Thursday 31 December 2020

10 SEBAB MENGAPA VAKSIN COVID-19 DIHASILKAN DENGAN CEPAT


Tidak dapat dinafikan proses penghasilan vaksin Covid-19 mengejutkan ramai orang kerana hanya memakan masa 11 bulan, sedangkan vaksin-vaksin lain perlu melalui tempoh yang panjang sehingga bertahun-tahun. Tempoh yang panjang ini disebabkan oleh lamanya proses menghasilkan vaksin dan juga tempoh masa menjalani kajian klinikal yang terdiri dari peringkat praklinikal dan peringkat klinikal fasa 1, 2 dan 3. Perbelanjaan untuk mengendalikan setiap kajian klinikal ini pula sangat besar dan selalunya peruntukan yang diberikan adalah untuk satu fasa, penyelidik perlu memohon peruntukan tambanan untuk menjalani fasa seterusnya. Itu belum lagi mengambil kira faktor kesukaran mendapatkan peserta kajian klinikal dan proses kelulusan.

Penghasilan vaksin Covid-19 nampaknya begitu cepat dan ini menggusarkan sesetengah pihak terutama golongan yang tidak arif dan ragu-ragu dengan vaksin. Terdapat sekurang-kurangnya 10 sebab mengapa vaksin Covid-19 ini dihasilkan pada kadar yang cepat.

1. Persediaan awal dan teknologi yang canggih. Pandemik Covid-19 ini telah diramalkan semenjak bertahun-tahun yang lalu walaupun pada ketika itu ahli sains tidak tahu apakah jenis virus yang akan menyerang manusia. Jadi pihak-pihak yang bertanggungjawab di dalam melaksanakan projek penghasilan vaksin ini telah pun bersedia daripada segi kepakaran, infrastuktur dan juga teknologi. Teknologi yang lebih canggih telah mampu untuk memberi maklumat yang tepat tentang virus dan juga kaedah-kaedah bagaimana vaksin dapat dihasilkan. Kejuruteraan genetik telah berkembang pesat dan menjadi semakin baik dan ini membantu mempercepatkan proses penghasilan vaksin. Teknologi menggunakan mRNA untuk menghasilkan vaksin sudah wujud berpuluh tahun yang lalu. Ianya dikaji ke atas penyakit influenza, Zika, Rabies dan jangkitan CMV. Syarikat seperti BioNtech, Moderna dan Universiti Oxford sudah menggunakan teknologi ini untuk mengenalpasti organisma dan juga kod genetiknya semenjak bertahun2 yang lalu. Teknik menggunakan mRNA pula lebih cepat berbanding dengan kaedah penghasilan vaksin sebelum ini. Baca tentang vaksin mRNA di pautan bawah:

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10217836215084900&id=1468333443

2. Punca pandemik Covid-19 ini iaitu virus SARS-CoV 2 dikenalpasti secara terperinci pada kadar yang sangat cepat oleh Profesor Yong Zhen Zhang dari Universiti Fudan, Shanghai, China. Pasukan Profesor ini berjaya mengesan maklumat genetik dan antigen yang ada dalam virus ini secara tepat. Ini memberi anjakan yang berkesan untuk memulakan proses penghasilan vaksin apabila maklumat ini dikongsikan dengan saintis2 yang lain.

3. Faktor peruntukan kewangan adalah salah satu punca mengapa proses penghasilan vaksin Covid-19 ini begitu cepat. Agensi-agensi yang bertanggungjawab telah bersedia memberi peruntukan wang yang mencukupi pada kadar yang cepat. Ini berbeza dengan penghasilan vaksin pada masa lampau kerana faktor peruntukan yang tersekat2 lah menyebabkan kajian klinikal tidak dapat berjalan dengan lancar. 

4. Proses memulakan kajian klinikal daripada peringkat cadangan/proposal kajian dan kelulusan jawatankuasa etika berjalan dengan cepat kerana kerja sama yang erat semua pihak dengan mengurangkan birokrasi dan juga kewujudan kakitangan penyelidik yang lebih ramai bekerja kuat  24 jam sehari. Setiap individu yang terlibat bekerja lebih kuat daripada biasa dengan niat untuk mempercepatkan proses kelulusan. 

5. Kajian klinikal pula berjalan cepat serentak di beberapa pusat penyelidikan. Penyelidik tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan pusat-pusat penyelidikan yang sanggup berkoleberasi. Selalunya inilah salah satu masalah penyelidik di mana masa dihabiskan untuk mengenalpasti pusat-pusat penyelidikan yang layak dan mahu menjalankan kajian.

6. Pengumpulan data berjalan dengan pantas dan tepat kerana penggunaan data elektronik. Penyelidik sudah membina pengkalan2 data dan teknik2 pengumpulan data berelektronik semenjak bertahun-tahun yang lalu dan ini dapat digunakan terus. Pengumpulan data secara elektronik ini bukan sahaja cepat tetapi juga tepat kerana tidak banyak bergantung kepada manusia. Kesilapan data juga dapat diatasi.

7. Kajian klinikal vaksin Covid-19 ini menarik ramai orang untuk menyertainya dalam masa yang singkat. Ini disebabkan oleh kemudahan alat komunikasi dan media masa yang canggih. Maklumat dapat diperolehi dengan cepat dan dapat disampaikan dengan betul kepada orang ramai. Di sebabkan oleh sikap perihatin untuk melawan pandemik Covid-19 ini, ramai yang tampil ke hadapan secara sukarela untuk menyertai kajian klinikal. Dalam masa 3-4 bulan sahaja 2 kajian klinikal vaksin Covid-19 oleh Pfizer dan Moderna berjaya menarik lebih 70,000 peserta. Selalunya faktor mendapatkan peserta ini adalah punca yang melambatkan proses kajian klinikal yang kadangkala memakan mada berbulan-bulan.

