Saturday, 28 December 2024

EMPAT KATEGORI PENGAMAL PERUBATAN YANG ANDA PERLU TAHU

 

KATEGORI PERTAMA

Di negara kita, doktor2 dan pakar2 perubatan yang berdaftar dengan MMC (Malaysian Medical Council) adalah mewakili bidang perubatan moden. Mereka menerima asas pendidikan yang sama dan berpegang kepada prinsip amalan perubatan yang sama. Tamat pengajian dan selesai menjalani latihan doktor siswazah, di bawah akta perubatan 1971, mereka dikehendaki untuk memohon sijil amalan perubatan (APC) dari MMC. Tanpa APC mereka tidak boleh merawat pesakit dan boleh didakwa. Apabila mereka melanjutkan pelajaran menjadi pakar, mereka memilih salah satu cabang bidang perubatan untuk belajar dengan lebih mendalam. Apabila sah menjadi pakar, mereka akan mendaftar dengan NSR dan diberikan nombor pendaftaran NSR (National Specialist Registry). Tidak kira apa bidang sekali pun cabang2 tersebut, prinsip "evidence-based medicine" ini akan terus dipertahankan. Rujuk di pautan ini untuk mengetahui tentang "evidence based medicine": (https://www.minda2tinta.com/2019/05/perubatan-berasaskan-bukti-evidence.html). Di dalam menentukan kaedah terbaik merawat seseorang pesakit, doktor perubatan akan merujuk kepada pakar di dalam bidang2  berkenaan dan Garispanduan Amalan Klinikal (CPG). CPG ("Clinical Practice Guidelines") adalah dokumen yang dihasilkan oleh sekumpulan pakar2 di dalam sesuatu bidang yang melakukan penelitian dan pencarian maklumat berasaskan kajian klinikal yang terkini. Melalui konsensus yang dipersetujui oleh pakar2 ini, satu garispanduan penyiasatan dan rawatan akan disyorkan untuk mencegah serta merawat penyakit2 tertentu. CPG akan dikemaskinikan dari masa ke semasa supaya selari dengan penemuan terkini hasil2 kajian terbaru.

KATEGORI KEDUA

Kategori kedua adalah pengamal perubatan alternatif ataupun komplementari ataupun tradisional. Rata2 mereka tidak mempunyai latar belakang pendidikan sains perubatan. Malahan ada di antara mereka dari aliran sastera ataupun orang awam biasa yang berjinak2 dengan ilmu kesihatan. Terdapat juga mereka yang memiliki gelaran Dr dan Profesor tetapi bukan daripada bidang sains perubatan. Mereka ada mengikuti latihan samada yang formal ataupun tidak formal berkenaan dengan rawatan alternatif. Prinsip amalan dan kaedah rawatan mereka berbeza2. Kaedah pengubatan mereka dikumpulkan dalam satu kategori yang dinamakan Tradisional and Complementary Medicine (TCM). Di dalam organisasi KKM, terdapat Bahagian TCM di  bawah bidang kuasa Timbalan Ketua Pengarah (Perubatan). Amalan mereka di bawah pemantauan autoriti badan yang berperanan seperti MMC dinamakan TCMC (Traditional & Complementary Medicine Council). Pengamal TCM yang diiktiraf terikat dengan akta 775 TCM. Di bawah akta ini, pengamal TCM perlu berdaftar dengan TCMC dan mendapatkan sijil amalan TCM. Pada asasnya TCM adalah kaedah2 rawatan selain daripada perubatan moden yang diiktiraf oleh KKM dan berperanan sebagai kaedah rawatan sampingan ataupun komplementari. Kaedah perubatan moden akan menjadi rawatan utama dan rawatan alternatif  yang terpilih akan menjadi pelengkap ataupun komplemen kepada apa yang dikenali sebagai perubatan integratif yang lebih holistik. TCM yang terpilih boleh juga dijadikan alternatif jika perubatan moden gagal mengesan penyakit walaupun telah menjalani penyiasatan terperinci oleh pakar ataupun jika perubatan moden gagal merawat penyakit seseorang. Kaedah rawatan alternatif ini masih belum boleh dijadikan rawatan utama kerana belum mempunyai bukti yang kukuh (keberkesanan dan keselamatan) berdasarkan kepada kajian klinikal. (Baca tentang perubatan alternatif, komplementari dan integratif di pautan ini: (https://www.minda2tinta.com/2019/05/dato-dr.html)


KATEGORI KETIGA

Golongan ketiga adalah pengamal TCM  yang bersaing dengan perubatan moden, menganggap kaedah rawatan mereka lebih alami dan taksub dengan ideologi naturopati. Mereka tidak menerima konsep perubatan intergratif yang disarankan oleh KKM kerana menganggap kaedah rawatan mereka lebih berkesan dan lebih alami untuk merawat penyakit termasuk penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi, kanser, sakit jantung dan lain2. Untuk menguatkan dakwaan mereka itu, seringkali diujudkan naratif bahawa perubatan moden ini mengandungi bahan beracun dan merosakkan organ badan sehingga menonjolkan sikap anti perubatan moden, anti-doktor perubatan dan anti-ubat hospital. Mereka juga seringkali berprasangka buruk terhadap badan2 autoriti perubatan moden seperti KKM, WHO, CDC dan lain2 dengan mengujudkan pelbagai persepsi negatif dan teori konspirasi, termasuk penyelewengan syarikat pharma. Amalan yang mereka  lakukan lebih banyak berasaskan andaian, testimoni, kesan plasebo dan kerapkali kesimpulan berkesan sesuatu produk dibuat sebelum dibuktikan. Jika ada pun kajian klinikal, mereka membesar2 kajian makmal dan pra-klinikal. Mereka tidak merujuk kepada tokoh2 TCM yang berdaftar, sebaliknya menjadikan tokoh2 pseudosains dan pseudoperubatan sebagai sumber maklumat. Ada antara mereka yang mengeluarkan produk sendiri ataupun kaedah rawatan yang belum dibuktikan berkesan kerana tidak melalui kajian klinikal. Disebabkan sangat sukar untuk mendaftarkan produk mereka di bawah kategori ubat berjadual (A), produk2 "overclaim" mereka akan didaftarkan di bawah kategori ubat tradisional (T), suplemen ( N ) ataupun makanan. 

KATEGORI KE EMPAT

Golongan ke-empat adalah pengamal yang asalnya doktor perubatan, tapi kemudiannya terbabas dari landasan. Rujukan mereka bukan lagi pakar perubatan moden dan CPG, tetapi sudah beraleh kepada tokoh2 pseudosains dan pseudoperubatan yang dibawa oleh golongan ketiga di atas. (Baca tentang pseudosains di pautan ini: https://www.minda2tinta.com/2019/12/perbezaan-sains-dan-pseudosains.html).  Mereka sedar bahawa jika terus berada di dalam bidang perubatan moden, peraturan dan disiplinnya ketat, sebarang dakwaan keberkesanan dan keselamatan ubat memerlukan bukti yang kukuh.  Apabila membaca tulisan mereka dan mendengar percakapan mereka,  sebiji seperti tokoh2 pseudosains yakni senada dengan golongan ketiga di atas. Kadangkala content mereka bercampur aduk antara perubatan dan pseudosains, saya gunakan istilah sains caca-merba. Pendirian mereka terhadap vaksin dan ubat2 moden pun sudah condong ke arah yang berlawanan. Jadi, mereka ini memegang sijil amalan perubatan yang dikeluarkan oleh autoriti perubatan moden (MMC) tetapi penyampaian dan amalan mereka lebih condong kepada pseudosains dan pseudoperubatan (kategori ketiga). Mereka sedar bahawa jika terus berpaut kepada prinsip perubatan moden, amat sukar untuk memasarkan produk2 pseudosains dan "overclaim".  Lagi pun, pengikut mereka yang sudah ramai itu akan lari. Yang penting, percakapan dan tulisan mestilah mengikut rentak yang dimahukan oleh pengikut. 



RUMUSAN

Daripada 4 kategori pengamal perubatan di atas, kita boleh katakan bahawa kategori pertama dan kedua adalah pengamal perubatan yang lebih berprinsip dan beretika. Mereka berpegang kepada prinsip amalan berdasarkan bukti dan merujuk kepada pakar2 di dalam bidangnya serta panduan dari CPG.

Perubatan moden tidak menolak sepenuhnya kaedah2 rawatan yang termasuk di dalam kategori TCM tetapi memilihnya dengan berhati2 dan meletakkannya pada kedudukan yang betul. Sebab itu kita ujudkan istilah rawatan komplementari dan integratif. Di bawah sistem ini, kaedah rawatan moden akan menjadi tunjang utama pengubatan dan kaedah alternatif yang terpilih dijadikan komplemen bagi mencapai maksud rawatan integratif yang lebih holistik. Apabila mengalami masalah kesihatan, pesakit disarankan terlebih dahulu menemui doktor2 ataupun pakar2 perubatan yang berkenaan dan menjalani pemeriksaan, ujian dan rawatan. Kemudian barulah boleh dipertimbangkan untuk mencuba kaedah2 rawatan sampingan yang diiktiraf dan selamat diamalkan.

Semakin banyak hospital sudah mempunyai Unit Perubatan TCM (Unit Perubatan Tradisional dan Komplementari). Apabila TCM ini diletakkan di bawah bumbung KKM, pengamal2nya yang berdaftar akan bekerjasama dengan pengamal perubatan moden dan yang lebih penting mereka akur dengan prinsip "evidence-based medicine" . Lambat laun mereka juga akan menjadikannya sebagai prinsip amalan mereka. Hari ini, semakin ramai pengamal TCM sudah memahami konsep ini (golongan kedua) dan akur dengan kaedah serta prinsip perubatan moden. Inilah arah tuju masa depan perkhidmatan perubatan dan kesihatan di negara kita. Matlamatnya tidak lain dari untuk mengujudkan masyarakat yang lebih sihat dan sejahtera. Alangkah baiknya jika orang ramai dapat mengenali pengamal-pengamal perubatan seperti yang tersebut di atas agar tidak tersilap memilih pengamal untuk dijadikan rujukan. 

