Sunday, 8 November 2026

VAKSIN COVID-19: SETIAP USD1 PELABURAN MEMBERIKAN PULANGAN EKONOMI SEHINGGA USD809 – HASIL KAJIAN GLOBAL TERBARU 2026

 




Pandemik COVID-19 bukan sahaja menyebabkan jutaan kematian dan kesengsaraan di seluruh dunia, malah memberikan kesan ekonomi yang amat besar. Banyak negara terpaksa membelanjakan wang yang sangat banyak untuk rawatan pesakit, pembelian peralatan perubatan, bantuan ekonomi dan pelaksanaan langkah kawalan pandemik.

Namun, sejauh manakah pelaburan dalam pembangunan dan pengedaran vaksin COVID-19 memberikan manfaat kepada dunia?

Satu kajian global terbaru yang diterbitkan dalam jurnal PLOS Medicine pada 5 November 2026 memberikan jawapan yang menarik. Penyelidik menganggarkan bahawa setiap USD1 yang dilaburkan dalam pembangunan dan pengedaran vaksin COVID-19 telah menghasilkan manfaat kesihatan dan ekonomi bernilai antara USD59.70 hingga USD809.

Angka ini menunjukkan betapa besarnya nilai pelaburan dalam vaksinasi, bukan sahaja dari sudut kesihatan awam tetapi juga ekonomi global.

APAKAH YANG DIKAJI?

Kajian bertajuk Global Return-on-Investment of COVID-19 Vaccines in the First Year of the Vaccination Programme ini diketuai oleh penyelidik daripada London School of Hygiene & Tropical Medicine, Imperial College London dan New York University.

Penyelidik menilai kos dan manfaat program vaksinasi COVID-19 di 173 buah negara sepanjang tahun pertama pelaksanaannya, iaitu dari 8 Disember 2020 hingga 8 Disember 2021.

Mereka membandingkan jumlah pelaburan untuk pembangunan, pembuatan dan pengedaran vaksin dengan manfaat yang diperoleh, termasuk:

1. Kematian akibat COVID-19 yang dapat dielakkan.
2. Jangkitan dan kemasukan ke hospital yang dapat dikurangkan.
3. Tahun kehidupan dan kualiti kehidupan yang berjaya diselamatkan.
4. Penjimatan kos rawatan kesihatan.
5. Pengurangan kehilangan produktiviti akibat penyakit dan kematian.

Jumlah kos pembangunan, pembuatan dan pengedaran vaksin dianggarkan sebanyak USD79.4 bilion.

HASIL KAJIAN: MANFAAT YANG AMAT BESAR

Dalam tempoh setahun pertama program vaksinasi, penyelidik menganggarkan bahawa vaksin COVID-19 telah:

1. Mencegah kira-kira 1.5 bilion jangkitan COVID-19.
2. Mencegah kira-kira 51.5 juta kemasukan ke hospital.
3. Menghasilkan 353 juta tahun kehidupan tambahan (Life Years Gained).
4. Menghasilkan 364 juta tahun kehidupan berkualiti (Quality-Adjusted Life Years atau QALYs).

Angka ini merupakan anggaran berdasarkan model epidemiologi yang membandingkan keadaan sebenar dengan satu senario hipotetikal tanpa vaksinasi.

Maksudnya, penyelidik menganggarkan apa yang mungkin berlaku sekiranya vaksin tidak diberikan, dengan mengambil kira faktor lain seperti langkah kawalan pandemik dan perubahan tingkah laku yang berlaku ketika itu.

Ini bukan jumlah yang diperoleh melalui pengiraan langsung setiap kes atau kematian yang dapat dielakkan.

BERAPAKAH NILAI EKONOMI YANG DIHASILKAN?

Ini merupakan bahagian paling menarik dalam kajian tersebut.

Penyelidik menggunakan dua pendekatan ekonomi yang berbeza untuk menganggarkan nilai manfaat vaksinasi.

1. Cost-Effectiveness Analysis (CEA)

Pendekatan ini menilai manfaat kesihatan berdasarkan tahun kehidupan berkualiti yang diperoleh melalui pengurangan kematian dan penyakit.

Menggunakan kaedah ini, nilai manfaat vaksinasi dianggarkan sebanyak USD6.43 trilion.

Selepas mengambil kira kadar diskaun 3% bagi menilai nilai manfaat kesihatan mengikut masa, anggaran keseluruhan manfaatnya ialah USD4.82 trilion.

2. Cost-Benefit Analysis (CBA)

Pendekatan ini turut mengambil kira nilai ekonomi nyawa manusia yang berjaya diselamatkan, menggunakan konsep Value of Statistical Life (VSL).

Ia bukan bermaksud penyelidik meletakkan harga pada nyawa seseorang individu. Sebaliknya, ia merupakan kaedah ekonomi untuk menganggarkan nilai pengurangan risiko kematian pada peringkat populasi.

Dengan pendekatan ini, jumlah manfaat vaksinasi dianggarkan sebanyak USD64.3 trilion.

Perbezaan yang besar antara kedua-dua angka ini berpunca daripada kaedah penilaian manfaat kesihatan yang digunakan.

Penting difahami bahawa USD64.3 trilion bukan keuntungan tunai yang diterima oleh kerajaan atau syarikat pengeluar vaksin. Ia merupakan anggaran nilai ekonomi dan sosial bagi manfaat kesihatan yang diperoleh.

Walau bagaimanapun, kedua-dua pendekatan menunjukkan bahawa manfaat yang dihasilkan jauh melebihi kos pelaburan.

ADAKAH SEMUA NEGARA MENDAPAT MANFAAT YANG SAMA?

Tidak. Kajian ini turut menunjukkan ketidaksamaan dari segi akses dan manfaat vaksinasi antara negara.

Negara berpendapatan tinggi mendapat manfaat kesihatan yang lebih besar bagi setiap individu yang divaksin kerana mereka mempunyai akses kepada vaksin lebih awal, kadar vaksinasi lebih tinggi dan populasi yang lebih berusia serta berisiko mengalami komplikasi COVID-19.

Sebaliknya, banyak negara berpendapatan rendah hanya mendapat akses vaksin secara meluas pada penghujung tahun 2021.

Namun, apabila manfaat ekonomi dan penjimatan dinilai berbanding saiz ekonomi negara masing-masing, negara berpendapatan rendah memperoleh penjimatan kos rawatan dan produktiviti yang sangat bermakna.

Ini memberikan satu pengajaran penting: dalam menghadapi pandemik, akses vaksin yang cepat dan adil bukan sahaja menyelamatkan nyawa, malah membantu melindungi ekonomi negara.

ADAKAH KAJIAN INI MEMPUNYAI KELEMAHAN?

Seperti kajian saintifik yang lain, hasil kajian ini perlu ditafsirkan dengan mengambil kira beberapa batasan.

Pertama, angka kematian, jangkitan dan kemasukan ke hospital yang dapat dielakkan adalah berdasarkan model matematik dan data kajian terdahulu, bukannya pengiraan langsung.

Kedua, nilai manfaat ekonomi sangat dipengaruhi oleh kaedah penilaian yang digunakan. Sebab itulah terdapat perbezaan besar antara anggaran USD6.43 trilion dengan USD64.3 trilion.

Ketiga, kajian ini hanya menilai tahun pertama program vaksinasi. Ia tidak menggambarkan keseluruhan manfaat dan kos vaksinasi sepanjang tempoh pandemik.

Keempat, kajian ini menilai manfaat keseluruhan vaksinasi pada peringkat populasi. Ia bukan kajian yang menilai keberkesanan setiap jenis vaksin secara berasingan atau menentukan kadar kesan sampingan vaksin.

Walaupun terdapat batasan tersebut, kedua-dua pendekatan ekonomi yang digunakan tetap menunjukkan pulangan pelaburan yang sangat positif.

KESIMPULAN

Selama ini golongan antivaksin melemparkan pelbagai tuduhan terhadap vasin Covid-19 termasuk keuntungan yang hanya berpihak kepada syarikat pengeluar vaksin. Keuntungan ataupun pulangan negara-negara yang menjalankan program vaksinasi ini tidak dinilai secara objektif.

Kajian global terbaru ini memberikan satu lagi bukti tentang nilai besar vaksin COVID-19 kepada manusia dan ekonomi dunia. Dengan kos pembangunan, pembuatan dan pengedaran sebanyak USD79.4 bilion, manfaat kesihatan dan ekonomi yang dianggarkan adalah antara USD6.43 trilion hingga USD64.3 trilion.

