Semasa saya menulis rencana ini, sedang berlaku pertembungan yang agak serius di antara dua aliran agama di negara kita iaitu aliran yang menggelarkan diri mereka Asyairah Maturidiyah dengan satu lagi aliran yang tidak menyatakan dengan jelas mereka itu dari aliran apa tetapi mempunyai kecenderungan kepada aliran Salaf. Golongan yang kedua ini dikaitkan dengan aliran yang diamalkan oleh umat Islam di sebuah negeri di utara Malaysia. Di dalam pertembungan ini, beberapa orang tokoh dari aliran Asyairah Maturidiyah seringkali menggunakan penglabelan wahabi yang mungkin merujuk kepada golongan kedua (kenyataan ini perlu pengesahan kerana pihak pertama tidak berani berterus terang). Jadi di dalam rencana ini, kita ingin mengetahui siapakah sebenarnya wahabi yang sering disebut2 oleh bukan sahaja tokoh2 agama tetapi juga oleh orang ramai dalam konteks negara kita.
RINGKASAN SEJARAH KEUJUDAN ALIRAN SALAF DAN KHALAF
Untuk tujuan mengetahui tentang sejarah kedua2 aliran Salaf dan Asyairah Maturidiyah ini, saya ingin merujuk kepada penerangan yang dibuat oleh Tuan Guru Tan Sri Hj Abdul Hadi Awang (TGHH) dalam satu ceramah beliau berkenaan dengan perkara ini. Saya dapati penerangan beliau ringkas dan padat. Di bawah ini adalah transkrip ucapan beliau yang jelas menerangkan sejarah kewujudan aliran Salaf dan Asyairah Maturidiyiah, ataupun beliau menggunakan perkataan Salaf dan Khalaf. Baca transkrip ucapan beliau di bawah:
"Dalam masalah akidah Islam ini, ada mazhab Salaf dan mazhab Khalaf dalam Ahli Sunnah Waljamaah. Mazhab Salaf adalah mazhab dari tahun 1 hingga 300 Hijrah, ini Salaf, zaman Sahabat, zaman tabiin, zaman tabiin tabiin. Zaman orang Islam tidak tanya banyak tentang ayat-ayat mutasyabihat ("sifat2 Allah swt"), ayat2 ini mereka serah kepada Allah swt, Tuhan bersemayam, bersemayamlah, macam mana bersemayam, tidak tahu. Tuhan ada tangan, ada tangan tetapi tangan tidak sama dengan makhluk, itulah mazhab Salaf. Mazhab Khalaf ini pula adalah selepas masuknya pengaruh falsafah di zaman Abasiyah, diterjemahkan buku-buku falsafah. Maka pada ketika itu lahirlah fahaman Qadariah, Jabariah, Muktazilah, Jahmiah dan lain-lain lagi. Maka ketika itu lahirlah ulamak2 Mujaddid dan dalam ahli sunnah lahirlah Abu Hasan Al-Asyari dan Abu Mansur Maturidi yang membawa pendekatan mantik (ilmu bahas) berhujah dengan golongan Muktazilah dan Jabariah. Ayat-ayat mutasyabihat ini ditakwilkan contohnya "tangan" dengan makna "kuasa", "mata" dengan makna "melihat" untuk melawan ahli-ahli falsafah ini, kalau guna makna asal, kalah lah berdebat. Sebab itu pengajian sifat berfalsafah ini adalah dari aliran Asyairah Maturidiyah. Ini kalangan Ahli Sunnah. Ibnu Tamiyah adalah ulamak yang kemudian yang tidak setuju dengan Asyairah dan Maturidiyah, duduk bahas pasal takluk