Dato' Dr.Rushdan Noor

29hb Disember 2024



Tuesday, 24 December 2024

BUKTI VAKSIN BUKAN PENYEBAB AUTISMA

 


Jika ada mana2 pihak termasuk golongan antivaksin mendakwa vaksin punca penyakit autisma, anda boleh copy & paste bukti2 kajian di bawah untuk menyangkal atau menjawab tuduhan mereka.Semuanya kajian ke atas manusia dan bukan kajian makmal ke atas tikus. 

Berikut adalah 9 dari banyak lagi kajian2 yang besar membuktikan TIDAK ada kaitan antara vaksin dan penyakit autisma:

1. Autism adalah masalah ketidakupayaan neurodevelopmental yang mempunyai kaitan yang kuat dengan komponen genetik. Pakar sudah mengesahkan bahawa autism bermula sejak di dalam kandungan lagi dan gejala sudah dapat dikesan sebelum usia satu 1 tahun di mana anak2 ini belum lagi terdedah kepada vaksin. (1)

2.  Penyelidik menjalankan kajian melihat kaitan antara suntikan vaksin MMR dan autisma melibatkan 650,000 kanak2 yang lahir dari tahun 1999 hingga 2010. Sejumlah 6,500 kanak2 dikesan mengalami autisma. Dalam kalangan kanak2 ini, ada yang ambil vaksin dan ada yang tidak ambil vaksin. Hasil kajian ini menunjukkan risiko mengalami autisma tidak ada bezanya samada mengambil vaksin ataupun tidak. Jadi penyelidik membuat kesimpulan TIDAK ada kaitan antara vaksin dan autisma (2)

3. Penyelidik mengkaji 100,000 kanak2 yang mempunyai abang atau kakak mengidap autisma. Jadi semua kanak2 yg dikaji ini mempunyai risiko menghidap autisma kerana saudara tua mereka menghidap autisma. Ada di antara mereka mengambil vaksin dan ada yang tidak mengambil vaksin. Keputusan kajian ini mendapati tidak ada peningkatan risiko autisma dalam kalangan kanak2 yang mengambil vaksin walaupun mereka tergolong dalam golongan berisiko. Dengan perkataan lain, vaksin tidak meningkatkan risiko autisma walaupun ke atas kanak2 yang mempunyai ahli keluarga autisma. (3)

4. Satu kajian meta-analisis melibatkan lebih 1.2 juta kanak2 mendapati risiko autisma ke atas kanak2 yang menerima vaksin serta komponen2 vaksin termasuk thimerosal sama sahaja dengan kanak2 yang tidak nenerima vaksin. Sekali lagi penyelidik mendapati TIDAK ada kaitan antara vaksin dan autisma.(4)

5. Kajian ke atas kanak2 Jepun di antara tahun 1989 hingga 1993 mendapati risiko autisma ke atas kanak2 yang mengambil vaksin sama sahaja dengan kanak2 yang tidak mengambil vaksin MMR. TIDAK ada kaitan antara vaksin dan autisma. (5)

6. Jepun memberi vaksin MMR kepada kanak2 mereka sekitar tahun 1989 hingga 1993. Selepas tahun 1993, mereka berhenti untuk beberapa tahun disebabkan oleh berita palsu tentang vaksin dan autisma. Berlaku penurunan mendadak pengambilan vaksin MMR dari tahun 1989 hingga 1993 di mana pada tahun 1992 hanya 10% yang mengambil vaksin. Penyelidik melihat trend kadar penyakit autisma susulan dari penurunan kadar vaksinasi. Sepatutnya jika vaksin punca autisma, dengan pengurangan vaksinasi tentu bilangan kes autisma menurun. Sebaliknya penyelidik mendapati kadar penyakit autisma meningkat walaupun kadar vaksinasi menurun (rujuk geraf di bawah). Ini menguatkan bukti bahawa autisma tidak ada kena mengena dengan vaksin (6)

7. Pengkaji melakukan analisa ke atas database terbesar UK yang mengumpulkan kes2 autisma selama 28 tahun untuk melihat samada terdapat kaitan dengan vaksin. Mereka membandingkan risiko autisma dengan kumpulan individu yang mempunyai usia yang sama tetapi tidak menerima vaksin. Hasil analisis ini menunjukkan tidak ada kaitan antara vaksin dan autisma. (7)

8. Penyelidik mengkaji lebih dari 500,000 kanak2 yang lahir di Denmark pada tahun 1991 hingga 1998 untuk melihat kaitan antara vaksin dan autisma. Hasil kajian ini menunjukkan TIDAK ada kaitan antara vaksin dan autisma (8)

9. Penyelidik mengkaji kadar penyakit autisma selepas vaksin MMR diperkenalkan pada tahun 1988 dengan sebelum 1988. Mereka dapati kadar penyakit autisma tidak meningkat selepas vaksin MMR mula diberikan pada tahun 1988 hingga 1998 berbanding dengan tahun2 sebelumnya. Ini menguatkan bukti bahawa tidak ada kaitan antara vaksin MMR dengan autisma (9)

Kajian2 di atas jelas menunjukkan tidak ada kaitan antara vaksin dan autisma. Maksudnya golongan2 yang tidak mengambil vaksin pun mempunyai kadar penyakit autisma yang sama dengan yang mengambil vaksin. Tidak ada kaitan langsung dengan profesion ibu bapa samada doktor, guru, kerani, askar, peniaga  atau apa sahaja kerjaya.

Peningkatan bilangan kes Autisme yang dilaporkan pada masa ini disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya adalah (10):

a. Kesedaran ibubapa dan masyarakat yang semakin tinggi tentang penyakit ini sehingga pengesannya semakin mudah dan lebih ramai pesakit2 autisma ini diberikan perhatian.

b. Semakin ramai ibubapa yang tidak segan untuk mengaku dan mendedahkan masalah autisma anak2 mereka kepada masyarakat. Ada yang menjadikan pengalaman menjaga anak2 mereka sebagai panduan kepada ibubapa2 yang lain di dalam medsos.

c. Pengetahuan tentang penyakit autisma ini semakin mendalam dan klasifikasi penyakit ini pula lebih luas dari dahulu sehingga lebih ramai anak2 tergolong dalam spektrum penyakit autisma. 

d. Ahli Sains berpendapat peningkatan kes Austisma juga mungkin disumbang oleh peningkatan kes bayi lahir pramatang dan tidak cukup berat badan ("low birth weight"). Manakala faktor-faktor lain adalah amalan pemakanan yang tidak sihat, toksin di dalam pencemaran udara dan juga stres yang dialami oleh ibu hamil. Punca2 ini memerlukan kajian lanjut dan pengesahan.  .



Nota tambahan: Vaksin MMR menjadi tumpuan kerana inilah vaksin yang menjadi titik tolak tuduhan oleh Andrew Wakefield yang mengaitkan vaksin dengan autism. Kertas dakwaan beliau yang disiarkan di dalam Jurnal The Lancet pada tahun 1998 telah ditarik balik dan disahkan satu pembohongan. Lesen amalan beliau juga ditarik balik oleh UK Medical Registrar. Malangnya penipuan yang beliau lakukan terus mempengaruhi orang ramai hingga ke hari ini.

Dato' Dr.Rushdan Noor

25hb Disember 2024


RUJUKAN


1. DeStefano, R., T.T. Shimabukuro, The MMR vaccine and autism, Ann Rev Virol (2019) 6: 1.1-1.16.


2. Hviid A, Hansen JV, Frisch M, Melbye M. Measles, mumps, rubella vaccination and autism. Ann Int Med 2019; epub ahead of print.


3. Jain A, Marshall J, Buikema A, et al. Autism occurrence by MMR vaccine status among US children with older siblings with and without autism. JAMA 2015;313(15):1534-1540.


4. Taylor LE, Swerdfeger AL, Eslick GD. Vaccines are not associated with autism: an evidence-based meta-analysis of case-control and cohort studies. Vaccine 2014;32:3623-3629.


5.Uchiyama T, Kurosawa M, Inaba Y. MMR-vaccine and regression in autism spectrum disorders: negative results presented from Japan. J Autism Dev Disord 2007;37:210-217.


6. Honda H, Shimizu Y, Rutter M. No effect of MMR withdrawal on the incidence of autism: a total population study. J Child Psychol Psychiatry 2005;46(6):572-579.


7. Smeeth L, Cook C, Fombonne E, et al. MMR vaccination and pervasive developmental disorders: a case-control study. Lancet 2004;364:963-969.


8. Madsen KM, Hviid A, Vestergaard M, et al. A population-based study of measles, mumps, and rubella vaccination and autism. N Engl J Med 2002;347(19):1477-1482.


9. Taylor B, Miller E, Farrington CP, et al. Autism and measles, mumps, and rubella vaccine: no epidemiological evidence for a causal association. Lancet 1999;353:2026-2029.

Sunday, 8 December 2024

7 SEBAB MENGAPA ANAK ANDA MEMERLUKAN VAKSIN : ABAIKAN DAKYAH ANTIVAKSIN

 


Kajian mendapati vaksin yang diberikan kepada anak-anak anda telah menyelamatkan nyawa lebih kurang 2- 3 juta orang kanak-kanak setiap tahun (dengan izin Allah melalui ikhtiar vaksinasi kanak2)(1b). Penurunan bilangan kematian ini menyumbang kepada penurunan kadar kematian kanak2 global daripada 65 per 1000 kelahiran hidup dalam tahun 1990 kepada hanya 29 dalam 1000 pada tahun 2018 (1,2).

