Tulisan ini adalah pendapat peribadi saya terhadap beberapa tulisan dan video yang cuba meringan2kan pandemik Covid-19 dengan membuat perbandingan dengan penyakit2 lain yang sedia ada. Mereka menganggap pihak autoriti kesihatan terlepas pandang dan memberi tumpuan secara melampau terhadap pandemik Covid-19. Bukan bertujuan menafikan kepentingan penyakit2 lain yang menyebabkan kematian dan masalah kesihatan, tetapi untuk menegaskan betapa pentingnya ancaman Covid-19 diletakkan pada kedudukan yang betul.
Membuat perbandingan kadar kematian antara Covid-19 dengan penyebab2 kematian yang lain seperti sakit jantung, angin ahmar, kanser, kemalangan jalan raya dan lain2 punca kematian adalah kurang tepat jika ianya dijadikan hujah untuk menafikan beban besar yang dibawa oleh Covid-19. Ianya juga akan menyebabkan kekeliruan terhadap orang awam sehingga mengubah sikap mereka terhadap amalan pencegahan Covid-19 dan bersangka buruk terhadap autoriti kesihatan. Ada beberapa sebab mengapa saya katakan begitu:
1. Penyakit2 yang sedia ada sudah lama wujud dan sudah ada kaedah pencegahan serta rawatan yang berkesan. Covid-19 adalah penyakit berjangkit yang baru dan belum ada rawatan yang berkesan. Mengatakan Covid-19 tidak jauh bezanya dengan Influenza adalah tidak benar sama sekali kerana Covid-19 menyebabkan bilangan kematian yang jauh lebih tinggi seperti yang tertera di dalam geraf di bawah. Tambahan pula Influenza mempunyai vaksin dan rawatan yang berkesan. Sukar untuk meramalkan apakah yang akan dilakukan oleh virus Covid-19 di masa hadapan.
2. Kadar peningkatan kes-kes penyakit yang lain itu tidak besar dan perlahan dari tahun ke tahun, jika ada peningkatan sekalipun ianya tidak mendadak. Covid-19 adalah penyakit berjangkit yang jika tidak dikawal dengan betul, ia boleh merebak dan peningkatan bilangan kes boleh naik mendadak dan berganda dalam masa yang singkat. WHO sendiri yang menegaskan perkara ini. Kaedah jangkitan virus melalui droplet dan pergerakan manusia menyebabkan Covid-19 boleh tersebar dengan cepat dan boleh merentas negeri, negara dan benua.
3. Covid-19 boleh menyerang sesiapa sahaja termasuk individu2 yang sihat dan tidak ada risiko kesihatan. Walaupun orang yang berusia dan mengidap penyakit kronik lebih tinggi risiko untuk mendapat komplikasi serius dan kematian, namun bukan bermaksud orang yang lebih muda dan sihat tidak mengalami kerosakan organ dan kematian. Hari ini mereka sihat walafiat, bila dapat jangkitan besok atau lusa boleh jatuh sakit teruk dan mati. Keupayaan virus ini untuk bermutasi dan menjadi strain yang lebih ganas juga boleh berlaku. Geraf di bawah menunjukkan bagaimana sasaran serangan Covid-19 berubah dari golongan berusia lebih 80 tahun kepada golongan yang lebih muda iaitu 18-24 tahun di hujung tahun 2020.
4. Apabila Covid-19 menyerang petugas perubatan, pekerja kilang, pelajar institusi dan lain-lain sektor, ia boleh melumpuhkan sebuah institusi atau sektor itu dan memberi kesan yang sangat besar ke atas fungsi mereka. Penyakit2 tidak berjangkit, kanser dan kemalangan jalanraya tidak menyebabkan kesan yang sama.
5. Akibat dari faktor ke 4 di atas, kesan jangkitan Covid-19 bukan sahaja kepada mangsa tetapi juga kepada pihak lain. Jika serangan Covid-19 berlaku ke atas petugas perubatan, ia boleh menjejaskan perkhidmatan perubatan dan kesihatan yang kemudian akan menjejaskan rawatan ke atas penyakit2 lain. Kualiti rawatan penyakit jantung, kanser dan lain2 akan terjejas kerana faktor ini. Sesebuah hospital boleh lumpuh. Begitu juga jika ia menyerang pekerja kilang, bank, institusi pengajian, pusat pelancungan dan lain-lain tempat. Perkara ini tidak dilakukan oleh penyakit2 yang lain.