Ini bermakna pelaburan dalam vaksin bukan sekadar perbelanjaan untuk menghasilkan ubat pencegahan penyakit. Ia merupakan pelaburan untuk menyelamatkan nyawa, mengurangkan beban hospital, mengekalkan produktiviti dan melindungi kestabilan ekonomi.

Sudah tentu, vaksin bukanlah sesuatu yang sempurna dan keselamatannya tetap perlu dipantau melalui kajian serta sistem farmakovigilans. Kesan sampingan yang berlaku juga perlu dinilai secara objektif berdasarkan bukti.

Namun, kita tidak sepatutnya menilai manfaat vaksin hanya berdasarkan pengalaman individu atau kesan sampingan yang dilaporkan tanpa melihat gambaran yang lebih luas.

Dalam kesihatan awam, sesuatu intervensi perlu dinilai berdasarkan keseimbangan manfaat dan risiko pada peringkat populasi.

Pengajaran paling besar daripada pandemik COVID-19 ialah pelaburan dalam sains, penyelidikan dan pembangunan vaksin bukan satu pembaziran. Ia merupakan antara pelaburan paling bernilai untuk melindungi kehidupan manusia dan masa depan ekonomi dunia.

Dato' Dr.Rushdan Noor
9 November 2026

RUJUKAN

1. Benjamin H, Barnsley G, Watson OJ, Jit M. (2026). Global return-on-investment of COVID-19 vaccines in the first year of the vaccination programme: A model-based economic evaluation. PLOS Medicine. 23(11): e1004772.

2. Watson OJ, et al. (2022). Global impact of the first year of COVID-19 vaccination: a mathematical modelling study. The Lancet Infectious Diseases. 22(9):1293–1302.

3. London School of Hygiene & Tropical Medicine. (2026). COVID-19 vaccinations generated trillions of dollars' worth of economic and health benefits. 6 November 2026.



JISIM TANPA LEMAK (LEAN MASS) DAN FENOMENA LMHR: APA YANG PERLU KITA FAHAMI?

 

Apabila bercakap tentang kesihatan metabolik, kita sering mendengar istilah seperti berat badan, peratus lemak badan dan jisim otot. Satu lagi istilah yang penting tetapi kurang difahami ialah jisim tanpa lemak ("lean mass"). Istilah ini juga perlu dibezakan daripada satu fenomena yang dikenali sebagai "Lean Mass Hyper-Responder" (LMHR), khususnya dalam kalangan individu yang mengamalkan diet rendah karbohidrat atau diet ketogenik.

APAKAH JISIM TANPA LEMAK ("LEAN MASS")

Jisim tanpa lemak ialah keseluruhan berat badan selain daripada lemak. Ia merangkumi otot, tulang, organ dalaman, air dan pelbagai tisu badan yang lain. Oleh itu, jisim tanpa lemak bukanlah bermaksud jisim otot semata-mata.

Sebagai contoh, seseorang yang mempunyai berat badan 70 kg dan kandungan lemak badan sebanyak 20% mempunyai kira-kira 56 kg jisim tanpa lemak. Baki 14 kg ialah jisim lemak.

Jisim tanpa lemak penting kerana ia merangkumi otot yang membantu pergerakan, mengekalkan kekuatan fizikal dan menggunakan glukosa sebagai sumber tenaga. Otot juga menyumbang kepada penggunaan tenaga badan. 

Mengekalkan jisim tanpa lemak, khususnya otot, menjadi semakin penting apabila usia meningkat kerana kehilangan otot boleh menyebabkan kelemahan, gangguan keseimbangan dan peningkatan risiko jatuh.

Antara cara untuk mengekalkan jisim tanpa lemak ialah melakukan latihan rintangan seperti mengangkat beban, mengambil protein yang mencukupi, kekal aktif dan mengelakkan penurunan berat badan yang terlalu mendadak.

APAKAH LEAN MASS HYPER-RESPONDER  (LMHR)?

LMHR ialah singkatan kepada Lean Mass Hyper-Responder. Lean Mass Hyper-responder (LMHR) adalah satu istilah perubatan dan pemakanan yang digunakan untuk menggambarkan sekumpulan individu berbadan fit/kurus yang mengalami peningkatan kolesterol LDL secara mendadak selepas mengamalkan diet rendah karbohidrat (seperti diet Keto).

Fenomena ini mula dikenal pasti dan dikaji secara mendalam oleh penyelidik bernama Dave Feldman.

Golongan ini selalunya mempunyai ciri-ciri fizikal dan status kesihatan yang sangat baik sebelum atau semasa diet, iaitu:

A. Lean Mass: Mempunyai peratusan lemak badan yang rendah dan jisim otot yang baik (fit, atlet, atau berbadan kurus).

B. Hyper-responder: Badan mereka memberi tindak balas yang sangat "sensitif" atau ekstrem terhadap diet rendah karbohidrat/tinggi lemak.

Corak lipid yang lazim dikaitkan dengan LMHR (selepas mengamal diet rendah karbo/keto) ialah:

1.LDL kolesterol (LDL-C) meningkat dengan ketara.

2.HDL kolesterol (HDL-C) juga tinggi.

3.Trigliserida (TG) pula rendah.

Dengan kata lain, individu ini mungkin kelihatan sihat, bertubuh kurus, mempunyai trigliserida rendah dan HDL tinggi, tetapi pada masa yang sama mempunyai paras LDL-C yang sangat tinggi.

MENGAPA LDL MENINGKAT DALAM KALANGAN LMHR?

Satu hipotesis mencadangkan bahawa apabila pengambilan karbohidrat sangat rendah, badan lebih banyak menggunakan lemak sebagai sumber tenaga. Perubahan dalam pengangkutan dan penggunaan lemak ini mungkin meningkatkan peredaran lipoprotein yang membawa trigliserida dan kolesterol dalam darah, termasuk LDL.

Walau bagaimanapun, mekanisma sebenar LMHR masih belum difahami sepenuhnya. Ia masih merupakan bidang penyelidikan dan bukan diagnosis penyakit yang telah mempunyai definisi klinikal serta panduan rawatan yang mantap.

ADAKAH LMHR BERMAKSUD LDL TINGGI TIDAK BAHAYA ?

Inilah persoalan yang paling penting. Sesetengah pihak berhujah bahawa LDL yang tinggi dalam kalangan LMHR tidak membahayakan kerana mereka mempunyai HDL tinggi, trigliserida rendah dan tubuh yang kurus. Namun, setakat ini, bukti saintifik belum mencukupi untuk mengesahkan bahawa corak lipid sedemikian melindungi seseorang daripada penyakit kardiovaskular.

Kita perlu ingat bahawa LDL, khususnya zarah lipoprotein yang mengandungi apolipoprotein B (apoB), memainkan peranan sebab-akibat dalam pembentukan aterosklerosis. Zarah-zarah ini boleh memasuki dan terkumpul pada dinding arteri, lalu mencetuskan proses pembentukan plak. Paras HDL yang tinggi atau trigliserida yang rendah tidak semestinya menghapuskan risiko akibat pendedahan berpanjangan kepada LDL atau apoB yang tinggi.

Memang terdapat beberapa kajian awal terhadap individu LMHR yang tidak menunjukkan peningkatan plak arteri yang jelas dalam tempoh pemerhatian tertentu. Namun, kajian tersebut masih terhad dari segi saiz sampel, tempoh susulan dan keupayaan menilai risiko serangan jantung atau strok dalam jangka panjang.

Ketiadaan bukti bahaya dalam kajian kecil dan singkat tidak sama dengan bukti bahawa keadaan itu selamat.

APAKAH YANG WAJAR DILAKUKAN OLEH INDIVIDU LMHR ?

Individu yang mengalami peningkatan LDL-C yang ketara selepas mengamalkan diet ketogenik tidak sepatutnya menganggap keadaan itu selamat hanya kerana mereka kurus dan mempunyai trigliserida rendah. 

Penilaian perlu mengambil kira paras LDL-C, apoB, sejarah keluarga, tekanan darah, diabetes, merokok dan faktor risiko kardiovaskular yang lain. Jika LDL-C meningkat dengan sangat tinggi, doktor juga perlu menilai kemungkinan hiperkolesterolemia familial atau sebab-sebab sekunder yang lain.

