kesukaran untuk mencapai herd immunity bukan petanda kegagalan golongan yang sudah mengambil vaksin. Sebaliknya ia adalah ancaman kepada mereka yang menolak vaksin kerana pandemik ini akan menjadi  "pandemic of unvaccinated". 

Tidak mencapai herd immunity bukan bermaksud gagal menangani pandemik. Ia hanya petunjuk bahawa Covid-19 tidak dapat dihapuskan sepenuhnya. Ia akan kekal di dalam komuniti tetapi disebabkan ramai yang memperolehi kekebalan, kesan mudaratnya adalah jauh lebih kecil dan kita boleh hidup seperti biasa dengan amalan2 norma baharu. Covid-19 akan menjadi endemik seperti mana jangkitan virus Influenza pada hari ini. Walau bagaimana pun, tidak mustahil Covid-19 juga mungkin akan memilih jalan yang sama dengan wabak SARS dan MERS yang lenyap begitu sahaja. Masa akan menentukan.

Dato' Dr.Rushdan Noor

14hb Okt 2021


Tulisan ini adalah pendirian peribadi berdasarkan kepada pembacaan dan tidak mewakili mana2 institusi.


RUJUKAN

https://publichealth.jhu.edu/2021/what-is-herd-immunity-and-how-can-we-achieve-it-with-covid-19

https://www.nature.com/articles/d41586-021-00728-2


Friday 8 October 2021

MITOS DAN MAKLUMAT PALSU YANG TERBONGKAR SATU PERSATU

 

Semenjak awal pandemik Covid-19, kita bukan sahaja tertekan dengan kesan fizikal dan sosial wabak ini tetapi juga penyebaran maklumat2 palsu yang begitu banyak sehingga pada awalnya kita tidak tahu betul ataupun tidak. Akibatnya kerajaan telah mengistiharkan satu lagi wabak yang dinamakan infodemik, 2 wabak berjalan serentak. Sekarang semua orang tahu dari manakah asal usul maklumat2 tersebut.

Sekurang2nya 25 MAKLUMAT PALSU ataupun MITOS yang disebarkan mengenai Covid-19 dan vaksin semenjak negara kita mula dilanda pandemik Covid-19. 

1. Covid-19 ini sama seperti selesema ringan saja

2. Covid-19 ini satu scam

3. Kumur dengan klorok, bunga cengkih, air kelapa, kangkung, sup ketam, bawang putih,  minum air suam, mandi air panas, minyak essential, herba Cina dan lain2 ramuan tradisional terbukti berkesan mencegah dan merawat Covid-19.

4. Vitamin dan suplement boleh merawat Covid-19 dengan berkesan.

5. Ujian PCR Covid-19 penipu, 80% "false positive".

6. Vaksin agenda Yahudi, Illuminati, Freemason, satu konspirasi utk menguasai dunia dan mengurangkan populasi. Pengeluar dan penyokong vaksin adalah agen dajjal.

7. Vaksin ini mengandungi microchip dan ada keupayaan transmisi 5G. 5G juga digunakan untuk menyebarkan virus.

8. Vaksin mRNA boleh menukar DNA manusia

9. Vaksin menyebabkan kerosakan organ sebab keracunan "spike protein"

10. Vaksin dalam tubuh penerima vaksin boleh terlepas keluar ("vaccine shedding") dan beri kesan kpd orang lain termasuk merosakkan organ. 

11. Vaksin Covid menyebabkan 97% orang tidak subur

12. Virus Covid-19 boleh dibawa oleh nyamuk. 

13. Vaksin Covid mengandungi tisu janin

14. Vaksin Covid mengandungi graphene oxide

15. Tempat suntikan vaksin menjadi magnet

16. Vaksin Covid boleh menukar penerima menjadi pesakit Covid

17. Penerima vaksin lebih ramai yang mati dari jangkitan Covid

18. Vaksin penyebab variant baru virus

19. Penerima vaksin Covid adalah seperti tikus ujikaji

20. Penerima vaksin jika dijangkiti akan mendapat penyakit yang lebih berat akibat "pathogenic priming"

21. Ujian PCR Covid akan menjadi positif selepas disuntik vaksin.

22. Vaksin tidak berkesan

23. KKM dan lain2 autoriti kesihatan luar negara menyembunyikan kes2 kamatian akibat vaksin

24. Kematian akibat Covid-19 sengaja dibesar2kan, kes kematian yang disebabkan oleh penyakit lain juga dimasukkan dalam statistik kematian Covid.

