Ramai antara kita memulakan hari dengan secawan kopi. Secara umumnya, kopi terbahagi kepada dua jenis iaitu kopi biasa yang mengandungi kafein dan kopi tanpa kafein yang dikenali sebagai decaf coffee. Secawan kopi biasa (240 ml/8 oz) lazimnya mengandungi sekitar 70–140 mg kafein, bergantung kepada jenis biji kopi dan cara penyediaannya. Sebaliknya, kopi decaf melalui proses nyahkafein sehingga kandungan kafeinnya turun kepada hanya sekitar 2–5 mg setiap cawan. Rasanya hampir sama dengan kopi biasa tetapi tidak memberikan kesan “kick” yang ketara.
Selain perbezaan kandungan kafein, kopi juga dibezakan berdasarkan tahap roast atau panggang bijinya.
Light roast berwarna coklat muda dengan rasa lebih masam-manis (asidik) dan mengekalkan banyak ciri asal biji kopi.
Medium roast pula seimbang, tidak terlalu masam, tidak terlalu pahit, dan inilah kategori paling popular (contoh dalam gambar yang dikepilkan)
Dark roast berwarna coklat gelap hingga hitam dengan rasa lebih pahit, berasap, dan “bold”.Justeru, apabila disebut “decaf coffee medium roast”, maksudnya ialah kopi tanpa kafein yang dipanggang sederhana untuk memberikan rasa yang seimbang. Tahap roast ini tidak banyak mengubah kandungan kafein, cuma light roast kadang-kadang terasa lebih kuat kerana bijinya lebih padat berbanding dark roast.
Kopi berkafein mempunyai kebaikan tersendiri. Ia membantu mengurangkan rasa mengantuk, meningkatkan prestasi mental dan fizikal, serta membekalkan antioksidan yang baik untuk kesihatan. Namun, pengambilan berlebihan boleh membawa mudarat. Antara kesannya ialah gangguan tidur, debaran jantung, kegelisahan, masalah asid perut, dan ketagihan sehingga menimbulkan sakit kepala atau letih apabila kafein dihentikan secara mendadak.
Dalam keadaan tertentu, kopi decaf menjadi pilihan yang lebih sesuai. Individu yang sensitif terhadap kafein, mengalami insomnia (gangguan tidur), mempunyai masalah jantung, tekanan darah tinggi atau mereka yang ingin mengurangkan pengambilan kafein masih boleh menikmati rasa kopi melalui decaf tanpa bimbang kesan sampingan yang kuat. Ia juga sesuai diminum pada waktu malam bagi mereka yang tidak mahu tidur terganggu.
Kesimpulannya, sama ada memilih kopi biasa atau decaf bergantung kepada keperluan dan keadaan tubuh masing-masing. Kopi berkafein memberikan tenaga dan manfaat jika diminum dalam jumlah sederhana, manakala kopi decaf memberi ruang kepada pencinta kopi untuk terus menikmati aromanya tanpa risaukan gangguan kafein. Kunci utamanya ialah kesederhanaan, kerana yang berlebihan boleh membawa mudarat, manakala yang seimbang akan membawa manfaat.
Yang berminat untuk baca lebih lanjut tentang manafaat dan mudarat minum kopi, boleh baca di blog saya di sini
Dato' Dr Rushdan Noor
9hb Sep 2025
RUJUKAN
1. Mayo Clinic. Caffeine content for coffee, tea, soda and more.
https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/nutrition-and-healthy-eating/in-depth/caffeine/art-20049372
2. U.S. Food & Drug Administration (FDA). Spilling the Beans: How Much Caffeine is Too Much?
https://www.fda.gov/consumers/consumer-updates/spilling-beans-how-much-caffeine-too-much
3. National Coffee Association USA. Roasting Coffee.
https://www.ncausa.org/About-Coffee/Coffee-Roasts-Guide
4. Harvard T.H. Chan School of Public Health. Coffee and Health.
https://www.hsph.harvard.edu/nutritionsource/food-features/coffee/
5. National Center for Biotechnology Information (NCBI). Caffeine Content of Brewed Coffees.
https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/30186540/
No comments:
Post a Comment