Monday 28 December 2020

VAKSIN mRNA COVID-19 : APA YANG ORANG AWAM PERLU TAHU

 


Vaksin mRNA adalah sejenis vaksin yang dihasilkan melalui proses yang agak berbeza daripada vaksin-vaksin yang lain. Vaksin-vaksin sebelum ini menggunakan organisma yang dimatikan, dinyahaktif ataupun menggunakan sebahagian daripada protein yang terdapat di dalam organism itu. Ini akan meransang sistem imun untuk kenal dan menyimpan memori tentang organisma tersebut. Apabila serangan organisma yang sama berlaku kemudiannya, sistem imun akan menyerang dan memusnahkan organisma tersebut. Vaksin mRNA Covid-19 ini boleh dianggap sejenis vaksin yang agak baru diperkenalkan di dalam mencegah jangkitan penyakit, walau bagaimanapun prinsip asasnya adalah sama. Dalam konteks vaksin mRNA ini, "baru" bukan bermaksud muda dan pramatang, tetapi baru bermaksud ianya lebih canggih dan berkesan.

mRNA adalah singkatan kepada Messenger RNA, mRNA adalah molekul yang penting di dalam penghasilan protein oleh sel-sel. Ia membawa salinan kod genetik yang akan menghasilkan sesuatu protein. Kod genetik ini ditiru daripada DNA. Proses penghasilan protein berlaku di dalam sitoplasma dan berbeza dengan DNA, mRNA yang telah menjalankan tanggungjawabnya akan dihadamkan dan dinyahkan dari sel dalam masa singkat. Salah satu protein yang penting pada virus Covid-19 adalah “spike protein” ataupun Protein S yang bertanggungjawab melekatkan virus kepada sel paru-paru. Protein S juga adalah protein yang akan meransang sistem imun seseorang. Ahli sains sudah mengetahui kod genetik untuk protein S dan mereka berjaya menghasilkan mRNA yang mempunyai salinan kod genetik protein S. 




Apabila vaksin yang mengandungi mRNA ini disuntikan pada otot bahu seseorang, ia akan memasuki sel dan sel otot tersebut akan menghasilkan protein S. Selepas protein S terhasil, mRNA akan dihadamkan. mRNA tidak akan memberi apa-apa kesan kepada sel. Protein S yang terhasil ini akan dipersembahkan pada permukaan sel tersebut supaya sistem imun dapat mengesan dan mengenalinya. Jika virus Covid-19 menjangkiti orang ini, sistem imunnya sudah mengenali virus ini dan ransangan sistem imun akan berlaku. Sistem imun yang diransang ini akan menyerang dan menghapuskan virus Covid-19, maka jangkitan dapat dicegah. Jika serangan virus dapat masuk ke dalam tubuh, penerima vaksin lebih berupaya untuk melawan dan gejala yang dialami lebih ringan.



Vaksin yang berasaskan mRNA ini sebenarnya bukanlah baru kerana ianya sudah dikaji semenjak 30 tahun yang lalu, malahan sudah dikaji untuk kegunaan ke atas influenza, Zika dan jangkitan CMV. Jadi platform dan teknologi untuk menghasilkannya sudah sedia ada untuk digunakan ke atas Covid-19 dan juga lain-lain jenis jangkitan di masa hadapan. mRNA juga digunakan di dalam kajian rawatan kanser. Secara relatifnya lebih mudah untuk menghasilkan mRNA di dalam makmal walaupun dalam kuantiti yang banyak. Berbeza dengan vaksin yang diperbuat daripada virus dan protein, mRNA adalah molekul yang lebih ringkas, maka penghasilan vaksin melalui mRNA adalah lebih mudah dan cepat. Cuma satu saja kelemahan vaksin mRNA iaitu ianya tidak stabil dan memerlukan pelindung yang boleh menghalangnya dari termusnah. Untuk menghalang sistem imun mengenalinya, ia disimpan di dalam kelonsong lemak bersaiz nano ("fatty nanoparticle"). 