dan bermacam2 sehingga sukar untuk memahami ilmu falsafah ini. Jadi Ibnu Tamiyah memilih untuk berpegang kepada cara Salaf. Yang sebenarnya Salaf ini bukan Ibnu Tamiyah saja tetapi juga termasuk Imam Shafie, Imam Hanafi, Imam Maliki, Imam Hambali, Imam Nawawi, Ibnu Katsir, mereka ini semua berpegang kepada Salaf sama seperti Ibn Tamiyah juga. Dalam mazhab Shafie, ada pula Imam Al-Ghazali dan Imam Al Haramain yang bermazhab Khalaf pula. Fiqahnya Shafie, akidahnya Khalaf yakni Asyairah Maturidiyah. Jadi Ibnu Taimiyah ini oleh kerana dia berpegang keras dengan Salafi sehingga menganggap Asyairah Maturidiah ini menyeleweng, tidak betul dan inilah jadi perbalahan. Ibnu Tamiyah ini ada keras sedikit, pada hal semuanya kalangan orang Islam belaka yakni Salaf dan Khalaf. Kalau kita baca kitab jawi Aqidatul Najim, tentang akidah disebut mazhab Salaf kata begini, Mazhab Khalaf kata begini. Tetapi mazhab Salaf lebih Aslam (lebih selamat), manakala mazhab Khalaf ini untuk berhujah dengan orang. Ada pun puak-puak Salaf ini dipegang oleh puak2 wahabi di Arab Saudi menganggap Khalaf itu sesat belaka, itu sudah melampau. Tidak boleh kata sesat, itu Ahli Sunnah Waljamaah belaka. Jadi Ahli Sunnah Waljamaah ini ada 3 mazhab iaitu mazhab Salaf, Asyairah dan Maturidiyah".
Pautan video ucapan TGHH di atas boleh ditonton di pautan bawah
https://www.facebook.com/watch/?v=1021991342793940&rdid=gUJ6jc5jmZ0ft0Zc
Dari penerangan yang diberikan oleh TGHH di atas, bolehlah disimpulkan bahawa Ahli Sunnah Waljamaah diwakili oleh kedua2 Salaf dan Khalaf (Asyairah-Maturidiyah). Manakala wahabi pula adalah dalam kalangan yang mendakwa dari golongan Salaf tetapi melampau kerana menyesatkan golongan Khalaf dan bersikap terlalu keras dengan pihak yang menyuburkan bidaah. Apabila kedua-dua aliran Salaf dan Khalaf ini dianggap sebahagian dari Ahli Sunnah Waljamaah, maka jelas bahawa di dalam menafsirkan ayat2 mutasyabihat, kedua2 kaedah samada tidak ditakwil ataupun ditakwil boleh diterima dan dianggap khilaf selagi pendekatan ini diperakui oleh ulamak masing2.
SIAPAKAH WAHABI DI MALAYSIA
Di dalam tulisan ini saya tidak berhajat untuk membuat penilaian tentang siapakah Asyairah Maturidiyah di Malaysia kerana sesuai dengan tajuk tulisan ini yang memfokuskan kepada siapakah wahabi di Malaysia yang tentu sekali tidak ada kena mengena dengan aliran Asyairah. Tetapi tuduhan wahabi ini seringkali digunakan oleh penceramah2 dan agamawan2 yang mendakwa mereka dari aliran Asyairah-Maturidiyah.
Dari penerangan TGHH di atas, wahabi adalah golongan yang datangnya dari aliran Salaf di Arab Saudi tetapi melampau kerana menganggap aliran Khalaf (Asyairah-Maturidiyah) adalah sesat. Jadi wahabi adalah golongan yang mengaku Salaf tetapi suka menyesatkan pihak lain yang bukan dari aliran mereka.
