Berpantang mempunyai sejarah yang sangat panjang dan sehingga hari ini ianya dianggap seperti amalan tradisi yang tertanam di dalam kehidupan masyarakat kita.
Berpantang secara tradisional yang dibawa turun menurun oleh nenek moyang mempunyai banyak kaitan dengan pengalaman, budaya dan kepercayaan. Berpantang tidak terhad kepada makanan tetapi juga gayahidup dan tingkahlaku. Ianya tidak mempunyai asas saintifik yang kukuh tetapi ada di antaranya yang tidak memudaratkan kesihatan.
Terdapat juga pantang yang mempunyai tujuan tersirat bagi mengelak musibah lain, pantang sebegini lebih tertumpu kepada gayahidup dan tingkahlaku.
Kebanyakan pantang yang diamalkan berasal daripada pengalaman orang zaman dahulu. Pada pandangan pengamal perubatan moden, pengalaman seseorang tidak boleh dijadikan bukti yang kukuh untuk mengaitkan sesatu sebab dan akibat. Banyak keadaan di mana masyarakat kita salah mengaitkan sesuatu punca dengan akibat, tambahan pula setiap orang mempunyai keunikan masing-masing. Tidak hairanlah mengapa ujudnya begitu banyak jenis pantang dan senarai makanan yang tidak boleh dimakan, kerana ianya dikumpulkan zaman berzaman.
Sains mempunyai kaedah tersendiri untuk menentukan kekuatan hubungan di antara punca dan akibat ("causal relationship"). Hubungan ini juga perlu selari dengan kefahaman yang betul mengenai bagaimana badan manusia berfungsi (fisiologi).
Amalan berpantang atau tidak mengambil sesuatu jenis makanan sebenarnya juga wujud di dalam perubatan moden tetapi dengan ALASAN YANG BERBEZA. Berikut adalah 5 keadaan di mana Pengamal Perubatan moden mengiktiraf amalan berpantang:
1. Berpantang terhadap makanan yang boleh menyebabkan ketidakselesaan contohnya seperti makanan yang boleh menghasilkan gas yang banyak sehingga perut menjadi kembung dan tidak selesa, jenis2 makanan ini hanya diketahui oleh individu berkenaan kerana kandungan flora (bakteria usus) yang berbeza di dalam setiap individu menyebabkan kuantiti gas yang dihasilkan selepas menguraian makanan juga berbeza. Ada juga individu yang mengalami gejala lain apabila mengambil makanan tertentu, ini berdasarkan pengalaman masing-masing.
2. Berpantang terhadap makanan yang menyebabkan alahan. Ada individu yang alah (alergik) kepada makanan dan minuman tertentu sehingga apabila mengambilnya mengakibatkan gatal, bengkak, dan ada juga mengalami muntah atau cirit birit. Setiap wanita akan mengalami alahan kepada makanan yang berbeza, ada juga wanita bernasib baik kerana tidak mengalami alahan kepada mana-mana jenis makanan/minuman.
3. Berpantang terhadap makanan tertentu yang boleh mengganggu ubat yang diambil untuk merawat penyakit ("food-drug interaction"). Ada makanan ataupun minuman tertentu yang boleh menganggu penyerapan ubat, berinteraksi dengan ubat, mengganggu metabolisma ubat dan ada juga yang mengubah kadar pengeluaran ubat daripada badan. Contohnya:
~ Makanan tinggi vitamin K seperti bayam, brakoli dan asparagus perlu dikurangkan jika pesakit mengambil ubat Warfarin
~ Produk susu yang tinggi kalsium dan magnesium boleh mengganggu penyerapan beberapa antibiotik
Banyak lagi contoh-contoh "food-drug interaction" yang tidak dinyatakan.
Ikuti arahan pengambilan ubat yang disediakan oleh pihak Farmasi dan nasihat doktor
4. Berpantang terhadap makanan tertentu yang boleh menjejaskan lagi penyakit. Contohnya pesakit buah pinggang perlu menghadkan makanan yang tinggi kandungan sodium dan potasium seperti avocados(tinggi potasium) dan makanan dalam tin (tinggi sodium). Pesakit buah pinggang juga tidak digalakkan mengambil minuman dan makanan yang mengandungi kandungan fosforus yang tinggi.Pesakit gastritis disyorkan supaya tidak mengambil (ataupun kurangkan) alkohol, kopi, tomato, jus buah, makanan pedas dan minuman bergas. Jika anda seorang pesakit, maka dapatkan nasihat doktor tentang makanan yang perlu dielakkan ataupun dikurangkan.
