Thursday, 23 May 2024

BENARKAH DURIAN BELANDA BOLEH MERAWAT KANSER ?

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor



Pada hari ini terlalu banyak dakwaan ubat anti-kanser yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu yang kebanyakkannya tidak diketahui asal usul dakwaan tersebut. Walaupun ada di antara dakwaan tersebut mempunyai asas tetapi kesimpulan yang dibuat terlalu awal. Sepatutnya ahli-ahli sains yang menjalankan kajian pra-klinikal tidak mengheboh-hebohkan hasil kajian kerana ia akan memberi kesan kepada persepsi dan salah faham sehingga ada dalam kalangan orang awam yang terus mengambilnya sebagai satu bukti kebenaran. Apa yang dikhuatiri adalah jika maklumat ini diterima oleh orang yang berkepentingan untuk meraih keuntungan dan mereka akan menghasilkan sendiri produk kesihatan yang kemudiannya didakwa boleh mencegah dan merawat kanser.

Di dalam bab ini saya akan menerangkan apakah sebenarnya khasiat buah durian belanda dan adakah ianya benar-benar boleh mencegah dan merawat penyakit kanser. Sebelum membaca bab ini saya sangat menganjurkan anda untuk membaca bab yang lepas berkenaan dengan kaedah membuktikan keberkesan produk kesihatan supaya mendapat gambaran yang jelas bagaimana ahli sains membuktikan keberkesanan sesuatu produk kesihatan ataupun ubat-ubatan.

DURIAN BELANDA

Durian belanda juga dikenali sebagai Graviola dan dalam bahasa Inggeris dipanggil soursop. Durian belanda adalah buah berduri bewarna hijau yang pokoknya boleh didapati di negara Afrika, Amerika Selatan dan juga di Asia Tenggara. Mempunyai isi yang lembut bewarna putih dan rasanya masam-masam manis. Nama saintifik pokok ini adalah Annona Muricata. Seperti mana buah-buahan dan tumbuhan lain, terdapat banyak sebatian kimia yang terkandung di dalamnya, salah satu kompoun yang dikatakan aktif di dalam buah durian belanda adalah Annonaceous Acetogenins. 

Terdapat banyak jenis sebatian kimia yang dikategorikan di bawah Acetogenins ini termasuk Annonacin, Bullatacin, Isoquinolin dan lain-lain. Pada awalnya daun dan buah durian belanda ini digunakan oleh penduduk Afrika dan Amerika Selatan untuk tujuan merawat jangkitan virus serta parasit, sakit sendi dan kemurungan. Mungkin disebabkan banyak dakwaan pengubatan tentang pokok ini, maka ahli sains telah membuat kajian. Apabila ahli sains hendak menjalankan kajian terhadap sesuatu jenis tumbuhan ataupun buah-buahan, mereka akan terlebih dahulu melakukan pencarian maklumat dan setelah mendapat cukup maklumat barulah mereka akan merancang untuk melakukan kajian. Kajian peringkat awal dinamakan kajian pra-klinikal yang hanya bertujuan untuk melihat adakah bukti keberkesanan ke atas sel-sel di luar badan manusia sebelum diuji ke atas manusia. Peringkat pra-klinikal ini pula terbahagi kepada dua iaitu peringkat menggunakan bahan mentah untuk menentukan terdapatnya kesan positif dan ujian ini dilakukan sama ada ke atas haiwan ataupun lapisan-lapisan sel kanser (cancer cell-line). Kajian ini dilakukan di dalam makmal.  Setelah mendapati ada kesan positif, ahli sains kemudiannya akan menentukan apakah bahan kimia aktif (extracts) tersebut dan proses penulenan mengeluarkannya akan dilakukan. Menggunakan ekstrak tersebut, ahli sains akan melakukan ujian ke atas haiwan untuk melihat keberkesanan dan juga kesan sampingan. Pada peringkat pra-klinikal ini, kesan ke atas manusia belum lagi diketahui jadi hasil daripada kajian pra-klinikal ini tidak boleh langsung digunakan sebagai alasan untuk diamalkan oleh manusia. Kajian klinikal fasa 1, 2 dan 3 perlu dilakukan terlebih dahulu. 

