Tuesday, 12 November 2024

MAKAN DAGING MENTAH : RISIKO KESIHATAN DAN HUKUM

 

Memakan daging yang mentah yang menjadi kelaziman manusia2 kuno masih diamalkan oleh manusia hari ini. Menu daging mentah atau separuh masak sudah menjadi sebahagian dari hidangan di hotel2 dan kontent pempengaruh di dalam mukbang. 

RISIKO MAKAN DAGING MENTAH

Umumnya, daging yang dimasak dengan sempurna akan membunuh organisma yang berpotensi memudaratkan kesihatan (patogen). Apabila daging ini mentah ataupun separuh masak patogen ini boleh terus hidup dan membiak. Ini boleh menyebabkan jangkitan bawaan makanan. 

Berikut adalah jenis2 jangkitan akibat patogen yang boleh menyebabkan keracunan makanan akibat memakan daging mentah:

1. JANGKITAN BAKTERIA. Daging mentah boleh mengandungi bakteria merbahaya seperti Salmonella, E. coli, Listeria, and Campylobacter. Jangkitan bakteria2 ini boleh menyebabkan gejala yang serius seperti sakit perut, cirit birit, demam, muntah dan dalam keadaan lebih serius boleh menyebabkan kerosakan organ dalam serta kematian. 

2. JANGKITAN PARASIT: Parasit seperyi Toxoplasma gondii (ditemui dalam daging mentah babi dan biri2) and Trichinella (ditemui dalam daging haiwan liar yang diburu dan daging babi) boleh menjangkiti manusia. Toxoplasmosis adalah penyakit yang serius melibatkan banyak organ seperti mata, paru2, otak dan lain2. Jadi gejala penyakit ini berbagai2 dari demam, sakit kepala, sakit otot, mata kabur, sesak nafas dan gejala otak seperti sawan dan keliru. Jangkitan ini juga boleh dipindahkan dari ibu hamil kepada anak yang dikandung. Manakala Trichinosis pula diakibatkan oleh parasit trichinella menyebabkan demam, sakit perut, sakit badan, bengkak di keliling mata dan parasit ini boleh menjangkiti organ2 lain seperti jantung, otak dan paru2 hingga boleh membawa maut. 

3. JANGKITAN VIRUS. Jangkitan virus Hepatitis E dari memakan daging babi, rusa dan haiwan bercengkerang (siput/kerang dll) yang mentah atau kurang masak boleh menyebabkan keradangan hati.  Gejala2 jangkitan virus ini adalah demam, letih, sakit sendi, kulit dan mata menjadi kuning. Kerosakan hati boleh berlaku. Kajian juga mendapati terdapat hubungan antara jangkitan kronik Hepatitis E dengan kanser hati.

4. PENYAKIT PRION: Memakan daging mentah ataupun separuh masak terutamanya sistem saraf haiwan seperti otak boleh menyebabkan penyakit prion yang melibatkan otak pesakit. Penyakit Prion adalah sekumpulan penyakit yang disebabkan oleh  protein asing yang merosakkan protein prion dalam tubuh seseorang. Sumber asal.protein asing ini tidak ddiketahui. Ia boleh menjangkiti manusia dan haiwan. Protein prion yang tidak normal ini bergumpal terutama di dalam otak mangsa. Penyakit Prion yang paling kerap adalah Creutzfeldt-Jakob disease (CJD). Salah satu varian CJG adalah penyakit lembu gila ("mad cow disease") yang diperolehi selepas memakan daging lembu yang dijangkiti.. Selain dari CJG, penyakit2 prion lain adalah Kuru, Gerstmann-Sträussler-Scheinker disease dan Fatal Insomia. Penyakit Prion sukar dirawat dan kadar kematian sangat tinggi. Pesakit mengalami gejala otak seperti hilang ingatan, masalah pergerakan, gangguan pertuturan dan kekejangan. 