Sekurang2nya dua syarikat besar dan berpengalaman menghasilkan vaksin Covid-19 yang berasaskan mRNA adalah Moderna (mRNA 1273)  dan Pfizer-Biontech (BNT162b2). Kedua-dua vaksin ini diberi dalam dua suntikan, vaksin moderna (100 ug/dos) dalam masa 28 hari manakala vaksin Pfizer (30 ug/dos) dalam masa 21 hari. Setakat ini keberkesanan vaksin moderna adalah 94.5%, manakala vaksin Pfizer 95%. Vaksin mRNA Pfizer perlu disimpan pada suhu yang rendah iaitu -70 darjah Celsius, jika dibiarkan dalam suhu peti ais biasa, ia akan termusnah dalam masa 5 hari. Moderna mendakwa vaksin mereka lebih tahan dan boleh disimpan di dalam suhu yang lebih tinggi. Vaksin Pfizer telah mendapat kelulusan terlebih dahulu untuk digunakan ke atas orang awam.  

Vaksin-vaksin ini telah melalui kajian klinikal berkualiti tinggi (double blind placebo controlled trial) dari kajian praklinikal di dalam makmal, kajian klinikal fasa 1, 2 dan 3. Berdasarkan penilaian badan berautoriti dari FDA, kedua-dua vaksin ini juga didapati sangat selamat digunakan, dimana kesan sampingannya kebanyakannya ringan dan singkat, hanya 2-3% sahaja mengalami gejala yang sedikit berat (mengganggu tugas harian) seperti sakit kepala dan letih. Kesemua gejala2 ini bersifat sementara. Kesan sampingan ini memang dijangkakan dan ianya sepatutnya dianggap petunjuk kepada reaksi tubuh yang normal terhadap suntikan vaksin. Peserta di dalam kajian fasa 3 vaksin Pfizer (BNT162b2) ini berjumlah lebih 40,000 orang, manakala Moderna (mRNA-1273) pula lebih 30,000 peserta (dalam masa 3 bulan). Walaupun terdapat kematian seramai 6 orang, kesemuanya bukan disebabkan oleh vaksin. Malahan 4 orang daripadanya adalah kumpulan yang tidak menerima vaksin (plasebo). Kejadian Bell's palsy juga dikesan tetapi ianya juga secara kebetulan dan tidak disebabkan oleh vaksin. Pada 11hb Disember 2020, FDA telah memberi kebenaran secara kecemasan kepada syarikat Pfizer-BioNTech untuk mengedarkan vaksin Covid-19 bagi kegunaan mencegah jangkitan Covid-19 ke atas individu berusia 16 tahun ke atas.


Kandungan vaksin mRNA

KESIMPULAN

Kesimpulannya vaksin mRNA Covid-19 tidak mengandungi virus ataupun sebahagian dari komponen virus Covid-19 sepertimana vaksin2 lain. Sebaliknya vaksin ini mengandungi molekul mRNA yang membawa kod genetik protein S. mRNA yang disuntik kepada penerima vaksin akan menjalankan tugas menghasilkan protein S melalui proses yang dinamakan translasi di "kilang" protein dikenali sebagai ribosom. Selepas selesai menjalankan tugas mRNA ini akan dimusnahkan tanpa memberi kesan ke atas sel. Ia tidak akan masuk ke dalam nukleus dan mengganggu DNA seperti mana tuduhan golongan antivaksin. Vaksin Covid-19 yang berasaskan mRNA ini telah didapati sangat berkesan mencegah jangkitan Covid-19 pada kadar 94-95% keberkesanan.  Teknologi menggunakan mRNA untuk menghasilkan vaksin mempunyai masa depan yang sangat cerah kerana melalui teknologi ini beberapa jenis protein dapat dihasilkan melalui satu suntikan mRNA dan ini dapat menangani jangkitan ataupun penyakit yang disebabkan oleh lebih daripada satu punca, sekaligus.


Dato' Dr Rushdan Noor

29hb Disember 2020







https://www.cdc.gov/coronavirus/2019-ncov/vaccines/different-vaccines/Moderna.html

https://www.cdc.gov/vaccines/covid-19/info-by-product/moderna/index.html

https://www.fda.gov/emergency-preparedness-and-response/coronavirus-disease-2019-covid-19/pfizer-biontech-covid-19-vaccine

https://www.cdc.gov/coronavirus/2019-ncov/vaccines/different-vaccines/Pfizer-BioNTech.html

https://www.cdc.gov/coronavirus/2019-ncov/vaccines/different-vaccines/Moderna.html


https://www.statnews.com/2020/12/19/a-side-by-side-comparison-of-the-pfizer-biontech-and-moderna-vaccines/


https://www.nih.gov/news-events/news-releases/promising-interim-results-clinical-trial-nih-moderna-covid-19-vaccine


https://www.pfizer.com/news/press-release/press-release-detail/pfizer-and-biontech-conclude-phase-3-study-covid-19-vaccine

No comments:

Post a Comment