Dalam keadaan tertentu, mengubah corak pemakanan dengan memperkenalkan semula karbohidrat secara sederhana boleh membantu menurunkan LDL-C. Namun, keputusan rawatan perlu dibuat berdasarkan penilaian risiko individu, bukannya bergantung kepada satu corak diet atau satu bacaan darah sahaja.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, jisim tanpa lemak ialah komponen penting dalam kesihatan tubuh, terutama untuk mengekalkan kekuatan otot, fungsi fizikal dan metabolisma. LMHR pula ialah fenomena peningkatan LDL-C yang ketara dalam sesetengah individu kurus yang mengamalkan diet rendah karbohidrat. Kedua-dua istilah ini tidak boleh disamakan. Yang paling penting, tubuh yang kurus, HDL yang tinggi dan trigliserida yang rendah tidak semestinya menjadikan LDL yang sangat tinggi bebas daripada risiko. Kita perlu menilai kesihatan berdasarkan bukti dan risiko keseluruhan, bukan penampilan fizikal semata-mata.

Dato' Dr.Rushdan Noor

9hb Nov 2026

RUJUKAN

1. Obesity Medicine Association. Obesity history, physical exam, laboratory, body composition, and energy expenditure: An Obesity Medicine Association Clinical Practice Statement (2022). 

2. Heymsfield SB et al. Are Lean Body Mass and Fat-Free Mass the Same or Different Body Components? A Critical Perspective. Advances in Nutrition, 2024. 

3. Methodological standards for body composition—an expert-endorsed guide for research and clinical applications. American Journal of Clinical Nutrition, 2025.



Friday, 6 November 2026

BAYI YANG TIDAK MENERIMA SUNTIKAN VIT K BERISIKO LEBIH TINGGI MENGALAMI PENDARAHAN OTAK DAN KEMATIAN : HASIL KAJIAN TERBARU

 


Kajian melibatkan 5.2 juta bayi di Amerika Syarikat mendapati bayi yang tidak menerima suntikan vitamin K selepas kelahiran mempunyai risiko pendarahan otak lebih dua kali ganda berbanding bayi yang menerimanya.

Satu kajian besar yang diterbitkan dalam jurnal perubatan berprestij JAMA pada 5 November 2026 telah memberikan bukti tambahan mengenai kepentingan suntikan vitamin K kepada bayi baru lahir.

Kajian retrospektif ini melibatkan seramai 5,240,780 bayi yang dilahirkan antara tahun 2017 hingga 2025 di hospital dan sistem kesihatan dari seluruh 50 negeri di Amerika Syarikat.

Antara penemuan utama kajian ialah:

1. Penolakan suntikan vitamin K semakin meningkat. Peratus bayi yang tidak menerima suntikan vitamin K meningkat daripada 3.1% pada tahun 2017 kepada 6.8% pada tahun 2025.

2. Risiko pendarahan keseluruhan meningkat 47%.Dalam tempoh enam bulan pertama kehidupan, kadar pendarahan ialah 288 bagi setiap 10,000 bayi yang tidak menerima vitamin K, berbanding 185.9 bagi setiap 10,000 bayi yang menerimanya.

3. Risiko pendarahan dalam otak meningkat lebih dua kali ganda.Kadar pendarahan intrakranium ialah 33 bagi setiap 10,000 bayi yang tidak menerima vitamin K, berbanding 13.2 bagi setiap 10,000 bayi yang menerima suntikan tersebut. Selepas pelarasan statistik, risiko relatifnya ialah 2.43 kali ganda.

4. Risiko kematian bersama diagnosis pendarahan juga lebih tinggi.Kadar yang dilaporkan semasa kemasukan kelahiran ialah 2.9 berbanding 1.1 bagi setiap 10,000 bayi, dengan risiko relatif terlaras sebanyak 2.69 kali ganda.

MENGAPA BAYI MEMERLUKAN VITAMIN K?

Vitamin K diperlukan untuk proses pembekuan darah yang normal. Bayi baru lahir mempunyai simpanan vitamin K yang rendah kerana pemindahan vitamin K melalui plasenta adalah terhad. Susu ibu juga mengandungi vitamin K dalam kuantiti yang rendah.

Kekurangan vitamin K boleh menyebabkan "Vitamin K Deficiency Bleeding (VKDB)", iaitu keadaan yang menyebabkan bayi mengalami pendarahan. Pendarahan boleh berlaku pada kulit, pusat, saluran penghadaman dan organ dalaman termasuk otak.

Pendarahan otak merupakan antara komplikasi paling serius kerana boleh menyebabkan kecacatan neurologi kekal dan kematian.

Suntikan vitamin K secara intramuskular selepas kelahiran merupakan langkah pencegahan yang sangat berkesan untuk mengurangkan risiko ini. Vitamin K bukan vaksin, tetapi sejenis vitamin yang diberikan sebagai profilaksis.

APAKAH KESIMPULANNYA?

Kajian ini mengukuhkan bukti bahawa pemberian suntikan vitamin K kepada bayi baru lahir bukanlah satu amalan perubatan yang boleh dipandang ringan atau dianggap tidak diperlukan.

Walaupun pendarahan akibat kekurangan vitamin K bukanlah kejadian yang kerap, akibatnya boleh menjadi sangat serius. Kita tidak sepatutnya menunggu sehingga bayi mengalami pendarahan baru mengambil langkah pencegahan.

Kajian ini merupakan kajian pemerhatian dan tidak membuktikan sebab-akibat secara mutlak. Namun, hasilnya konsisten dengan bukti saintifik terdahulu tentang keberkesanan vitamin K dalam mencegah VKDB.

Dalam perubatan, pencegahan komplikasi serius jauh lebih baik daripada merawatnya setelah berlaku. Suntikan vitamin K selepas kelahiran adalah salah satu langkah pencegahan yang terbukti penting untuk melindungi bayi.

Dato' Dr.Rushdan Noor

8hb Nov 2026


RUJUKAN 

Scott K, Handley SC, Lo JY, et al. Nonreceipt of Newborn Vitamin K and Risk of Bleeding. JAMA. Published online November 5, 2026. doi:10.1001/jama.2026.21764.




Thursday, 5 November 2026

APAKAH CEREBRAL PALSY?

 


APAKAH CEREBRAL PALSY?

Cerebral palsy (CP) atau palsi serebrum ialah sekumpulan gangguan yang menjejaskan pergerakan, kawalan otot, keseimbangan dan postur badan akibat kerosakan atau perkembangan otak yang tidak normal ketika otak masih dalam proses pembentukan. Keadaan ini biasanya berlaku semasa bayi dalam kandungan, ketika kelahiran atau pada peringkat awal kehidupan kanak-kanak.

BAGAIMANA CP BERLAKU 

Otak berfungsi sebagai pusat kawalan pergerakan badan. Ia menghantar isyarat kepada otot melalui saraf supaya kita boleh berjalan, duduk, memegang objek dan melakukan pelbagai pergerakan. 

Apabila bahagian otak yang mengawal pergerakan mengalami kecederaan atau perkembangan yang tidak normal, penghantaran isyarat ini boleh terganggu. Akibatnya, kanak-kanak mungkin mengalami kesukaran mengawal pergerakan dan otot mereka.

Antara faktor yang boleh meningkatkan risiko cerebral palsy ialah:

1. Kelahiran pramatang, khususnya bayi yang dilahirkan terlalu awal.

2. Berat badan lahir yang terlalu rendah.

3. Jangkitan tertentu semasa kehamilan yang boleh menjejaskan perkembangan otak janin.

4. Kekurangan oksigen atau gangguan bekalan darah ke otak dalam keadaan tertentu.

5. Pendarahan atau strok pada otak bayi.

6. Kecederaan otak akibat jangkitan serius atau trauma pada awal kehidupan.

Walau bagaimanapun, tidak semua kes mempunyai punca yang dapat dikenal pasti. CP juga tidak semestinya disebabkan oleh kesilapan ketika proses kelahiran.

APAKAH TANDA-TANDA CP

Tanda-tandanya berbeza antara seorang kanak-kanak dengan kanak-kanak yang lain, bergantung pada bahagian dan tahap kecederaan otak. Antara tanda yang boleh diperhatikan ialah:

1.Lambat mencapai perkembangan motor seperti mengangkat kepala, duduk, merangkak atau berjalan.

2. Otot terlalu tegang dan kaku (spasticity). Jika melibatkan otot muka dan mulut, mereka sukar mengawal expresi muka dan bertutur.