5. JANGKITAN BAKTERIA YANG KEBAL ANTIBIOTIK. ("antibiotic-resistant"). Daging mentah juga boleh mengandungi bakteria yang kebal antibiotik dan jika menjangkiti manusia, sangat sukar untuk dirawat.  

Terdapat golongan2 tertentu yang lebih berisiko tinggi mengalami jangkitan akibat memakan daging mentah seperti kanak2, wanita hamil, orang tua dan individu yang rendah sistem pertahanan badan.

TIDAK ADA MANFAAT TAMBAHAN MAKAN DAGING MENTAH

Walaupun ada yang mendakwa makan daging mentah memberi lebih tinggi kandungan nutrin untuk kesihatan, namun tidak ada bukti yang kukuh. Mudarat yang dibawa dari amalan ini jauh lebih besar. Memasak daging membuatkannya lebih mudah dikunyah dan dihadamkan. Walaupun ada kajian mendapati daging yang dimasak menurunkan sedikit kandungan beberapa Vitamin (thiamine, riboflavin, niacin) dan mineral (natrium, kalium, kalaium, magnesium), kandungan mineral lain pula meningkat (zat besi, zinc dan tembaga). Tambahan pula vitamin2 ini boleh diperolehi dari sumber makanan yang lain seperti bijirin, telur, sayuran,  produk tenusu dan lain2. 

HUKUM MAKAN DAGING MENTAH

Pendapat tentang hukum memakan daging mentah berbeza-beza dan saya bawakan dua pendapat iaitu dari pejabat Mufti Wilayah dan Nahdlatul Ulama, Indonesia.

FATWA MUFTI WILAYAH

Saya merujuk kepada fatwa yang dikeluarkan oleh pejabat Mufti Wilayah di dalam IRSYAD HUKUM SIRI KE-654. Tajuk yang dibincangkan adalah berkenaan dengan hukum makan sushi dan shashimi , tetapi terdapat bahagian yang membincangkan tentang hukum makan daging mentah.

Berikut adalah kenyataan yang dipetik dari Irsyad Hukum Siri ke 654 berkenaan dengan hukum memakan daging mentah:

"Dalam hal memakan ikan mentah yang telah mati atau daging mentah yang telah disembelih secara syarak, tidak terdapat dalil khusus yang menyatakan akan pengharamannya.

Menurut Imam al-Nawawi, dalam satu permasalahan berkenaan hukum memakan daging mentah, beliau menyatakan hukumnya adalah harus. Pandangan ini juga sama menurut mazhab Maliki dan pandangan muktamad mazhab Hanbali. Meskipun begitu, keharusan memakannya adalah selama mana ia tidak membawa kepada kerosakan ataupun kemudaratan ke atas tubuh badan ataupun akal. Adapun sekiranya ia berisiko mendatangkan mudarat pada diri, maka ia tidak dibenarkan dan hukumnya boleh berubah kepada haram."

Baca maklumat lanjut di pautan bawah:

https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/umum/5075-irsyad-al-fatwa-siri-ke-654-hukum-memakan-sushi-dan-sashimi

PENDAPAT NAHDLATUL ULAMA, INDONESIA

Berikutnya adalah petikan pendapat dari Nahdlatul Ulama, Indonesia (pautan laman web tertera di bawah):

"Mengonsumsi daging secara mentah adalah hal yang diperbolehkan selama daging yang dikonsumsi bukan termasuk kategori daging dari hewan-hewan yang diharamkan dan tidak ada najis yang masih melekat dalam daging tersebut, seperti darah misalnya.

Meski diperbolehkan, namun para ulama masih berbeda pendapat mengenai makruh tidaknya mengonsumsi daging secara mentah ini. Dalam kitab al-Iqna’ dijelaskan bahwa mengonsumsi daging mentah adalah hal yang dimakruhkan, seperti halnya hukum membiasakan makan daging secara terus-menerus dan memakan daging yang sudah busuk (bau). Namun, dalam kitab yang lain menyebutkan ketidakmakruhan mengonsumsi daging secara mentah, sehingga hukumnya hanya sebatas mubah.