8. Keputusan kajian klinikal vaksin Covid-19 dapat diperolehi dalam masa yang singkat.Bilangan peserta yang banyak dalam masa yang singkat dibantu pula oleh pandemik Covid-19 yang masih berlaku secara gelombang ini membantu penyelidik untuk mempercepatkan proses mendapat keputusan hasil kajian klinikal. Bayangkan jika kajian ini dilakukan pada ketika pandemic Covid-19 sudah reda dan kes sudah berkurangan, maka kajian perbandingan akan sukar dilaksanakan dan akan memakan masa yang panjang bagi memperolehi keputusan.

9. Vaksin Covid-19 yang dihasilkan dari teknologi mRNA menunjukkan keberkesanan yang tinggi yakni melebihi 95%. Vaksin yang sangat berkesan ini lebih mudah untuk dibuktikan berbanding dengan vaksin yang kurang keberkesanannya. Vaksin yang kurang berkesan memerlukan sampel yang lebih besar dan analisa yang lebih panjang. Kebetulan vaksin Covid-19 ini sangat berkesan dan ini menyebabkan keputusan kajian klinikal dapat diperolehi dengan lebih cepat.

10. Bekalan vaksin Covid-19 tidak putus untuk kajian ini kerana syarikat pengeluar menghasilkan vaksin dalam kuantiti yang tinggi tidak seperti lazimnya kerana risiko kerugian besar. Di dalam kajian klinikal Vaksin Covid-19 ini syarikat pengeluar mengambil risiko kerugian dengan menghasilkan cukup vaksin Covid-19 bagi menjalankan kajian klinikal, jadi kajian ini berjalan dengan lancar tanpa masalah bekalan vaksin.

Terdapat beberapa lagi sebab mengapa penghasilan vaksin Covid-19 ini berlaku dalam masa yang singkat tetapi 10 alasan di atas adalah yang utama dan memberi impak yang besar di dalam menentukan jangkamasa vaksin Covid-19 diluluskan untuk kegunaan orang awam. Walaupun masanya singkat namun tidak berlaku jalan pintas melanggar protokol dan juga disiplin kajian klinikal, jadi kualiti hasil kajian klinikal ini tidak terjejas. Umpama kapalterbang dengan kereta, kapalterbang lebih laju dan cepat sampai ke destinasi dan pada waktu yang sama ianya juga berkesan dan selamat. Vaksin-vaksin ini tetap melalui semua fasa kajian klinikal dari peringkat praklinikal di dalam makmal hingga kajian klinikal fasa 1,2 dan 3. Keberkesanan dan keselamatan vaksin ini juga dinilai oleh pakar-pakar yang tidak berkepentingan di dalam FDA. 

Adaptasi daripada tulisan Profesor Dr. Adam Finn, Bristol Children’s Vaccine Centre, Univesity of Bristol. 


Dato' Dr. Rushdan Noor

28hb Disember 2020


https://www.cdc.gov/coronavirus/2019-ncov/vaccines/different-vaccines/Moderna.html

https://www.cdc.gov/vaccines/covid-19/info-by-product/moderna/index.html

https://www.fda.gov/emergency-preparedness-and-response/coronavirus-disease-2019-covid-19/pfizer-biontech-covid-19-vaccine

https://www.cdc.gov/coronavirus/2019-ncov/vaccines/different-vaccines/Pfizer-BioNTech.html

https://www.cdc.gov/coronavirus/2019-ncov/vaccines/different-vaccines/Moderna.html

https://www.statnews.com/2020/12/19/a-side-by-side-comparison-of-the-pfizer-biontech-and-moderna-vaccines/

https://www.nih.gov/news-events/news-releases/promising-interim-results-clinical-trial-nih-moderna-covid-19-vaccine

https://www.pfizer.com/news/press-release/press-release-detail/pfizer-and-biontech-conclude-phase-3-study-covid-19-vaccine

BENARKAH BEBAN COVID-19 LEBIH RINGAN DARI SAKIT JANTUNG, ANGIN AHMAR, KANSER DAN LAIN-LAIN PENYAKIT BERJANGKIT

Tulisan ini adalah pendapat peribadi saya terhadap beberapa tulisan dan video yang cuba meringan2kan pandemik Covid-19 dengan membuat perbandingan dengan penyakit2 lain yang sedia ada. Mereka menganggap pihak autoriti kesihatan terlepas pandang dan memberi tumpuan secara melampau terhadap pandemik Covid-19. Bukan bertujuan menafikan kepentingan penyakit2 lain yang menyebabkan kematian dan masalah kesihatan,  tetapi untuk menegaskan betapa pentingnya ancaman Covid-19 diletakkan pada kedudukan yang betul.

Membuat perbandingan kadar kematian antara Covid-19 dengan penyebab2 kematian yang lain seperti sakit jantung, angin ahmar, kanser, kemalangan jalan raya dan lain2 punca kematian adalah kurang tepat jika ianya dijadikan hujah untuk menafikan beban besar yang dibawa oleh Covid-19. Ianya juga akan menyebabkan kekeliruan terhadap orang awam sehingga mengubah sikap mereka terhadap amalan pencegahan Covid-19 dan bersangka buruk terhadap autoriti kesihatan. Ada beberapa sebab mengapa saya katakan begitu:

1. Penyakit2 yang sedia ada sudah lama wujud dan sudah ada kaedah pencegahan serta rawatan yang berkesan. Covid-19 adalah penyakit berjangkit yang baru dan belum ada rawatan yang berkesan. Mengatakan Covid-19 tidak jauh bezanya dengan Influenza adalah tidak benar sama sekali kerana Covid-19 menyebabkan bilangan kematian yang jauh lebih tinggi seperti yang tertera di dalam geraf di bawah. Tambahan pula Influenza mempunyai vaksin dan rawatan yang berkesan.  Sukar untuk meramalkan apakah yang akan dilakukan oleh virus Covid-19 di masa hadapan.