3. Otot terlalu lembik (hypotonia).

4.Pergerakan tangan dan kaki tidak seimbang atau sukar dikawal.

5. Berjalan berjengket atau menggunakan sebelah anggota badan lebih dominan.

6.Kesukaran menghisap, mengunyah atau menelan makanan.

7. Masalah keseimbangan dan koordinasi pergerakan.

Sesetengah kanak-kanak turut mengalami masalah lain seperti sawan, gangguan penglihatan, pendengaran, pertuturan, pembelajaran atau masalah tingkah laku. 

Namun, tidak semua kanak-kanak dengan cerebral palsy mempunyai masalah-masalah tersebut. Ada yang mempunyai kecerdasan dan keupayaan intelektual yang normal.

CP DAN KECERDASAN INTELEKTUAL

Salah satu salah faham yang sering berlaku ialah anggapan bahawa semua kanak-kanak dengan cerebral palsy mempunyai kecacatan intelektual.

Mereka kelihatan seperti orang yang terencat akal tetapi itu adalah manifestasi luar kawalan otot2 mereka, sedangkan kecerdasan otak mereka mungkin tidak terjejas.  

Ada kanak-kanak dengan cerebral palsy yang mempunyai kecerdasan normal, boleh belajar seperti kanak-kanak lain dan berpotensi mencapai pendidikan tinggi. Ada juga yang mengalami masalah pembelajaran atau kecacatan intelektual pada tahap yang berbeza-beza.

Keadaan ini bergantung pada bahagian otak yang terjejas serta sama ada terdapat gangguan lain yang turut melibatkan fungsi kognitif. 

Kesukaran bercakap atau mengawal pergerakan juga tidak bermakna seseorang itu mempunyai kecerdasan yang rendah. Sesetengah kanak-kanak mungkin memahami arahan dan berfikir dengan baik tetapi menghadapi kesukaran untuk menyampaikan apa yang difahami.

Oleh itu, penilaian kecerdasan kanak-kanak dengan cerebral palsy perlu mengambil kira keterbatasan fizikal, pertuturan dan komunikasi supaya keupayaan intelektual mereka tidak dinilai secara tidak tepat.

ADAKAH CP BOLEH SEMBUH 

CP merupakan keadaan neurologi yang kekal. Kerosakan atau gangguan perkembangan otak yang menyebabkannya tidak boleh dipulihkan dengan rawatan yang ada pada masa ini. Namun, ini tidak bermakna kanak-kanak tersebut tidak boleh berkembang atau mencapai kehidupan yang bermakna dan produktif.

Rawatan dan intervensi awal boleh membantu meningkatkan keupayaan fizikal, komunikasi dan kebolehan menjalani kehidupan seharian. Antara pendekatan yang digunakan ialah:

1.Fisioterapi:Membantu meningkatkan kekuatan otot, pergerakan sendi, keseimbangan dan keupayaan berjalan.

2.Terapi carakerja (occupational therapy): Membantu kanak-kanak melakukan aktiviti harian seperti makan, berpakaian dan memegang objek.

3.Terapi pertuturan:Membantu perkembangan komunikasi serta menangani masalah menelan jika ada.

4. Ubat-ubatan:Digunakan untuk mengurangkan kekejangan otot atau mengawal masalah tertentu seperti sawan.

5. Alat bantuan:Seperti pendakap anggota badan, alat berjalan dan kerusi roda bagi meningkatkan mobiliti dan kebebasan.

6. Pembedahan:Dalam kes tertentu, pembedahan boleh membantu mengurangkan kekejangan atau membetulkan masalah otot dan tulang.

Rawatan perlu disesuaikan dengan keperluan setiap kanak-kanak dan biasanya melibatkan pasukan multidisiplin.

BOLEHKAH CP DICEGAH

Tidak semua kes CP boleh dicegah. Walau bagaimanapun, penjagaan kehamilan yang baik, vaksinasi, pencegahan dan rawatan jangkitan semasa kehamilan, pengurusan faktor risiko kelahiran pramatang serta penjagaan bayi baru lahir yang berkualiti boleh mengurangkan risiko sesetengah kes.

Ibu bapa juga perlu mendapatkan pemeriksaan sekiranya mendapati anak mengalami kelewatan perkembangan motor atau tanda-tanda pergerakan yang tidak normal. Diagnosis dan intervensi awal boleh memberikan peluang yang lebih baik untuk mengoptimumkan perkembangan dan keupayaan kanak-kanak.

KESIMPULAN

Cerebral palsy bukan penyakit berjangkit dan bukan disebabkan oleh kelemahan didikan ibu bapa. Ia merupakan gangguan perkembangan neurologi yang berlaku akibat masalah pada otak yang sedang berkembang. Walaupun keadaan ini kekal sepanjang hayat, rawatan, rehabilitasi dan sokongan keluarga yang berterusan boleh membantu kanak-kanak mencapai tahap keupayaan terbaik mereka.

Perkara paling penting ialah jangan melabel atau memandang rendah keupayaan kanak-kanak dengan CP. Mereka juga mempunyai potensi untuk belajar, berkomunikasi, berdikari dan menyumbang kepada masyarakat, mengikut kemampuan masing-masing.

Dato' Dr.Rushdan Noor

6hb Nov 2026

1.CDC – Cerebral Palsy](https://www.cdc.gov/cerebral-palsy/

2. NHS – Cerebral Palsy](https://www.nhs.uk/conditions/cerebral-palsy/

3. WHO – World Health Organization](https://www.who.int/)

Wednesday, 4 November 2026

ADAKAH SARAPAN PAGI MEMUDARATKAN DAN IF BOLEH "SEMBUHKAN" SALURAN DARAH ?

 


Kebelakangan ini, ramai yang taksub dengan Intermittent Fasting (IF) sehingga menggambarkan sarapan pagi sebagai sesuatu yang memudaratkan, manakala berpuasa dianggap sebagai satu-satunya cara mutlak untuk membaiki salur darah.

Betul, IF memang ada manfaat metabolik untuk sesetengah orang. Tapi, mendakwa sarapan itu "berbahaya" adalah kenyataan yang terlalu simplistik dan tidak disokong oleh bukti saintifik yang kukuh.

APA KATA KAJIAN SAINS

Sebenarnya, banyak kajian menunjukkan tabiat meninggalkan sarapan pagi ("breakfast skipping") membawa risiko tersendiri:

1. Risiko Kematian Meningkat: Satu kajian sistematik & meta-analisis berskala besar pada tahun 2024 (melibatkan 9 kajian kohort prospektif dengan 242,095 peserta) mendapati mereka yang selalu skip sarapan mempunyai kaitan dengan:

a. Peningkatan risiko kematian semua sebab sebanyak 27%

b. Peningkatan risiko kematian akibat penyakit kardiovaskular (jantung) sebanyak 28%

2. Kolesterol LDL (Kolesterol Jahat) Naik: Walaupun kajian di atas bersifat pemerhatian (bukan sebab-akibat mutlak), satu lagi meta-analisis daripada ujian klinikal rawak (RCT) mendapati tabiat meninggalkan sarapan berpotensi meningkatkan paras kolesterol LDL dalam darah.

3. Risiko Kematian Kardiovaskular Jangka Panjang: Satu data yang dibentangkan di persidangan American Heart Association (AHA) 2024 (melibatkan data 20,000 orang dewasa) mendapati individu yang mengehadkan tempoh makan kurang daripada 8 jam sehari (seperti corak IF 16:8) dikaitkan dengan 91% peningkatan risiko kematian akibat penyakit kardiovaskular berbanding mereka yang makan dalam tempoh biasa 12 hingga 16 jam sehari. Kajian ini juga mendapati fasa makan yang terlampau singkat ini cenderung menyebabkan penyusutan jisim otot (lean muscle mass).

Walaupun kajian2 ini bukan RCTs  dan masih memerlukan lebih banyak kajian lanjut, tetapi ia memberi isyarat amaran awal bahawa fasa makan yang terlalu sempit untuk jangka masa bertahun-tahun mungkin ada kesan sampingan tersembunyi.

LONJAKAN INSULIN SELEPAS MAKAN ITU BAHAYA?

Ada juga teori yang menakut-nakutkan orang tentang kenaikan insulin selepas makan. Perlu faham, peningkatan insulin selepas kita makan adalah tindak balas fisiologi badan yang normal, bukannya satu penyakit (patologi). Badan kita memang dicipta untuk memproses tenaga daripada makanan!