KAJIAN KE ATAS DURIAN BELANDA

Kajian yang dilakukan ke atas pokok durian belanda telah dilaporkan di dalam jurnal seawal tahun 1996 tetapi sehingga hari ini hanya kajian pra-klinikal sahaja yang dilakukan. Kajian-kajian tersebut pula menggunakan ekstrak durian belanda dan bukannya pokok serta buah durian belanda mentah, sama ada diproses ataupun dijadikan jus. Di dalam kajian tersebut, lapisan sel-sel yang disimpan di dalam makmal digunakan dan bukannya ke atas manusia. Lapisan sel-sel kanser ini pula bukan mewakili semua jenis kanser, tetapi sel-sel kanser hati, usus besar dan payudara. Bilangan kajian yang dijalankan pula sangat terhad dan jika menggunakan enjin pencarian Pubmed, kurang daripada 10 kertas kajian sahaja yang ditemui mengenai durian belanda dan kanser. Kesemuanya adalah kajian pra-klinikal yang dijalankan di dalam makmal. Belum terdapat kajian klinikal ke atas manusia yang dijalankan setakat ini. 

Adalah sama sekali tidak benar jika ada yang mendakwa bahawa terdapat terlalu banyak kajian tentang keberkesanan durian belanda ke atas penyakit kanser. Di dalam semua laman web pertubuhan kanser di seluruh dunia juga tidak ada yang bersetuju dengan dakwaan durian belanda sebagai anti-kanser, contohnya di dalam laman web Cancer Research UK ada diletakkan kenyataan bahawa ”Many sites on the internet advertise and promote graviola capsules as a cancer cure, but none of them are supported by any reputable scientific cancer organisations.” Manakala di dalam laman web Cancer Network pula dinyatakan: “Despite the absence of supportive data, graviola, like many herbal products, is heavily promoted to cancer patients on the Internet, often with false claims of cure. Patients should be cautioned against herbal supplement use when on treatment.”

Dakwaan yang mengatakan buah durian belanda mempunyai kekuatan 10,000 kali lebih kuat melawan kanser daripada rawatan kemoterapi pula adalah sangat mengelirukan. Dakwaan ini dibuat berdasarkan kepada kajian yang dilakukan pada tahun 1996 yang menggunakan ekstrak daripada biji buah durian belanda. Kajian makmal itu dilakukan di dalam makmal ke atas lapisan sel kanser usus besar. Proses mengekstrak bahan kimia pula adalah menggunakan teknologi makmal dan daripada 5 kompoun baru yang ditemui, kompoun yang dinamakan cisannonacin didapati memberi kesan positif merencat sel yang membiak. Ubat kemoterapi yang dibandingkan pula adalah Adriamycin yang pada hari ini sudah jarang digunakan oleh pakar kanser. Sudahlah ianya kajian makmal, kanser yang dikaji pula hanya kanser usus dan hanya melibatkan satu jenis ubat anti-kanser. 

Masih terlalu awal dakwaan tersebut boleh dilakukan kerana kajian pra-klinikal pun belum lengkap, apatah lagi kajian klinikal fasa 1 dan seterusnya. Tambahan pula kebanyakan ubat anti-kanser diberikan melalui suntikan kerana ubat yang diambil melalui mulut perlu melalui kesan asid perut dan pelbagai halangan sebelum diserapkan ke dalam aliran darah. Jadi ahli-ahli sains perlu terlebih dahulu mengkaji apakah kaedah pemberian yang terbaik sebelum meneruskan kajian lanjut. Hari ini peniaga menjual jus dan kapsul buah durian belanda yang dihasilkan sendiri. Mungkin apa yang ada di dalamnya adalah pewarna, perasa dan pengawet. Jika pun ada pati durian belanda, mungkin daripada isinya dan bukan daripada bijinya. Walau bagaimanapun mengambil buah durian belanda termasuk meminum jus segar tulen durian belanda secara sederhana adalah baik sebagai sumber air, vitamin, mineral dan serat.