Sebenarnya ciri-ciri melampau yang dimaksudkan oleh TGHH ini bukan sahaja terdapat dalam kalangan wahabi tetapi juga dari kalangan yang mengaku beraliran Asyairah Maturidiyah, di mana ada juga dalam kalangan mereka yang menyesatkan orang2 dari aliran Salaf. Contohnya menyesatkan golongan yang tidak mentakwil ayat2 Mutasyabihat dan menggelarkan mereka wahabi kerana menyamakan sifat Allah dengan makhluk. Mereka berpendapat bahawa tidak mentakwil bermaksud menyamakan sihat Allah dengan makhluk. Sedangkan aliran Salaf yang tidak mentakwilkan ayat2 mutasyabihat tidak sepatutnya dianggap sesat kerana itulah yang dipegang oleh ulamak zaman sabahat dan tabiin. Dalam mereka tidak mentakwil, mereka tidak pernah mendakwa sifat Allah itu menyerupai sifat makhluk, mereka menyerahkan maksud sebenarnya kepada Allah swt. Begitu juga ke atas aliran yang cenderung kepada Tauhid 3 yang dianggap menyeleweng sedangkan kedua2 Tauhid 3 dan Sifat 20 adalah kaedah pendekatan memahami sifat Allah yang diterima oleh ulamak2 muktabar.
Untuk menjawab pertanyaan siapakah wahabi di Malaysia, saya ambil petikan ucapan Mufti Perlis, Dato Dr. Muhammad Asri Zainal Abidin , pautan ucapan beliau saya kepilkan di bawah. Berikut adalah transkrip (lebih kurang) petikan beliau itu:
"Biasanya orang kaitkan Perlis ini dengan wahabi, tetapi bila tanya wahabi itu apa? Sebahagian orang yang menuduh itu, dia sendiri pun tidak tahu apa itu wahabi. Dalam disiplin Islam, semua benda kena diberikan takrif. Ada yang mewahabikan orang lain sebab tidak qunut subuh sedangkan mazhab Hanafi dan Hambali tidak buat Qunut. Adakah kerana cara bacaan bismilah dalam sembahyang, sedangkan memang terdapat khilaf di kalangan mazhab2 yang empat, ataupun Wahabi ini tidak terima Mazhab Shafie? Perlahankan wirid lepas sembahyang, melarang binaan kubur serta melakukan kenduri arwah dan lain-lain sebenarnya adalah ajaran Mazhab Shafie yang diamalkan di Perlis. Sebenarnya Perlis menerima semua mazhab. Di Malaysia dan Indonesia, tokoh2 yang ingin membuat pembaharuan ramai yang digelar wahabi. Sebenarnya perkataan wahabi merujuk kepada Muhammad bin Abdul Wahab, beliau adalah tokoh di Arab Saudi yang rapat dengan keluarga Raja Saud. Di muzium Riyadh ada surat perjanjian antara beliau dengan keluarga Saudi. Dalam perjanjian itu beliau menasihati tidak mensyirikkan Allah, mendirikan solat, menegakkan yang makruf, mencegah munkar dan menegakkan hukum syariat. Muhamad Abdul Wahab ini adalah bermazhab Hambali dan dia mengambil manfaat dari karya Ibnu Taimiyah, jadi Ibnu Taimiyah ini tokoh yang jauh lebih besar dan tidak boleh dibandingkan dengan Muhamad Abd Wahab. Tetapi Muhamad Abdul Wahab mengujudkan aliran beliau sendiri, ada yang pro dan con. Apa yang disebut beliau itu betul pada zaman itu, berkaitan dengan khurafat, bidaah dan sebagainya. Tetapi cerita ini cerita lama. Di Perlis, tidak digunakan langsung rujukan Muhamad Abd Wahab, buku2 beliau tidak dijadikan rujukan di dalam sukatan pengajian Islam di Perlis. Pada saya (Mufti Perlis), beliau adalah seorang tokoh tetapi tidaklah setaraf dengan pencapaian tokoh2 besar yang lain. Sumbangan besar beliau di Saudi adalah menstabilkan politik di sana, terutama semasa kerajaan Othmaniah mula cuba melebarkan pengaruh mereka di Arab Saudi. Ada juga perkara2 yang beliau cakap itu ada benarnya seperti tentang kurafat, amalan karut marut dan lain2 tetapi kalau beliau tidak nyatakan pun memang itu juga pendapat kita.
