Friday 24 May 2024

CABARAN DOKTOR2 MUDA YANG MELETAKKAN JAWATAN

Bilangan pegawai perubatan bukan pakar yang meletakkan jawatan agak membimbangkan. Mengikut kenyataan akhbar yang dibuat oleh YBMK, Datuk Seri Dr. Dzulkefly, seramai 4,310 doktor kontrak meletak jawatan dalam tempoh 7 tahun dan dalam tahun 2023 sahaja, seramai 924 daripada mereka berhijrah ke sektor swasta. Saya tidak berhajat untuk menulis tentang mengapa fenomena ini berlaku kerana ianya sudah diketahui umum dan telah dibincangkan di dalam banyak platform.

Jarang diperkatakan tentang apakah cabaran yang bakal dihadapi oleh doktor2 muda yang begitu awal berhijrah ke sektor swasta. Apabila mereka meletakkan jawatan dan mengambil keputusan untuk berkhidmat di sektor swasta samada dengan membuka klinik mereka sendiri ataupun bekerja untuk orang lain, akan berlaku lambakan doktor2 muda dan juga klinik-klinik swasta. Apabila bilangan klinik swasta meningkat, maka persaingan juga meningkat. Apabila persaingan semakin sengit, maka klinik2 yang lemah daya saingnya akan menghadapi cabaran dan kemungkinan ditutup. Membuka klinik ini sama seperti perniagaan2 yang lain, memerlukan modal dan juga strategi pemasaran. Hari ini kita sudah mula mendengar klinik2 yang ditutup dan tidak mampu membayar gaji pekerja dan juga doktor.
Saya berkesempatan untuk mendapatkan maklumat daripada seorang sahabat yang berpuluh2 tahun mengendalikan klinik swasta, tentang status klinik2 persendirian swasta pada hari ini. Kata beliau, memang cabaran pada hari ini jauh lebih besar berbanding pada masa lalu. Persaingan semakin sengit dan bilangan pesakit semakin kurang. Cerita tentang kemewahan dan gaji besar di sektor swasta tidak semuanya benar, lebih2 lagi klinik2 persendirian. Jika pun benar, mungkin untuk jangkamasa tertentu dan kemudian baru lah doktor2 ini akan faham realiti sebenar bertugas di sektor swasta. Apabila saya bertanya pendapat peribadi beliau samada doktor2 bukan pakar yang masih berkhidmat dengan kerajaan samada patut meletakkan jawatan ataupun kekal dalam kerajaan dan sambung pengajian. Cepat beliau menjawab, lebih baik sambung belajar menjadi pakar.
Perbincangan saya berlanjutan kepada sebab2 kehidupan doktor2 di sektor swasta makin mencabar. Banyak sebenarnya punca mengapa keadaan ini berlaku dan salah satu darinya adalah kerana bilangan klinik yang tumbuh seperti cendawan, samada klinik baru ataupun cawangan. Tambahan pula tidak ada undang2 menghadkan bilangan klinik berdasarkan kepada zone dan populasi.
Bilangan pesakit yang datang mendapatkan rawatan ulangan semakin kurang kerana ada di antara mereka membeli ubat di farmasi dan petugas farmasi mengambil aleh memantau dan membekalkan ubat kepada pesakit. Tidak kurang juga yang lebih percaya kepada pengamal2 rawatan alternatif dan terpengaruh dengan produk2 overclaim. Pengamal2 rawatan alternatif dan bomoh2 ini tidak perlu mematuhi undang2 tertentu untuk menjalankan aktiviti mereka, maka kos pengendalian pusat rawatan mereka adalah sangat rendah. Produk2 overclaim sudah menjadi lubuk kekayaan kepada ramai orang dan status selebriti yang dimiliki oleh duta atau penjual produk2 ini menjadi faktor penarik yang sangat berkesan. Wang dihabiskan untuk sesuatu yang tidak diperlukan dan ini memberi impak kepada tahap kewangan dan ekonomi masyarakat.
