Wednesday, 17 September 2025

SETIAUSAHA KESIHATAN (HHS) BARU USA DAN IMPLIKASI KEPADA KEPERCAYAAN AWAM TERHADAP VAKSIN





PENGENALAN

Jawatan Secretary of Health and Human Services (HHS) di Amerika adalah jawatan tertinggi dalam perkhidmatan kesihatan, setara dengan Menteri Kesihatan di Malaysia, malahan dikatakan mempunyai skop kuasa yang lebih luas. Pelantikan HHS Amerika Syarikat yang baru menimbulkan kebimbangan besar dalam kalangan pakar kesihatan awam. Beliau sudah lama dikenali sebagai tokoh anti-Vx yang lantang, dan kini mempunyai kuasa untuk mempengaruhi dasar vaksin negara. Artikel ini mengupas bagaimana beliau berpotensi menggunakan sistem pelaporan kesan sampingan vaksin (VAERS), serta peranan FDA dan jawatankuasa penasihat ACIP untuk melemahkan kepercayaan masyarakat terhadap vaksin.

APA ITU VAERS ?

VAERS (Vaccine Adverse Event Reporting System) ialah sistem pelaporan terbuka di AS. Ia membolehkan sesiapa sahaja seperti doktor, jururawat, pesakit, atau ibu bapa, membuat laporan tentang apa-apa kesan buruk yang berlaku selepas vaksin diberikan. Tujuan utama sistem ini ialah sebagai amaran awal untuk mengesan pola yang luar biasa.

Namun, VAERS tidak direka untuk membuktikan vaksin menyebabkan sesuatu masalah. Ia hanya mengumpul maklumat mentah yang perlu disiasat lebih lanjut. Antara kelemahannya:

1. Laporan tidak disahkan, dan boleh termasuk kejadian kebetulan yang tiada kaitan dengan vaksin. 

2. Kes ringan sering tidak dilaporkan, tetapi kes serius lebih cenderung dilaporkan, menyebabkan ujud berat sebelah.

3. VAERS tidak boleh digunakan untuk mengira kadar sebenar sesuatu kesan sampingan kerana datanya mentah, caca merba dan belum dipastikan hubungannya dengan vaksin.

Laporan VAERS ini boleh diakses oleh sesiapa sahaja sebagai petunjuk ketelusan, malangnya terdedah kepada eksploitasi dan manipulasi golongan anti-Vx.

Untuk penyiasatan yang lebih tepat, CDC dan FDA menggunakan sistem lain seperti Vaccine Safety Datalink (VSD) dan program BEST, yang mempunyai data kawalan lebih kukuh.

BAGAIMANA VAERS BOLEH DISALAHGUNAKAN

Data mentah VAERS ini boleh diakses oleh orang ramai. Golongan anti-Vx sering memetik laporan VAERS seolah-olah ia bukti muktamad bahawa vaksin berbahaya. Mereka menonjolkan laporan kematian atau masalah kesihatan selepas vaksin tanpa mengambil kira siasatan lanjut.

Contohnya, pada era awal dakwaan palsu tentang “vaksin menyebabkan autisme”, VAERS digunakan untuk menyokong naratif tersebut walaupun kajian saintifik sudah membuktikan tiada kaitan. Begitu juga semasa pandemik COVID-19, laporan VAERS dijadikan senjata untuk mendakwa vaksin menyebabkan ribuan kematian, walhal data itu tidak menunjukkan hubungan sebab-musabab.

PERANAN SETIAUSAHA KESIHATAN BARU , FDA, CDC DAN ACIP

Dengan kedudukannya kini, beliau berpeluang mengakses data VAERS secara penuh,  termasuk data yang tidak boleh diakses umum. Terdapat kebimbangan beliau akan menggunakan data mentah ini untuk menuduh vaksin sebagai punca kematian, tanpa bukti saintifik yang kukuh.