Boleh ikuti penerangan beliau di atas dalam bentuk video di pautan bawah:
https://youtu.be/JTpeymGEx8g?si=a_6_oBBzj2A-JCU9
Mufti Perlis juga menekankan bahawa aliran Asyairah-Maturidiyah adalah Ahli Sunnah Waljamaah. Di dalam video di bawah pula, beliau dengan jelas tidak rigid menyatakan tidak boleh ditakwil semua ayat2 Mutasyabihat kecuali ayat2 yang jelas maksudnya. Beliau juga mengaku terdapat dalam kalangan Salaf yang mentakwil, tetapi jika tidak mentakwil tidak boleh pula dituduh sesat. Jangan berbalah kerana ianya adalah khilaf. Sila ikuti pengakuan beliau di bawah:
https://youtu.be/sSK9r6vaBnc?si=bt9q897UZvtYXScT
Boleh juga ikuti penjelasan Mufti Perlis tentang siapakah ahli sunnah yang menceritakan sejarah aliran2 ahli sunnah wal jamaah dan pendirian negeri Perlis di pautan bawah:
https://youtu.be/updha4FtY14?si=awfAPCY4L7JUTsBC
Dari penerangan dan pengakuan Mufti Perlis di atas, jelas menunjukkan bahawa Negeri Perlis tidak menjadikan Muhammad bin Abdul Wahab sebagai sumber pengajian akidah dan pembelajaran Islam. Mereka juga mengiktiraf tentang aliran Asyariah-Maturidiyah sebagai sebahagian dari Ahli Sunnah Waljamaah. Mereka juga tidak menyesatkan golongan yang mentakwilkan ayat2 Mutasyabihat, malah dalam ayat2 tertentu, mereka mengaku ada keperluan untuk mentakwil. Jadi pada pendapat mereka, isu takwil ataupun tidak takwil ini adalah khilaf yang perlu diterima oleh semua pihak dan tidak boleh menyesatkan pihak lain yang mengambil pendekatan yang berbeza. Mufti Perlis sendiri mengaku yang Perlis cenderung dengan aliran Salaf yakni pendekatan golongan yang terawal terdiri dari sahabat2 dan tabiin. Saya yakin tokoh2 sealiran dengan aliran agama yang dipegang oleh negeri Perlis juga mempunyai pendirian yang sama. Mereka TIDAK memenuhi kriteria wahabi seperti yang dinyatakan. Mempertikaikan pendapat pihak lain dan lantang mengkritik bukan bermaksud menyesatkan ataupun mengkafirkan.
Kenyataan Mufti Perlis ini disahkan lagi oleh kenyataan yang dibuat oleh Tuanku Sultan Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin yang bertitah bahawa negeri Perlis tidak berpegang langsung kepada ajaran 'Wahabi'. Keutamaan yang diberikan di Perlis adalah setiap perkara perlu berteraskan al-Quran dan sunnah dengan melihat kepada huraian dan ijtihad ulama yang muktabar terdiri daripada semua aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah, tidak terhad kepada satu tokoh sahaja.
Rujuk pautan di bawah:
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/06/853616/perlis-tidak-berpegang-pada-wahabi-raja-perlis
Walaupun pendekatan wahabi di negara asal mereka adalah keras terhadap golongan yang tidak sealiran, namun itu bukan bermaksud mereka sesat daripada segi akidah. Apa-apa aliran sekali pun, wujud golongan yang melampau. Saya percaya di dalam kelompok golongan yang digelar wahabi ini tentu ada yang sederhana. Sikap suka menyesatkan orang Islam yang lain adalah sifat tercela kerana hanya autoriti agama sahaja yang berhak untuk menentukan kesesatan sesuatu fahaman. Saya dapati terdapat beberapa autoriti agama di negara kita yang memfatwakan wahabi itu sesat tetapi persoalannya siapakah golongan wahabi yang dimaksudkan itu? Apakah asas fatwa kesesatan itu? Ada implikasi besar jika fatwa itu menjadi pegangan umat Islam kerana majoriti penganut agama Islam di negara2 Arab termasuk Arab Saudi adalah dari aliran tersebut termasuk imam2 di Masjidilharam dan di Masjid Nabawi.
