Sunday 2 June 2024

PROGRAM SARJANA O&G VERSUS PARALLEL PATHWAY MRCOG

Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor
Mantan Ketua Perkhidmatan O&G Kebangsaan



PENDAHULUAN

Parallel pathway (PP) adalah salah satu pilihan program latihan kepakaran kepada pegawai perubatan yang ingin melanjutkan pelajaran sehingga menjadi seorang Pakar. Satu lagi program latihan kepakaran adalah program Sarjana yang ditawarkan oleh universiti tempatan. Seseorang pegawai perubatan yang sudah lulus salah satu dari program ini akan bergelar pakar seperti pakar Obstetriks dan Ginekologi, Pakar Bedah, Pakar Perubatan Am, Pakar Kanak2 dan lain-lain. 

Tulisan ini akan merujuk kepada program latihan kepakaran (termasuk Parallel Pathway) bidang Obstetriks dan Ginekologi sahaja, walaupun memang ada persamaan dengan bidang lain dalam beberapa aspek. Sebagai bekas Ketua Perkhidmatan O&G, saya ingin berkongsi maklumat setakat yang saya tahu untuk tatapan orang awam, memandangkan isu Parallel Pathway ini sudah ditularkan di dalam media sosial.  Saya juga tidak akan menyentuh tentang isu Akta dan undang2 MMC yang berkait dengan program latihan ini kerana ianya telah dibincangkan di platform lain. Kebetulan kerajaan melalui YBMK juga telah berjanji untuk menyelesaikan isu ini dengan pindaan akta perubatan (Akta 50).

Saya akan menerangkan secara ringkas sahaja tentang program latihan kepakaran O&G, agar ianya tidak terlalu berat untuk difahami.

Di dalam program kepakaran O&G, terdapat 2 pilihan bagaimana seseorang pegawai perubatan boleh melanjutkan pelajaran sehingga menjadi seorang Pakar O&G iaitu:

1. Program Sarjana O&G dari IPTA

2. Program Parallel Pathway MRCOG (UK)

Kedua-dua program ini telah berjalan begitu lama dan sehingga hari ini telah menghasilkan ramai pakar2 yang bertugas di hospital kerajaan dan swasta. Pendek kata kedua-dua program latihan kepakaran ini telah memberi sumbangan yang besar kepada perkhidmatan O&G di Malaysia.

PROGRAM SARJANA O&G

Program Sarjana O&G dikendalikan oleh Universiti tempatan dengan kerjasama daripada KKM yang diwakili oleh pakar2 hospital kerajaan di Malaysia di bawah jawatankuasa bersama yang dikenali sebagai Conjoint Board. Conjoint Board dipengerusikan oleh seorang pensyarah daripada IPTA yang dilantik secara giliran. Selalunya pengerusi ini adalah juga Ketua Jabatan O&G, IPTA tersebut. Manakala terdapat 2 orang wakil daripada hospital kerajaan yang mewakili KKM, di mana salah seorang daripadanya  adalah Ketua Perkhidmatan O&G, Kebangsaan. Untuk mengikuti program ini, pegawai perubatan perlu memenuhi beberapa syarat iaitu:

1. Sudah menamatkan tempoh latihan doktor siswazah selama 2 tahun dan telah bertugas sebagai pegawai perubatan selama sekurang-kurangnya 1 tahun (dengan 3 laporan prestasi, 2 semasa latihan doktor siswazah dan 1 semasa bertugas sebagai pegawai perubatan). Laporan Prestasi hendaklah mencapai prestasi minima yang ditetapkan.