Selain itu, beliau boleh mempengaruhi ACIP (Advisory Committee on Immunization Practices), jawatankuasa yang membuat cadangan vaksin rasmi. Beliau telah memecat semua ahli panel yang berwibawa dan menggantikan mereka dengan individu2 kontroversial yang condong ke arah anti-Vx dan pro-pseudosains, tidak menghairankan jika saranan/garispanduan vaksin boleh berubah.

Jika cadangan serta garispanduan vaksin diubah atau dikurangkan, implikasi yang besar adalah insurans mungkin tidak melindungi kos vaksin, bekalan menjadi terhad, dan liputan vaksin dalam masyarakat akan merosot. Kesan jangka panjang tidak dapat dibayangkan.

Ini adalah beberapa ramalan yang dibuat oleh ramai pihak dan kita tunggu samada ianya akan jadi kenyataan.

PERUBAHAN YANG DILAKUKAN SETAKAT RENCANA INI DITULIS TERHADAP POLISI VAKSIN DI AMERIKA 

Sejak perlantikan Ketua Setiausaha Kesihatan Amerika pada 2025, beberapa perubahan besar dalam cadangan vaksin telah dibuat:

1. Panel Penasihat Vaksin Diganti Penuh
Semua 17 ahli lama Advisory Committee on Immunization Practices (ACIP) yang berwibawa diganti dengan ahli baharu, sebahagiannya dikenali sebagai skeptikal terhadap vaksin.

2. Vaksin Influenza
ACIP mengundi untuk membuang penggunaan thimerosal (bahan pengawet) dalam vaksin flu, walaupun bukti saintifik selama ini menunjukkan ia selamat.

3. Vaksin MMRV (Measles, Mumps, Rubella, Varicella)
Tidak lagi disarankan untuk kanak-kanak bawah 4 tahun kerana sedikit peningkatan risiko sawan demam. Sebaliknya, dos diberi secara berasingan (MMR + varicella).

4. Vaksin Hepatitis B
Cadangan untuk menunda dos pertama daripada bayi baru lahir ke usia sebulan (jika ibu negatif Hep B) telah ditangguhkan, selepas kritikan bahawa ia boleh menambah risiko jangkitan.

5. Vaksin COVID-19
Tidak lagi disarankan secara umum untuk semua kumpulan. Kini keputusan bergantung kepada “shared decision making” antara doktor dan pesakit. Akses vaksin ini akan menjadi lebih terhad.

6. Pada 3 September 2025, Florida melalui Surgeon General, Dr. Joseph Ladapo, mengumumkan niat untuk memansuhkan keperluan vaksin mandatori untuk sekolah. 

ANALISIS DAN IMPLIKASI KEPADA MASA DEPAN KESIHATAN AWAM 

1. Risiko kepada kepercayaan awam apabila data VAERS disalah tafsirkan, masyarakat mudah panik dan ragu-ragu terhadap vaksin.

2. Polisi kesihatan terjejas dan perubahan saranan ACIP boleh menjejaskan akses kepada vaksin

3. Perubahan polisi pemberian vaksin menimbulkan kebimbangan pakar kesihatan awam kerana boleh mengurangkan kadar vaksinasi rutin. Wabak penyakit  boleh berulang.dan lebih sukar dikawal kerana liputan vaksin makin berkurangan.

4. Sains diketepikan, keputusan sepatutnya berdasarkan kajian kukuh, bukan laporan mentah dan pendapat peribadi.

5. Kepercayaan orang ramai terhadap vaksin akan terjejas dan berkembangnya ideologi antivaksin.

6. Konflik kepentingan pelantikan tokoh dengan agenda anti-Vx dalam badan penasihat rasmi boleh merosakkan integriti sistem kesihatan dan mengikis kepercayaan awam serta komuniti saintifik..