SIAPA YANG TIDAK SESUAI AMALKAN IF

IF bukan untuk semua orang. Menggunakannya sebagai satu "ideologi wajib" untuk semua orang adalah tidak tepat. Antara golongan yang tidak sesuai atau perlu elakkan IF termasuklah:

1. Pesakit Diabetes (Kencing Manis) yang dirawat dengan ubat: Terutamanya yang mengambil ubat insulin atau ubat tertentu (seperti sulfonylureas) kerana berpuasa lama boleh menyebabkan fasa hipoglisemia (gula dalam darah düşen terlalu rendah) yang boleh membawa maut. Dapatkan nasihat doktor yang merawat.

2. Wanita Hamil, Menyusukan Anak, atau Sedang Merancang Kehamilan: Bayi dan janin memerlukan bekalan nutrien yang konsisten untuk tumbesaran. Fasa puasa yang ekstrem boleh mengganggu hormon dan bekalan susu.

3. Individu dengan Sejarah Gangguan Pemakanan ("Eating Disorders"): Mereka yang pernah mengalami anorexia, bulimia, atau binge-eating boleh menjadi lebih parah kerana corak IF boleh mencetuskan semula tabiat makan yang tidak sihat.

4. Golongan Kurang Berat Badan (Underweight / BMI < 18.5): IF boleh menyebabkan penurunan kalori yang tidak disengajakan, sekaligus memburukkan lagi masalah kekurangan berat badan dan kekurangan zat.

5. Warga Emas yang Lemah atau Uzur: Berisiko tinggi mengalami penyusutan jisim otot (sarcopenia) dan kekurangan zat makanan jika waktu makan mereka dihadkan.

6. Kanak-kanak dan Remaja (Bawah 18 Tahun): Masih dalam fasa pertumbuhan kritikal yang memerlukan tenaga dan nutrien yang mencukupi sepanjang hari.

KESIMPULAN 

Gaya pemakanan sepatutnya disesuaikan mengikut keperluan, kesihatan, dan fasa hidup individu masing-masing ("personalized nutrition"). Tiada satu kaedah pemakanan yang sempurna atau sesuai untuk semua orang. Ambil tahu corak badan sendiri, dan jika ada penyakit, berbincanglah dengan doktor atau pakar diet terlebih dahulu sebelum menukar diet secara ekstrem. Jangan taksub kepada mana2 pendekatan hingga menganggap itulah satu-satunya kaedah yang sempurna untuk semua orang.


Bacaan lanjut tentang IF di pautan ini: https://www.minda2tinta.com/2025/11/intermittent-fasting-bukan-untuk-semua.html?m=1


Dato' Dr.Rushdan Noor

5hb Nov 2026


RUJUKAN


1. Wang Y, et al. (2024). Food & Function. 15(11):5703–5713.

2. Yu J, et al. (2023). Frontiers in Endocrinology. 14:1256899.

3. Bonnet JP, et al. (2020). Obesity. 28(6):1098–1109.

4. Zhong VW, et al. (2024). Association of eating duration less than 8 h with all-cause and cardiovascular mortality. American Heart Association Scientific Sessions Abstract.

Tuesday, 3 November 2026

BENARKAH JUMLAH KOLESTEROL TIDAK PENTING?

 


BENARKAH JUMLAH KOLESTEROL TIDAK PENTING?

Apabila kita melakukan ujian darah untuk memeriksa profil lipid, salah satu bacaan yang biasanya tertera ialah Total Cholesterol (TC) atau jumlah kolesterol. Namun, adakah bacaan ini benar-benar penting dalam menentukan risiko seseorang mendapat penyakit jantung dan strok?

Jawapannya memerlukan sedikit penjelasan.

Total cholesterol bukan ukuran khusus risiko aterosklerosis. Ini kerana TC merupakan jumlah kolesterol yang dibawa oleh beberapa jenis lipoprotein dalam darah, termasuk LDL, HDL, VLDL dan remnant particles. Sedangkan tidak semua lipoprotein ini mempunyai sifat aterogenik yang sama.

Sebagai contoh, seseorang mungkin mempunyai TC yang tinggi kerana HDL-C (sering disebut kolesterol baik) juga tinggi, sedangkan LDL-C tidak meningkat. Sebaliknya, seseorang boleh mempunyai TC yang masih dalam julat normal tetapi LDL-C sudah tinggi. Oleh itu, TC sahaja tidak mencukupi untuk menentukan sama ada seseorang mempunyai risiko aterosklerosis yang tinggi atau rendah.

Jadi, apakah parameter yang lebih penting?

Kita perlu memberi perhatian kepada lipoprotein aterogenik, khususnya partikel yang mengandungi Apolipoprotein B (ApoB). Ini termasuk LDL, IDL, VLDL remnants dan Lp(a). Partikel-partikel ini boleh memasuki serta tertahan dalam dinding arteri, lalu mencetuskan proses pembentukan plak aterosklerosis.

Antara parameter yang berguna ialah:

1.LDL-C: Mengukur jumlah kolesterol yang dibawa oleh partikel LDL.

2.Non-HDL-C: Mengukur jumlah kolesterol dalam semua lipoprotein bukan HDL yang berpotensi aterogenik. Ia dikira dengan menolak HDL-C daripada TC.

3.ApoB: Memberikan gambaran tentang jumlah partikel lipoprotein aterogenik yang beredar dalam darah.

ApoB amat berguna apabila terdapat ketidakpadanan antara LDL-C dengan jumlah partikel aterogenik. Contohnya, seseorang mungkin mempunyai LDL-C yang tinggi tetapi ApoB yang normal. Ini menunjukkan bahawa bilangan partikel mungkin tidak setinggi yang disangkakan berdasarkan LDL-C sahaja. Walau bagaimanapun, LDL-C yang tinggi tetap tidak boleh diabaikan kerana kolesterol dalam partikel LDL juga mempunyai peranan dalam aterosklerosis.

Adakah ini bermakna kita tidak perlu melihat Total Cholesterol?

Tidak sepenuhnya. TC masih digunakan dalam sesetengah kalkulator risiko kardiovaskular. Sebagai contoh, kalkulator PREVENT-ASCVD yang digunakan dalam garis panduan ACC/AHA 2026 menggunakan TC bersama HDL-C dan beberapa faktor klinikal lain untuk menganggarkan risiko kejadian kardiovaskular dan strok ke atas individu yang tidak pernah mengalami penyakit ini ("primary prevention"). TC juga diperlukan untuk mengira non-HDL-C dan digunakan dalam sesetengah formula anggaran LDL-C.

Namun, kita perlu membezakan antara parameter yang digunakan untuk menganggarkan risiko dengan parameter yang menggambarkan beban lipoprotein aterogenik.

Skor ASCVD ini penting sebagai garispanduan untuk menentukan kaedah pencegahan yang perlu dilakukan termasuk keperluan untuk mengambil ubat kolesterol.

Kesimpulannya, jangan terlalu taksub dengan angka Total Cholesterol. TC yang tinggi tidak semestinya bermaksud seseorang mempunyai beban aterogenik yang tinggi, begitu juga TC normal tidak menjamin seseorang bebas daripada risiko aterosklerosis.

Dalam penilaian dan pencegahan penyakit kardiovaskular, perhatian lebih wajar diberikan kepada LDL-C, non-HDL-C dan ApoB, di samping faktor risiko klinikal yang lain.

Jadi, kita perlu ambil pendirian yang betul iaitu jumlah kolesterol masih ada kepentingannya dan tidak boleh diabaikan begitu saja.

Kita bukan sekadar mahu mengetahui berapa banyak kolesterol yang ada dalam darah. Kita mahu memahami berapa banyak partikel aterogenik yang beredar, bagaimana ia menyumbang kepada pembentukan plak dan bagaimana risiko penyakit kardiovaskular dapat dikurangkan berdasarkan bukti saintifik.


Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor

4hb Nov 2026







INTERMITTENT FASTING (IF): APA YANG ANDA PERLU TAHU

 



 
PENDAHULUAN

Intermittent Fasting (IF) mendapat populariti besar dalam kalangan orang ramai dan banyak dipromosi oleh pempengaruh kesihatan media sosial. Ramai yang mempromosikannya sebagai satu “jalan pintas” untuk kurus, sihat, dan kekal bertenaga, hingga ada yang disyorkan untuk merawat penyakit kronik. Namun, seperti mana-mana pendekatan pemakanan atau gaya hidup, IF bukan satu solusi sesuai untuk semua. Dalam artikel ini, saya ingin membincangkan definisi IF, kelebihan, kekurangan, dan potensi risiko jangka panjang agar pembaca dapat membuat keputusan yang bijak. 