KESAN SAMPINGAN PENGAMBILAN PRODUK DURIAN BELANDA

Hari ini amalan mengambil produk durian belanda ini di dapati meluas lebih-lebih lagi ketika musim kempen makan buah durian belanda dan promosi mengaitkan  durian belanda dengan rawatan kanser. Seperti biasa, kempen-kempen seumpama ini akan berakhir dan kemudiannya akan diganti pula dengan kempen produk "anti-kanser" yang lain pula. Seorang Penyelidik daripada AIBMR Life Sciences telah menulis kebimbangan beliau terhadap kesan sampingan pengambilan produk durian belanda terutamanya daripada salah satu kompoun yang bernama annonacin yang berpotensi menyebabkan kerosakan saraf (neurotoxicity). Satu lagi kompoun adalah isoquinolin yang juga boleh memberi kesan kepada sistem saraf pusat, kedua-dua kompoun ini boleh menembusi lapisan otak dan ditemui terutamanya di bahagian daun dan isi buah  durian belanda. Kajian epidemiologi telah menunjukkan bahawa terdapat kaitan di antara pengambilan buah durian belanda dengan kadar kejadian penyakit Parkinson’s yang luar biasa (atypical Parkinson's disease), contohnya  di Pulau Guam , kepulauan utara Mariana, Western New Guinea dan Semenanjung Kli di Jepun. Perubahan diet penduduk di Pulau Guam khususnya pengurangan pengambilan produk yang berasaskan durian belanda telah mengurangkan kadar kejadian penyakit Parkinson tersebut. Dakwaan ini disokong oleh beberapa kajian makmal yang dilakukan seperti yang tersenarai di dalam rujukan di bawah.

PRODUK BUATAN SENDIRI DALAM BENTUK JUS, PIL DAN KAPSUL

Ahli sains yang pakar dalam bidang ubat2an perlu melakukan proses ektraksi (menapis dan memisahkan) sebatian2 kimia dari sumber asal dan mengukur kuantiti ataupun dos yang perlu diberikan. Ini dilakukan melalui tindakbalas kimia yang kompleks dalam makmal. Kaedah pemberian ubat-ubat ini juga perlu ditentukan kerana banyak ubat-ubat atau sebatian kimia ini tidak boleh diambil melalui makan/minum kerana akan dimusnahkan oleh asid perut dan metabolisma hati.

Penjual ubat yang menyediakan sendiri ataupun melalui kilang-kilang yang menghasilkan serbuk, kapsul, pil atau jus, kemudian mendakwa berkesan merawat penyakit kronik sedang melakukan sesuatu yang bukan bidang kepakaran mereka dan ianya berpotensi memudaratkan pengguna. Kaedah penyediaan yang tidak betul boleh menyebabkan bahan-bahan ini tercemar dengan sebatian kimia beracun, mikroorganisma dan lain-lain. Sebatian kimia lain di dalam bahan mentah itu juga akan dimasukkan sekali dan berpotensi berlaku tindakbalas dan interaksi dengan ubat-ubat yang lain. Dos bahan aktif yang diperlukan juga tidak ditentukan dan mungkin terlebih atau terkurang ataupun mungkin tidak ada langsung. Kaedah pengambilannya pula adalah melalui makan atau minum sedangkan kebanyakan sebatian kimia yang mempunyai ciri-ciri antikanser tidak boleh diambil melalui kaedah ini kerana akan dimusnahkan oleh asid perut dan lain-lain proses nyahaktif dalam sistem penghadaman. Ahli sains perlu memastikan bahawa sel-sel kanser yang hendak dimusnahkan itu didedahkan kepada dos ubat antikanser yang optima. Kebanyakan ubat anti-kanser diberikan dalam bentuk suntikan untuk masuk terus ke dalam darah. Jikapun boleh diambil secara makan , ianya perlu disediakan melalui proses yang kompleks di dalam makmal untuk menjadikannya kebal dari kesan asid perut dan boleh menyerap ke dalam darah dengan lebih berkesan. Ubat antikanser secara makan ini sangat terhad bilangannya kerana penghasilannya yang sangat kompleks dan mahal.

Menyediakan sendiri produk kesihatan , mempromosi dan menjualnya kepada pesakit kanser adalah sikap yang sangat tidak bertanggungjawab. Tindakan ini juga menyalahi undang2 yang ditetapkan oleh KKM (Lembaga Iklan Ubat) kerana menjual atau mempromosi kaedah rawatan ke atas salah satu dari 20 jenis penyakit. Jadi golongan atau individu ini telah melakukan beberapa kesalahan iaitu dakwaan palsu, menjual produk yang boleh memudaratkan pesakit, merugikan wang ringgit, menyalahi etika dan undang-undang. Menjual produk "overclaim" juga adalah satu bentuk penipuan dan berdosa.