2. Kadar peningkatan kes-kes penyakit yang lain itu tidak besar dan perlahan dari tahun ke tahun, jika ada peningkatan sekalipun ianya tidak mendadak. Covid-19 adalah penyakit berjangkit yang jika tidak dikawal dengan betul, ia boleh merebak dan peningkatan bilangan kes boleh naik mendadak dan berganda dalam masa yang singkat. WHO sendiri yang menegaskan perkara ini. Kaedah jangkitan virus melalui droplet dan pergerakan manusia menyebabkan Covid-19 boleh tersebar dengan cepat dan boleh merentas negeri, negara dan benua. 

3. Covid-19 boleh menyerang sesiapa sahaja termasuk individu2 yang sihat dan tidak ada risiko kesihatan. Walaupun orang yang berusia dan mengidap penyakit kronik lebih tinggi risiko untuk mendapat komplikasi serius dan kematian, namun bukan bermaksud orang yang lebih muda dan sihat tidak mengalami kerosakan organ dan kematian. Hari ini mereka sihat walafiat, bila dapat jangkitan besok atau lusa boleh jatuh sakit teruk dan mati. Keupayaan virus ini untuk bermutasi dan menjadi strain yang lebih ganas juga boleh berlaku. Geraf di bawah menunjukkan bagaimana sasaran serangan Covid-19 berubah dari golongan berusia lebih 80 tahun kepada golongan yang lebih muda  iaitu 18-24 tahun di hujung tahun 2020.


4. Apabila Covid-19 menyerang petugas perubatan, pekerja kilang, pelajar institusi dan lain-lain sektor, ia boleh melumpuhkan sebuah institusi atau sektor itu dan memberi kesan yang sangat besar ke atas fungsi mereka. Penyakit2 tidak berjangkit, kanser dan kemalangan jalanraya tidak menyebabkan kesan yang sama.

5. Akibat dari faktor ke 4 di atas, kesan jangkitan Covid-19 bukan sahaja kepada mangsa tetapi juga kepada pihak lain. Jika serangan Covid-19 berlaku ke atas petugas perubatan, ia boleh menjejaskan perkhidmatan perubatan dan kesihatan yang kemudian akan menjejaskan rawatan ke atas penyakit2 lain. Kualiti rawatan penyakit jantung, kanser dan lain2 akan terjejas kerana faktor ini. Sesebuah hospital boleh lumpuh. Begitu juga jika ia menyerang pekerja kilang, bank, institusi pengajian, pusat pelancungan dan lain-lain tempat. Perkara ini tidak dilakukan oleh penyakit2 yang lain.

6. Di setengah negara seperti di Eropah dan Amerika, Covid-19 telah menjadi punca kematian utama dan memberi kesan yang besar. Cuba perhatikan geraf yang dikepilkan di bawah. Walau bagaimanapun negara mereka kaya dan mempunyai sistem perkhidmatan kesihatan yang cekap untuk menanganinya.  Bayangkan jika ini berlaku di negara2 mundur dan miskin. Di negara2 lain pula, bilangan kematian Covid-19 meningkat dan dikatakan angka sebenar kes kematian Covid-19 adalah lebih tinggi kerana "under reporting" dan perlapuran yang lambat. Walaupun bilangan kematian Covid-19 di negara2 lain nampak lebih rendah, ia boleh naik mendadak di masa hadapan jika pandemik Covid-19 ini tidak ditangani dengan baik. 




7. Kesan jangkitan Covid-19 adalah melibatkan banyak organ badan dan memerlukan perkhidmatan banyak jenis kepakaran bukan setakat pakar penyakit berjangkit. Ia juga menyebabkan beban tugas ke atas kakitangan kesihatan di lapangan untuk melakukan pengesanan kontak. Kes-kes serius perlu dirawat di ICU dan akan menafikan penggunaan ICU untuk rawatan2 kes yang lain. Rawatan Covid-19 pula memerlukan perawat memakai pakaian khas yang mahal bagi mencegah diri mereka dijangkiti. Ini tidak berlaku dengan penyakit2 lain yang saya sebutkan di atas.

8. Penyakit berjangkit sangat sukar diramal, apatah lagi jangkitan baru seperti Covid-19. Ia boleh wujud dalam bentuk gelombang di mana kemuncak gelombang itu boleh menjadi sangat tinggi. Jadi ia bersifat dinamik di mana jarak masa di antara satu gelombang dengan yang lain boleh berlaku dalam masa yang singkat. Ia juga boleh turun pada paras rendah. Jadi ini berbeza dengan penyakit bukan berjangkit (NCD) seperti sakit jantung, angin ahmar, kanser dan lain2. Maka membandingkan kedua2nya pada satu titik masa tidak akan dapat memberi gambaran yang tepat tentang beban Covid-19 kerana pada masa tersebut gelombang jangkitan mungkin sudah reda ataupun belum bermula. Contoh gelombang Covid-19 di Malaysia, gelombang pertama merekodkan hanya 22 kes, gelombang ke-2, kes melonjak kepada 10,145 dan gelombang ke-3 pula 102,843 kes. Jarak antara gelombang kedua dan ketiga hanya beberapa hari sahaja.