2. Lulus peperiksaan saringan MedEx O&G sekurang-kurangnya Band 4

3. Lulus temuduga untuk kemasukan

4. Mendapat tajaan biasiswa ataupun HLP

Pelatih2 sarjana O&G ini akan ditempatkan samada di hospital terpilih kerajaan ataupun di universiti masing2. Umumnya mereka akan menghabiskan 2 tahun latihan di hospital kerajaan dan 2 tahun lagi di IPTA. Jadi program ini memakan masa sekurang2nya 4 tahun jika pelatih tidak pernah gagal di dalam peperiksaan ataupun menangguhkan pengajian. Semasa latihan, setiap pelajar akan diletakkan di bawah penyeliaan Penyelia yang telah dilantik oleh Conjoint Board. Terdapat kriteria kelayakan untuk menjadi penyelia termasuk memiliki sijil menghadiri TOT. Dua orang penyelia akan bertanggungjawab ke atas seorang pelatih, iaitu penyelia dari kalangan Pakar O&G hospital kerajaan dan seorang pensyarah dari IPTA. Pelatih2 perlu dipantau dan mengisi log book dan kemudian menduduki peperiksaan. Pelatih akan menjalankan tugas klinikal dan juga terlibat di dalam akitiviti akademik anjuran universiti ataupun hospital KKM. 

Apabila lulus, mereka akan menjalani tempoh pewartaan selama 6 bulan dan mereka digelar Pakar Klinikal O&G. Selepas selesai pewartaan, barulah mereka mendapat gelaran sebagai Pakar O&G. Mereka perlu berkhidmat selama 2 tahun (termasuk 6 bulan tempoh pewartaan) sebelum boleh memohon untuk didaftarkan dengan NSR (National Specialist Registry) dan akan diberikan nombor NSR. Apabila mereka sudah berdaftar dengan NSR, barulah mereka ini dianggap pakar yang benar2 layak termasuk melakukan locum di hospital swasta untuk mendapat pendapatan tambahan. Ini juga bermaksud yang mereka perlu mendaftar dengan NSR sebelum boleh meletakkan jawatan dan bertugas di hospital swasta.

PROGRAM PARALLEL PATHWAY MRCOG

Program latihan Parallel Pathway MRCOG (PP MRCOG) pula adalah program kerjasama antara RCOG UK (Royal College O&G, United Kingdom) dengan KKM. Di dalam program ini, pihak MRCOG UK menyerahkan tugas melatih dan menyelia hampir sepenuhnya kepada KKM dan mereka hanya menguruskan urusan peperiksaan MRCOG yang mengandungi 3 bahagian iaitu Part 1, Part 2 dan Part 3 (pemeriksa masih lagi menggunakan khidmat pakar2 O&G tempatan). RCOG UK akan menerima bayaran yuran pendaftaran dan juga peperiksaan daripada calun-calun. Setahu saya, pihak kerajaan tidak menerima apa-apa imbuhan kewangan dari pihak penaja program. Sebelum ini, kriteria untuk masuk ke dalam program PP MRCOG adalah agak longgar, di mana tidak ada syarat tempoh minima berkhidmat sebagai pegawai perubatan dan 3 laporan prestasi. Peperiksaan Part 1 MRCOG juga boleh diduduki walaupun semasa peringkat doktor siswazah. Apabila mereka tamat latihan doktor siswazah, dengan keputusan Part 1 itu,mereka layak untuk memohon masuk ke dalam program parallel pathway. Pada masa lalu, program ini dibiayai sendiri oleh pelatih.  

Seperti juga dengan program sarjana O&G, PP MRCOG juga mempunyai jawatankuasa Parallel Pathway MRCOG yang terdiri daripada pakar2 O&G tempatan yang mewakili beberapa organisasi. Jawatankuasa ini mempunyai fungsi yang sama dengan Conjoint Board Program Sarjana. Pihak RCOG UK telah melantik seorang Pakar O&G Malaysia yang lulus MROCG sebagai wakil RCOG Malaysia. Pelatih2 PP MRCOG ini akan ditempatkan di hospital2 yang diiktiraf sebagai pusat latihan. Kriteria sebagai pusat latihan juga berbeza dan mengambil kira hospital kluster (hospital daerah berpakar) di bawah lead hospital. Tempoh latihan juga tidak ditetapkan hadnya tetapi bergantung kepada keupayaan pelatih untuk menduduki peperiksaan part 1, part 2 dan part 3. Maka ada yang berjaya lulus part 3 dalam jangkamasa latihan kurang dari 4 tahun, ada juga yang sudah di dalam program begitu lama tanpa had maksima. Selepas lulus part 3, mereka akan dimasukkan ke dalam kelompok pakar-pakar O&G yang baru lulus dari program sarjana O&G. Mereka akan ditempatkan ke hospital KKM sebagai Pakar Klinikal O&G dan menjalani tempoh pewartaan selama 6 bulan, sama seperti pakar2 dari program Sarjana O&G. 

