Baru2 ini laman facebook KKM ada menjelaskan tentang kesukaran kita untuk mencapai herd immunity ataupun imuniti berkelompok. Majoriti netizen faham dan menerima hakikat ini berdasarkan kepada jumlah 'like' yang diberikan. Banyak juga komen yang negatif, boleh jadi kesempatan yang digunakan oleh antivaksin.
Perkongsian ini adalah berdasarkan kepada pembacaan saya dan pendapat pakar2 epidemiologi tentang mengapa herd immunity ini sukar dicapai. Sebenarnya pendapat ini bukan terhad kepada negara kita sahaja tetapi di seluruh dunia. Ia juga bukan perkara baru, sebaliknya sesuatu yang telah berlaku ke atas wabak penyakit yang lain.
Terdapat 5 sebab utama mengapa Herd Immunity terhadap Covid-19 sukar direalisasikan:
1. Kewujudan variant Delta yang lebih mudah merebak. Ini bermakna, sasaran 80% liputan vaksin terhadap varian terdahulu akan berubah kepada angka yang lebih besar, mungkin 90-95% untuk mengekang variant delta. Angka ini adalah dari keseluruhan populasi dan BUKAN populasi dewasa sahaja, sedangkan hampir 30% penduduk adalah golongan yang berusia kurang daripada 18 tahun.
2. Liputan vaksin yang tinggi sukar dicapai kerana beberapa faktor termasuk penolakkan vaksin akibat pengaruh antivaksin. Terdapat lebih 1.2 juta orang dewasa yang belum menerima vaksin. Walaupun liputan vaksinasi 95% orang dewasa boleh dicapai, untuk mendapat liputan 90-95% keseluruhan populasi, kita perlu mengvaksinasi 90-95% remaja dan kanak2 yang berusia kurang dari 18 tahun. Sasaran golongan kedua ini tidak mungkin dicapai kerana vaksin belum diluluskan untuk kanak2 kurang dari 12 tahun dan tidak mungkin kita mendapat liputan 100% remaja berusia 12-17 tahun.
3. Pengagihan vaksin yang tidak seragam dan sekata menyebabkan ada daerah, ada negara yang rendah liputan dan ada yang tinggi liputan. Ada yang dapat awal dan ada yang dapat lewat. Akibatnya daerah atau negara yang rendah kadar vaksinasinya akan menjadi punca penyebaran virus kerana sukarnya untuk mengawal sempadan dan pergerakkan manusia. Manakala lokaliti yang mendapat vaksin terlalu awal, akan berdepan pula dgn kadar keberkesanan yang semakin menurun. Ini menyebabkan virus berupaya untuk terus kekal di dalam komuniti.
4. Vaksin mengubah sikap dan gaya hidup manusia. Golongan yang menerima vaksin merasa terlalu selamat sedangkan vaksin tidak 100% berkesan. Mereka mula bergerak bebas, leka dan mengambil ringan langkah2 pencegahan yang lain sehingga bukan sahaja mereka dijangkiti tetapi juga mungkin boleh menyebarkan virus itu kepada orang lain termasuk yang tidak menerima vaksin.
5. Ciri2 vaksin yang paling penting untuk lebih mudah mencapai herd immunity adalah vaksin yang mempunyai keberkesanan mencegah jangkitan yang tinggi. Dengan variant delta, kadar keberkesanan vaksin mencegah jangkitan lebih rendah berbanding dengan mencegah gejala berat dan kematian. Apabila digabungkan faktor ini dengan faktor2 di atas, memang untuk mencapai herd immunity itu sangat sukar. Pakar epidemiologi berpendapat, vaksin perlu mampu untuk mencegah jangkitan pada kadar minima 60%. Keberkesanan yang lebih tinggi diperlukan ke atas virus yang lebih cepat merebak.
Adakah herd immunity ini benar2 mustahil untuk dicapai? Jawapannya TIDAK, terdapat pakar epidemiologi yang masih optimistik bahawa walaupun sukar, ianya tidak mustahil. Dengan meningkatkan liputan vaksinasi semaksima yang mungkin, dicampur dengan imuniti semulajadi yang diperolehi dari jangkitan Covid-19, mungkin lebih dari 90% populasi keseluruhan memperolehi kekebalan. Pada waktu yang sama vaksinasi yang telah diberikan kepada kumpulan berisiko tinggi akan mengurangkan beban kepada sistem kesihatan (menurunkan kemasukan ke wad dan ICU) dan mengurangkan kadar kematian.
Adakah vaksin tidak penting ? Jawapannya tentu sekali vaksin sangat penting. Membiarkan semua orang dijangkiti oleh virus yang ganas ini bukan jalan penyelesaian yang betul. Jika anda membaca dan faham apa yang saya tulis di atas, saya tidak perlu menjelaskan lagi. Kebetulan KKM telah mengeluarkan data2 keberkesanan vaksin Covid-19 ke atas rakyat Malaysia termasuk ke atas variant Delta. Keadaan Covid-19 di negara kita akan jauh lebih parah tanpa ikhtiar dari vaksinasi.
Golongan antivaksin seronok dan mempersendakan pendirian KKM tentang Herd Immunity ? Ya mereka nampaknya menggunakan isu ini untuk menonjolkan kononnya kredibiliti pakar2 dan KKM terjejas. Tapi mereka silap, penghinaan itu sebenarnya kembali kepada mereka; sikap mereka ini sebenarnya memperlihatkan kejahilan mereka tentang wabak dan sifat bodoh sombong. Mereka tidak sedar bahawa mereka adalah sebahagian daripada punca masalah ini.
Biarkan mereka bersorak sekarang, kesukaran untuk mencapai herd immunity bukan petanda kegagalan golongan yang sudah mengambil vaksin. Sebaliknya ia adalah ancaman kepada mereka yang menolak vaksin kerana pandemik ini akan menjadi "pandemic of unvaccinated".
Tidak mencapai herd immunity bukan bermaksud gagal menangani pandemik. Ia hanya petunjuk bahawa Covid-19 tidak dapat dihapuskan sepenuhnya. Ia akan kekal di dalam komuniti tetapi disebabkan ramai yang memperolehi kekebalan, kesan mudaratnya adalah jauh lebih kecil dan kita boleh hidup seperti biasa dengan amalan2 norma baharu. Covid-19 akan menjadi endemik seperti mana jangkitan virus Influenza pada hari ini. Walau bagaimana pun, tidak mustahil Covid-19 juga mungkin akan memilih jalan yang sama dengan wabak SARS dan MERS yang lenyap begitu sahaja. Masa akan menentukan.
Dato' Dr.Rushdan Noor
14hb Okt 2021
Tulisan ini adalah pendirian peribadi berdasarkan kepada pembacaan dan tidak mewakili mana2 institusi.
RUJUKAN
https://publichealth.jhu.edu/2021/what-is-herd-immunity-and-how-can-we-achieve-it-with-covid-19
https://www.nature.com/articles/d41586-021-00728-2
No comments:
Post a Comment