Antara hujah popular golongan pengamal perubatan alternatif ialah dakwaan bahawa semua kajian ubat2an yang digunakan oleh hospital dikawal oleh syarikat farmaseutikal besar, atau lebih dikenali sebagai “Big Pharma”. Big Pharma ini hanya utamakan keuntungan. Kononnya, ubat murah atau produk semulajadi tidak dikaji kerana tidak menguntungkan. Tetapi benarkah dakwaan ini?
Memang benar, banyak kajian fasa awal untuk menghasilkan ubat baru dibiayai oleh syarikat farmaseutikal kerana kosnya sangat tinggi, mencecah jutaan sehingga berbilion ringgit. Namun, bukan semua kajian dibiayai sepenuhnya oleh mereka. Jika mereka membiayai sekalipun, setiap kajian2 yang dijalankan perlu melalui tatacara yang betul, proses2 yang sistematik dan sebelum disiarkan, ia perlu melalui tapisan yang ketat.
BUKAN BIG PHARMA SAJA MENAJA KAJIAN
Sebenarnya, banyak kajian besar dibiayai oleh badan kerajaan seperti National Institutes of Health (NIH) di Amerika Syarikat, Medical Research Council di UK, dan Horizon Europe. Selain itu, universiti serta hospital akademik turut memainkan peranan penting, misalnya Oxford University yang mengetuai kajian RECOVERY Trial semasa pandemik COVID-19. Satu lagi contoh besar ialah Women’s Health Initiative di Amerika Syarikat yang melibatkan ratusan ribu wanita dan dibiayai kerajaan; hasil kajian tersebut mengubah rawatan hormon di seluruh dunia (JAMA 2002).Yayasan dan NGO seperti Bill & Melinda Gates Foundation serta Wellcome Trust juga banyak membiayai kajian berkaitan malaria, tuberkulosis (TB), dan vaksin untuk negara miskin.
KAWALAN KETAT SETIAP KAJIAN
Selain itu, sistem kawalan terhadap kajian perubatan moden adalah sangat ketat. Kajian tidak boleh dikawal sesuka hati oleh satu pihak kerana ia melalui banyak lapisan. Antaranya ialah proses peer review, iaitu kajian hanya diterima untuk diterbitkan di jurnal berimpak tinggi jika lulus semakan oleh pakar luar yang bebas. Hampir semua kajian klinikal juga wajib didaftarkan dalam pangkalan data antarabangsa seperti ClinicalTrialsdotgov supaya data tidak boleh “disorok”. Data2 ini pula akan disemak oleh badan pengawal selia seperti FDA, EMA, NRPA dan lain2.
Terdapat kajian berbentuk meta-analisis dan ulasan bebas seperti Cochrane Review yang menggabungkan puluhan hingga ratusan kajian dari pelbagai sumber, sama ada daripada industri mahupun bukan industri. Adalah mustahil bagi satu atau dua syarikat farmaseutikal sahaja boleh mempengaruhi keseluruhan hasil kajian. Malah, jika wujud sebarang percanggahan kepentingan, penyelidik wajib mendedahkannya secara terbuka. Kajian2 besar pula selalunya ditaja oleh banyak syarikat dan ada yang bergabung dengan akademik dan kerajaan.
BENARKAH UBAT YANG KURANG MENGUNTUNGKAN TIDAK DITAJA
Dakwaan bahawa ubat murah tidak dikaji juga tidak tepat. Banyak ubat generik dan lama terus dikaji kerana keberkesanan serta keselamatan jangka panjangnya penting untuk masyarakat. Sebagai contoh, aspirin walaupun telah digunakan secara meluas dan dijual dengan harga murah sejak puluhan tahun, masih terus menjadi subjek ribuan kajian sehingga kini. Begitu juga dengan metformin, ubat diabetes yang sangat murah tetapi masih dikaji untuk potensi rawatan kanser, penuaan dan penyakit jantung (Diabetologia 2017). Vaksin BCG yang berharga rendah juga masih giat dikaji, bukan sahaja untuk TB tetapi juga kesan imun lain termasuk terapi imun untuk kegunaan penyakit berbeza. Selain dari itu, ubat hidrochloroquine digunakan untuk penyakit malaria masih menjalani kajian untuk penyakit autoimun, ubat darah tinggi propranolol dikaji untuk rawatan kegelisahan dan pencegahan migran, ubat thalidomide dan lain2.
Berkaitan persoalan mengapa ubat murah seperti ivermectin, mebendazole atau herba belum digunakan secara meluas, hakikatnya semua ubat wajib melalui kajian praklinikal dan klinikal ke atas manusia yang kompleks sebelum boleh diluluskan. Tidak mungkin penyelidik akan menolak melakukan penyelidikan ke atas ubat2 yang berpotensi tinggi melainkan jika ubat2 itu belum memenuhi syarat untuk melepasi kajian praklinikal ataupun kajian klinikal fasa awal belum meyakinkan untuk dibawa ke peringkat yang lebih tinggi. Kajian terhadap herba juga sedang giat dijalankan, tetapi kebanyakannya masih di peringkat praklinikal.