PERBEZAAN PROGRAM SARJANA O&G DAN PARALLEL PATHWAY MRCOG

Daripada penerangan di atas, jelas menunjukkan bahawa memang terdapat perbezaan yang ketara antara program Sarjana O&G dengan program PP MRCOG. Satu program dikendalikan oleh IPTA dengan pensyarah2 yang terlibat secara langsung dengan kebajikan dan latihan pelatih, di samping Penyelia2 yang terdiri dari Pakar2 O&G dari KKM dan menggunakan fasiliti universiti dan KKM semasa tempoh latihan di KKM. Pelatih sarjana juga perlu mendapat tajaan biasiswa ataupun hadiah latihan persekutuan sebelum boleh dipilih masuk ke dalam program. Pelatih2 Sarjana O&G wajib berada di IPTA masing2 sekurang2nya 2 tahun. Wakil dari Conjoint Board juga akan membuat lawatan berkala bagi memantau dan mengetahui perkembangan latihan pelatih2 yang berada di hospital KKM. 

Manakala bagi program PP MRCOG pula, asalnya adalah di atas pembiayaan sendiri. Saringan kemasukan lebih longgar, di mana pegawai2 perubatan yang lulus Part 1 MRCOG boleh dikira sudah masuk ke dalam program latihan apabila sudah berdaftar dan diberikan tempat latihan. Pelatih2nya akan ditempatkan di fasiliti KKM dan tidak ada penyeliaan terus daripada Pakar2 O&G dari RCOG UK, sebaliknya menggunakan penyelia2 dan fasiliti KKM. Di samping itu, tidak pula ada had bilangan pengambilan pelatih. Walaupun peperiksaan dikendalikan oleh MRCOG UK, pemeriksa2nya juga terdiri daripada pakar2 O&G tempatan. 

Dari penjelasan di atas, nampaknya beban yang besar ditanggung oleh KKM dalam menyediakan khidmat penyelia, latihan dan juga fasiliti KKM untuk kedua2 program latihan kepakaran.  Di samping itu, KKM pula perlu menangani masalah kekurangan pegawai perubatan apabila sebahagian daripada mereka sudah diterima masuk ke dalam program kepakaran kerana mereka ini akan menjalani penempatan semula, samada ke hospital KKM yang lain ataupun ke Universiti. 

PENGHARMONIAN PROGRAM LATIHAN KEPAKARAN O&G

Menyedari hakikat ini, maka KKM telah mengambil keputusan untuk mengharmonikan kedua2 program ini agar kedua2nya dikoordinasikan dengan lebih baik dan mempunyai latihan yang setara. Ini akan memantapkan lagi latihan, disamping mengambil kira beban tugas yang ditanggung oleh KKM khususnya Pakar2 O&G KKM yang menjadi penyelia untuk kedua2 program. Tambahan pula, Pakar2 yang menjadi penyelia ini  menjalankan tugas secara sukarela. 

Di antara langkah2 mengharmonikan kedua2 program ini adalah kriteria kemasukan, pusat latihan, silibus, logbook, kriteria penyeliatempoh latihan dan juga penilaian. Had bilangan pengambilan pelatih dan nisbah penyelia kepada pelatih (1:4) juga akan ditentukan  bagi memastikan kualiti penyeliaan adalah baik berdasarkan kepada kemampuan semasa. Peperiksaan MRCOG part 1 dianggap sama statusnya seperti peperiksaan saringan MedEx O&G, di mana ianya hanya salah satu prasyarat untuk memohon masuk ke dalam program. Jadi, lulus Part 1, MRCOG tidak bermaksud pegawai2 ini sudah masuk ke dalam program latihan PP MRCOG secara automatik seperti masa dahulu. Mereka perlu mendaftar dan jika memenuhi syarat2 lain yang ditetapkan, baru akan dipanggil untuk temuduga, sama prosesnya dengan calun2 Sarjana O&G. 