APAKAH IF

Intermittent Fasting merujuk kepada corak makan di mana seseorang bergilir antara tempoh “berpuasa” dan tempoh “makan biasa.” Terdapat beberapa protokol IF, termasuk:

1. Time-Restricted Eating (TRE) di mana seseorang mengehadkan makan dalam jendela masa tertentu setiap hari (contohnya 8 jam makan / 16 jam puasa, dikenali sebagai “16:8”). 

2. Alternate-Day Fasting (ADF)  di mana hari berpuasa bergantian dengan hari makan biasa. 

3. Model lain seperti 5:2 diet, makan biasa lima hari seminggu, kemudian kurangkan kalori dengan ketara (contoh ~25% kalori biasa) pada dua hari. 

Tujuan utama IF sering kali ialah kawalan berat badan, pengurusan metabolik (gula, lipid), dan manfaat kesihatan seperti peningkatan sensitiviti insulin, pengurangan keradangan dan lain2 hingga ada yang boleh dianggap dakwaan keterlaluan.

KELEBIHAN  IF

Terdapat beberapa potensi manfaat IF, terutama untuk individu yang obes, berlebihan berat badan, atau mempunyai risiko sindrom metabolik. Antara kelebihan yang dilaporkan (walaupun tidak konsisten):

1. Penurunan berat badan dan lemak badan – kesannya hampir sama dengan diet kalori terhad (CR). Dalam satu kajian meta-analisis terhadap RCT terbitan BMJ 2025 (peer reviewed), hanya ADF didapati berkesan menurunkan sedikit berat badan (1.29kg) berbanding dengan TRE. Pengkaji mencadangkan kajian lanjut dilakukan.

2. Penambahbaikan metabolik – sensitiviti insulin, gula darah,  kolesterol dan trigliserida boleh bertambah baik. Namun, manfaat ini juga boleh dicapai melalui diet kalori terhad biasa (CR), dan meta-analisis terkini mendapati menggabungkan TRE + CR tidak memberi kelebihan tambahan. Malahan, kajian meta-analisis 2025 juga mendapati hanya ADF sahaja yang berkesan menurunkan kolesterol dan trigliserida. TRE tidak mempunyai kesan yang sama. Kesan positif ke atas lain2 parameter adalah kecil contohnya dari kajian meta-analisis oleh Yuan X et al, penurunan gula darah hanya 0.15 mmol/L, HbA1c 0.08, HOMA-IR hanya 0.31(petunjuk kerintangan insulin), LDL 0.22 mmol/L dan Trigliserida hanya 0.04 mmol/L. 

3. Penurunan keradangan dan penanda kardiometabolik – wujud dalam beberapa kajian, tetapi kesan jangka panjang belum jelas. Manakala kajian umbrella systemic review terbitan The Lancet 2024, mendapati IF tidak memberi kesan ke atas penanda keradangan seperti CRP, IL-6 dan lain2. Mengawal keradangan sahaja tidak mencukupi tanpa menurunkan LDL. Penyumbatan saluran darah masih boleh berlaku dengan tahap kolesterol LDL yang tinggi walaupun keradangan minima (contoh individu yang mengalami "familial hypercholesterolaemia")

4. Beberapa kajian menunjukkan IF dapat mengurangkan tekanan darah dan kadar rehat jantung, walaupun kesan jangka panjang masih belum diketahui sepenuhnya. Bagaimanapun, hasil kajian yang diterbitkan oleh BMJ dan The Lancet di atas mendapati kesan penurunan tekanan darah sangat minima hanya IF dari jenis ADF. Umbrella review yang menilai banyak meta-analisis RCT membuat kesimpulan bahawa " “The effects of intermittent fasting on blood pressure are small, inconsistent, and of low clinical relevance.”

5. Kesan terhadap hati berlemak (NAFLD) tidak dapat disahkan. Walaupun ada kajian yang IF berpotensi merawat hati berlemak, bukti masih lagi terhad dan tidak konklusif.

6. Mudah diikuti dan fleksibel: Dalam sesetengah protokol IF, anda tidak perlu kira kalori atau mengira setiap makronutrien, cukup ikut jendela makan/puasa, mungkin lebih praktikal untuk orang tertentu.

Perlu ditekankan bahawa kelebihan2 yang dinyatakan di atas adalah diperolehi oleh peserta2 kajian yang mengikuti program IF yang terancang dan dipantau dengan ketat oleh profesional. Di samping itu, tidak semua jenis IF memberi manfaat yang sama, satu kaedah lebih baik dari yang lain. Manfaat yang sama mungkin tidak dicapai di luar konteks penyelidikan jika diamalkan semberono tanpa pemantauan profesional.

KEBERKESANAN DAN MANFAAT IF DATANG DALAM PAKEJ

IF tidak berkesan secara bersendirian; manfaat biasanya datang sebagai satu pakej bersama amalan lain seperti kawalan kalori, kualiti diet yang lebih baik, peningkatan aktiviti fizikal, kurang stres dan tidur yang cukup. Ramai yang berjaya dengan IF sebenarnya lebih banyak dipengaruhi oleh gaya hidup keseluruhan, bukan kerana fasa berpuasa semata-mata. Tanpa diet yang seimbang dan rutin hidup sihat, IF mungkin tidak memberi apa2 manfaat, sebaliknya boleh memudaratkan. 

DAKWAAN TANPA BUKTI SAINTIFIK

Terdapat banyak lagi dakwaan2 yang ditokok tambah oleh pihak tertentu untuk mempromosikan IF secara berlebihan ("overclaim"). Ada di antaranya tidak ada asas sains. Di antara dakwaan tersebut adalah IF boleh “detox”, “reset hormon”, "reset usus", merawat diabetes tanpa ubat, menyembuhkan kanser, PCOS atau hati berlemak (NAFLD) serta memanjangkan umur. Ada juga yang mendakwa IF boleh mengawal berat badan dalam jangka masa panjang. Dakwaan2 ini tidak disokong bukti saintifik yang kukuh.

KEKURANGAN IF

Tetapi, IF juga ada had dan kekangan. Realiti menunjukkan bahawa ia tidak semestinya lebih baik daripada diet konvensional dan mungkin sukar dipraktikkan atau tidak sesuai untuk semua orang. Antara kekurangan dan keprihatinan ialah:

1. Bukti masih tidak konsisten / jangka pendek: Walaupun ada manfaat pada jangka pendek, banyak kajian terutama pada manusia, adalah kecil, bersifat sementara, dan dalam majoriti keadaan menunjukkan IF tidak jauh lebih unggul daripada diet kalori terhad biasa untuk jangka masa panjang. 

2. Kesukaran menyesuaikan gaya hidup / sosial: TRE mungkin menyekat makan waktu pagi atau malam, sesuatu yang sukar jika budaya atau rutin harian (keluarga, kerja, sosial) anda tidak selaras. 

3. Bukan sesuai bagi semua populasi: IF biasanya tidak disarankan untuk kumpulan tertentu contohnya, individu dengan gangguan tabiat makan ("eating disorders"), wanita hamil atau menyusukan bayi, individu tua lebih 75 tahun, terlalu muda (kurang dari 18 tahun), atau mereka dengan masalah kesihatan tertentu seperti diabetes yang tidak terkawal (rawatan intensif diperlukan), penyakit buah pinggang, penyakit hati cirrhosis dan dementia.

4. Kemungkinan kesan sampingan seperti yang dinyatakan di bawah. 

5. Perlu disiplin dan kesungguhan untuk mengamalkannya. Jika tidak diamalkan dengan betul, contohnya tidak cukup hidrasi semasa fasa berpuasa dan kualiti diet yang rendah ataupun mengambil kalori serta lemak berlebihan semasa fasa makan, amalan ini akan membawa lebih mudarat dari manfaat. 

KESAN SAMPINGAN ATAU KEBURUKAN IF 

Peringkat awal, pengamal boleh mengalami gejala pening, sakit kepala, loya, muntah, kesukaran untuk fokus, letih dan gangguan tidur. Kesan sampingan lebih serius tetapi jarang adalah dehidrasi, kekurangan nutrien dan kehilangan otot.