Satu kajian besar yang telah disiarkan oleh The Lancet menunjukkan bahawa immunisasi global telah menyelamatkan kira2 154 juta nyawa dalam tempoh 50 tahun, di mana majoriti melibatkan kanak2 (101 juta orang). Study yang diketuai oleh WHO menunjukkan imunisasi adalah satu penyumbang terbesar berbanding dengan intervensi kesihatan lain di dalam memastikan setiap bayi bukan sahaja boleh menyambut hari jadi pertama mereka tetapi juga dapat terus hidup sihat hingga dewasa (3).
Vaksin adalah kaedah paling "cost-effective" dalam mengurangkan penyakit dalam kalangan kanak-kanak terutamanya bila dibandingkan dengan kaedah lain seperti air yang bersih dan memperbaiki sanitasi (4).

Tidak hairanlah mengapa salah satu usaha yang diletakkan keutamaan di semua negara dengan bantuan WHO terutama di negara2 kurang maju dan mundur adalah meningkatkan liputan vaksinasi dalam kalangan kanak2. Usaha2 yang dilakukan telah membuahkan hasil di mana liputan vaksinasi kanak2 di negara2 berpendapatan rendah telah meningkat dari 50% kepada 80% dalam masa 2 dekad (5).

Berikut adalah rumusan daripada hasil kajian tentang manfaat yang diberikan oleh program vaksinasi kanak-kanak:

1. IMUNISASI BOLEH MENYELAMATKAN NYAWA ANAK ANDA

Vaksin jangkitan yang serious ke atas anak2 anda di mana penyakit2 ini boleh menyebabkan kecacatan, kerosakan organ dan kematian. Contohnya jangkitan Haemophilus influenza boleh menyebabkan kerosakan otak dan kematian, penyakit polio menyebabkan lumpuh dan jangkitan virus HPV serta Hepatitis B menyebabkan kanser. Sebahagian penyakit ini seperti campak dan tetanus, tidak ada ubat untuk disembuhkan. Hanya vaksin kaedah paling berkesan untuk mencegah penyakit2 ini.
2. PENYAKIT2 YANG BOLEH DICEGAH OLEH VAKSIN MASIH UJUD

Banyak penyakit2 yang dapat dicegah oleh vaksin telah terhapus sepenuhnya, tetapi ada juga yang masih ujud tetapi bilangan kesnya rendah dan mudah dikawal dengan liputan vaksin yang tinggi. Jika liputan vaksin menurun, penyakit2 ini boleh berkembang dan meningkat semula hingga boleh mengancam kesihatan dan nyawa kanak-kanak. Penyakit campak, polio dan TB contohnya masih ujud di negara2 tertentu. Jika penyakit ini tidak dikawal, pengembara dari negara2 ini boleh masuk dan menyebarkan penyakit ini ke dalam negara lain sehingga menyebabkan timbulnya wabak penyakit. Ini mengakibatkan penyakit2 yang jarang berlaku di sesebuah negara, tiba2 meningkat tinggi akibat perpindahan dan pergerakan manusia.
3. VAKSINASI KE ATAS KANAK-KANAK AKAN MEMBANTU MELINDUNGI KANAK-KANAK LAIN

Vaksin yang diberikan kepada anak2 anda bukan sahaja melindungi diri mereka tetapi juga kanak-kanak lain di dalam masyarakat. Jika liputan vaksinasi tinggi, akan ujud apa yang dikenali ssebagai Imuniti Kelompok ("Herd Immunity"). Anak2 yang menerima vaksin akan menjadi penghalang kepada virus ataupun bakteria dari merebak kepada kanak2 lain yang tidak menerima vaksin. Ada dalam kalangan kanak2 ini belum cukup umur untuk menerima vaksin ataupun mereka tidak dapat mengambil vaksin di atas sebab2 kesihatan. Golongan2 rentan lain seperti bayi yang baru lahir, pesakit yang sistem pertahanan badan rendah dan juga orang tua dapat dihindarkan dari jangkitan penyakit. Jadi vaksin memberi manfaat bukan sahaja kepada penerima, tetapi juga kepada masyarakat di sekelilingnya.
4. VAKSIN ADALAH SELAMAT DAN BERKESAN

Sebenarnya kajian mendapati di dalam amalan perubatan moden, vaksin adalah kaedah menangani penyakit yang paling selamat selamat. Kadar kesan sampingnya sangat rendah, malahan dikatakan kemungkinan untuk mendapat kesan sampingan serius dari suntikan vaksin jauh lebih rendah daripada kecederaan semasa bermain di taman permainan dan menaiki kenderaan di jalanraya. Kadar kesan sampingan serius akibat vaksin juga dikatakan lebih rendah daripada kemungkinan anak anda untuk tercekik semasa makan. Sistem pemantauan kesan sampingan vaksin pula sangat terperinci. Golongan antivaksin sengaja menonjol2kan kesan sampingan vaksin untuk tujuan menakut2kan orang ramai dengan mengambil data2 yang berat sebelah dan kes2 terpencil, umpama membesarkan titik hitam dari sebidang kain yang putih.

Keberkesanan vaksin juga sudah disahkan bukan sahaja semasa kajian dijalankan tetapi juga semasa program vaksinasi dijalankan di lapangan. Untuk data keberkesanan vaksin, sila rujuk jaduan bawah yang diperolehi daripada negara Kanada bagaimana keberkesanan vaksin boleh mencapai 99-100%. Jadi vaksin terbukti selamat dan berkesan.


5. ADALAH JAUH LEBIH SELAMAT UNTUK MENERIMA VAKSIN DARIPADA MENDAPAT PENYAKIT.

Anak anda mungkin salah seorang yang tidak bernasib baik dan mendapat penyakit2 serius yang sepatutnya boleh dicegah oleh vaksin. Penyakit2 serius ini bukan sahaja boleh menyebabkan kecacatan, kerosakan organ badan dan kerosakan otak, malah boleh menyebabkan kematian. Anak anda mungkin selamat dari kematian, tetapi kecacatan dan kerosakan otak boleh kekal sepanjang hayat. Contohnya jangkitan meningococcal boleh menyebabkan pekak, kehilangan anggota badan dan kerosakan otak. Chickenpox boleh menyebabkan jangkitan paru2 teruk. Jika anda berani membiarkan anak2 bermain dan berbasikal di taman permainan, mengapa takut mengambil vaksin sedangkan kadar kesan sampingan serius akibat aktiviti2 fizikal itu jauh lebih tinggi dari suntikan vaksin. Tambahan pula kos untuk merawat penyakit2 tersebut jauh lebih tinggi. Program vaksinasi telah menjimatkan 10 billion Amerika setiap tahun.
6. VAKSIN MENGURANGKAN KES KEKEBALAN ANTIBIOTIK

Kekebalan antibiotik adalah keadaan di mana antibiotik yang selalu digunakan untuk merawat jankitan penyakit serius tidak berkesan kerana bakteria tersebut telah menjadi kebal dari antibiotik tersebut. Memberi vaksin kepada anak2 anda mengurangkan anak2 anda daripada keperluan antibiotik, apabila jarang menggunakan antibiotik, bakteria yang menjadi sasaran kepada antibiotik tersebut juga tidak berupaya untuk menjadi kebal. Contohnya kajian mendapati kekebalan antibiotik ke atas bakteria pneumococcal telah menurun semenjak vaksin pneumococcal diperkenalkan, penurunan sebanyak 57%. Begitu juga ke atas bakteria Haemophillus Influenza.
7. VAKSIN MELINDUNGI GENERASI AKAN DATANG

Wabak dan Pandemik jangkitan penyakit boleh menyebabkan kematian berjuta2 orang manusia. Sejarah telah membuktikannya. Vaksin telah mengurangkan dan menghapuskan banyak penyakit yang telah mengorbankan jutaan manusia di masa lampau. Contohnya penyakit cacar ("smallpox") yang sudah tidak wujud pada hari ini. Penyakit demam campak sahaja telah mengorbankan 546,800 orang pada tahun 2000, tetapi telah menurun sebanyak 79% pada tahun 2014 hasil dari program vaksinasi.

Banyak lagi manfaat yang diberikan dari program imunisasi kanak2 seperti meningkatkan jangkahayat, mengurangkan beban ekonomi akibat penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin, keselamatan semasa mengembara dan lain-lain. Jangan teragak2 untuk membenarkan anak2 anda diberikan vaksin.

Jangan terpengaruh dengan golongan antivaksin yang sentiasa mencari jalan mengelirukan masyarakat. Mengambil vaksin telah dibuktikan dengan data2 kukuh yang ianya selamat dan memberi manfaat kepada diri sendiri dan membantu masyarakat. Maka memilih untuk berkongsi maklumat yang salah tentang vaksin akan menyebabkan kesan di sebaliknya. Mungkin anda terselamat, tetapi anak cucu anda atau saudara mara anda ditimpa musibah. Elakkan diri dari terjerumus ke dalam "circle" toksik antivaksin.

Dato' Dr. Rushdan Noor
7hb Disember 2024



RUJUKAN

1a.World Health Organization . World Health Organization: 10 facts on immunization; 2018. [accessed 2019 April9]. https://www.who.int/features/factfiles/immunization/en/.


2.World DataBank: World Development Indicators . The World Bank; 2017. http://databank.worldbank.org/data/reports.aspx?source=world-development-indicators.


4.Ozawa S, Mirelman A, Stack ML, Walker DG, Levine OS.. Cost-effectiveness and economic benefits of vaccines in low- and middle-income countries: a systematic review. Vaccine. 2012;31:96–108. doi: 10.1016/j.vaccine.2012.10.103

5.World Health Organization . Progress towards global immunization goals - 2016. Geneva (Switzerland); 2016.