Bagi tujuan untuk mengikat pakar2 supaya berkhidmat dengan kerajaan selama tempoh minima yang ditetapkan, syarat mendapat HLP ataupun Hadiah Latihan Persekutuan juga telah dijadikan prasyarat ke atas calun2 program PP MRCOG. Jadi kerajaan akan membiayai kos pembelajaran dan membenarkan mereka menjalani latihan dalam perkhidmatan, di samping elaun2 lain. Sebagai balasan, pegawai2 yang sudah menjadi pakar ini diwajibkan untuk berkhidmat dengan kerajaan selama mana yang ditetapkan dalam perjanjian. Ini adalah satu langkah untuk memperlahankan kadar penghijrahan keluar, bagi mengimbangi bilangan tenaga pakar O&G di KKM dan swasta kerana pada masa ini 60% daripada Pakar O&G di negara kita berkhidmat dengan sektor swasta sedangkan 70% beban kerja adalah di pihak KKM

Dalam konteks program kepakaran O&G, adalah tidak benar jika ada  tuduhan mengatakan ada pihak sengaja menggugat program PP MRCOG. Sebaliknya tindakan yang dilakukan adalah untuk menyelaraskan dan memantapkan lagi kedua2 program ini bagi menjamin mutu latihan yang lebih baik dan pada waktu yang sama dapat memastikan bilangan pelatih yang diambil sesuai dengan kemampuan KKM kerana kedua2 program menggunakan tenaga pengajar/penyelia dan fasiliti yang sama. KKM perlu memastikan program ini tidak menjejaskan tanggungjawab asasi mereka terhadap kebajikan pesakit. Perkara yang sama juga menjadi pendirian pihak IPTA kerana adanya pertindihan penggunaan penyelia dan pusat latihan di dalam program PP MRCOG dan program Sarjana O&G. 

STATUS LULUSAN MRCOG DI UNITED KINGDOM BERBANDING DENGAN PP MRCOG DI MALAYSIA

Berkenaan dengan kualiti calon2 PP MRCOG, saya tidak mahu memberi komen kerana setakat ini belum ada kajian yang menilai dan membandingkan kualiti produk dari kedua2 program. Walau bagaimanapun, saya ingin berkongsi maklumat berkenaan dengan status program MRCOG di negara UK untuk perbandingan dengan program PP MRCOG Malaysia. Di UK, pelatih2 yang lulus peperiksaan terakhir iaitu Part 3 MRCOG, belum lagi dianggap pakar seperti mana program PP MRCOG di Malaysia. Di UK, mereka yang lulus Part 3 MRCOG akan digelar sebagai Senior Registrar. Senior Registrar ini perlu melanjutkan latihan selama 2 tahun lagi dengan memenuhi beberapa syarat dan keperluan yang ketat. Apabila mereka memenuhi syarat2 tersebut, mereka perlu pula membuat permohonan untuk dilantik menjadi Pakar O&G. Berbeza dengan parallel pathway MRCOG di Malaysia, di mana mereka sudah dianggap sebagai Pakar Klinikal O&G apabila lulus Part 3 MRCOG. Dengan kesedaran ini juga, pihak KKM merasakan adanya keperluan untuk menyeragamkan kriteria kemasukan dan tempoh latihan minima selama 4 tahun dalam PP MRCOG, sama seperti program Sarjana O&G, agar mereka mendapat latihan dan pendedahan yang secukupnya. 

Mungkin satu hari nanti kita akan melihat kedua2 program ini diletakkan di bawah satu jawatankuasa induk yang sama supaya langkah pengharmonian ini dapat dilaksanakan dengan lebih telus dan cekap.

Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor
Mantan Ketua Perkhidmatan O&G Kebangsaan

3hb Jun 2024

TULISAN DI ATAS ADALAH PENDAPAT PERIBADI SAYA DAN TIDAK MEWAKILI MANA-MANA INSTITUSI ATAUPUN ORGANISASI. FAKTA-FAKTA YANG DINYATAKAN DI ATAS JUGA TERTAKLUK KEPADA PERUBAHAN YANG BERLAKU DARI MASA KE SEMASA.

No comments:

Post a Comment