Thursday 16 May 2024

DILEMA PEGAWAI PERUBATAN KONTRAK

 

Pada tahun 2022, seramai 3215 Pegawai Perubatan Kontrak (PPK) telah ditawarkan jawatan tetap, hanya 2% yang menolak. Tetapi pada tahun 2023, penolakkan meningkat kepada 20.3% di mana dari sejumlah 5489 PPK yang ditawarkan jawatan tetap, 1118 orang telah menolak (sumber data, rujuk pautan di bawah).

Pihak bertanggungjawab perlu mengkaji mengapa kadar penolakkan ini terlalu besar sedangkan inilah salah satu perkara yang PPK perjuangkan selama ini. Ada beberapa kemungkinan :

1. Perlu dipindahkan ke hospital atau pusat kesihatan lain yang tidak dipersetujui oleh pegawai atas pelbagai alasan.

2. Masalah seniority dan gaji, di mana tempoh khidmat semasa bertugas sebagai PPK tidak diambil kira untuk kenaikan gred jawatan ataupun tangga gaji setara dengan pegawai tetap. Gaji permulaan mereka untuk skim baru mungkin lebih rendah dari  gaji akhir mereka sebagai PPK. Mereka juga tidak layak untuk membuat tuntutan perjalanan semasa berpindah ke tempat kerja baru.

3. Sudah ada perancangan untuk meletak jawatan ke sektor swasta, ke universiti atau ke luar negara disebabkan pelbagai alasan (persekitaran kerja yang toksik, isu imbuhan, tawaran lebih baik, keluarga, dan lain2)

4. Sudah tidak berminat untuk jadi doktor, mungkin menukar profesion

5. Lain2

Kalau kita diberikan data2 yg lebih terperinci tentang punca2 penolakkan di atas dan peratusannya, kita akan dapat gambaran yang lebih jelas. Walau apapun, punca no 2, iaitu isu berkaitan dengan seniority dan kenaikan gaji adalah isu yang sangat penting dan diharap pihak yang berkewajipan dapat menyelesaikannya. Isu no 3 juga perlu diberi perhatian serius terutama faktor2 "menolak" ("pushing factors") seperti persekitaran kerja yang toksik dan budaya buli. 

Bilangan yang menolak jawatan tetap ini diharap akan dimasukkan ke dalam jumlah peruntukan tawaran jawatan tetap yang sedia ada agar dapat dibawa ke hadapan dan juga memberi peluang kepada PPK yang gagal mendapat jawatan tetap membuat rayuan. Manakala PPK yang ditamatkan jawatan juga diberi peluang untuk mambuat rayuan samada untuk dapat kekal sebagai pegawai kontrak ataupun jika prestasi mereka baik, diberikan jawatan tetap. Secara peribadi, saya berpendapat bahawa PPK tidak sepatutnya ditamatkan jawatan mereka melainkan jika ada masalah prestasi dan disiplin yang serius. Kita masih kekurangan pegawai perubatan, lagipun pegawai di bawah skim kontrak tidak memerlukan tambahan perjawatan baru.

Setakat ini proses penambahbaikan sedang dilaksanakan seperti peluang yang sama untuk melanjutkan pelajaran ke ijazah lanjutan. Kita masih menunggu langkah2 lanjut dari pihak KKM. YBMK juga telah berjanji untuk memberi perhatian serius tentang isu ini. Perlu ada komunikasi yang lebih berkesan di antara penggubal dasar dan kepimpinan KKM dengan pihak yang terlibat serta badan2 yang berkaitan seperti MMA. Ini termasuklah maklumat tentang proses dan kriteria tapisan ke jawatan tetap,  melanjutkan tempoh PPK dan menamatkan jawatan PPK. Banyak masalah dan ketidakpuasan dapat diselesaikan melalui ketelusan dan komunikasi yang berkesan. Tambahan pula ramai pihak yang membawa masalah peribadi ataupun kes2 terpencil ke media sosial dan tersebar luas hingga orang ramai boleh membuat persepsi yang berbeza dari realiti.

Akhir sekali saya ingin mencadangkan agar KKM dapat membuat penilaian yang lebih menyeluruh berkenaan dengan status keperluan sebenar pegawai perubatan dan pakar2 berdasarkan kepada beban serta kompleksiti kerja, menggunakan indikator yang lebih tepat. Penilaian ini diharap dapat menentukan jumlah sebenar bilangan pegawai yang diperlukan agar dapat merancang target minima keperluan tambahan pegawai setiap tahun dan projeksi 10-20 tahun akan datang. Melalui penilaian ini juga, kita dapat mengetahui keperluan sebenar petugas perubatan bagi setiap fasiliti kesihatan dan perubatan supaya dapat dilakukan pengagihan semula ("redistribution") pegawai2 ini. Pengagihan semula ini dapat memastikan setiap fasiliti mempunyai bilangan pegawai yang setara berdasarkan kepada beban kerja masing-masing. Di samping itu KKM juga perlu menentukan senarai tugas bagi setiap kategori petugas perubatan daripada peringkat bawah hinggalah ke peringkat teratas agar beban tugas ini lebih adil mengikut kategori petugas, kelayakan dan pangkat. Ini dapat memastikan tidak ada pihak yang menekan pihak lain melakukan tugas yang sepatutnya dilakukan oleh mereka. Penilaian 360 darjah perlu dilakukan ke atas semua kategori petugas termasuk Pengarah dan Ketua Jabatan/Unit bagi mengenalpasti persekitaran kerja yang toksik dan punca-puncanya. Pihak pentadbiran wajib memantau semua jabatan dan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang menjadi punca kepada kes-kes buli dan persekitaran kerja yang toksik. Mengujudkan komunikasi yang lebih berkesan antara pihak atasan dengan pihak yang terlibat serta pertubuhan2 kebajikan petugas perubatan akan mengurangkan isu ketidakpuasan dan lebih mudah menyelesaikan masalah.

Baca juga tulisan saya tentang cabaran doktor kontrak yang meletakkan jawatan, klik paparan ini.klik paparan ini.

Dato'Dr Rushdan Noor

17hb Mei 2024



Rujukan:

https://codeblue.galencentre.org/2024/03/25/contract-doctors-resignation-trend-rising-moh-to-cut-permanent-appointment-offers-by-31-for-2024-2025/



No comments:

Post a Comment