Lebih menyedihkan lagi , ada juga bekas pesakit kanser sendiri yang menjual produk ini dan menggunakan testimoni diri mereka sebagai umpan untuk melariskan jualan. Mereka sendiri telah menjalani rawatan oleh pakar kanser dan sembuh, tetapi semasa menjual produk, mereka sanggup membuat dakwaan palsu demi untuk keuntungan wang ringgit. 

KESIMPULAN

Durian belanda telah menjadi salah satu daripada banyak jenis tumbuhan dan buah-buahan yang didakwa boleh mencegah dan merawat kanser. Ia sebenarnya adalah sejenis pokok buah seperti mana buah-buahan yang lain, mengandungi antioksidan dan jika dikaji dengan mendalam memang mengandungi pelbagai sebatian kimia. Kajian terhadap khasiat durian belanda sebagai anti-kanser memang ada dijalankan tetapi sangat terhad. Kesemua kajian tersebut adalah kajian pra-klinikal yang dijalankan di dalam makmal terhadap lapisan sel. Malahan ahli sains tidak menggunakan durian belanda yang mentah, jus ataupun kapsul, sebaliknya ahli sains perlu mengeluarkan (mengekstrak) sebatian kimia tersebut untuk menjalankan kajian.  Kanser yang terlibat di dalam kajian tersebut pula hanya terhad kepada kanser usus dan kanser payudara. Walaupun ada kesan positif tetapi proses mengesahkan keberkesanan masih terlalu jauh. Disebabkan oleh potensi kesan sampingan yang diakibatkan olehnya, saya sangat ragu bahawa kajian peringkat klinikal ke atas manusia akan dilakukan.  Pendek kata, setakat ini tidak ada bukti bahawa durian belanda boleh digunakan untuk merawat kanser dengan berkesan. Ramai pakar perubatan dan pertubuhan kanser dunia bimbang terhadap penyebaran maklumat palsu mengenai khasiat durian belanda. Apa yang lebih membimbangkan adalah akibat daripada maklumat palsu ini, pesakit kanser lewat mendapatkan rawatan kanser di hospital sehingga menjejaskan peluang mereka untuk sembuh. Menghasilkan produk durian belanda yang dihasilkan secara tidak betul dan kemudian mendakwanya sebagai produk yang berkesan merawat dan meringankan penyakit kanser adalah tindakan yang tidak beretika, satu bentuk penipuan, merugikan pesakit dan melanggar undang-undang. 


Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor


RUJUKAN

 

1.    http://www.cancerresearchuk.org/about-cancer/cancers-in-general/cancer-questions/can-graviola-cure-cancer

2.    http://www.cancernetwork.com/integrative-oncology/graviola-annona-muricata

3.    Rieser MJ, Gu ZM, Fang XP, et al. Five novel mono-tetrahydrofuran ring acetogenins from seeds of Annona muricata. J. Nat Prod, 1996; 59(2):100-8

4.    Champy P, Hoglinger GU, Feger J, et al. Annonacin, a lipophilic inhibitor of mitochondrial complex I, induces nigral and striatal neurodegeneration in rats: possible relevance for atypical parkinsonism in Guadeloupe. J Neurochem, 2004; 88(1):63-9

5.    Champy P, Guerineau V, Laprevote O. MALDI-TOF MS profiling of annonaceous acetogenins in Annona muricata products for human consumption. Molecules, 2009; 14(12):5235-46

6.    Melot A, Guerineau Eng V, Champy P, et al. Qualification of acetogenins in Annona muricata linked to atypical parkinsonism in Guadeloupe. Moy Disord, 2005;20(12):1929-33

7.    Caparros Lefebvre D, Elbaz A. Possible relation of atypical parkinsonism in the French West Indies with consumption of tropical plants: a case-control study. Caribbean Parkinsonism Study Group. Lancet, 1999; 354(9175):281-6

No comments:

Post a Comment