Friday, 29 November 2024

"BODY TRANSFER ILLUSION"

 


"BODY TRANSFER ILLUSION' : APABILA OTAK "TERSILAP" DI DALAM MENGENAL ANGGOTA BADAN SENDIRI

Gambar di atas adalah seorang wanita yang diberikan satu tangan palsu (di tengah) dan ujian tindakbalas dijalankan ke atas tangan palsu tersebut. Apa yang berlaku, walaupun tangan itu palsu, wanita tersebut bertindakbalas seolah2 itu adalah tangan beliau yang sebenar. Beliau merasa panas, sakit dan cuba mengelak apabila diransang. Ujian ini dinamakan "Rubber Hand Experiment" ataupun "Fake Hand Experiment". Fenomena di mana perasaan ataupun sensasi tangan yang sebenar dipindahkan kepada tangan palsu tersebut dinamakan Body Transfer Illusion.

Ujian Rubber hand pertama kali dijelaskan pada tahun 1998 dan telah dikaji selama 10 tahun kemudian. Aplikasi fenomena ini digunakan di dalam terapi orang yang kehilangan anggota badan yang mengalami "phantom limb pain" yakni kesakitan pada bahagian tangan ataupun kaki yang sudah kudong.

Otak kita mempunyai pengetahuan yang luas tentang anggota badan kita, ia ingat di manakan anggota badan kita berada beberapa saat yang lalu. Ia mempunyai representasi dalaman tubuh badan kita dan akan sentiasa membandingkannya dengan apa sahaja data sensori yang datang.

Ujian Rubber Hand adalah contoh bagaimana data sensori yang diterima masuk dapat dimanipulasikan sehingga mengubah representasi badan kita oleh otak. Pendek kata otak kita boleh ditipu untuk menganggap tangan palsu itu adalah tangan sebenar. Walau bagaimanapun, objek palsu yang hendak digunakan dalam ujian ini hendaklah menyerupai anggota badan yang terlibat. Jika tidak, ujian ini akan gagal. Di samping itu, ransangan ke atas anggota yang sebenar dan anggota palsu tersebut hendaklah serentak.

Hasil ujian ini juga dapat menjelaskan mengapa berlakunya gejala2 yang dialami oleh pesakit jiwa seperti Schizophrenia, stroke dan phantom limb syndrome. Penyakit2 ini boleh menyebabkan gangguan persepsi ke atas anggota badan sendiri. Kadangkala mereka menganggap kaki ataupun tangan mereka itu bukan sebahagian dari tubuh badan mereka, jadi mereka cuba membuangnya. Pesakit yang mengalami phantom limb syndrome pula mengadu sakit pada sebelah kaki sedangkan kaki itu telah kudong.

Boleh saksikan video Ujian Rubber Hand ini di pautan bawah: 

https://fb.watch/w87lJN8K9I/


Dato' Dr.Rushdan Noor

30hb Nov 2024


https://www.popsci.com/health/fake-hand-illusion/

https://www.sciencedaily.com/releases/2004/07/040702093052.htm

Wednesday, 20 November 2024

ADAKAH URAT KETING SIHAT UNTUK DIMAKAN

 


Urat merujuk kepada tendon yakni struktur (terdiri dari tisu berserabut/fibrous) yang menghubungkan otot dengan tulang. Tendon inilah yang melekat pada tulang. Apabila otot mengecut ia memendek dan menegangkan tendon, tendon inilah yang menggerakkan tulang dan sendi. Urat keting pula merujuk kepada tendon yang terletak pada belakang kaki , juga dikenali sebagai tendon archilles.

Urat keting boleh dijadikan makanan dalam beberapa menu masakan seperti sup, kari dan masak lemak. Urat mengandungi tinggi kandungan kolagen. Berbanding dengan daging dan sum-sum tulang, urat mengandungi lemak dan kolesterol yang lebih rendah. Urat yang diambil untuk masakan mungkin dari lain2 bahagian anggota badan, tidak semestinya semuanya dari urat keting.

Berikut adalah beberapa manfaat yang berpotensi diperolehi dengan memakan urat keting:

1. Bekalan protein dan kolagen : Urat mengandungi tinggi kolagen. Kolagen adalah protein yang menyumbang kepada kesihatan sendi, keanjalan kulit dan membaikpulih otot. 

2. Urat mengandungi kandungan lemak yang rendah dan hampir tidak mengandungi kolesterol. Setiap 100 gram urat keting lembu mengandungi hanya 7 gram lemak (berbanding dengan hingga 24 gram dalam otot/daging lembu) dan 34.6 grams of protein. Jumlah kalori yang diberikan oleh 100 gram urat keting adalah 146 kal berbanding dengan 250 kal oleh daging lembu. Protein di dalam urat adalah kebanyakannya dalam bentuk kolagen. Ia tidak boleh dijadikan satu2nya sumber protein kerana bilangan jenis asid amino yang terhad di dalam kolagen.

3. Walaupun urat tidak mengandungi sebanyak asid amino berbanding dengan otot/daging, kandungan beberapa asid aminonya adalah tinggi seperti glycine dan proline. Asid amino ini diperlukan untuk kesihatan kulit, sendi dan lapisan usus.

Kualiti menu urat keting sangat bergantung kepada jenis masakan dan ramuan2 lain dalam masakan seperti garam, gula dan lemak. Ia akan menjadi lebih menyihatkan jika di dalam masakan tersebut mengandungi sayur-sayuran dan sup berbanding dengan kari. Perlu diketahui bahawa kandungan vitamin dan mineral di dalam urat adalah rendah. 

Daro' Dr.Rushdan Noor

20hb Nov 2024


https://www.webmd.com/diet/collagen-health-benefits

https://www.healthline.com/nutrition/collagen-for-hair

https://nutriinsights.com/beef-tendon-nutritional-value/


@highlight

Monday, 18 November 2024

BAIK BURUK MAKAN ORGAN DALAM

 

Daging yang selalu dimakan oleh anda adalah bahagian otot sehingga apabila pakar pemakanan bercakap tentang daging dan nilai nutriennya, mereka sebenarnya merujuk kepada daging yang diambil daripada bahagian otot haiwan. 

Di samping bahagian otot, kita juga gemar memakan organ dalam haiwan seperti hati dan paru-paru. Terdapat banyak lagi organ dalam yang dimakan oleh manusia seperti perut, limpa, jantung, buah pinggang, lidah,otak dan ada juga yang memakan buah zakar. Ada juga yang makan lemak. 

Apakah sebenarnya manfaat dan mudarat memakan organ-organ dalam ini? Orang awam seringkali dinasihati supaya tidak mengambil organ dalam kerana kandungan lemak dan kolesterol yang tinggi. Rencana pendek ini akan mengupas mengenai apakah manfaat dan mudarat mengambil organ-organ dalam ini.

KANDUNGAN NUTRIN ORGAN DALAM

Umumnya, organ dalam menyediakan banyak jenis vitamin dan nutrient di antaranya adalah vitamin B, zat besi, fosforus, tembaga, magnesium, vitamin A, vitamin D, vitamin E dan vitamin K.

HATI

Hati mungkin organ dalam yang menyediakan paling banyak nutrient. Di samping sumber protin yang berkualiti, ia adalah sumber vitamin A yang tinggi untuk kesihatan mata dan juga mempunyai sifat antikeradangan. Hati juga mengandungi asid folik, viamin B5, B12, zat besi, kromium, tembaga, selenium dan zink. Di dalam 85 gram daging lembu mengandungi 31,714 IU vitamin A iaitu lebih daripada 700% keperluan vitamin A dalam sehari. Kuantiti yang sama juga membekalkan lebih kurang 80% keperluan zat besi untuk lelaki dan 40% keperluan harian untuk wanita.

Satu ratus gram hati lembu membekalkan 190 kalori tenaga dan 24.7 gram protein yang lengkap. Walau bagaimanapun di dalam 100 gram hati ini juga mengandungi 396 mg kolesterol yang sudah melebihi keperluan harian anda. Pertubuhan jantung Amerika mengesyorkan pengambilan kolesterol kurang daripada 300 mg sehari. Ini jauh lebih tinggi daripada kandungan kolesterol di dalam 100 gm daging otot lembu iaitu sebanyak 90 mg ataupun 30% daripada keperluan harian.

BUAH PINGGANG

Buah pinggang kaya dengan protein dan mengandungi asid lemak omega 3. Setiap 100 gram buah pinggang menyediakan 159 kalori tenaga. Buah pinggang juga mengandungi vitamin B12 dan asis folik yang penting untuk pembinaan darah. Seperti juga hati, buah pinggang juga membekalkan zat besi dan fosforus. Walaupun kandungan lemak yang tidak tinggi, buah pinggang mengandungi kolesterol yang tinggi.

OTAK

Otak mengandungi protein dan juga nutrient-nutrien lain termasuk asid lemak omega 3. Setiap 100 gram otak mengandungi lebih kurang 12 gram protein dan hampir 1 gram asid lemak omega 3 yang dikenali sebagai asid docosahexaenoic (DHA). Di antara vitamin yang terkandung di dalam otak adalah vitamin B5 dan B12.

Di samping nilai nutrisi yang dinyatakan di atas, terdapat beberapa kebimbangan apabila anda memakan otak. Otak lembu boleh dijangkiti oleh penyebab keradangan otak yang dikenali sebagai penyakit Creutzfeldt-Jakob yang juga dikenali sebagai penyakit lembu gila (“mad cow disease”). Faktor ini boleh menjangkiti orang yang memakan otak.  Otak juga mengandungi kolesterol yang tinggi, satu hidangan 100 gram otak mengandungi 3401 mg kolesterol ataupun 10 kali lebih tinggi daripada keperluan harian.