Gelombang Covid-19 di Malaysia


Berdasarkan kepada 8 alasan di atas, mendakwa pandemik Covid-19 ini bukan ancaman yang serius berbanding dengan punca-punca kematian yang lain seperti sakit jantung, angin ahmar, kanser, kemalangan jalanraya dan lain2 penyakit berjangkit yang lain adalah kenyataan yang tidak tepat dan boleh mengelirukan orang ramai. Mengambil ringan pandemik Covid-19 akan menyebabkan kesan domino sehingga lain2 aspek kehidupan manusia seperti sosial, rekreasional, spiritual, kesihatan dan ekonomi terjejas teruk ataupun mungkin runtuh. Covid-19 juga menyebabkan terjejasnya kualiti perkhidmatan kesihatan terhadap lain-lain masalah kesihatan. Selagi tidak ada pengaruh dari pihak-pihak yang berkepentingan, percayalah kepada kebijaksanaan autoriti kesihatan kita dalam membuat keputusan kerana mereka bertindak berdasarkan maklumat yang tepat dan pandangan pakar-pakar yang berwibawa.


Dato' Dr.Rushdan Noor

1hb Jan 2021


https://www.google.com/amp/s/newseu.cgtn.com/news/2020-09-26/How-lethal-is-COVID-19-compared-to-cancer-flu-and-other-death-causes--U4LJxzQlA4/share_amp.html

https://www.google.com/amp/s/www.bbc.com/news/amp/health-55216047

https://www.nejm.org/doi/full/10.1056/NEJMra2035343

https://jamanetwork.com/journals/jama/fullarticle/2774465

https://www.weforum.org/agenda/2020/09/covid-19-deaths-global-killers-comparison/

https://www.nejm.org/doi/full/10.1056/NEJMoa2035389

Monday 28 December 2020

VAKSIN mRNA COVID-19 : APA YANG ORANG AWAM PERLU TAHU

 


Vaksin mRNA adalah sejenis vaksin yang dihasilkan melalui proses yang agak berbeza daripada vaksin-vaksin yang lain. Vaksin-vaksin sebelum ini menggunakan organisma yang dimatikan, dinyahaktif ataupun menggunakan sebahagian daripada protein yang terdapat di dalam organism itu. Ini akan meransang sistem imun untuk kenal dan menyimpan memori tentang organisma tersebut. Apabila serangan organisma yang sama berlaku kemudiannya, sistem imun akan menyerang dan memusnahkan organisma tersebut. Vaksin mRNA Covid-19 ini boleh dianggap sejenis vaksin yang agak baru diperkenalkan di dalam mencegah jangkitan penyakit, walau bagaimanapun prinsip asasnya adalah sama. Dalam konteks vaksin mRNA ini, "baru" bukan bermaksud muda dan pramatang, tetapi baru bermaksud ianya lebih canggih dan berkesan.

mRNA adalah singkatan kepada Messenger RNA, mRNA adalah molekul yang penting di dalam penghasilan protein oleh sel-sel. Ia membawa salinan kod genetik yang akan menghasilkan sesuatu protein. Kod genetik ini ditiru daripada DNA. Proses penghasilan protein berlaku di dalam sitoplasma dan berbeza dengan DNA, mRNA yang telah menjalankan tanggungjawabnya akan dihadamkan dan dinyahkan dari sel dalam masa singkat. Salah satu protein yang penting pada virus Covid-19 adalah “spike protein” ataupun Protein S yang bertanggungjawab melekatkan virus kepada sel paru-paru. Protein S juga adalah protein yang akan meransang sistem imun seseorang. Ahli sains sudah mengetahui kod genetik untuk protein S dan mereka berjaya menghasilkan mRNA yang mempunyai salinan kod genetik protein S. 




Apabila vaksin yang mengandungi mRNA ini disuntikan pada otot bahu seseorang, ia akan memasuki sel dan sel otot tersebut akan menghasilkan protein S. Selepas protein S terhasil, mRNA akan dihadamkan. mRNA tidak akan memberi apa-apa kesan kepada sel. Protein S yang terhasil ini akan dipersembahkan pada permukaan sel tersebut supaya sistem imun dapat mengesan dan mengenalinya. Jika virus Covid-19 menjangkiti orang ini, sistem imunnya sudah mengenali virus ini dan ransangan sistem imun akan berlaku. Sistem imun yang diransang ini akan menyerang dan menghapuskan virus Covid-19, maka jangkitan dapat dicegah. Jika serangan virus dapat masuk ke dalam tubuh, penerima vaksin lebih berupaya untuk melawan dan gejala yang dialami lebih ringan.



Vaksin yang berasaskan mRNA ini sebenarnya bukanlah baru kerana ianya sudah dikaji semenjak 30 tahun yang lalu, malahan sudah dikaji untuk kegunaan ke atas influenza, Zika dan jangkitan CMV. Jadi platform dan teknologi untuk menghasilkannya sudah sedia ada untuk digunakan ke atas Covid-19 dan juga lain-lain jenis jangkitan di masa hadapan. mRNA juga digunakan di dalam kajian rawatan kanser. Secara relatifnya lebih mudah untuk menghasilkan mRNA di dalam makmal walaupun dalam kuantiti yang banyak. Berbeza dengan vaksin yang diperbuat daripada virus dan protein, mRNA adalah molekul yang lebih ringkas, maka penghasilan vaksin melalui mRNA adalah lebih mudah dan cepat. Cuma satu saja kelemahan vaksin mRNA iaitu ianya tidak stabil dan memerlukan pelindung yang boleh menghalangnya dari termusnah. Untuk menghalang sistem imun mengenalinya, ia disimpan di dalam kelonsong lemak bersaiz nano ("fatty nanoparticle"). 