Selain kekangan di atas, terdapat risiko dan kesan yang lebih serius, terutamanya jika IF dilakukan tanpa pertimbangan individu atau pemantauan kesihatan.

Satu kajian terkini memberi amaran bahawa program IF dengan jendela makan kurang daripada 8 jam sehari dilaporkan mempunyai 91% peningkatan risiko kematian akibat penyakit kardiovaskular berbanding jendela makan biasa (12–16 jam). 

Ulasan baharu mendapati bahawa walaupun IF mempunyai manfaat metabolik, “ia mungkin lebih berisiko daripada manfaat” dalam sesetengah populasi, menunjukkan bahawa IF bukan pengganti ajaib untuk gaya hidup sihat contohnya diet Mediteranean yang universal dan konsep kalori defisit untuk mengurangkan berat badan. 

Kerana jendela makan yang terhad, individu mungkin terdedah kepada kekurangan nutrien terutama jika kualiti makanan dalam jendela makan kurang baik atau kesukaran memenuhi keperluan mikronutrien penting. Ini penting jika diet tidak dirancang dengan betul dan seimbang.

KESAN JANGKAPANJANG IF 

Manakala bukti jangka pendek untuk sesetengah manfaat agak meyakinkan, bukti jangka panjang bagi IF masih belum kukuh dan keputusan terkini mengingatkan kita bahawa ada potensi implikasi negatif jangka panjang, khususnya terhadap kesihatan saluran darah dan jantung. 

Keberkesanannya dalam mencegah penyakit kronik (seperti penyakit jantung, strok) dalam jangka panjang belum dibuktikan dengan konsisten. 

Tambahan pula, IF mungkin tidak berkesan atau bahkan bahaya bagi mereka yang mempunyai latar belakang penyakit seperti yang dinyatakan di atas. 

Salah faham pesakit yang berhenti mengambil ubat dan berpindah sepenuhnya kepada IF boleh berlaku dan ini boleh memudaratkan.

KESIMPULAN 

Intermittent Fasting boleh membantu sesetengah individu, khususnya yang obes atau mempunyai risiko metabolik. Walau bagaimanapun hasil dari semakan kajian2 menunjukkan hasil yang berbeza-beza. Hasil kajian yang positif pula menunjukkan angka penurunan parameter metabolik yang kecil. IF bukan jawapan untuk semua orang. Kajian lanjut diperlukan untuk melihat manfaat sebenar IF.

Bukti terkini menunjukkan potensi risiko penyakit kardiovaskular jika jendela makan terlalu singkat atau amalan dilakukan tanpa pemantauan.

Oleh itu, IF harus dilihat sebagai satu di antara banyak pilihan gaya hidup/pemakanan bukan sebagai solusi ajaib. Keputusan untuk mengamalkannya perlu berdasarkan keadaan individu: status kesihatan, gaya hidup, diet seimbang, dan kesediaan untuk menyesuaikan rutin secara berterusan.

Mendapat nasihat kesihatan (doktor atau pakar pemakanan) adalah perlu sebelum memulakannya, terutama bagi mereka yang mempunyai penyakit kronik atau faktor risiko. Sebenarnya, dalam keadaan biasa kita sudah mengamalkan IF di mana waktu berpuasa adalah semasa tidur, jadi kesan positif masih bergantung kepada kualiti diet, banyaknya tenaga yang diambil dan tenaga yang dibakar ketika tempoh makan.

Dato' Dr.Rushdan Noor

1hb Disember 2025


RUJUKAN 

1. American Heart Association. (2024). 8-hour time-restricted eating linked to a 91% higher risk of cardiovascular death. American Heart Association Newsroom.

https://newsroom.heart.org/news/8-hour-time-restricted-eating-linked-to-a-91-higher-risk-of-cardiovascular-death

2. Alorfi NM, Ashour AM. The Impact of Intermittent Fasting on Non-Alcoholic Fatty Liver Disease in Older Adults: A Review of Clinicaltrials.gov Registry. Diabetes Metab Syndr Obes. 2023 Oct 6;16:3115-3121

3. BBC News. (2024). Intermittent fasting: Helpful or harmful?

https://www.bbc.com/news/articles/c0l6ye6xe12o

4. Harvard Health Publishing. (2020). Not so fast: Pros and cons of the newest diet trend.

https://www.health.harvard.edu/heart-health/not-so-fast-pros-and-cons-of-the-newest-diet-trend

5. Healthline. (2023). Intermittent fasting guide for beginners: Benefits, safety, and how it works.

https://www.healthline.com/nutrition/intermittent-fasting-guide

6. Johns Hopkins Medicine. (2022). Intermittent fasting: What is it, and how does it work?

https://www.hopkinsmedicine.org/health/wellness-and-prevention/intermittent-fasting-what-is-it-and-how-does-it-work

7. Mass General Brigham. (2023). Pros and cons of intermittent fasting.

https://www.massgeneralbrigham.org/en/about/newsroom/articles/pros-and-cons-of-intermittent-fasting

8. Mason, A. E., et al. (2020). Intermittent fasting does not work for everyone, study finds. News-Medical.

https://www.news-medical.net/news/20200526/Intermittent-fasting-does-not-work-for-everyone-study-finds.aspx

9. National Institutes of Health. (2019). Fast or not to fast? NIH News in Health.

https://newsinhealth.nih.gov/2019/12/fast-or-not-fast

10. Regmi, P., & Heilbronn, L. (2024). Time-restricted eating: A review of current evidence and long-term safety considerations. Nutrients.

https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/38910053/

11. Sun, JC., Tan, ZT., He, CJ. et al. Time-restricted eating with calorie restriction on weight loss and cardiometabolic risk: a systematic review and meta-analysis. Eur J Clin Nutr 77, 1014–1025 (2023). https://doi.org/10.1038/s41430-023-01311-w

12. Scientific American. (2024). Is intermittent fasting helpful or harmful?

https://www.scientificamerican.com/article/is-intermittent-fasting-helpful-or-harmful/

13. Shalabi, H., et al. (2023). Intermittent fasting: Benefits, adverse effects, and quality of life implications. Journal of Nutrition & Metabolism.

https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC9998115/

14. Song, D. K., et al. (2022). Beneficial effects of intermittent fasting: A narrative review. Metabolic Syndrome and Related Disorders.

https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC9946909/

15. Sun, Ming-Li et al. Intermittent fasting and health outcomes: an umbrella review of systematic reviews and meta-analyses of randomised controlled trials. eClinicalMedicine, 2024, Volume 70, 102519

16. Yuan X, Wang J, Yang S, Gao M, Cao L, Li X, Hong D, Tian S, Sun C. Effect of Intermittent Fasting Diet on Glucose and Lipid Metabolism and Insulin Resistance in Patients with Impaired Glucose and Lipid Metabolism: A Systematic Review and Meta-Analysis. International Journal of Endocrinology. 2022; Mar 24;2022:6999907.

17. Zhang, Y., et al. (2025). Association of time-restricted eating windows with cardiovascular mortality: Analysis of 19,831 adults. Clinical Nutrition.

https://www.sciencedirect.com/science/article/abs/pii/S1871402125000955



Sunday, 1 November 2026

ADA KAJIAN MENUNJUKKAN KANAK-KANAK YANG TIDAK MENERIMA VAKSIN LEBIH TINGGI KADAR AUTISME

KAJIAN YANG MENGESAN LEBIH TINGGI KADAR AUTISME DALAM KALANGAN YANG TIDAK MENGAMBIL VAKSIN

Tentu anda mendengar dakwaan bahawa vaksin, terutamanya vaksin MMR (Measles, Mumps, Rubella), boleh menyebabkan autisme?

Mitos yang bermula sejak tahun 1998 ini telah berulang kali disangkal oleh dunia sains.

Namun, salah satu dari banyak bukti kukuh dan terbesar yang meruntuhkan mitos ini datang daripada sebuah kajian gergasi di Denmark yang diterbitkan dalam jurnal perubatan berprestij, Annals of Internal Medicine.

Menariknya, kajian ini bukan sahaja menunjukkan vaksin itu selamat, malah data mencatatkan kadar diagnosis autisme yang sedikit lebih tinggi dalam kalangan kanak-kanak yang TIDAK menerima vaksin.

APA YANG DITUNJUKKAN OLEH DATA ?