JANTUNG

Jantung mengandungi tinggi asid folik, zat besi, zink dan selenium. Ia juga mengandungi vitamin B2, B6 dan B12, sekumpulan vitamin B yang tergolong di dalam vitamin B complex. Daging jantung juga mengandungi antioksidan yang dikenali sebagai coenzyme Q10. Setiap 100 gram daging jantung mengandungi lebih kurang 125 kalori tenaga, 20 gram protein, 5 gram lemak dan 210 mg kolesterol.

PARU-PARU

Seperti mana organ-organ yang lain, paru-paru mengandungi kandungan vitamin B12, zat besi dan selenium yang tinggi. Setiap 100 gram paru-paru mengandungi 150% keperluan vitamin B12 dan 100% keperluan zat besi sehari. Selain daripada itu paru-paru juga mengandungi vitamin C, fosforus, niacin dan riboflavin. Setiap 100 gram paru-paru mengandungi lebih kurang 100 kalori, 18.3 gram protein, 2.8 gram lemak dan 220 mg kolesterol.

PERUT

Ramai yang suka makan perut di dalam pelbagai kaedah masakan termasuk sup, kerabu dan satay. Satu ratus gram daging perut mengandungi 94 kalori, 12 gram protein, 4 gram lemak dan 156 mg kolesterol. Perut juga mengandungi vitamin B12, vitamin K, selenium, fosforus dan zink. Nilai nutrient yang dinyatakan di sini adalah daripada bahagian perut dan bukan usus kecil haiwan.

LIDAH

Lidah juga mengandungi tinggi zat besi dan vitamin yang diperlukan untuk menambah kandungan sel darah. Ia juga mengandungi vitamin B12, choline dan zink. Setiap 100 gram daging lidah mengandungi 19.3 gram protein, 22 gram lemak dan 132 mg kolesterol.

RISIKO MEMAKAN ORGAN DALAM

Isi daripada organ dalam mengandungi kolesterol dan lemak tepu yang tinggi. Mengikut cadangan Pertubuhan Jantung Amerika, seseorang individu yang perlu menurunkan kandungan kolesterolnya perlu menghadkan pengambilan lemak tepu tidak melebihi 5-6% daripada jumlah kalori di dalam satu hari. 

Organ dalam juga mengandungi purine, sejenis molekul yang boleh menyebabkan masalah kepada pengidap penyakit gout. 

Jika haiwan ini dijangkiti, mengambil toksin  ataupun racun, ianya boleh berkumpul di dalam organ dalam badan. Dikuatiri dengan memakan organ dalam ini toksin atau racun tersebut boleh memudaratkan manusia, lebih2 lagi jika tidak dimasak dengan sempurna.   

Otak lembu yang mengalami penyakit Creutzfeldt-Jakob ataupun penyakit lembu gila juga boleh menjangkiti individu yang memakan organ ini. 

Organ dalam yang asalnya kotor seperti usus dan perut boleh menjadi sumber toksin dan bakteria jika tidak dibersih dan dimasak dengan sempurna. 

Terdapat juga pandangan yang mengatakan bahawa kualiti organ dalam haiwan boleh dipengaruhi oleh cara bagaimana haiwan itu dibesarkan, apakah makanan yang diberikan serta persekitaran tempat ianya membesar. Haiwan yang tidak diberikan makanan yang sempurna serta di dalam keadaan stress menyebabkan kualiti organ dalam mereka juga rendah. Mungkin organ dalam haiwan ini mempunyai kandungan lemak dan kolesterol yang lebih tinggi seperti mana juga manusia yang tidak menjaga makanannya.

Kajian yang dijalankan di satu daerah di negara Uganda mendapati bahawa organ dalam mengandungi tinggi kandungan logam seperti besi, plumbum dan tembaga. Penyelidik mendapati kandungan logam-logam ini di dalam hati, pedal, perut, usus dan buah pinggang adalah melebihi daripada tahap maksimum yang dibenarkan (0.5mg/kg berat basah). Maka penyelidik berpendapat kesan negatif akibat daripada logam-logam ini boleh berlaku jika organ-organ dalam ini diambil dalam jangkamasa panjang terutama oleh golongan kanak-kanak. (1)

KESIMPULAN

Organ dalam badan mengandungi pelbagai nutrien termasuk mineral dan vitamin yang berkualiti. Ianya juga sumber protein yang berkualiti dan mengandungi antioksidan seperti koenzim Q10. Walau bagaimanapun organ dalam mengandungi tinggi kolesterol dan logam, jadi tidak sesuai diambil dalam kuantiti yang banyak untuk jangkamasa yang panjang. Kualiti organ dalam juga dipengaruhi oleh pemakanan dan bagaimana haiwan itu dibesarkan. Kaedah memasak dan ramuan-ramuan tambahan ke atas organ dalam ini juga mempengaruhi kualiti makanan ini keseluruhannya. Kesimpulannya, organ dalam boleh diambil tetapi di dalam kuantiti yang sederhana. Individu yang menghidap penyakit jantung dan penyakit yang dikaitkan dengan kandungan kolesterol darah yang tinggi perlu lebih berhati-hati. Pengguna yang bijak akan juga mengkaji latarbelakang sumber organ dalam itu diambil.


Dato' Dr Rushdan Noor

18hb Nov 2024

RUJUKAN

1.   Ogwok P, Bamuwamye M, Apili G, et al. Health Risk Posed by Lead, Copper and Iron via consumption organ meat in Kampala City (Uganda). Journal of Environment Pollution and Human Health, 2014 2 (3), pp 69-73. 

DOI: 10.12691/jephh-2-3-3

2.   https://www.medicalnewstoday.com/articles/319229.php

3.   https://www.healthline.com/nutrition/organ-meats#section1

4.   https://www.livestrong.com

5.   https://www.livestrong.com/article/470909-is-tripe-good-for-you/

6.   https://www.livestrong.com/article/261789-beef-kidney-nutritional-facts/

Saturday, 16 November 2024

SIAPAKAH WAHABI DI MALAYSIA



Semasa saya menulis rencana ini, sedang berlaku pertembungan yang agak serius di antara dua aliran agama di negara kita iaitu aliran yang menggelarkan diri mereka Asyairah Maturidiyah dengan satu lagi aliran yang tidak menyatakan dengan jelas mereka itu dari aliran apa tetapi mempunyai kecenderungan kepada aliran Salaf. Golongan yang kedua ini dikaitkan dengan aliran yang diamalkan oleh umat Islam di sebuah negeri di utara Malaysia. Di dalam pertembungan ini, beberapa orang tokoh dari aliran Asyairah Maturidiyah seringkali menggunakan penglabelan wahabi yang mungkin merujuk kepada golongan kedua (kenyataan ini perlu pengesahan kerana pihak pertama tidak berani berterus terang). Jadi di dalam rencana ini, kita ingin mengetahui siapakah sebenarnya wahabi yang sering disebut2 oleh bukan sahaja tokoh2 agama tetapi juga oleh orang ramai dalam konteks negara kita.

RINGKASAN SEJARAH KEUJUDAN ALIRAN SALAF DAN KHALAF

Untuk tujuan mengetahui tentang sejarah kedua2 aliran Salaf dan Asyairah Maturidiyah ini, saya ingin merujuk kepada penerangan yang dibuat oleh Tuan Guru Tan Sri Hj Abdul Hadi Awang (TGHH) dalam satu ceramah beliau berkenaan dengan perkara ini. Saya dapati penerangan beliau ringkas dan padat. Di bawah ini adalah transkrip ucapan beliau yang jelas menerangkan sejarah kewujudan aliran Salaf dan Asyairah Maturidiyiah, ataupun beliau menggunakan perkataan Salaf dan Khalaf. Baca transkrip ucapan beliau di bawah:

"Dalam masalah akidah Islam ini, ada mazhab Salaf dan mazhab Khalaf dalam Ahli Sunnah Waljamaah. Mazhab Salaf adalah mazhab dari tahun 1 hingga 300 Hijrah, ini Salaf, zaman Sahabat, zaman tabiin, zaman tabiin tabiin. Zaman orang Islam tidak tanya banyak tentang ayat-ayat mutasyabihat ("sifat2 Allah swt"), ayat2 ini mereka serah kepada Allah swt, Tuhan bersemayam, bersemayamlah, macam mana bersemayam, tidak tahu. Tuhan ada tangan, ada tangan tetapi tangan tidak sama dengan makhluk, itulah mazhab Salaf. Mazhab Khalaf ini pula adalah selepas masuknya pengaruh falsafah di zaman Abasiyah, diterjemahkan buku-buku falsafah. Maka pada ketika itu lahirlah fahaman Qadariah, Jabariah, Muktazilah, Jahmiah dan lain-lain lagi. Maka ketika itu lahirlah ulamak2 Mujaddid dan dalam ahli sunnah lahirlah Abu Hasan Al-Asyari dan Abu Mansur Maturidi yang membawa pendekatan mantik (ilmu bahas) berhujah dengan golongan Muktazilah dan Jabariah. Ayat-ayat mutasyabihat ini ditakwilkan contohnya "tangan" dengan makna "kuasa", "mata" dengan makna "melihat" untuk melawan ahli-ahli falsafah ini, kalau guna makna asal, kalah lah berdebat. Sebab itu pengajian sifat berfalsafah ini adalah dari aliran Asyairah Maturidiyah. Ini kalangan Ahli Sunnah. Ibnu Tamiyah adalah ulamak yang kemudian yang tidak setuju dengan Asyairah dan Maturidiyah, duduk bahas pasal takluk dan bermacam2 sehingga sukar untuk memahami ilmu falsafah ini. Jadi Ibnu Tamiyah memilih untuk berpegang kepada cara Salaf. Yang sebenarnya Salaf ini bukan Ibnu Tamiyah saja tetapi juga termasuk Imam Shafie, Imam Hanafi, Imam Maliki, Imam Hambali, Imam Nawawi, Ibnu Katsir, mereka ini semua berpegang kepada Salaf sama seperti Ibn Tamiyah juga. Dalam mazhab Shafie, ada pula Imam Al-Ghazali dan Imam Al Haramain yang bermazhab Khalaf pula. Fiqahnya Shafie, akidahnya Khalaf yakni Asyairah Maturidiyah. Jadi Ibnu Taimiyah ini oleh kerana dia berpegang keras dengan Salafi sehingga menganggap Asyairah Maturidiah ini menyeleweng, tidak betul dan inilah jadi perbalahan. Ibnu Tamiyah ini ada keras sedikit, pada hal semuanya kalangan orang Islam belaka yakni Salaf dan Khalaf. Kalau kita baca kitab jawi Aqidatul Najim, tentang akidah disebut mazhab Salaf kata begini, Mazhab Khalaf kata begini. Tetapi mazhab Salaf lebih Aslam (lebih selamat), manakala mazhab Khalaf ini untuk berhujah dengan orang. Ada pun puak-puak Salaf ini dipegang oleh puak2 wahabi di Arab Saudi menganggap Khalaf itu sesat belaka, itu sudah melampau. Tidak boleh kata sesat, itu Ahli Sunnah Waljamaah belaka. Jadi Ahli Sunnah Waljamaah ini ada 3 mazhab iaitu mazhab Salaf, Asyairah dan Maturidiyah". 