5. Berpantang mengambil makanan tertentu sebagai persediaan untuk menjalani ujian perubatan. Amalan ini dilakukan hanya ketika ujian dilakukan. Contoh:
~ Ujian mengukur 5-HIAA untuk mengesan serotonin ke atas pesakit yang disyaki menghidap kanser carcinoid. Pesakit dilarang mengambil makanan yang mengandungi tinggi serotonin seperti nenas, pisang dan kiwi.
~ Menjalani ujian PET scan, tidak boleh mengambil bijirin, susu, roti dan gula dalam masa 12 jam sebelum ujian dijalankan.
Kesimpulannya pantang mengikut pengamal perubatan moden hanya tertumpu kepada golongan tertentu dan tidak dikenakan ke atas semua orang. Berbeza dengan pantang tradisi yang dikenakan ke atas semua orang tanpa pengecualian apabila mereka berada dalam fasa-fasa tertentu kehidupan (haid, selepas bedah, selepas melahirkan anak dan lain-lain). Sedangkan pantang mengikut perubatan moden hanya diamalkan apabila ujud 5 keadaan di atas.
Pada pandangan pengamal perubatan moden, makanan serta minuman adalah penting untuk membekalkan tenaga, air, nutrien dan serat. Tenaga dan nutrien amat penting untuk tumbesaran, mengekalkan kesihatan, menguatkan sistem pertahanan, metabolisma dan mempercepatkan pemulihan/penyembuhan. Pemulihan dan penyembuhan ini juga merujuk kepada semua organ dan sistem termasuk organ peranakan. Maka prinsip pemakanan ini hendaklah diamalkan oleh semua orang lebih-lebih lagi oleh seseorang yang sedang di dalam proses penyembuhan serta pemulihan samada akibat luka, jangkitan, sakit, pembedahan dan juga selepas melahirkan anak. Inilah perbezaan yang sangat ketara dengan pantang cara tradisional.
Akibat daripada prinsip berpantang cara tradisional yang menghadkan pengambilan makanan dan minuman, maka amalan ini boleh memudaratkan kesihatan. Jika berpantang menyebabkan seseorang mengalami kekurangan zat,kekurangan air dan pergerakan fizikal dihadkan, maka ianya dianggap pantang yang bertentangan dengan amalan perubatan moden. Walau bagaimana pun ada pantang tradisional yang tidak memudaratkan jika orang yang berpantang itu diberikan pilihan lain. Contohnya seseorang ibu yang melahirkan anak berpantang daripada memakan laksa, tetapi mereka boleh mengambil makanan lain sebagai ganti. Walaupun alasan tidak mengambil laksa itu tidak diterima oleh sains, wanita ini boleh mengambil makanan lain yang berzat. Di dalam keadaan ini, tidak makan laksa tidak mendatangkan mudarat selagi wanita itu mengambil makanan lain yang berzat.
Kayu ukur kepada keselamatan berpantang bergantung kepada apakah nilai nutrisi yang diperolehi oleh individu berkenaan hasil daripada amalan itu. Jika mereka menerima nutrien yang cukup, sesuai dengan keperluan mereka seperti yang disyorkan oleh pakar pemakanan, maka amalan berpantang itu tidak ditolak.
KESIMPULAN
Berpantang daripada perspektif perubatan moden adalah berdasarkan kepada 5 alasan iaitu makanan yang boleh menyebabkan ketidakselesaan, makanan yang menyebabkan alahan, makanan atau minuman yang boleh berinteraksi dengan ubat, makanan yang boleh memberi kesan negatif terhadap penyakit yang dihidapi dan persediaan sebelum ujian perubatan. Tidak ada bukti sains yang kukuh menyokong kaedah berpantang yang diamalkan oleh nenek moyang kita turun menurun. Tambahan pula ada di antara amalan ini boleh memudaratkan kesihatan.
Individu-individu yang tidak berpenyakit TIDAK perlu untuk berpantang terhadap makanan ataupun minuman tertentu selagi ianya bersih, halal dan tidak berlebihan, tidak kira di dalam fasa apakah kehidupan mereka (akhil baligh, datang haid,selepas melahirkan anak, lepas bedah dll). Jika anda berpegang dengan prinsip pantang yang difahami oleh pengamal perubatan moden, anda tidak tertekan dengan sekatan melampau sehingga kempunan, anda bebas mengambil makanan kegemaran anda dan paling penting masa depan kesihatan anda lebih terjamin. Anda juga boleh kembali aktif seperti sediakala dalam jangkamasa yang singkat. Pilihan di tangan anda.
Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Kanan Obstetriks & Ginekologi
Kementerian Kesihatan Malaysia
Ahli Medical Mythbuster Malaysia
5hb Okt 2018
No comments:
Post a Comment