Sekurang2nya dua syarikat besar dan berpengalaman menghasilkan vaksin Covid-19 yang berasaskan mRNA adalah Moderna (mRNA 1273)  dan Pfizer-Biontech (BNT162b2). Kedua-dua vaksin ini diberi dalam dua suntikan, vaksin moderna (100 ug/dos) dalam masa 28 hari manakala vaksin Pfizer (30 ug/dos) dalam masa 21 hari. Setakat ini keberkesanan vaksin moderna adalah 94.5%, manakala vaksin Pfizer 95%. Vaksin mRNA Pfizer perlu disimpan pada suhu yang rendah iaitu -70 darjah Celsius, jika dibiarkan dalam suhu peti ais biasa, ia akan termusnah dalam masa 5 hari. Moderna mendakwa vaksin mereka lebih tahan dan boleh disimpan di dalam suhu yang lebih tinggi. Vaksin Pfizer telah mendapat kelulusan terlebih dahulu untuk digunakan ke atas orang awam.  

Vaksin-vaksin ini telah melalui kajian klinikal berkualiti tinggi (double blind placebo controlled trial) dari kajian praklinikal di dalam makmal, kajian klinikal fasa 1, 2 dan 3. Berdasarkan penilaian badan berautoriti dari FDA, kedua-dua vaksin ini juga didapati sangat selamat digunakan, dimana kesan sampingannya kebanyakannya ringan dan singkat, hanya 2-3% sahaja mengalami gejala yang sedikit berat (mengganggu tugas harian) seperti sakit kepala dan letih. Kesemua gejala2 ini bersifat sementara. Kesan sampingan ini memang dijangkakan dan ianya sepatutnya dianggap petunjuk kepada reaksi tubuh yang normal terhadap suntikan vaksin. Peserta di dalam kajian fasa 3 vaksin Pfizer (BNT162b2) ini berjumlah lebih 40,000 orang, manakala Moderna (mRNA-1273) pula lebih 30,000 peserta (dalam masa 3 bulan). Walaupun terdapat kematian seramai 6 orang, kesemuanya bukan disebabkan oleh vaksin. Malahan 4 orang daripadanya adalah kumpulan yang tidak menerima vaksin (plasebo). Kejadian Bell's palsy juga dikesan tetapi ianya juga secara kebetulan dan tidak disebabkan oleh vaksin. Pada 11hb Disember 2020, FDA telah memberi kebenaran secara kecemasan kepada syarikat Pfizer-BioNTech untuk mengedarkan vaksin Covid-19 bagi kegunaan mencegah jangkitan Covid-19 ke atas individu berusia 16 tahun ke atas.


Kandungan vaksin mRNA

KESIMPULAN

Kesimpulannya vaksin mRNA Covid-19 tidak mengandungi virus ataupun sebahagian dari komponen virus Covid-19 sepertimana vaksin2 lain. Sebaliknya vaksin ini mengandungi molekul mRNA yang membawa kod genetik protein S. mRNA yang disuntik kepada penerima vaksin akan menjalankan tugas menghasilkan protein S melalui proses yang dinamakan translasi di "kilang" protein dikenali sebagai ribosom. Selepas selesai menjalankan tugas mRNA ini akan dimusnahkan tanpa memberi kesan ke atas sel. Ia tidak akan masuk ke dalam nukleus dan mengganggu DNA seperti mana tuduhan golongan antivaksin. Vaksin Covid-19 yang berasaskan mRNA ini telah didapati sangat berkesan mencegah jangkitan Covid-19 pada kadar 94-95% keberkesanan.  Teknologi menggunakan mRNA untuk menghasilkan vaksin mempunyai masa depan yang sangat cerah kerana melalui teknologi ini beberapa jenis protein dapat dihasilkan melalui satu suntikan mRNA dan ini dapat menangani jangkitan ataupun penyakit yang disebabkan oleh lebih daripada satu punca, sekaligus.


Dato' Dr Rushdan Noor

29hb Disember 2020







https://www.cdc.gov/coronavirus/2019-ncov/vaccines/different-vaccines/Moderna.html

https://www.cdc.gov/vaccines/covid-19/info-by-product/moderna/index.html

https://www.fda.gov/emergency-preparedness-and-response/coronavirus-disease-2019-covid-19/pfizer-biontech-covid-19-vaccine

https://www.cdc.gov/coronavirus/2019-ncov/vaccines/different-vaccines/Pfizer-BioNTech.html

https://www.cdc.gov/coronavirus/2019-ncov/vaccines/different-vaccines/Moderna.html


https://www.statnews.com/2020/12/19/a-side-by-side-comparison-of-the-pfizer-biontech-and-moderna-vaccines/


https://www.nih.gov/news-events/news-releases/promising-interim-results-clinical-trial-nih-moderna-covid-19-vaccine


https://www.pfizer.com/news/press-release/press-release-detail/pfizer-and-biontech-conclude-phase-3-study-covid-19-vaccine

Sunday 27 December 2020

MISI MENGAMBIL SAMPEL DARI ASTEROID RYUGU OLEH HAYABUSA 2

Imej di bawah adalah sampel batu2 pasir yang diambil dari Asteroid Ryugu oleh kapal angkasa Hayabusa 2. Ini adalah misi angkasa lepas JAXA (Japan Aerospace Exploration Agency). 