SEJARAH HITAM SUKAR UNTUK BERULANG
Memang benar ada sejarah (contoh ubat Rofecoxib/Vioxx pada tahun 2000-2004) di mana industri farmaseutikal cuba mempengaruhi hasil kajian tetapi itu adalah cerita lama dan berjaya dikesan. Komuniti saintifik telah belajar daripada kesilapan tersebut hingga mereka membina mekanisma kawalan yang lebih ketat. Antaranya ialah kewajipan pernyataan status konflik kepentingan dalam jurnal, kewujudan kajian ulangan (replication) yang boleh menolak dapatan kajian berat sebelah, pendaftaran wajib semua kajian klinikal , kewajipan untuk melapurkan semua hasil kajian termasuk yang negatif dan penilaian ubat yang lebih ketat oleh agensi kawal selia seperti FDA, EMA dan lain2 untuk kelulusan.
PEMASARAN PRODUK RAWATAN ALTERNATIF DAN INDUSTRI WELLNESS JUGA SANGAT BESAR
Industri suplemen dan produk wellness juga dikuasai oleh syarikat gergasi dengan perbelanjaan pemasaran yang jauh lebih besar berbanding dana penyelidikan ubat moden. Nilainya kini dianggarkan mencecah USD 5.6 trilion di seluruh dunia. Menurut laporan The Edge, industri wellness ini 3-4 kali lebih besar dari industri farmaseutikal (USD 1.42 trillion). Jadi, pihak mana yang lebih besar pengaruh perniagaan? Perbezaannya, ubat moden wajib melalui kajian klinikal ketat sebelum diluluskan, manakala majoriti produk wellness dipasarkan tanpa bukti kukuh. Ironinya, ada juga produk suplemen tertentu yang ditaja untuk kajian saintifik, tetapi bilangannya kecil berbanding keluasan pasaran mereka. Maka, menuduh ubat moden sebagai alat “Big Pharma” tanpa menyedari pengaruh besar industri wellness hanyalah sikap berat sebelah yang mengelirukan masyarakat.
APA PILIHAN ANDA
Kepada pihak yang sering menjadikan “pengaruh Big Pharma” sebagai alasan, persoalan yang perlu ditanya ialah: apakah pilihan mereka? Adakah mereka sanggup memilih rawatan alternatif yang kebanyakannya tidak pernah melalui kajian klinikal, hanya bersandar pada testimoni dan andaian, dengan kandungan produk yang tidak jelas, tanpa pemantauan keselamatan selepas digunakan (post-marketing surveillance), serta tiada bukti keberkesanan dan keselamatan yang kukuh? Mempercayai doktor2 dan pakar2 yang beretika serta profesional ataupun pempengaruh media sosial dan doktor Tik Tok ?
Mempersoalkan integriti semua institusi kesihatan dalam dan luar negara seperti KKM, WHO, FDA dan lain2 hanyalah naratif kelompok yang taksub kepada teori konspirasi. Mereka adalah minoriti kecil, sedangkan majoriti pengamal perubatan moden dan masyarakat umum masih menaruh keyakinan kepada autoriti kesihatan yang sah. Kepada yang terperangkap dalam sangkaan buruk ini, keluarlah dari “circle” yang keliru ini. Selidiklah dengan lebih mendalam, berfikir dengan rasional, kerana anda sebenarnya tiada pilihan yang lebih baik daripada mempercayai badan kesihatan yang sudah terbukti kredibilitinya. Memang tidak ada organisasi dan sistem yang sempurna tetapi bijaklah memilih yang lebih baik dan berwibawa.
KESIMPULAN
Walaupun Big Pharma memainkan peranan penting dalam membiayai penyelidikan, adalah tidak benar untuk mengatakan mereka mengawal seluruh sains perubatan. Banyak kajian berimpak tinggi sebenarnya ditaja oleh kerajaan, universiti dan yayasan bebas. Dengan adanya sistem semakan terbuka, pendaftaran kajian, serta analisis bebas, bukti saintifik tidak mudah dimanipulasi. Kajian terhadap ubat murah juga tetap berjalan, dan ubat ini tetap akan digunakan selagi terbukti berkesan dan selamat. Isunya bukan konspirasi, tetapi proses sains yang ketat demi melindungi pesakit.
Dato' Dr. Rushdan Noor
26hb Ogos 2025
Rujukan Ringkas
1. The RECOVERY Collaborative Group. NEJM. 2021;384:693–704.
2. Rossouw JE, et al. JAMA. 2002;288(3):321–333.
3. Campbell JM, et al. Diabetologia. 2017;60(3):443–451.


No comments:
Post a Comment