25. Vaksin mengandungi cecairan kristal yang akan menukar penerima vaksin menjadi zombie apabila terdedah kepada gelombang magnetik.

Saya kongsikan senarai2 mitos dan maklumat palsu ini sebagai rujukan kita semua serta panduan agar kita tidak terpedaya. Ianya juga untuk panduan masa depan kerana pasti akan dikitar semula oleh golongan yang sama. Jika anda nampak dakwaan2 ini, sila abaikan. 

Kesemuanya sudah dinafikan dan dijawab dengan hujah yang kukuh oleh pakar2. Ada yang sudah dijelaskan oleh KKM sendiri. Malahan  banyak di antaranya boleh dinilai sendiri oleh orang awam yang peka dan mengikuti  perkembangan wabak ini. Tidak kurang juga yang belajar dari pengalaman diri sendiri. 

Setakat ini lebih 6.4 billion dos vaksin telah diberikan kepada lebih 3.4 billion manusia di seluruh dunia. Maksudnya hampir separuh penduduk dunia telah menerima vaksin, jika benarlah tuduhan2 antivaksin ini, bayangkan betapa huru haranya dunia ketika ini dan tentu sudah ada negara2 yang mengharamkan vaksin.

Institut Kesihatan Negara baru sahaja mengeluarkan hasil analisa data keberkesanan vaksin negara kita yang melibatkan bilangan sampel sejumlah 1.26 juta orang. Analisa ini dijalankan dari 1hb April hingga 12hb Sep 2021. Setakat ini vaksin Covid-19 didapati berkesan. Anda boleh rujuk lapuran lengkap di pautan bawah :

VAKSIN COVID-19 TERBUKTI BERKESAN DI MALAYSIA


Anda boleh juga membaca penjelasan2 yang menyanggah sebahagian dari mitos2 di atas di blog www.minda2tinta.com



Dato' Dr.Rushdan Noor

9hb Okt 2021

Tuesday 5 October 2021

PANTANG DARIPADA PERSPEKTIF PERUBATAN MODEN

 


Berpantang mempunyai sejarah yang sangat panjang dan sehingga hari ini ianya dianggap seperti amalan tradisi yang tertanam di dalam kehidupan masyarakat kita. 

Berpantang secara tradisional yang dibawa turun menurun oleh nenek moyang mempunyai banyak kaitan dengan pengalaman, budaya dan kepercayaan. Berpantang tidak terhad kepada makanan tetapi juga gayahidup dan tingkahlaku. Ianya tidak mempunyai asas saintifik yang kukuh tetapi ada di antaranya yang tidak memudaratkan kesihatan. 

Terdapat juga pantang yang mempunyai tujuan tersirat bagi mengelak musibah lain, pantang sebegini lebih tertumpu kepada gayahidup dan tingkahlaku.

Kebanyakan pantang yang diamalkan berasal daripada pengalaman orang zaman dahulu. Pada pandangan pengamal perubatan moden, pengalaman seseorang tidak boleh dijadikan bukti yang kukuh untuk mengaitkan sesatu sebab dan akibat. Banyak keadaan di mana masyarakat kita salah mengaitkan sesuatu punca dengan akibat, tambahan pula setiap orang mempunyai keunikan masing-masing. Tidak hairanlah mengapa ujudnya begitu banyak jenis pantang dan senarai makanan yang tidak boleh dimakan, kerana ianya dikumpulkan zaman berzaman. 

Sains mempunyai kaedah tersendiri untuk menentukan kekuatan hubungan di antara punca dan akibat ("causal relationship"). Hubungan ini juga perlu selari dengan kefahaman yang betul mengenai bagaimana badan manusia berfungsi (fisiologi).