Pautan video ucapan TGHH di atas boleh ditonton di pautan bawah

https://www.facebook.com/watch/?v=1021991342793940&rdid=gUJ6jc5jmZ0ft0Zc

Dari penerangan yang diberikan oleh TGHH di atas, bolehlah disimpulkan bahawa Ahli Sunnah Waljamaah diwakili oleh kedua2 Salaf dan Khalaf (Asyairah-Maturidiyah). Manakala wahabi pula adalah dalam kalangan yang mendakwa dari golongan Salaf tetapi melampau kerana menyesatkan golongan Khalaf dan bersikap terlalu keras dengan pihak yang menyuburkan bidaah. Apabila kedua-dua aliran Salaf dan Khalaf ini dianggap sebahagian dari Ahli Sunnah Waljamaah, maka jelas bahawa di dalam menafsirkan ayat2 mutasyabihat, kedua2 kaedah samada tidak ditakwil ataupun ditakwil boleh diterima dan dianggap khilaf selagi pendekatan ini diperakui oleh ulamak masing2. 

SIAPAKAH WAHABI DI MALAYSIA

Di dalam tulisan ini saya tidak berhajat untuk membuat penilaian tentang siapakah Asyairah Maturidiyah di Malaysia kerana sesuai dengan tajuk tulisan ini yang memfokuskan kepada siapakah wahabi di Malaysia yang tentu sekali tidak ada kena mengena dengan aliran Asyairah. Tetapi tuduhan wahabi ini seringkali digunakan oleh penceramah2 dan agamawan2 yang mendakwa mereka dari aliran Asyairah-Maturidiyah.

Dari penerangan TGHH di atas, wahabi adalah golongan yang datangnya dari aliran Salaf di Arab Saudi tetapi melampau kerana menganggap aliran Khalaf (Asyairah-Maturidiyah) adalah sesat. Jadi wahabi adalah golongan yang mengaku Salaf tetapi suka menyesatkan pihak lain yang bukan dari aliran mereka. 

Sebenarnya ciri-ciri melampau yang dimaksudkan oleh TGHH ini bukan sahaja terdapat dalam kalangan wahabi tetapi juga dari kalangan yang mengaku beraliran Asyairah Maturidiyah, di mana ada juga dalam kalangan mereka yang menyesatkan orang2 dari aliran Salaf. Contohnya menyesatkan golongan yang tidak mentakwil ayat2 Mutasyabihat dan menggelarkan mereka wahabi kerana menyamakan sifat Allah dengan makhluk. Mereka berpendapat bahawa tidak mentakwil bermaksud menyamakan sihat Allah dengan makhluk. Sedangkan aliran Salaf yang tidak mentakwilkan ayat2 mutasyabihat tidak sepatutnya dianggap sesat kerana itulah yang dipegang oleh ulamak zaman sabahat dan tabiin. Dalam mereka tidak mentakwil, mereka tidak pernah mendakwa sifat Allah itu menyerupai sifat makhluk, mereka menyerahkan maksud sebenarnya kepada Allah swt. Begitu juga ke atas aliran yang cenderung kepada Tauhid 3 yang dianggap menyeleweng sedangkan kedua2 Tauhid 3 dan Sifat 20 adalah kaedah pendekatan memahami sifat Allah yang diterima oleh ulamak2 muktabar.

Untuk menjawab pertanyaan siapakah wahabi di Malaysia, saya ambil petikan ucapan Mufti Perlis, Dato Dr. Muhammad Asri Zainal Abidin , pautan ucapan beliau saya kepilkan di bawah. Berikut adalah  transkrip (lebih kurang) petikan beliau itu:

"Biasanya orang kaitkan Perlis ini dengan wahabi, tetapi bila tanya wahabi itu apa? Sebahagian orang yang menuduh itu, dia sendiri pun tidak tahu apa itu wahabi. Dalam disiplin Islam, semua benda kena diberikan takrif. Ada yang mewahabikan orang lain sebab tidak qunut subuh sedangkan mazhab Hanafi dan Hambali tidak buat Qunut. Adakah kerana cara bacaan bismilah dalam sembahyang, sedangkan memang terdapat khilaf di kalangan mazhab2 yang empat, ataupun Wahabi ini tidak terima Mazhab Shafie? Perlahankan wirid lepas sembahyang, melarang binaan kubur serta melakukan kenduri arwah dan lain-lain sebenarnya adalah ajaran Mazhab Shafie yang diamalkan di Perlis. Sebenarnya Perlis menerima semua mazhab. Di Malaysia dan Indonesia, tokoh2 yang ingin membuat pembaharuan ramai yang digelar wahabi. Sebenarnya perkataan wahabi merujuk kepada Muhammad bin Abdul Wahab, beliau adalah tokoh di Arab Saudi yang rapat dengan keluarga Raja Saud. Di muzium Riyadh ada surat perjanjian antara beliau dengan keluarga Saudi. Dalam perjanjian itu beliau menasihati tidak mensyirikkan Allah, mendirikan solat, menegakkan yang makruf, mencegah munkar dan menegakkan hukum syariat. Muhamad Abdul Wahab ini adalah bermazhab Hambali dan dia mengambil manfaat dari karya Ibnu Taimiyah, jadi Ibnu Taimiyah ini tokoh yang jauh lebih besar dan tidak boleh dibandingkan dengan Muhamad Abd Wahab. Tetapi Muhamad Abdul Wahab mengujudkan aliran beliau sendiri, ada yang pro dan con. Apa yang disebut beliau itu betul pada zaman itu, berkaitan dengan khurafat, bidaah dan sebagainya. Tetapi cerita ini cerita lama. Di Perlis, tidak digunakan langsung rujukan Muhamad Abd Wahab, buku2 beliau tidak dijadikan rujukan di dalam sukatan pengajian Islam di Perlis. Pada saya (Mufti Perlis), beliau adalah seorang tokoh tetapi tidaklah setaraf dengan pencapaian  tokoh2 besar yang lain. Sumbangan besar beliau di Saudi adalah menstabilkan politik di sana, terutama semasa kerajaan Othmaniah mula cuba melebarkan pengaruh mereka di Arab Saudi. Ada juga perkara2 yang beliau cakap itu ada benarnya seperti tentang kurafat, amalan karut marut dan lain2 tetapi kalau beliau tidak nyatakan pun memang itu juga pendapat kita. 

Boleh ikuti penerangan beliau di atas dalam bentuk video di pautan bawah: 

https://youtu.be/JTpeymGEx8g?si=a_6_oBBzj2A-JCU9

Mufti Perlis juga menekankan bahawa aliran Asyairah-Maturidiyah adalah Ahli Sunnah Waljamaah. Di dalam video di bawah pula, beliau dengan jelas tidak rigid menyatakan tidak boleh ditakwil semua ayat2 Mutasyabihat kecuali ayat2 yang jelas maksudnya. Beliau juga mengaku terdapat dalam kalangan Salaf yang mentakwil, tetapi jika tidak mentakwil tidak boleh pula dituduh sesat. Jangan berbalah kerana ianya adalah khilaf. Sila ikuti pengakuan beliau di bawah: 

https://youtu.be/sSK9r6vaBnc?si=bt9q897UZvtYXScT

Boleh juga ikuti penjelasan Mufti Perlis tentang siapakah ahli sunnah yang menceritakan sejarah aliran2 ahli sunnah wal jamaah dan pendirian negeri Perlis di pautan bawah: 

https://youtu.be/updha4FtY14?si=awfAPCY4L7JUTsBC

Dari penerangan dan pengakuan Mufti Perlis di atas, jelas menunjukkan bahawa Negeri Perlis tidak menjadikan Muhammad bin Abdul Wahab sebagai sumber pengajian akidah dan pembelajaran Islam. Mereka juga mengiktiraf tentang aliran Asyariah-Maturidiyah sebagai sebahagian dari Ahli Sunnah Waljamaah. Mereka juga tidak menyesatkan golongan yang mentakwilkan ayat2 Mutasyabihat, malah dalam ayat2 tertentu, mereka mengaku ada keperluan untuk mentakwil. Jadi pada pendapat mereka, isu takwil ataupun tidak takwil ini adalah khilaf yang perlu diterima oleh semua pihak dan tidak boleh menyesatkan pihak lain yang mengambil pendekatan yang berbeza. Mufti Perlis sendiri mengaku yang Perlis cenderung dengan aliran Salaf yakni pendekatan golongan yang terawal terdiri dari sahabat2 dan tabiin.   Saya yakin tokoh2 sealiran dengan aliran agama yang dipegang oleh negeri Perlis juga mempunyai pendirian yang sama. Mereka TIDAK memenuhi kriteria wahabi seperti yang dinyatakan. Mempertikaikan pendapat pihak lain dan lantang mengkritik bukan bermaksud menyesatkan ataupun mengkafirkan. 