Kapal angkasa Hayabusa 2 dilancarkan pada bulan Disember 2014 dan mendarat di atas Asteroid Ryugu yang bergarispusat 1 km, selepas mengorbit atau "mengejar"  Rhugu selama 3.5 tahun. Untuk mendarat di atas Asteroid ini, Hayabusa 2 melalui perjalanan sejauh 5.3 billion kilometer. Ia mendarat di atas Asteroid Ryugu pada tahun 2018. Kemudian kembali ke arah bumi pada Nov 2019 untuk melepaskan sampel melalui kapsul dari jarak 130,000 batu dari bumi. Kemudian Hayabusa 2 meneruskan perjalanan menuju ke Asteroid yang lain untuk misi yang seterusnya.



Sampel dari Asteroid Rhugu mencecah bumi di Gurun Woomera, Australia pada 6hb Disember 2020. Sampel asteroid ini dikatakan yang pertama diperolehi dari Asteroid yang berada di angkasa lepas dan bukan jatuh ke bumi. Kajian ini bertujuan untuk mencari petunjuk tentang asal usul kejadian bumi dan hidupan.






Dato' Dr Rushdan Noor

27hb Disember 2020


https://www.sciencemag.org/news/2020/12/japan-s-hayabusa2-capsule-lands-carbon-rich-asteroid-samples

https://mashable.com/article/ryugu-asteroid-samples/?utm_source=social&utm_medium=facebook&utm_campaign=mash-com-fb-main-link&utm_content=science

Friday 11 December 2020

BENARKAH KUNYIT BOLEH RAWAT KANSER


Ini adalah hasil tuaian pokok kunyit yang ditanam di sebelah rumah saya. Berat keseluruhan kunyit yang dihasilkan dari 2 perdu ini adalah 1.0 kg. Kunyit memang banyak kegunaan di dalam masakan dan saya suka jadikannya ulam yang dimakan mentah. Kunyit seperti lain2 sayuran dan buah2an mempunyai khasiat sebagai sumber mineral, vitamin, antioksidan dan serat. Ia juga mengandungi banyak sebatian kimia. Tetapi kunyit tidak menjadi ubat kalau dimakan mentah kerana untuk dijadikan ubat, ahli sains perlu memproses dan memisahkan bahan aktif terlebih dahulu. Kemudian bahan aktif itu perlu diuji keberkesanannya di dalan kajian klinikal.


Satu kilogram kunyit


Contoh bahan aktif yang terdapat dalam kunyit adalah sebatian kimia bernama Kurkumin. Kurkumin pernah digunakan di dalam kajian praklinikal terhadap tikus yang menghidap kanser. Berdasarkan kajian ke atas tikus, manusia perlu ambil 1-2 kg kunyit setiap hari untuk mendapat kandungan Kurkimin di dalam darah yg sama kerana dalam 100 gram kunyit hanya mengandungi 2 gram (2%) Kurkumin sahaja. Itupun belum tentu berkesan kerana ia tidak sesuai diambil melalui makan, kemungkinan besar kurkumin akan terhapus dalam usus sebelum boleh masuk ke dalam darah. Mengambil kunyit yg terlalu banyak pula akan membebankan hati dan buah pinggang. Itu belum lagi mengambil kira kandungan sebatian2 kimia yang lain. Tambahan pula Kurkumin tidak pernah disahkan berkesan merawat kanser ke atas manusia.

Jadi ambil lah kunyit untuk rasa makanan yang sedap, sumber mikronutrient dan serat yang baik. Kalau menghidap kanser, berjumpalah pakar kanser untuk dirawat dengan betul. Bukan makan 1-2 kg kunyit sehari ataupun diproses sendiri untuk dijadikan jus, serbuk ataupun pil kunyit.

Dato' Dr.Rushdan Noor

12hb Disember 2020

Thursday 10 December 2020

KAITAN ANTARA STATUS MINDA DAN GEJALA FIZIKAL

Cuba perhatikan imej pertama di bawah yang pernah saya kongsi dalam fb. Memang wujud gejala2 (sakit kepala, sakit dada, sakit belakang, sesak nafas, perut kembong dll) yang bukan akibat penyakit fizikal tetapi berpunca dari minda seseorang. Kita boleh lah anggap gejala2 ini berpunca dari otak. Sebenarnya banyak lagi gejala2 yang tidak dinyatakan, ianya juga dikenali sebagai "psychosomatic".Tidak semestinya anda sentiasa sedar sedang mengalami konflik kerana ada komponen2 minda anda yang terletak di zon bawah sedar atau tanpa sedar (lihat rajah kedua). Sebab itu ramai yang menafikan mengalami stres apabila ditanya. Minda manusia sangat kompleks seperti yang ditunjukkan dalam "topography of mind" di bawah.