Amalan berpantang atau tidak mengambil sesuatu jenis makanan sebenarnya juga wujud di dalam perubatan moden tetapi dengan ALASAN YANG BERBEZA. Berikut adalah 5 keadaan di mana Pengamal Perubatan moden mengiktiraf amalan berpantang:

1. Berpantang terhadap makanan yang boleh menyebabkan ketidakselesaan contohnya seperti makanan yang boleh menghasilkan gas yang banyak sehingga perut menjadi kembung dan tidak selesa, jenis2 makanan ini hanya diketahui oleh individu berkenaan kerana kandungan flora (bakteria usus) yang berbeza di dalam setiap individu menyebabkan kuantiti gas yang dihasilkan selepas menguraian makanan juga berbeza. Ada juga individu yang mengalami gejala lain apabila mengambil makanan tertentu, ini berdasarkan pengalaman masing-masing. 

2. Berpantang terhadap makanan yang menyebabkan alahan. Ada individu yang alah (alergik) kepada makanan dan minuman tertentu sehingga apabila mengambilnya mengakibatkan gatal, bengkak, dan ada juga mengalami muntah atau cirit birit. Setiap wanita akan mengalami alahan kepada makanan yang berbeza, ada juga wanita bernasib baik kerana tidak mengalami alahan kepada mana-mana jenis makanan/minuman.

3. Berpantang terhadap makanan tertentu yang boleh mengganggu ubat yang diambil untuk merawat penyakit ("food-drug interaction"). Ada makanan ataupun minuman tertentu yang boleh menganggu penyerapan ubat, berinteraksi dengan ubat, mengganggu metabolisma ubat dan ada juga yang mengubah kadar pengeluaran ubat daripada badan. Contohnya:

~ Makanan tinggi vitamin K seperti bayam, brakoli dan asparagus perlu dikurangkan jika pesakit mengambil ubat Warfarin

~ Produk susu yang tinggi kalsium dan magnesium boleh mengganggu penyerapan beberapa antibiotik

Banyak lagi contoh-contoh "food-drug interaction" yang tidak dinyatakan.

Ikuti arahan pengambilan ubat yang disediakan oleh pihak Farmasi dan nasihat doktor

4. Berpantang terhadap makanan tertentu yang boleh menjejaskan lagi penyakit. Contohnya pesakit buah pinggang perlu menghadkan makanan yang tinggi kandungan sodium dan potasium seperti avocados(tinggi potasium) dan makanan dalam tin (tinggi sodium). Pesakit buah pinggang juga tidak digalakkan mengambil minuman dan makanan yang mengandungi kandungan fosforus yang tinggi.Pesakit gastritis disyorkan supaya tidak mengambil (ataupun kurangkan) alkohol, kopi, tomato, jus buah, makanan pedas dan minuman bergas. Jika anda seorang pesakit, maka dapatkan nasihat doktor tentang makanan yang perlu dielakkan ataupun dikurangkan.

5. Berpantang mengambil makanan tertentu sebagai persediaan untuk menjalani ujian perubatan. Amalan ini dilakukan hanya ketika ujian dilakukan. Contoh:

~ Ujian mengukur 5-HIAA untuk mengesan serotonin ke atas pesakit yang disyaki menghidap kanser carcinoid. Pesakit dilarang mengambil makanan yang mengandungi tinggi serotonin seperti nenas, pisang dan kiwi.

~ Menjalani ujian PET scan, tidak boleh mengambil bijirin, susu, roti dan gula dalam masa 12 jam sebelum ujian dijalankan.

Kesimpulannya pantang mengikut pengamal perubatan moden hanya tertumpu kepada golongan tertentu dan tidak dikenakan ke atas semua orang. Berbeza dengan pantang tradisi yang dikenakan ke atas semua orang tanpa pengecualian apabila mereka berada dalam fasa-fasa tertentu kehidupan (haid, selepas bedah, selepas melahirkan anak dan lain-lain). Sedangkan pantang mengikut perubatan moden hanya diamalkan apabila ujud 5 keadaan di atas.

Pada pandangan pengamal perubatan moden, makanan serta minuman adalah penting untuk membekalkan tenaga, air, nutrien dan serat. Tenaga dan nutrien amat penting untuk tumbesaran, mengekalkan kesihatan, menguatkan sistem pertahanan, metabolisma dan mempercepatkan pemulihan/penyembuhan. Pemulihan dan penyembuhan ini juga merujuk kepada semua organ dan sistem termasuk organ peranakan. Maka prinsip pemakanan ini hendaklah diamalkan oleh semua orang lebih-lebih lagi oleh seseorang yang sedang di dalam proses penyembuhan serta pemulihan samada akibat luka, jangkitan, sakit, pembedahan dan juga selepas melahirkan anak. Inilah perbezaan yang sangat ketara dengan pantang cara tradisional.