Kenyataan Mufti Perlis ini disahkan lagi oleh kenyataan yang dibuat oleh Tuanku Sultan Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin yang bertitah bahawa negeri Perlis tidak berpegang langsung kepada ajaran 'Wahabi'. Keutamaan yang diberikan di Perlis adalah setiap perkara perlu berteraskan al-Quran dan sunnah dengan melihat kepada huraian dan ijtihad ulama yang muktabar terdiri daripada semua aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah, tidak terhad kepada satu tokoh sahaja.

Rujuk pautan di bawah: 

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/06/853616/perlis-tidak-berpegang-pada-wahabi-raja-perlis 

Walaupun pendekatan wahabi di negara asal mereka adalah keras terhadap golongan yang tidak sealiran, namun itu bukan bermaksud mereka sesat daripada segi akidah. Apa-apa aliran sekali pun, wujud golongan yang melampau. Saya percaya di dalam kelompok golongan yang digelar wahabi ini tentu ada yang sederhana. Sikap suka menyesatkan orang Islam yang lain adalah sifat tercela kerana hanya autoriti agama sahaja yang berhak untuk menentukan kesesatan sesuatu fahaman. Saya dapati terdapat beberapa autoriti agama di negara kita yang memfatwakan wahabi itu sesat tetapi persoalannya siapakah golongan wahabi yang dimaksudkan itu? Apakah asas fatwa kesesatan itu? Ada implikasi besar jika fatwa itu menjadi pegangan umat Islam kerana majoriti penganut agama Islam di negara2 Arab termasuk Arab Saudi adalah dari aliran tersebut termasuk imam2 di Masjidilharam dan di Masjid Nabawi. 

Di negara kita, individu yang menggunakan perkataan wahabi seringkali tidak menspesifikasikan siapakah orang yang dimaksudkan sebaliknya membiarkan pendengar ataupun pengikut mereka membuat andaian sendiri. Jadi perkataan ini seringkali disalahgunakan dan menjadi punca salah faham umat Islam. Perkataan ini juga kadangkala digunakan secara semberono kepada pihak lain yang berbeza pendapat. Tidak hairanlah mengapa begitu ramai tokoh2 agama di negara kita telah dilabelkan sebagai wahabi. Saya bimbang jika perkataan wahabi ini digunakan sebagai senjata untuk menekan perkembangan satu aliran lain yang dianggap mengancam perkembangan aliran yang satu lagi, sedangkan kedua2 aliran ini adalah sebahagian dari ahli sunnah waljamaah. 

Jadi siapakah Wahabi di Malaysia ? Persoalan ini saya kembalikan kepada pembaca untuk mencari jawapannya dan pendapat masing-masing.

KESIMPULAN

Pertembungan yang sedang berlaku di antara 2 aliran agamawan di Malaysia pada waktu ini adalah di antara golongan yang mengaku dari aliran Asyairah-Maturidiyah ataupun Khalaf dengan satu lagi golongan yang cenderung kepada aliran Salaf. Aliran kedua ingin membawa masyarakat Islam kembali kepada amalan agama yang diamalkan oleh Nabi tanpa menokok tambah termasuk  di dalam menafsirkan sifat2 Allah di dalam ayat2 Mutasyabihat. Mereka juga tidak terikat dengan satu mazhab sahaja tetapi memilih pendapat berdasarkan kekuatan dalil. Manakala golongan pertama pula adalah cenderung dengan aliran Asyairah-Maturidiyah dan mendakwa merangkumi majoriti daripada penganut agama Islam di negara kita. Bagaimanapun, kedua-dua aliran ini adalah di bawah payung Ahli Sunnah Waljamaah. Walaupun ujud perbezaan daripada segi pendekatan dan pemahaman tentang beberapa aspek akidah dan fiqah, namun perbezaan itu adalah khilaf dan tidak sepatutnya dijadikan alat untuk menyesatkan apatah lagi mengkafirkan satu sama lain. Perkataan wahabi yang digunakan terutamanya untuk tujuan melabel pihak lain di Malaysia adalah perkataan yang seringkali disalahgunakan untuk tujuan menyerang peribadi ataupun memperlekehkan pihak lain. Menganggap satu aliran ahli sunnah lebih sesuai dipraktikkan di sesatu tempat dan aliran lain tidak sesuai adalah bercanggah dengan sifat kesyumulan ajaran Islam. Semoga kedua-dua aliran yang sedang berbalah ini dapat duduk semeja dan berdamai demi perpaduan umat Islam di negara kita.  Perbalahan ini tidak sihat dan bukan sahaja memecahbelahkan umat Islam, tetapi akan mencemarkan imej agama suci ini. 

Dato Dr. Mohd Rushdan Md Noor

16hb Nov 2024

Tulisan di atas adalah pendapat peribadi saya sebagai seorang awam yang bukan pakar di dalam bidang agama. Ia tidak mewakili mana2 pihak ataupun aliran. Saya mengikuti perkembangan yang berlaku kerana perbalahan ini berlaku secara terbuka di dalam media sosial. Memandangkan ianya berlaku secara terbuka dan belum ada solusi berkesan yang diusahakan, maka saya cuba memahami punca perbalahan ini. Memandangkan orang awam seperti saya tidak diberikan maklumat yang tepat, maka saya perlu untuk mengambil pendirian agar tidak terikut2 dengan budaya yang tidak sihat di dalam menangani perbezaan pendapat. Pembaca boleh bersetuju ataupun tidak bersetuju dengan pendapat di atas.



Tuesday, 12 November 2024

MAKAN DAGING MENTAH : RISIKO KESIHATAN DAN HUKUM

 

Memakan daging yang mentah yang menjadi kelaziman manusia2 kuno masih diamalkan oleh manusia hari ini. Menu daging mentah atau separuh masak sudah menjadi sebahagian dari hidangan di hotel2 dan kontent pempengaruh di dalam mukbang. 

RISIKO MAKAN DAGING MENTAH

Umumnya, daging yang dimasak dengan sempurna akan membunuh organisma yang berpotensi memudaratkan kesihatan (patogen). Apabila daging ini mentah ataupun separuh masak patogen ini boleh terus hidup dan membiak. Ini boleh menyebabkan jangkitan bawaan makanan. 

Berikut adalah jenis2 jangkitan akibat patogen yang boleh menyebabkan keracunan makanan akibat memakan daging mentah:

1. JANGKITAN BAKTERIA. Daging mentah boleh mengandungi bakteria merbahaya seperti Salmonella, E. coli, Listeria, and Campylobacter. Jangkitan bakteria2 ini boleh menyebabkan gejala yang serius seperti sakit perut, cirit birit, demam, muntah dan dalam keadaan lebih serius boleh menyebabkan kerosakan organ dalam serta kematian. 

2. JANGKITAN PARASIT: Parasit seperyi Toxoplasma gondii (ditemui dalam daging mentah babi dan biri2) and Trichinella (ditemui dalam daging haiwan liar yang diburu dan daging babi) boleh menjangkiti manusia. Toxoplasmosis adalah penyakit yang serius melibatkan banyak organ seperti mata, paru2, otak dan lain2. Jadi gejala penyakit ini berbagai2 dari demam, sakit kepala, sakit otot, mata kabur, sesak nafas dan gejala otak seperti sawan dan keliru. Jangkitan ini juga boleh dipindahkan dari ibu hamil kepada anak yang dikandung. Manakala Trichinosis pula diakibatkan oleh parasit trichinella menyebabkan demam, sakit perut, sakit badan, bengkak di keliling mata dan parasit ini boleh menjangkiti organ2 lain seperti jantung, otak dan paru2 hingga boleh membawa maut. 

3. JANGKITAN VIRUS. Jangkitan virus Hepatitis E dari memakan daging babi, rusa dan haiwan bercengkerang (siput/kerang dll) yang mentah atau kurang masak boleh menyebabkan keradangan hati.  Gejala2 jangkitan virus ini adalah demam, letih, sakit sendi, kulit dan mata menjadi kuning. Kerosakan hati boleh berlaku. Kajian juga mendapati terdapat hubungan antara jangkitan kronik Hepatitis E dengan kanser hati.

4. PENYAKIT PRION: Memakan daging mentah ataupun separuh masak terutamanya sistem saraf haiwan seperti otak boleh menyebabkan penyakit prion yang melibatkan otak pesakit. Penyakit Prion adalah sekumpulan penyakit yang disebabkan oleh  protein asing yang merosakkan protein prion dalam tubuh seseorang. Sumber asal.protein asing ini tidak ddiketahui. Ia boleh menjangkiti manusia dan haiwan. Protein prion yang tidak normal ini bergumpal terutama di dalam otak mangsa. Penyakit Prion yang paling kerap adalah Creutzfeldt-Jakob disease (CJD). Salah satu varian CJG adalah penyakit lembu gila ("mad cow disease") yang diperolehi selepas memakan daging lembu yang dijangkiti.. Selain dari CJG, penyakit2 prion lain adalah Kuru, Gerstmann-Sträussler-Scheinker disease dan Fatal Insomia. Penyakit Prion sukar dirawat dan kadar kematian sangat tinggi. Pesakit mengalami gejala otak seperti hilang ingatan, masalah pergerakan, gangguan pertuturan dan kekejangan. 