Sikap sebahagian ahli masyarakat yang meletakkan kesihatan dalam senarai bawah keutamaan hidup mereka menyebabkan mereka tidak sanggup membelanjakan wang untuk pencegahan penyakit dan kesihatan. Bagi mereka, lebih berbaloi menggunakan wang untuk gaya hidup mewah. Faktor pendapatan isi rumah dan tahap ekonomi juga memainkan peranan. Apabila tidak mampu mendapatkan rawatan di klinik swasta, mereka akan berpusu2 ke fasiliti kesihatan kerajaan. Ataupun mereka mencari pilihan lain yang lebih mudah dan murah, walaupun tidak berkesan. Akhirnya, penyakit tidak sembuh, komplikasi rawatan dan komplikasi penyakit akan menarik mereka ke krisis kewangan yang lebih parah.
Klinik-klinik swasta juga menghadapi masalah kos pembinaan, ubahsuaian, harga ubat , gaji pekerja yang semakin meningkat dan peraturan2 yang semakin ketat, sehingga modal serta kos pengendalian klinik mencanak naik dan ini menyebabkan keuntungan menurun jika caj rawatan tidak ditingkatkan.
Apabila persaingan sengit, seperti juga dengan lain2 perniagaan, akan ada pihak yang melanggar undang2 dan etika demi untuk menarik lebih ramai pelanggan. Ini termasuklah sikap saling jatuh menjatuhkan reputasi pihak lain. Doktor2 bukan pakar berani menyediakan perkhidmatan yang sepatutnya dikendalikan oleh pakar ataupun yang bertauliah. Tidak kurang juga yang terpaksa mengorbankan prinsip dengan mempromosi serta menjual suplemen dan produk2 overclaim. Dahulunya tegas dengan prinsip “evidence-based medicine”, tetapi demi survival, terpaksa mencampur-adukkan prinsip sains dan pseudosains hingga menjadi apa yang saya namakan sains cacamerba. Golongan ini mempunyai pengaruh dan peminat yang ramai kerana gelaran Dr yang mereka miliki dan kepetahan mereka bercakap.
Kepada doktor2 yang masih berkhidmat dengan kerajaan, anda berhak membuat pilihan. Apa sahaja pilihan anda, dua perkara yang sangat penting perlu anda lakukan adalah membuat persediaan yang mencukupi (ilmu, kemahiran dan kematangan) dan mempunyai rancangan masa depan yang baik. Tidak kira di mana anda selepas ini, untuk berjaya, anda kena bekerja kuat dan bersungguh2. Jika anda membuat persediaan yang mencukupi, bersungguh2 dan mempunyai rancangan kerjaya masa depan yang jelas, anda boleh berjaya dan cemerlang walaupun anda kekal berkhidmat dengan kerajaan. Melihat kepada scenario yang berlaku dalam sektor swasta masa kini serta cabaran masa depan, kekal dengan perkhidmatan kerajaan dan menyambung pengajian ke peringkat kepakaran adalah pilihan yang sangat munasabah. Jika anda tidak merancang untuk melanjutkan pelajaran maka langkah selanjutnya bergantung kepada kematangan anda membuat keputusan samada untuk kekal di dalam perkhidmatan kerajaan ataupun swasta. Jika anda kekal dengan kerajaan, anda boleh menambah pendapatan melalui pelaburan, melakukan lokum dan lain-lain kerja sampingan mengikut kemampuan anda. Dengan mempunyai kemahiran-kemahiran tambahan ini juga, anda sebenarnya membuat persediaan masa depan termasuk kemungkinan status pegawai kontrak anda tidak disambung lagi satu hari nanti. Apa sekalipun tanggapan anda berkenaan dengan doktor kerajaan, ramai yang terlepas pandang besarnya kelebihan berkhidmat dengan kerajaan. Meletak jawatan adalah perkara yang mudah dilakukan tetapi cabaran yang sedang menanti anda bukanlah kecil.
Dato' Dr Rushdan Noor
20hb April 2024

No comments:

Post a Comment