Di negara kita, individu yang menggunakan perkataan wahabi seringkali tidak menspesifikasikan siapakah orang yang dimaksudkan sebaliknya membiarkan pendengar ataupun pengikut mereka membuat andaian sendiri. Jadi perkataan ini seringkali disalahgunakan dan menjadi punca salah faham umat Islam. Perkataan ini juga kadangkala digunakan secara semberono kepada pihak lain yang berbeza pendapat. Tidak hairanlah mengapa begitu ramai tokoh2 agama di negara kita telah dilabelkan sebagai wahabi. Saya bimbang jika perkataan wahabi ini digunakan sebagai senjata untuk menekan perkembangan satu aliran lain yang dianggap mengancam perkembangan aliran yang satu lagi, sedangkan kedua2 aliran ini adalah sebahagian dari ahli sunnah waljamaah.
Jadi siapakah Wahabi di Malaysia ? Persoalan ini saya kembalikan kepada pembaca untuk mencari jawapannya dan pendapat masing-masing.
KESIMPULAN
Pertembungan yang sedang berlaku di antara 2 aliran agamawan di Malaysia pada waktu ini adalah di antara golongan yang mengaku dari aliran Asyairah-Maturidiyah ataupun Khalaf dengan satu lagi golongan yang cenderung kepada aliran Salaf. Aliran kedua ingin membawa masyarakat Islam kembali kepada amalan agama yang diamalkan oleh Nabi tanpa menokok tambah termasuk di dalam menafsirkan sifat2 Allah di dalam ayat2 Mutasyabihat. Mereka juga tidak terikat dengan satu mazhab sahaja tetapi memilih pendapat berdasarkan kekuatan dalil. Manakala golongan pertama pula adalah cenderung dengan aliran Asyairah-Maturidiyah dan mendakwa merangkumi majoriti daripada penganut agama Islam di negara kita. Bagaimanapun, kedua-dua aliran ini adalah di bawah payung Ahli Sunnah Waljamaah. Walaupun ujud perbezaan daripada segi pendekatan dan pemahaman tentang beberapa aspek akidah dan fiqah, namun perbezaan itu adalah khilaf dan tidak sepatutnya dijadikan alat untuk menyesatkan apatah lagi mengkafirkan satu sama lain. Perkataan wahabi yang digunakan terutamanya untuk tujuan melabel pihak lain di Malaysia adalah perkataan yang seringkali disalahgunakan untuk tujuan menyerang peribadi ataupun memperlekehkan pihak lain. Menganggap satu aliran ahli sunnah lebih sesuai dipraktikkan di sesatu tempat dan aliran lain tidak sesuai adalah bercanggah dengan sifat kesyumulan ajaran Islam. Semoga kedua-dua aliran yang sedang berbalah ini dapat duduk semeja dan berdamai demi perpaduan umat Islam di negara kita. Perbalahan ini tidak sihat dan bukan sahaja memecahbelahkan umat Islam, tetapi akan mencemarkan imej agama suci ini.
Dato Dr. Mohd Rushdan Md Noor
16hb Nov 2024
Tulisan di atas adalah pendapat peribadi saya sebagai seorang awam yang bukan pakar di dalam bidang agama. Ia tidak mewakili mana2 pihak ataupun aliran. Saya mengikuti perkembangan yang berlaku kerana perbalahan ini berlaku secara terbuka di dalam media sosial. Memandangkan ianya berlaku secara terbuka dan belum ada solusi berkesan yang diusahakan, maka saya cuba memahami punca perbalahan ini. Memandangkan orang awam seperti saya tidak diberikan maklumat yang tepat, maka saya perlu untuk mengambil pendirian agar tidak terikut2 dengan budaya yang tidak sihat di dalam menangani perbezaan pendapat. Pembaca boleh bersetuju ataupun tidak bersetuju dengan pendapat di atas.
No comments:
Post a Comment