Saturday 25 May 2024

MEMBOIKOT DENGAN ILMU ??



"Memboikot dengan ilmu", begitulah kenyataan yang sering kita baca di dalam media massa dan media sosial. Tetapi sejujurnya hingga sekarang saya sendiri pun tidak tahu sempadan yang jelas tentang syarikat/produk yang patut diboikot dan yang tak perlu diboikot, kecuali beberapa syarikat yang agak menonjol "keisraelannya". Kebetulan, saya pula bukan pelanggan tetap syarikat yang diboikot kerana kebanyakan syarikat2 ini mengeluarkan produk yang tidak sihat untuk kesihatan. Selainnya masih kabur dan ada pula sumbangannya kepada ekonomi negara, menyediakan peluang pekerjaan dan lain2.

Orang2 agama menggunakan dalil pertimbangan mudarat dan manfaat, maka untuk menentukan halal haram, boleh atau tidak boleh, kena timbang yang mana lebih berat (melainkan sesuatu yang sudah jelas hukumnya berdasarkan quran dan sunnah). Begitu juga dengan istilah "mudarat kecil" dan "mudarat besar", kadangkala terpaksa membolehkan sesuatu yang asalnya tidak boleh, jika ianya dapat mencegah mudarat yang lebih besar. Begitulah prinsip yang digunakan, tetapi dalam konteks memboikot ini, siapakah yang layak serta adil untuk membuat neraca timbangan ini dan siapakah yang akan putuskan? Mungkin disebabkan tidak ada garis yang jelas antara kedua2nya, maka sukar bagi pihak autoriti fatwa mengeluarkan fatwa yang khusus. Fatwa yang dikeluarkan adalah bersifat umum. Apabila tidak ada fatwa khusus, maka orang ramai akan membuat penilaian sendiri tentang syarikat mana yang akan diboikot. Ramai yang ambil sikap ikut sahaja orang lain sebab malas nak menyelidik. Sepatutnya, untuk membuat penilaian dan kesimpulan, faktor yang paling penting adalah maklumat yang lengkap dan tepat mengenai syarikat2 yang disyakki terlibat. Bukan berdasarkan senarai atau screenshot yang dikeluarkan oleh entah siapa.

Tulisan ini bukan untuk menafikan kebaikan memboikot jika sasarannya betul dan berkesan, jika manfaatnya lebih besar dari mudarat, ini adalah pendirian saya yang jelas. Saya cuma ingin berkongsi pendapat dari sudut yang berbeza iaitu bahayanya kempen memboikot ini jika dilakukan semberono tanpa matlumat yang tepat dan pertimbangan yang betul. Tambahan pula masyarakat tidak diberikan garispanduan yang jelas dan media sosial dipenuhi oleh pengguna2 yang bebas menulis dan berkongsi apa sahaja, tidak kira latarbelakang mereka. Kalau nak ikutkan senarai syarikat2, memang sangat panjang tapi sejauh mana benar dan besarnya sumbangan mereka kepada tindakan ganas itu, banyak yang tidak pasti, kita hanya percaya bulat2. Kita juga tidak pasti samada dengan memboikot syarikat2 yang tersenarai itu akan memberi lebih manfaat ataupun mudarat. Hatta, nama syarikat2 yang memiliki media2 sosial yang sedang saya dan anda gunakan ini juga turut tersenarai. Ada juga produk yang tidak tersenarai tetapi masih diboikot, contohnya KFC di mana pihak BDS Malaysia sendiri yang membuat kenyataan bahawa KFC tidak termasuk di dalam senarai boikot kerana pro keganasan (boleh klik di pautan ini).
Seperti biasa, masyarakat kita sangat suka berpolitik sehingga kempen boikot ini juga telah dipolitikkan dan lebih membimbangkan apabila ada pihak cuba mengheret isu perkauman dalam kempen memboikot. Menghina dan menghukum pihak yang tidak memboikot juga termasuk dalam kategori melampau. Ada pula insiden sekumpulan pemuda yang berarak dan memaki hamun, berbuat bising serta menghina pelanggan2 yang sedang berurusan dengan syarikat yang pada pandangan mereka patut diboikot.

Pada asalnya kempen memboikot ini disasarkan kepada syarikat yang terlibat dengan keganasan tetapi merebak kepada syarikat lain pula atas alasan yang berbeza. Menyebarkan fitnah tentang satu produk yang didakwa rendah kualiti atau produk yang menghina agama sehingga berlaku pemboikotan yang besar juga boleh dianggap satu bentuk kempen boikot yang tersasar. Ini termasuklah menyebarkan fitnah terhadap syarikat yang bersih, sebagai pro-keganasan dengan niat untuk menjatuhkan perniagaan syarikat tersebut. Pendek kata, kempen memboikot yang matlamat asalnya baik, telah diekpoitasikan atau dimanipulasikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menjatuhkan perniagaan pihak lain. Sehingga menjadi satu keseronokan dan bahan content pula mencari2 alasan untuk memboikot, netizen pula sangat teruja untuk share content sebegini tanpa menyelidik terlebih dahulu. Takut nanti, kita berseronok memusnahkan satu syarikat, sedangkan syarikat itu mempunyai sumbangan yang besar kepada kita, maka jadilah kita umpama "menang sorak, kampung tergadai".

Memboikot ini bolehlah diumpamakan seperti menembak ke sasaran, kadangkala dengan satu atau dua peluru sahaja sudah berkesan, jika sasarannya tepat. Walau bagaimanapun, menembak membuta tuli tanpa maklumat yang tepat tentang sasarannya, bukan sahaja tidak berkesan, peluru2 itu boleh juga terkena rakan-rakan dan diri sendiri.

Saya tertarik dengan kenyataan Jabatan Mufti Selangor iaitu "Boikot adalah salah satu bentuk jihat ekonomi yang diharuskan dalam islam. Namun begitu, umat islam hendaklah mengutamakan prinsip tabayyun, akhlak serta mengamalkan sikap adil dengan mengambil kira maslahah dan mafsadah dalam setiap tindakan boikot". Mufti Wilayah Persekutuan juga membuat kenyataan yang sama dengan menasihatkan orang ramai agar memboikot dengan ilmu dan akhlak bukan memboikot dengan terburu-buru tanpa berfikir panjang hingga mendatangkan kemudaratan yang tidak sepatutnya. Tulisnya lagi, strategi boikot ekonomi perlu dilakukan dengan teliti dan bijak. Ia perlu mengambil kira pertimbangan maslahah agar tidak mendatangkan kemudaratan lain yang lebih besar.

Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor
26hb Mei 2024

No comments:

Post a Comment