Friday, 19 September 2025

PERLUKAH KITA TAKUT DENGAN “LONJAKAN GLUKOSA” (GLUCOSE SPIKE) SELEPAS MAKAN?



PERLUKAH KITA TAKUT DENGAN “LONJAKAN GLUKOSA” (GLUCOSE SPIKE) SELEPAS MAKAN?

Sejak akhir-akhir ini, ada dua pandangan berbeza tentang insulin dan glukosa darah. Ada yang kata kita mesti elak “lonjakan glukosa” selepas makan kerana ia dikaitkan dengan kerintangan insulin. Ada pula yang berpendapat ia fenomena normal, asalkan tabiat makan sihat dan tahap glukosa puasa kekal normal. Jadi, yang mana betul?

Sebenarnya, apabila kita makan, paras gula dalam darah akan meningkat seketika. Inilah yang dipanggil lonjakan glukosa. Sebagai tindak balas, pankreas mengeluarkan hormon insulin untuk membantu sel badan menyerap gula dan nutrien dari darah, hasilnya glukosa darah kembali normal. Jadi, peningkatan glukosa selepas makan dan turun kemudiannya adalah proses fisiologi normal dan tanda tubuh berfungsi dengan baik.

Masalah hanya berlaku jika glukosa dan insulin kekal tinggi sepanjang masa akibat tabiat makan tidak terkawal, terlalu banyak minuman manis, makanan ultra-proses, dan pengambilan kalori berlebihan. Keadaan ini, lama-kelamaan, boleh membawa kepada kerintangan insulin (insulin resistance) yang meningkatkan risiko obesiti, diabetes, dan penyakit jantung.

Kajian menunjukkan bahawa yang lebih penting ialah tahap insulin puasa, glukosa puasa dan bacaan glukosa 2 jam selepas makan. Jika glukosa puasa normal, ini menandakan tubuh masih sensitif terhadap insulin. Maka, kita tidak perlu takut dengan lonjakan glukosa sesekali selepas makan nasi, buah atau roti, selagi makanan itu seimbang dan tidak berlebihan.

Selain itu, berapa cepat glukosa kembali turun selepas makan juga penting. Satu lonjakan glukosa yang tinggi tetapi cepat kembali normal adalah fenomena biasa. Tetapi jika glukosa kekal tinggi lebih lama, itu petanda sensitiviti insulin mula berkurangan.

Mengelakkan karbohidrat sepenuhnya demi mengawal lonjakan glukosa bukanlah penyelesaian. Diet ekstrem seperti hanya makan daging dan mentega memang tidak menyebabkan lonjakan glukosa yang besar, tetapi boleh meningkatkan risiko lain seperti kolesterol LDL tinggi dan penyakit jantung. Maka, mengekalkan tahap glukosa yang rendah secara berterusan melalui cara sebegini tidak semestinya sihat untuk jangka panjang.

Pendekatan paling tepat ialah mengamalkan pola pemakanan seimbang: banyakkan sayur, buah, bijirin penuh, ikan, dan kekacang; hadkan gula tambahan serta makanan diproses. Cara ini mengawal lonjakan glukosa dan insulin secara semula jadi, sambil melindungi tubuh daripada penyakit kronik. Malah, beberapa kajian menunjukkan aturan makanan juga boleh membantu, contohnya mengambil sayuran dahulu, kemudian protein, dan akhirnya karbohidrat boleh memperlahankan kenaikan glukosa darah.

UJIAN DARAH INSULIN: PERLU ATAU SEKADAR GIMIK?

Dalam dunia kesihatan moden, ada pihak yang mempromosikan ujian darah tahap insulin sebagai cara menilai risiko diabetes. Namun, ujian ini tidak digunakan secara rutin dalam perubatan klinikal dan tidak disyorkan dalam Garispanduan Amalan Klinikal Diabetes Jenis 2 KKM.

Tahap insulin dalam darah sangat berubah-ubah, dipengaruhi masa makan, jenis makanan, berat badan, malah tiada nilai rujukan standard yang diterima pakai untuk diagnosis. Oleh sebab itu, penggunaannya sering dianggap kontroversial dan kadangkala dijadikan gimik untuk menjual suplemen atau program diet.

Sebaliknya, untuk mengesan pra-diabetes dan diabetes, ujian yang sahih dan diiktiraf badan kesihatan antarabangsa ialah:

1. Ujian glukosa puasa (FPG) – saringan asas yang mudah.

2. HbA1c – menunjukkan purata gula darah 2–3 bulan; sesuai untuk pemantauan.

3. Ujian toleransi glukosa oral (OGTT) – paling sensitif, digunakan sebagai ujian pengesahan.

Ketiga-tiga ujian ini mempunyai garis panduan jelas, nilai rujukan standard, dan terbukti berkesan dalam mengesan pra-diabetes serta diabetes di seluruh dunia.

KESIMPULAN

Lonjakan glukosa selepas makan adalah normal, dan fokus sebenar ialah memastikan ia tidak kekal tinggi sepanjang masa. Jadi, jangan terlalu taksub dengan diet ekstrem. Sebaliknya, amalkan tabiat makan sihat, gaya hidup aktif, dan tidur mencukupi untuk melindungi tubuh dalam jangka panjang.

Untuk menilai risiko pra-diabetes atau diabetes, gunakanlah ujian darah yang diiktiraf oleh garis panduan klinikal seperti glukosa puasa, HbA1c, dan OGTT,  bukan ujian insulin darah yang belum terbukti nilainya dalam saringan rutin.

Dato' Dr.Rushdan Noor

19hb Sep 2025

RUJUKAN

1. American Diabetes Association. Standards of Medical Care in Diabetes—2024. Diabetes Care.

2. World Health Organization (WHO). Healthy diet. 2020.

3. Ludwig DS, Ebbeling CB. The Carbohydrate-Insulin Model of Obesity: Beyond “Calories In, Calories Out.” JAMA Intern Med. 2018;178(8):1098-1103.

4. Stanhope KL. Sugar consumption, metabolic disease and obesity: The state of the controversy. Crit Rev Clin Lab Sci. 2016;53(1):52-67.

5. Schwingshackl L, Hoffmann G. Mediterranean dietary pattern, inflammation and endothelial function: A systematic review and meta-analysis. Nutr Metab Cardiovasc Dis. 2014;24(9):929–939.

6. Bonora E, Tuomilehto J. The pros and cons of diagnosing diabetes with A1C. Diabetes Care. 2011;34(S2):S184–S190.

7. Wallace TM, Levy JC, Matthews DR. Use and abuse of HOMA modeling. Diabetes Care. 2004;27(6):1487–1495. (menjelaskan keterbatasan pengukuran insulin darah dalam menilai rintangan insulin)

8. American Association of Clinical Endocrinologists (AACE). Comprehensive Type 2 Diabetes Management Algorithm – 2023.

9. CPG (6th Edition): Management of Type 2 Diabetes Mellitus. 2020

No comments:

Post a Comment