Istilah “makanan anti-keradangan ("anti-inflammatory")” kini semakin popular dan sering dipasarkan seolah-olah mampu menjadi penawar kepada semua penyakit. Hakikatnya, makanan seperti sayur, buah, ikan, minyak zaitun, kacang, bijirin, serta rempah seperti kunyit dan halia memang mengandungi komponen anti-keradangan, tetapi ia perlu difahami dalam konteks yang betul.
KERADANGAN DAN PENYAKIT KRONIK
Keradangan kronik tahap rendah dikaitkan dengan penyakit jantung, diabetes, kanser dan Alzheimer. Namun, ia bukanlah satu-satunya punca. Faktor genetik, gaya hidup tidak sihat, obesiti, penuaan, jangkitan, pencemaran, kurang tidur dan stres turut memainkan peranan. Penyakit kronik terjadi melalui interaksi pelbagai faktor yang kompleks, bukan hanya kerana keradangan semata-mata.Jangan lupa, tidak kurang juga penyakit2 yang tidak diketahui punca sebenar dan masih terlibat di dalam penyelidikan. Pendek kata mencegah dan merawat keradangan bukan jawapan untuk semua penyakit kronik.
PERANAN DIET SEIMBANG
Pola diet sihat seperti Mediterranean dan DASH digabungkan dengan gaya hidup sihat terbukti menurunkan risiko penyakit jantung dan angin ahmar (strok). Banyak makanan dalam diet ini mempunyai ciri anti-keradangan semula jadi. Dengan kata lain, diet seimbang yang disyorkan oleh pakar pemakanan sememangnya sudah mengandungi elemen pencegahan keradangan.
SALAH FAHAM DAN EKSPLOITASI
Masalah timbul apabila konsep ini dijadikan bahan komersial. Ujian darah “keradangan” dipromosikan untuk menentukan dos suplemen atau program diet anti-keradangan kononnya, walhal ia tidak disokong bukti saintifik. Suplemen seperti kapsul kunyit, teh hijau, minyak ikan dan lain2 dipasarkan sebagai “rawatan”, sedangkan dalam perubatan moden, suplemen hanya digunakan dalam keadaan khusus untuk menampung kekurangan, contohnya asid folik untuk ibu hamil, vitamin B12 untuk vegan, atau vitamin D bagi golongan berisiko.
KEDUDUKAN SEBENAR SUPLEMEN
Suplemen bukan ubat atau mana-mana intervensi klinikal untuk merawat penyakit. Kelulusan dari KKM bukan untuk tujuan merawat penyakit. Kebanyakannya tidak melalui kajian klinikal besar dan tiada kelulusan untuk rawatan. Jika untuk tujuan pencegahan penyakit, makanan sebenar lebih bermanfaat kerana mengandungi serat, nutrien dan pelbagai fitokimia yang berinteraksi secara sinergi, berbeza dengan pil atau kapsul suplemen yang hanya mengasingkan satu atau dua bahan aktif.
INGAT....
Makanan = pencegahan
Suplemen = tambahan bila perlu (contoh ibu hamil perlukan asid folik)
Ubat (dan lain2 intervensi perubatan)= rawatan sebenar bila sakit
Jangan terpengaruh dengan pengamal yang syorkan anda ambil suplemen dan tinggalkan ubat untuk merawat penyakit. Kemudian mereka syorkan macam2 ujian yang kontroversi. Nak mudah faham saya beri analogi mudah, ubat itu ibarat air yang menghilangkan dahaga, manakala suplemen hanyalah perasa yang menyedap rasa. Kalau nak hilangkan dahaga, anda perlu minum air walaupun tanpa perasa. Mengambil perasa sahaja tanpa air tidak akan menghilangkan dahaga, malahan boleh membahayakan kesihatan.
Mungkin ada pengguna yang mendakwa penyakit mereka terkawal dengan suplemen. Berhati2 dengan dakwaan ini kerana jika "suplemen" itu "berkesan", kemungkinan disebabkan oleh program diet yang disertakan ataupun ujud campur-palsu dengan ubat2 yang digunakan untuk merawat penyakit kronik. KKM seringkali menemui produk kesihatan kategori suplemen atau ubat tradisional yang dicampur-palsu dengan ubat diabetes seperti metformin dan steroid.
KESIMPULAN
Perubatan moden tidak menolak kewujudan makanan anti-keradangan, tetapi peranannya adalah untuk pencegahan, bukan rawatan. Ubat moden dan lain2 bentuk intervensi klinikal tetap menjadi rawatan utama apabila penyakit telah berlaku. Istilah “anti-keradangan” lebih banyak digunakan untuk tujuan pemasaran, sedangkan kunci sebenar ialah diet seimbang dan gaya hidup sihat. Menjual konsep ini dalam bentuk pil, kapsul, minyak atau ujian darah untuk orang sihat lebih kepada satu bentuk pemasaran demi keuntungan, bukan sains.
Dato' Dr.Rushdan Noor
20hb Sep 2025
RUJUKAN
1. Estruch R, Ros E, Salas-Salvadó J, et al. Primary Prevention of Cardiovascular Disease with a Mediterranean Diet. N Engl J Med. 2013;368:1279–1290.
2. Chrysohoou C, Panagiotakos DB, Pitsavos C, et al. Adherence to the Mediterranean diet attenuates inflammation and coagulation process in healthy adults: The ATTICA Study. J Am Coll Cardiol. 2004;44(1):152–158.
3. Sacks FM, Svetkey LP, Vollmer WM, et al. Effects on blood pressure of reduced dietary sodium and the DASH diet. N Engl J Med. 2001;344:3–10.
4. National Institutes of Health (NIH). Antioxidant supplements and disease prevention: randomized trials fail to confirm benefits. Office of Dietary Supplements, 2021.
5. World Health Organization (WHO). Healthy diet. Fact sheet. Updated 2020.
6. Hu FB, Willett WC. Dietary patterns and risk of chronic disease. Curr Opin Lipidol. 2002;13(1):3–9. doi:10.1097/00041433-200202000-00002
No comments:
Post a Comment