Apabila puncanya dari otak, maka untuk mengubatnya juga di otak. Jadi sesiapa sahaja yang dapat mengubat emosi dan psikologi orang ini, gejala yang dialami boleh disembuhkan ataupun dikurangkan. Tidak hairanlah mengapa pesakit2 ini akan mendakwa sembuh selepas berjumpa dengan perawat yang mereka cari.
Di dalam situasi ini, sesiapa sahaja boleh menjadi perawat, hatta yang tidak ada kelayakan akademik dan latar belakang perubatan pun boleh menjadi perawat yang berkesan. Perawat ini pula boleh melakukan apa sahaja kaedah rawatan termasuk kaedah2 yang pelik, yang penting pesakit yakin dan percaya kepada mereka. Tentu kita pernah dengar cerita bomoh menggunakan pistol laser, torehan badan dengan tanduk, silap mata termasuk "bedah batin" dan banyak lagi. Kesan sembuh (gejala) melalui kaedah ini dinamakan KESAN PLASEBO.
Di dalam rawatan moden, doktor tidak menolak kepentingan kesan plasebo ini kerana seringkali ada elemen2 psikologi/minda yang hadir bersama dengan penyakit fizikal. Doktor merawat penyakit dengan ubat, melakukan prosedur atau pembedahan dan ini akan merawat penyakit fizikal. Gejala seperti sakit mungkin disebabkan oleh gabungan sakit fizikal dan sakit psikologikal/emosi. Seorang doktor yang mahir mampu memberi kepuasan yang tinggi jika dapat menangani kedua2 jenis sakit ini serentak. Sebab itu doktor yang mempunyai kemahiran berkomunikasi dengan baik mempunyai kelebihan dan dapat memberi lebih kepuasan kepada pesakit kerana mereka boleh menjadi perawat sakit fizikal dan sakit minda sekaligus. Tambahan pula terdapat penyakit yang boleh dipengaruhi oleh status minda atau tahap stres seseorang seperti darah tinggi, asma dan sakit jantung.
Sebagai orang awam, apabila anda mengalami gejala, pastikan anda mengesan punca gejala itu terlebih dahulu dengan berjumpa dengan doktor. Jika anda berjumpa dengan pengamal rawatan alternatif ataupun bomoh ataupun Dr.Quack terlebih dahulu, anda berkemungkinan boleh mengurangkan gejala yang dialami jika kebetulan anda mengalami gejala2 psychosomatic. Dengan kata lain anda dirawat dengan plasebo dan rasa sembuh yang anda alami itu adalah kesan plasebo.
Hari ini rawatan plasebo menjadi satu bentuk perniagaan yang besar dan boleh mendatangkan pulangan yang lumayan kerana modalnya kecil, sekecil AIR LIUR dan SENTUHAN. Walau bagaimanapun risiko kepada orang awam adalah besar kerana mereka mungkin menghidap penyakit fizikal yang serius dan boleh mengancam nyawa. Rawatan plasebo yang mereka terima itu hanya melegakan sebahagian gejala (symptoms) tetapi penyakit fizikal yang sudah wujud dalam tubuh mereka terus merebak, apabila sedar mungkin sudah terlewat.
Kita semua bersetuju bahawa manusia hanya mampu berikhtiar dan yang menyembuhkan adalah Allah swt. Nabi menegaskan bahawa Allah akan sembuhkan penyakit jika ikhtiar itu sesuai dan betul. Sabda Rasulullah saw dari Jabir R.A:
" Bagi setiap penyakit ada ubatnya, maka apabila ubat itu sesuai, akan sembuh dengan izin Allah" (Riwayat Muslim dan Ahmad).
Jika penyakit itu dirawat oleh pakar di dalam bidangnya, maka kemungkinan besar ikhtiar/ubat yang akan disyorkan itu adalah juga ubat yang betul dan sesuai. Allah yang mengizinkan ujudnya penyakit fizikal, begitu juga dengan gejala "psychosomatic" dan kesan plasebo. Allah juga memberi ilham dan kepandaian kepada pakar untuk menjadi perawat yang mahir dan cekap.
Kalau nak tahu dengan lebih mendalam tentang KESAN PLASEBO termasuk peranannya dalam kajian klinikal boleh baca tulisan saya di pautan ini:
Dato' Dr Rushdan Noor
11hb Disember 2020

Monday 7 December 2020

VAKSIN COVID-19 DARI KACA MATA PROFESOR WILLIAM JAMES: PAKAR VIROLOGI UNIVERSITI OXFORD

Profesor William James adalah Profesor di dalam bidang virologi di Universiti Oxford. Jika kita ingin mencari pakar rujuk di dalam bidang virologi dan vaksin, beliaulah di antara yang paling layak untuk bercakap mengenai tajuk ini. Ikuti pembentangan beliau dan juga soal jawab berkenaan dengan vaksin Covid-19.




Thursday 3 December 2020

VAKSIN: MINDA UMAT YANG MUNDUR

VAKSIN: MINDA UMAT YANG MUNDUR

Prof Madya Dato Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Mufti Negeri Perlis

Hari ini saya terlibat dengan satu perbincangan peringkat kebangsaan berhubung dengan vaksin untuk COVID-19 samada halal atau haram. Saya telah memberikan pandangan saya dalam perbincangan tersebut. Alhamdulillah, perbincangan berlaku dengan baik. 

Saya rasa saya perlu ulangi dan ungkapkan kembali pandangan saya tentang isu yang seperti ini sejak dahulu yang telah saya nyatakan dalam pelbagai tulisan saya:

1. Sejak dahulu, saya menzahirkan rasa sedih saya apabila datang isu-isu yang seperti ini. Islam adalah agama yang menjadi rahmat untuk semua. Malangnya, atas kelemahan Umat di masa ini, kita gagal mengungguli projek-projek kemanusiaan di peringkat antarabangsa, sebaliknya hanya menjadi pengikut kepada rentak pihak yang lain. Dalam isu vaksin umpamanya, dunia muslim sepatutnya yang mengepalai penghasilan vaksin yang dapat menyelamatkan manusia dari ancaman wabak ini. Malangnya, kekayaan negara-negara Umat Islam terutamanya Arab gagal untuk mendepani cabaran ini. Apa yang ada, kita asyik bertanya haram atau halal produk orang lain. Kita gagal untuk menghasilkan produk sendiri. Dukacita!

