Friday 14 June 2024

BERJIMAT YANG MENYIHATKAN

Semua orang tahu bahawa SAKIT memerlukan wang yang kadangkala mencapai ribuan ringgit. Jadi seseorang yang SIHAT sepatutnya boleh menyimpan lebih banyak wang.
Sebenarnya bagi kebanyakan orang, kos yang diperlukan untuk sihat adalah rendah. Kebanyakan penyakit kronik yang dihidapi oleh manusia dapat dicegah dengan menjaga pemakanan (makanan seimbang dan bersih), mencegah daripada kegemukan, tidak merokok, tidak minum alkohol, melakukan senaman, mengamalkan kehidupan seks yang sihat, melindungi diri daripada terdedah kepada pencemaran air dan udara. Kesemua ini sebenarnya memerlukan modal yang sangat minima.
Tetapi malangnya pada hari ini hampir 40% rakyat Malaysia (kebanyakannya sihat) menghabiskan wang mengambil Suplemen / Makanan Tambahan (vitamin, mineral, antioksidan, minyak dll), Jamu dan Herba yang kebanyakannya tidak pernah terbukti memberi manfaat kesihatan kepada badan mereka. Malahan ada kajian yang menunjukkan terdapat makanan tambahan yang memudaratkan khususnya jika diambil oleh orang yang sihat. Kajian menunjukkan bahawa rakyat Malaysia membelanjakan lebih RM1.9 billion ringgit setiap tahun untuk membeli vitamin dan makanan tambahan (samada yang tidak berherba ataupun berherba/tradisional).
Jadi ramai yang SIHAT SEDANG MENGELUARKAN WANG SEPERTI ORANG YANG SAKIT. Mereka ini mempunyai air kencing termahal kerana sebahagian besar suplemen yang mereka ambil dikeluarkan melalui buah pinggang. Lebih menyedihkan lagi jika ada pula yang perlu dirawat sebab mendapat mudarat dari amalan ini.
Dalam status ekonomi semasa dan peningkatan harga minyak, banyak langkah2 penjimatan yang boleh diusahakan. Salah satu darinya adalah dengan kaedah BERJIMAT YANG MENYIHATKAN iaitu TIDAK mengambil perkara2 berikut:
1. Rokok/Vape
2. Makanan segera yg tinggi garam, transfat dan diproses
3. Minuman yang tinggi gula (termasuk kopi 3 in 1)
4. Alkohol
5. Produk "overclaim"
6. Produk suplemen, makanan tambahan, jamu dan herba yang tidak diperlukan (kecuali yang sudah terbukti bermanfaat seperti asid folik oleh bakal2 ibu yang hamil).
DDr Rushdan Noor
15hb Jun 2024



No comments:

Post a Comment