5. JANGKITAN BAKTERIA YANG KEBAL ANTIBIOTIK. ("antibiotic-resistant"). Daging mentah juga boleh mengandungi bakteria yang kebal antibiotik dan jika menjangkiti manusia, sangat sukar untuk dirawat.  

Terdapat golongan2 tertentu yang lebih berisiko tinggi mengalami jangkitan akibat memakan daging mentah seperti kanak2, wanita hamil, orang tua dan individu yang rendah sistem pertahanan badan.

TIDAK ADA MANFAAT TAMBAHAN MAKAN DAGING MENTAH

Walaupun ada yang mendakwa makan daging mentah memberi lebih tinggi kandungan nutrin untuk kesihatan, namun tidak ada bukti yang kukuh. Mudarat yang dibawa dari amalan ini jauh lebih besar. Memasak daging membuatkannya lebih mudah dikunyah dan dihadamkan. Walaupun ada kajian mendapati daging yang dimasak menurunkan sedikit kandungan beberapa Vitamin (thiamine, riboflavin, niacin) dan mineral (natrium, kalium, kalaium, magnesium), kandungan mineral lain pula meningkat (zat besi, zinc dan tembaga). Tambahan pula vitamin2 ini boleh diperolehi dari sumber makanan yang lain seperti bijirin, telur, sayuran,  produk tenusu dan lain2. 

HUKUM MAKAN DAGING MENTAH

Pendapat tentang hukum memakan daging mentah berbeza-beza dan saya bawakan dua pendapat iaitu dari pejabat Mufti Wilayah dan Nahdlatul Ulama, Indonesia.

FATWA MUFTI WILAYAH

Saya merujuk kepada fatwa yang dikeluarkan oleh pejabat Mufti Wilayah di dalam IRSYAD HUKUM SIRI KE-654. Tajuk yang dibincangkan adalah berkenaan dengan hukum makan sushi dan shashimi , tetapi terdapat bahagian yang membincangkan tentang hukum makan daging mentah.

Berikut adalah kenyataan yang dipetik dari Irsyad Hukum Siri ke 654 berkenaan dengan hukum memakan daging mentah:

"Dalam hal memakan ikan mentah yang telah mati atau daging mentah yang telah disembelih secara syarak, tidak terdapat dalil khusus yang menyatakan akan pengharamannya.

Menurut Imam al-Nawawi, dalam satu permasalahan berkenaan hukum memakan daging mentah, beliau menyatakan hukumnya adalah harus. Pandangan ini juga sama menurut mazhab Maliki dan pandangan muktamad mazhab Hanbali. Meskipun begitu, keharusan memakannya adalah selama mana ia tidak membawa kepada kerosakan ataupun kemudaratan ke atas tubuh badan ataupun akal. Adapun sekiranya ia berisiko mendatangkan mudarat pada diri, maka ia tidak dibenarkan dan hukumnya boleh berubah kepada haram."

Baca maklumat lanjut di pautan bawah:

https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/umum/5075-irsyad-al-fatwa-siri-ke-654-hukum-memakan-sushi-dan-sashimi

PENDAPAT NAHDLATUL ULAMA, INDONESIA

Berikutnya adalah petikan pendapat dari Nahdlatul Ulama, Indonesia (pautan laman web tertera di bawah):

"Mengonsumsi daging secara mentah adalah hal yang diperbolehkan selama daging yang dikonsumsi bukan termasuk kategori daging dari hewan-hewan yang diharamkan dan tidak ada najis yang masih melekat dalam daging tersebut, seperti darah misalnya.

Meski diperbolehkan, namun para ulama masih berbeda pendapat mengenai makruh tidaknya mengonsumsi daging secara mentah ini. Dalam kitab al-Iqna’ dijelaskan bahwa mengonsumsi daging mentah adalah hal yang dimakruhkan, seperti halnya hukum membiasakan makan daging secara terus-menerus dan memakan daging yang sudah busuk (bau). Namun, dalam kitab yang lain menyebutkan ketidakmakruhan mengonsumsi daging secara mentah, sehingga hukumnya hanya sebatas mubah.

Berbeda halnya ketika dengan mengonsumsi daging mentah akan menyebabkan bahaya pada diri sendiri, misalnya seseorang meyakini bahwa dengan mengonsumsi daging mentah maka kesehatannya akan terganggu atau penyakit yang dimilikinya akan kambuh. Maka dalam keadaan demikian memakan daging mentah adalah hal yang dilarang". 

Baca lanjut di pautan bawah:

https://nu.or.id/syariah/hukum-mengonsumsi-daging-mentah-Ps9fi

MAKTABAH ALBAKRI

Merujuk kepada pendapat Dato' Seri Dr.Zulkifli Albakri, mantan Mufti Wilayah dan Menteri Agama, di dalam laman web beliau Maktabah Albakri, beliau menyatakan bahawa hukum memakan daging mentah adalah khilaf dari harus, makruh dan haram. Walau bagaimanapun, berdasarkan kepada ahli al-ikhtisas (pakar perubatan), beliau cenderung dengan pendapat mengatakan hukum makan daging mentah adalah makruh. Namun jika ianya memudaratkan kesihatan, hukumnya haram. Pautan tulisan beliau adalah seperti di bawah:

https://maktabahalbakri.com/377-makan-daging-mentah/

DAGING MENTAH BERDARAH

Pada permukaan daging yang dipotong terdapat cairan merah yang kelihatan terlekat pada serat2 daging. Persoalannya, adakah cairan merah yang terdapat pada daging mentah tersebut adalah darah. Dari pandangan ilmu sains perubatan, cecair kemerahan yang terdapat pada daging itu bukan sebenarnya mengandungi sel2 darah sebaliknya warna kemerahan itu adalah disebabkan kehadiran sejenis protein di dalam otot yang dikenali sebagai myoglobin yang bergabung dengan oksigen untuk membentuk oxymyoglobin. Rujuk pautan di bawah:

https://www.fsis.usda.gov/food-safety/safe-food-handling-and-preparation/food-safety-basics/color-meat-and-poultry

Jika cecairan merah itu memang darah, apakah hukumnya memakan daging tersebut. Dalam menjawab persoalan ini saya bawakan pendapat dari beberapa sumber.

Firman Allah dalam surah Al-An'am, ayat 145 bermaksud: “Aku tidak mendapati dalam perkara yang diwahyukan kepadaku sesuatu yang diharamkan bagi orang hendak memakannya melainkan benda itu berupa bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah kotor...”

Mengikut pendapat Nahdlatul Ulama, terdapat dua jenis darah yakni darah yang mengalir dan darah yang tidak mengalir. Hukum haram yang dinyatakan dalam surah Al-Anam di atas merujuk kepada darah yang mengalir. Adapun darah yang tidak mengalir seperti darah tertinggal sedikit pada daging, hati dan limpa dianggap suci dan tidak dihukum haram untuk dimakan. Sila rujuk pautan di bawah:

https://nu.or.id/syariah/darah-yang-halal-dan-yang-haram-G675a

Pendapat yang sama dikemukakan oleh Mufti Wilayah di dalam Al-Kafi 654

Boleh baca di pautan bawah:

https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/685-al-kafi-654-hukum-darah-pada-daging-urat-dan-tulang-haiwan-sembelihan

Mukasurat 15, buku keluaran Jakim, Penentuan Hukum Plasma Darah Dalam Makanan Menurut Perspektif Islam juga memberi pendapat yang sama.


RUMUSAN (PENDAPAT PERIBADI)

Memakan daging mentah berpotensi membawa kemudaratan kepada tubuh badan seperti yang dinyatakan di dalam tulisan di atas. Walaupun ada manfaat, tetapi mudaratnya lebih besar, lebih2 lagi jika isu kebersihan sukar untuk dipelihara dan dipantau. Walaupun terdapat perbezaan pendapat mengenai hukum memakan daging mentah dan darah haiwan, saya secara peribadi tidak akan memakan daging mentah kerana risiko kemudaratan kepada kesihatan. Tambahan pula, daging mentah tidak sedap dimakan. Manakala daging (haiwan yang mati disembelih secara syarak) yang terdapat sedikit darah yang tidak mengalir, Mufti Wilayah dan Nahdatul Ulama sepakat yang ianya suci dan harus dimakan. Di samping itu, pada pandangan ahli sains, cecair kemerahan dari daging bukan darah tetapi kesan kehadiran oxymyoglobin. Memakan daging perlu mematuhi kaedah pemakanan sihat agar ia tidak menyebabkan masalah kegemukan, tahap kolesterol yang tinggi dan lain2 risiko kesihatan yang berkaitan dengan pengambilan daging secara berlebihan.

Dato' Dr Rushdan Noor

13hb Nov 2024

RUJUKAN

https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/umum/5075-irsyad-al-fatwa-siri-ke-654-hukum-memakan-sushi-dan-sashimi

https://nu.or.id/syariah/hukum-mengonsumsi-daging-mentah-Ps9fi

https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/4854-irsyad-al-fatwa-siri-ke-589-hukum-menelan-darah-yang-berada-di-dalam-mulut-ketika-solat?

https://www.facebook.com/share/p/1F2S2cHGvf/

https://www.google.com/amp/s/nu.or.id/amp/syariah/hukum-mengonsumsi-daging-mentah-Ps9fi

https://www.healthline.com/health/video/can-you-eat-raw-beef

https://www.sciencedirect.com/science/article/abs/pii/S1877782123001376

https://www.hopkinsmedicine.org/health/conditions-and-diseases/prion-diseases