2. Dalam keadaan kita gagal menjadi pengeluar, hanya sekadar pengguna, janganlah pula terlalu sempit perhitungan fekah kita. Secara amnya, sesuatu produk perubatan seperti vaksin, bahan-bahan yang digunakan akan melalui proses yang pelbagai tahap (chemical transformation) yang mana tiada lagi sifat asal bahan yang digunakan di peringkat awal. Produk akhir itu sama sekali tidak lagi sama dengan bahan yang digunakan di peringkat awal. Proses ini dalam istilah fekah dinamakan dengan istihalah. Proses ini telah menghilangkan sifat asal, maka hukum ‘haram’ pada bahan asal tidak boleh dipakai lagi pada produk akhir bahan tersebut kerana telah bertukar ke bahan yang lain.

3. Untuk memahamkan orang awam, saya akan sebut beberapa contok klasik yang biasanya disebut oleh ahli fekah dahulu. Antaranya, arak yang haram apabila telah bertukar menjadi cuka, maka hukumnya halal. Baja najis yang diletakkan di pokok lalu pokok menjadi subur dengan baja tersebut, pokok tidak najis dan buahnya halal dimakan. Kasturi yang berasal dari darah kijang tidak dianggap najis kerana telah bertukar sifatnya. Bangkai yang telah bertukar menjadi tanah sehingga hilang sifat bangkai, tanah itu bersih dan boleh tayammum. Pelbagai lagi contoh klasik yang pernah disebutkan dalam tulisan sarjana-sarjana silam. Maka, tokoh-tokoh muhaqqiqin (penganalisis) seperti al-Imam Abu Bakr Ibn al-‘Arabi, Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim, al-Syaukani, Sadiq Hasan Khan dan lain-lain menyokong dan meneguhkan hujah bahawa proses istihalah boleh menukar najis kepada bahan yang bersih.

4. Atas asas ini, Majlis Fatwa Eropah (European Council for Fatwas and Research) yang terdiri dari 32 tokoh ilmuwan seluruh dunia termasuk al-Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi, al-Syeikh Dr. Abdullah bin Bayyah, al-Syeikh Dr. Abd al-Sattar Abu Ghuddah, al-Syeikh Dr. Ali al-Qaradaghi dan ramai lagi menfatwakan halal bahan tambahan (additives) yang mengandungi sebatian yang berasal dari bahan haiwan yang tidak halal. 

5. Dalam kenyataan mereka yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Eropah (European Council for Fatwas and Research) menyebut: The third group (compounds of animal origin) is also Halal, because the animal origin does not remain the same during the process of manufacturing. In fact it is transformed radically from its original form to a new clean and pure form through a process called "chemical transformation". This transformation also affects the legal ruling on such ingredients. Therefore, if the original form was unclean or Haram, the chemical transformation changed it to another ingredient which requires a new ruling. For instance, if alcohol changed and was transformed to vinegar, then it does not remain Haram, but carries a new ruling according to the nature of the new product, which is Halal.

(Kumpulan ketiga (sebatian haiwan) juga halal, kerana keadaan asal haiwan tidak lagi kekal sama semasa proses pembuatan. Malah ia berubah secara radikal daripada bentuk asalnya kepada satu bentuk baru bersih dan suci melalui proses yang dipanggil transformasi kimia. Transformasi ini juga memberi kesan hukum (baru) pada bahan tersebut. Oleh itu, jikapun bentuk asal adalah najis atau haram, transformasi kimia telah merubahnya kepada satu lagi ramuan yang memerlukan ketetapan hukum baru. Contohnya, jika alkohol berubah dan telah bertukar kepada cuka, maka ia tidak kekal haram, tetapi membawa hukum baru mengikut sifat bahan hasilan yang baru tersebut, iaitu halal.

6. Maka, jangan kita dangkal dengan menganggap jika vaksin itu mempunyai bahan asal yang haram maka seketul daging haram berada dalam vaksin tersebut. Apatahlagi, difahamkan kebanyakan vaksin COVID 19 tidak membabit bahan haiwan secara langsung. Jika pun ada bahan asal yang haram, proses perubahan kimia (chemical transformation) itu adalah istihalah yang menjadikan ia bersih dan halal. Tidak dinafikan di sana ada pendapat fekah yang lebih sempit dan ketat dalam hal ini. Namun, itu bukan pilihan untuk awam terutama pada waktu yang seperti ini.

7. Sepatutnya, dalam musim ancaman wabak dan kesukaran mencari penawar bagi membolehkan manusia meneruskan kehidupan dengan selamat, tokoh-tokoh umat Islam, jika pun tidak dapat menawarkan produk perubatan kita, sekurang-kurang mengemukakan keluasan fekah kita yang bersifat menyelamatkan manusia terutama dalam keadaan yang mendesak. Jangan kita sulitkan lagi keadaan dengan mengambil pandangan hukum yang sempit untuk umat. Jika ia untuk pegangan peribadi, itu urusan individu. Adapun hukum untuk negara dan awam, hendaklah ke arah taisir atau memudahkan.

8. Jika pun kita hendak menegaskan keperluan bahan asal halal, kita boleh sebut jika terdapat vaksin yang bahan asalnya halal maka itu pilihan utama dan terbaik. Jika tidak, sekalipun bahan asalnya haram namun jika telah melalui proses istihalah atau perubahan sifat bahan (chemical transformation), maka itu juga boleh digunakan.

Kredit Dr.Maza

Copy paste dari fb Dr.Maza

Pautan:

https://www.facebook.com/279290772989/posts/10159079292892990/