Kajian ini menjejaki seramai 657,461 kanak-kanak dalam tempoh yang panjang (dari tahun 1999 hingga 2010). Hasil pemerhatian mendapati:

1. Kumpulan Tidak Divaksinasi: Mencatatkan kadar diagnosis autisme sebanyak 2.6% menjelang usia 14 tahun.

2. Kumpulan Divaksinasi: Mencatatkan kadar diagnosis autisme sebanyak 2.1% pada usia yang sama.

Untuk bersikap adil dan objektif, setiap kajian saintifik mempunyai kekuatan dan hadnya yang tersendiri:

KEKUATAN KAJIAN

1. Saiz Populasi Gergasi: Melibatkan lebih setengah juta kanak-kanak, sekali gus meminimalkan ralat statistik.

2.Tiada Ralat Ingatan (Recall Bias): Data diambil terus daripada daftar kesihatan kebangsaan Denmark yang rasmi, bukannya bersandarkan temu bual ingatan ibu bapa.

3. Kumpulan Berisiko Turut Dikaji: Penyelidik turut meneliti kanak-kanak yang mempunyai abang atau kakak yang menghidap autisme (kumpulan berisiko genetik), dan keputusan tetap sama — vaksin tidak mencetuskan autisme.

LIMITASI KAJIAN

Sebagai sebuah kajian pemerhatian (observational study), perbezaan 0.5% ini tidak boleh diterjemahkan sebagai hubungan sebab-akibat langsung (iaitu tidak bermakna tidak divaksin adalah punca langsung autisme). Terdapat faktor luaran lain, seperti healthy vaccinee effect, di mana sebahagian kecil ibu bapa yang mendapati anak mereka menunjukkan kelewatan perkembangan awal bertindak untuk menangguhkan atau tidak mengambil vaksin.

MESEJ TERPENTING : KEKUATAN KONSENSUS GLOBAL

Mesej paling kritikal yang perlu kita fahami bukanlah tentang perbezaan angka 0.5% tersebut. Nilai terbesar kajian Denmark ini terletak pada fungsinya sebagai satu daripada tiang bukti utama dalam sains perubatan moden.

Apabila data gergasi ini digabungkan dengan puluhan kajian bebas lain dari seluruh dunia yang melibatkan jutaan sampel kanak-kanak, semuanya memberikan keputusan yang konsisten: Vaksin tidak menyebabkan autisme.

Bukti kolektif (cumulative evidence) yang menyeluruh inilah yang membentuk konsensus saintifik global. Vaksin kekal sebagai salah satu ciptaan terbaik perubatan untuk melindungi anak-anak kita daripada ancaman penyakit berbahaya.

Sebarkan fakta, hentikan mitos!

Dato' Dr.Rushdan Noor
2 hb Nov 2026

RUJUKAN

1. Hviid, A., Hansen, J. V., Frisch, M., & Melbye, M. (2019). Measles, Mumps, and Rubella Vaccination and Autism: A Nationwide Cohort Study. Annals of Internal Medicine, 170(8), 513–520.

2. Analisis Data Visual oleh Clearvue Health.





Friday, 30 October 2026

MAKLUMAT PALSU PUNCA STRES

 


Kebanjiran maklumat di era digital kini bertukar menjadi satu bebanan mental yang berat kepada masyarakat. 

Berdasarkan kajian Stress in America 2026 oleh American Psychological Association (APA), sebanyak 64% rakyat Amerika meletakkan penyebaran maklumat palsu atau mengelirukan sebagai punca utama stres mereka. 



Fenomena ini berkait rapat dengan Brandolini's Law (Prinsip Asimetri Nonsen), yang menyatakan bahawa tenaga yang diperlukan untuk membetulkan sesuatu maklumat palsu adalah jauh lebih besar dan memakan masa berbanding dengan mencipta atau menyebarkannya.



Contoh terbaik adalah isu kolesterol dan Statin.

Terdapat naratif viral di media sosial yang mendakwa kolesterol sama sekali tidak berbahaya, serangan jantung hanyalah rekaan, dan ubat penurun kolesterol (statin) adalah konspirasi syarikat farmaseutikal yang merosakkan organ badan. 

Akibatnya, ada pesakit yang bertindak menghentikan ubat secara melulu tanpa nasihat perubatan, sekali gus membahayakan nyawa mereka sendiri. Tidak kurang yang beraleh kepada alternatif yang kurang berkesan dan tidak diketahui kesan jangka panjang.

Begitu juga dengan mitos vaksin punca autisma dan banyak lagi salah faham kesihatan yang disebarkan. Ibubapa jadi takut dan keliru. Sehingga penyakit2 berjangkit yang sudah lama hilang, muncul kembali akibat liputan vaksin yang rendah.

MENGAPA MAKLUMAT PALSU MUDAH TIMBUL DAN DISEBARKAN

Terdapat beberapa faktor utama yang mendorong ekosistem maklumat yang tidak sihat ini:

1. Algoritma Media Sosial: Platform digital direka untuk mengutamakan kandungan yang mencetuskan emosi keterlaluan (seperti takut, marah, atau kejutan). Maklumat palsu selalunya lebih sensasi berbanding fakta sains yang dianggap hambar.

2. Keuntungan Ekonomi dan Pengaruh: Penghasilan berita palsu seumpama ini mampu menjana pulangan iklan yang lumayan serta meningkatkan jumlah pengikut (followers) dengan cepat. Tidak kurang yang menjual produk alternatif yang kononnya lebih baik. Industri wellness menyediakan kek pendapatan yang jauh lebih besar dari apa yang dihasilkan oleh syarikat farmaseutikal.

3. Kos Penghasilan yang Rendah: Mengikut Brandolini's Law, sesiapa sahaja boleh menaip satu baris kenyataan palsu dalam masa 5 saat tanpa sebarang rujukan. Sebaliknya, proses semakan fakta secara ilmiah memerlukan pembacaan jurnal berjam-jam lamanya, itupun belum tentu mampu menangkis mitos yang disebarkan.

IMPLIKASI TERHADAP INDIVIDU DAN MASYARAKAT

1. Kelesuan Kognitif ("Cognitive Fatigue"): Otak manusia menjadi penat kerana sentiasa berada dalam mode curiga, takut dan terpaksa memikirkan kesahihan setiap berita yang dibaca.

2. Kehilangan Kepercayaan: Masyarakat mula hilang kepercayaan kepada institusi arus perdana, pakar perubatan, dan badan kerajaan, lalu beralih kepada pengamal alternatif dan percaya kepada teori konspirasi yang tidak berasas.

3. Keputusan Kesihatan yang salah: Kekeliruan maklumat boleh membawa kepada peningkatan kes penyakit kritikal yang sepatutnya boleh dicegah awal atau dirawat jika pesakit mendapat rawatan yang betul.

CARA BIJAK MENAPIS MAKLUMAT DI MEDIA SOSIAL

Bagi mengurangkan stres dan melindungi diri daripada manipulasi maklumat, kemampuan untuk menapis msklumat amat diperlukan:

1. Semak Label dan Sumber Asal: Apabila menerima sesuatu maklumat kesihatan atau berita penting, pastikan anda menyemak label fizikal ubat, kategori produk, nombor pendaftaran, hologram, merujuk portal rasmi seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), atau dapatkan nasihat dari pakar.

2. Gunakan Kaedah Tiga Pilihan (Differential Check): Jika menemui sesuatu dakwaan perubatan yang meragukan di internet, jangan terus membuat kesimpulan. Sentiasa cari sekurang-kurangnya tiga sumber atau pandangan pakar perubatan yang berbeza dan bertauliah untuk mendapatkan gambaran yang seimbang dan berasaskan konsensus sains. Bukan pakar segera ataupun pempengaruh media sosial yang tidak layak. Pilih pakar mengikut kepakaran, contohnya pakar jantung, pakar kanser, pakar endokrin dan seterusnya.

3. Jika terjumpa rencana tentang kesihatan, jangan terus membaca. Selidik dahulu penulis dan kelayakannya. Sumber rujukan penulis dan semak latar belakang portal yang menyiarkan rencana itu. Jangan baca jika identiti penulis tidak diketahui, takut anda terperangkap dalam algoritma maklumat palsu.

4. Amalkan Sikap "Sabar Sebelum Kongsi": Fikirkan impak maklumat tersebut sebelum menekan butang kongsi. Jika maklumat itu tidak mempunyai rujukan daripada jurnal atau pakar yang sahih, hentikan penyebarannya. Jangan share screenshot atau posting pendek yang tidak diketahui penulis dan sumber.


Dato"Dr.Rushdan Noor

1hb Nov 2026