Akibat daripada prinsip berpantang cara tradisional yang menghadkan pengambilan makanan dan minuman, maka amalan ini boleh memudaratkan kesihatan. Jika berpantang menyebabkan seseorang mengalami kekurangan zat,kekurangan air dan pergerakan fizikal dihadkan, maka ianya dianggap pantang yang bertentangan dengan amalan perubatan moden. Walau bagaimana pun ada pantang tradisional yang tidak memudaratkan jika orang yang berpantang itu diberikan pilihan lain. Contohnya seseorang ibu yang melahirkan anak berpantang daripada memakan laksa, tetapi mereka boleh mengambil makanan lain sebagai ganti. Walaupun alasan tidak mengambil laksa itu tidak diterima oleh sains, wanita ini boleh mengambil makanan lain yang berzat. Di dalam keadaan ini, tidak makan laksa tidak mendatangkan mudarat selagi wanita itu mengambil makanan lain yang berzat. 

Kayu ukur kepada keselamatan berpantang bergantung kepada apakah nilai nutrisi yang diperolehi oleh individu berkenaan hasil daripada amalan itu. Jika mereka menerima nutrien yang cukup, sesuai dengan keperluan mereka seperti yang disyorkan oleh pakar pemakanan, maka amalan berpantang itu tidak ditolak.

KESIMPULAN

Berpantang daripada perspektif perubatan moden adalah berdasarkan kepada 5 alasan iaitu makanan yang boleh menyebabkan ketidakselesaan, makanan yang menyebabkan alahan, makanan atau minuman yang boleh berinteraksi dengan ubat, makanan yang boleh memberi kesan negatif terhadap penyakit yang dihidapi dan persediaan sebelum ujian perubatan. Tidak ada bukti sains yang kukuh menyokong kaedah berpantang yang diamalkan oleh nenek moyang kita turun menurun. Tambahan pula ada di antara amalan ini boleh memudaratkan kesihatan. 

Individu-individu yang tidak berpenyakit TIDAK perlu untuk berpantang terhadap makanan ataupun minuman tertentu selagi ianya bersih, halal dan tidak berlebihan, tidak kira di dalam fasa apakah kehidupan mereka (akhil baligh, datang haid,selepas melahirkan anak, lepas bedah dll). Jika anda berpegang dengan prinsip pantang yang difahami oleh pengamal perubatan moden, anda tidak tertekan dengan sekatan melampau sehingga kempunan, anda bebas mengambil makanan kegemaran anda dan paling penting masa depan kesihatan anda lebih terjamin. Anda juga boleh kembali aktif seperti sediakala dalam jangkamasa yang singkat. Pilihan di tangan anda.


Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor

Pakar Perunding Kanan Obstetriks & Ginekologi

Kementerian Kesihatan Malaysia

Ahli Medical Mythbuster Malaysia

5hb Okt 2018

Saturday 2 October 2021

BENARKAH TUMBUH2AN, BUAH2AN DAN AKAR KAYU BOLEH DIANGGAP UBAT ??

 

Pada asasnya, tumbuhan, buah2an dan akar kayu dalam bentuk MENTAH, TIDAK MAMPU mengubati penyakit, jika maksud PENYAKIT dan MERAWAT** itu berdasarkan prinsip ilmu perubatan moden. Prinsip ini telah saya terangkan di dalam tulisan saya yang lalu termasuk bagaimana ahli sains membuktikan keberkesanan ubat melalui kajian klinikal. Maka adalah tidak tepat kalau dikatakan penyakit A boleh diubati dengan memakan daun B, buah C ataupun akar kayu D. Ikuti penjelasan saya.