IMPLIKASI KE ATAS NEGARA KITA

Walaupun isu ini adalah masalah di negara Amerika, kita rakyat Malaysia perlu cakna kerana selama ini Amerika adalah negara besar yang sangat berpengaruh dan dijadikan rujukan di dalam bidang perubatan. Dengan perkembangan yang berlaku mutakhir ini, kewibawaan mereka akan dipersoalkan dan tidak hairan jika nanti akan diumumkan penemuan dan cadangan2 ("vaccine recommendation") yang baru berkaitan dengan vaksin oleh organisasi2 yang dahulunya dipercayai seperti CDC, ACIP dan FDA kerana kita tahu siapa di belakang mereka  hari ini. Keraguan tentang vaksin yang ujud di Amerika pasti akan merebak ke seluruh dunia termasuk ke negara kita kerana golongan anti-Vx tempatan tidak akan melepaskan peluang ini.

Ini baru satu aspek perubatan, banyak lagi bidang sains dan perubatan akan terkesan apabila sistem perkhidmatan kesihatan diketuai oleh seorang yang membawa ideologi yang berlawanan dengan arus perdana komuniti saintifik yang berwibawa.

KESIMPULAN

Setiausaha Kesihatan Amerika Syarikat hari ini bukan sahaja seorang pengkritik vaksin dan pro-pseudosains, tetapi kini mempunyai kuasa politik untuk menjejaskan dasar imunisasi nasional. Strateginya menggunakan VAERS, mempengaruhi FDA dan ACIP, serta mengangkat naratif anti-Vx, berpotensi menjejaskan kesihatan awam dalam jangka panjang.

Oleh itu, penting untuk masyarakat memahami bagaimana sistem pelaporan vaksin berfungsi, mengapa data VAERS tidak boleh disalah tafsir, dan mengapa dasar vaksin mesti berasaskan bukti saintifik yang kukuh. Vaksin telah menyelamatkan berjuta-juta nyawa, dan kepercayaan terhadapnya tidak boleh digadaikan demi agenda politik atau ideologi.

Semoga apa yang berlaku ini boleh dijadikan panduan serta iktibar demi masa depan sistem kesihatan di negara kita.

Dato' Dr.Rushdan Noor
19hb Sep 2025

RUJUKAN

1. Shimabukuro TT, Nguyen M, Martin D, DeStefano F. Safety monitoring in the Vaccine Adverse Event Reporting System (VAERS). Vaccine. 2015;33(36):4398-4405. doi:10.1016/j.vaccine.2015.07.035

2. Moro PL, Woo EJ, Marquez PL, Cano M. Monitoring the safety of COVID-19 vaccines using VAERS and v-safe. Vaccine. 2022;40(40):5766-5771. doi:10.1016/j.vaccine.2022.08.021

3. Haber P, Moro PL, Lewis P, Woo EJ, Jankosky C, Cano M. Post-licensure surveillance of vaccines: role of VAERS and v-safe. Clin Ther. 2021;43(1):37-55. doi:10.1016/j.clinthera.2020.11.004

4. Institute of Medicine (US) Committee to Review Adverse Effects of Vaccines. Adverse Effects of Vaccines: Evidence and Causality. Washington (DC): National Academies Press (US); 2012.

5. Centers for Disease Control and Prevention (CDC). About the Vaccine Adverse Event Reporting System (VAERS). 

6. World Health Organization (WHO). Vaccine safety basics.

7. LiveScience. RFK’s handpicked advisers are coming for the childhood vaccine schedule. 2025. Link

8. Nature. RFK Jr’s vaccine panel sparks concerns over scientific integrity. 2025. Link

9. Reuters. US vaccine advisers resume meeting with hepatitis B, COVID votes ahead. 19 Sept 2025. Link

10. Houston Chronicle. RFK Jr. panel changes childhood vaccine guidelines. Sept 2025. Link

11. Los Angeles Times. ACIP under RFK Jr votes on MMR and Hep B changes. Sept 2025. 


No comments:

Post a Comment