6. Di setengah negara seperti di Eropah dan Amerika, Covid-19 telah menjadi punca kematian utama dan memberi kesan yang besar. Cuba perhatikan geraf yang dikepilkan di bawah. Walau bagaimanapun negara mereka kaya dan mempunyai sistem perkhidmatan kesihatan yang cekap untuk menanganinya. Bayangkan jika ini berlaku di negara2 mundur dan miskin. Di negara2 lain pula, bilangan kematian Covid-19 meningkat dan dikatakan angka sebenar kes kematian Covid-19 adalah lebih tinggi kerana "under reporting" dan perlapuran yang lambat. Walaupun bilangan kematian Covid-19 di negara2 lain nampak lebih rendah, ia boleh naik mendadak di masa hadapan jika pandemik Covid-19 ini tidak ditangani dengan baik.
7. Kesan jangkitan Covid-19 adalah melibatkan banyak organ badan dan memerlukan perkhidmatan banyak jenis kepakaran bukan setakat pakar penyakit berjangkit. Ia juga menyebabkan beban tugas ke atas kakitangan kesihatan di lapangan untuk melakukan pengesanan kontak. Kes-kes serius perlu dirawat di ICU dan akan menafikan penggunaan ICU untuk rawatan2 kes yang lain. Rawatan Covid-19 pula memerlukan perawat memakai pakaian khas yang mahal bagi mencegah diri mereka dijangkiti. Ini tidak berlaku dengan penyakit2 lain yang saya sebutkan di atas.
8. Penyakit berjangkit sangat sukar diramal, apatah lagi jangkitan baru seperti Covid-19. Ia boleh wujud dalam bentuk gelombang di mana kemuncak gelombang itu boleh menjadi sangat tinggi. Jadi ia bersifat dinamik di mana jarak masa di antara satu gelombang dengan yang lain boleh berlaku dalam masa yang singkat. Ia juga boleh turun pada paras rendah. Jadi ini berbeza dengan penyakit bukan berjangkit (NCD) seperti sakit jantung, angin ahmar, kanser dan lain2. Maka membandingkan kedua2nya pada satu titik masa tidak akan dapat memberi gambaran yang tepat tentang beban Covid-19 kerana pada masa tersebut gelombang jangkitan mungkin sudah reda ataupun belum bermula. Contoh gelombang Covid-19 di Malaysia, gelombang pertama merekodkan hanya 22 kes, gelombang ke-2, kes melonjak kepada 10,145 dan gelombang ke-3 pula 102,843 kes. Jarak antara gelombang kedua dan ketiga hanya beberapa hari sahaja.
Berdasarkan kepada 8 alasan di atas, mendakwa pandemik Covid-19 ini bukan ancaman yang serius berbanding dengan punca-punca kematian yang lain seperti sakit jantung, angin ahmar, kanser, kemalangan jalanraya dan lain2 penyakit berjangkit yang lain adalah kenyataan yang tidak tepat dan boleh mengelirukan orang ramai. Mengambil ringan pandemik Covid-19 akan menyebabkan kesan domino sehingga lain2 aspek kehidupan manusia seperti sosial, rekreasional, spiritual, kesihatan dan ekonomi terjejas teruk ataupun mungkin runtuh. Covid-19 juga menyebabkan terjejasnya kualiti perkhidmatan kesihatan terhadap lain-lain masalah kesihatan. Selagi tidak ada pengaruh dari pihak-pihak yang berkepentingan, percayalah kepada kebijaksanaan autoriti kesihatan kita dalam membuat keputusan kerana mereka bertindak berdasarkan maklumat yang tepat dan pandangan pakar-pakar yang berwibawa.
Dato' Dr.Rushdan Noor
1hb Jan 2021
https://www.google.com/amp/s/newseu.cgtn.com/news/2020-09-26/How-lethal-is-COVID-19-compared-to-cancer-flu-and-other-death-causes--U4LJxzQlA4/share_amp.html
https://www.google.com/amp/s/www.bbc.com/news/amp/health-55216047
https://www.nejm.org/doi/full/10.1056/NEJMra2035343
https://jamanetwork.com/journals/jama/fullarticle/2774465
https://www.weforum.org/agenda/2020/09/covid-19-deaths-global-killers-comparison/
https://www.nejm.org/doi/full/10.1056/NEJMoa2035389
No comments:
Post a Comment