Setiap saat, manusia terdedah kepada agen penyebab penyakit.Tubuh badan manusia yang normal mempunyai keupayaan untuk memperbaiki kerosakan dan memulihkan diri daripada serangan agen luar dan dalam. Kemampuan ini boleh menurun apabila serangan agen itu terlalu kuat ataupun badan menjadi lemah. Akibatnya berlakulah penyakit. Penyakit yang ringan mungkin boleh disembuhkan tanpa ubat tetapi penyakit yang berat memerlukan bantuan tambahan. Tanpa bantuan tambahan, kerosakan yang berlaku akan bertambah serius sehingga akhirnya badan tewas dan mati. Analoginya sama seperti PEPERANGAN, penyakit adalah umpama pasukan tentera yang sedang berundur dan hampir tewas dalam peperangan. Pada saat itu, keupayaan tenaga dan semangat sahaja sudah tidak mencukupi.Untuk meningkatkan kekuatan pasukan dan bangkit melawan, mereka memerlukan senjata tambahan yang lebih kuat dan berkesan.Senjata inilah ubat. Sembuh daripada penyakit adalah umpama menang di dalam peperangan.



Ubat yang dihasilkan oleh ahli sains  adalah seperti senjata yang lebih canggih dan berkesan untuk menang di dalam peperangan. Ubat2 ini dihasilkan melalui teknologi makmal yang moden mengektrak (mengeluarkan) sebatian kimia yang khusus untuk dijadikan senjata yang berkesan. Banyak sumber2 ubat moden diperolehi daripada tumbuhan dan akar kayu. Apabila menemui sebatian kimia yang boleh dijadikan ubat, ahli sains akan mengeluarkannya. Ahli sains kemudian akan menentukan dos dan kaedah pemberian. Kemudian mereka akan mengesahkan keselamatan dan keberkesanan melalui ujian praklinikal dan ujian klinikal sehinggalah lulus untuk kegunaan. Hanya senjata yang disahkan berkesan sahaja diluluskan.


Mengapa saya katakan tumbuhan, buah2an dan akar kayu mentah tidak mampu menjadi ubat. Tumbuhan dan akar kayu mentah mengandungi ratusan jenis sebatian kimia yang setiap satunya mempunyai kuantiti yang terlalu kecil untuk setiap unit berat. Sedangkan daripada ratusan jenis sebatian kimia itu, mungkin hanya satu jenis sahaja boleh digunakan sebagai ubat untuk merawat sesatu jenis penyakit. Maka untuk menjadikan bahan mentah ini ubat yang berkesan, seseorang pesakit perlu mengambilnya dalam kuantiti yang tinggi, mungkin berkilo2 sehari. Itupun belum tentu mencukupi. Di samping itu di dalam tumbuhan dan akar kayu ini juga terdapat banyak sebatian2 kimia lain yang mungkin mempunyai kesan bertentangan, mungkin ada juga yang beracun. Maka memberi pesakit makan tumbuhan, buah2an dan akar kayu dalam bentuk mentah samalah dengan membekalkan senjata tumpul yang ketinggalan zaman kepada pejuang2 yang hampir kalah dalam peperangan. Ataupun mungkin senjata itu tidak dapat digunakan langsung.


Saya setuju bahawa yang menyembuhkan itu adalah Tuhan tetapi Allah memberi manusia kemampuan untuk berIKHTIAR. Apabila ikhtiar itu betul, maka Allah akan izinkan. Allah beri manusia otak dan kebijaksanaan untuk mencari ikhtiar yang betul. Ambil pisau yang tajam dan potong sebiji timun, tentu dengan satu hirisan, timun terputus dengan mudah. Pisau yang tajam dan tenaga adalah ikhtiar manusia, yang memutuskan timun itu adalah ketentuan Tuhan. Inilah perumpamaan ubat dan senjata berkesan di dalam melawan penyakit dan peperangan. Jangan memperjudikan nyawa dengan senjata tumpul jika penyakit itu bukan yang ringan, akibatnya boleh menderita dan akhirnya hilang nyawa dari badan.


MERAWAT ** : Maksud merawat di dalam perubatan moden adalah memulihkan pesakit, mencegah kerosakan organ, memperbaiki kualiti hidup dan memanjangkan hayat, bukan sekadar menurunkan gula darah, kolesterol ataupun tekanan darah.


Dato' Dr Rushdan Noor  

2hb Okt 2018