Berbeda halnya ketika dengan mengonsumsi daging mentah akan menyebabkan bahaya pada diri sendiri, misalnya seseorang meyakini bahwa dengan mengonsumsi daging mentah maka kesehatannya akan terganggu atau penyakit yang dimilikinya akan kambuh. Maka dalam keadaan demikian memakan daging mentah adalah hal yang dilarang". 

Baca lanjut di pautan bawah:

https://nu.or.id/syariah/hukum-mengonsumsi-daging-mentah-Ps9fi

MAKTABAH ALBAKRI

Merujuk kepada pendapat Dato' Seri Dr.Zulkifli Albakri, mantan Mufti Wilayah dan Menteri Agama, di dalam laman web beliau Maktabah Albakri, beliau menyatakan bahawa hukum memakan daging mentah adalah khilaf dari harus, makruh dan haram. Walau bagaimanapun, berdasarkan kepada ahli al-ikhtisas (pakar perubatan), beliau cenderung dengan pendapat mengatakan hukum makan daging mentah adalah makruh. Namun jika ianya memudaratkan kesihatan, hukumnya haram. Pautan tulisan beliau adalah seperti di bawah:

https://maktabahalbakri.com/377-makan-daging-mentah/

DAGING MENTAH BERDARAH

Pada permukaan daging yang dipotong terdapat cairan merah yang kelihatan terlekat pada serat2 daging. Persoalannya, adakah cairan merah yang terdapat pada daging mentah tersebut adalah darah. Dari pandangan ilmu sains perubatan, cecair kemerahan yang terdapat pada daging itu bukan sebenarnya mengandungi sel2 darah sebaliknya warna kemerahan itu adalah disebabkan kehadiran sejenis protein di dalam otot yang dikenali sebagai myoglobin yang bergabung dengan oksigen untuk membentuk oxymyoglobin. Rujuk pautan di bawah:

https://www.fsis.usda.gov/food-safety/safe-food-handling-and-preparation/food-safety-basics/color-meat-and-poultry

Jika cecairan merah itu memang darah, apakah hukumnya memakan daging tersebut. Dalam menjawab persoalan ini saya bawakan pendapat dari beberapa sumber.

Firman Allah dalam surah Al-An'am, ayat 145 bermaksud: “Aku tidak mendapati dalam perkara yang diwahyukan kepadaku sesuatu yang diharamkan bagi orang hendak memakannya melainkan benda itu berupa bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah kotor...”

Mengikut pendapat Nahdlatul Ulama, terdapat dua jenis darah yakni darah yang mengalir dan darah yang tidak mengalir. Hukum haram yang dinyatakan dalam surah Al-Anam di atas merujuk kepada darah yang mengalir. Adapun darah yang tidak mengalir seperti darah tertinggal sedikit pada daging, hati dan limpa dianggap suci dan tidak dihukum haram untuk dimakan. Sila rujuk pautan di bawah:

https://nu.or.id/syariah/darah-yang-halal-dan-yang-haram-G675a

Pendapat yang sama dikemukakan oleh Mufti Wilayah di dalam Al-Kafi 654

Boleh baca di pautan bawah:

https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/685-al-kafi-654-hukum-darah-pada-daging-urat-dan-tulang-haiwan-sembelihan

Mukasurat 15, buku keluaran Jakim, Penentuan Hukum Plasma Darah Dalam Makanan Menurut Perspektif Islam juga memberi pendapat yang sama.


RUMUSAN (PENDAPAT PERIBADI)

Memakan daging mentah berpotensi membawa kemudaratan kepada tubuh badan seperti yang dinyatakan di dalam tulisan di atas. Walaupun ada manfaat, tetapi mudaratnya lebih besar, lebih2 lagi jika isu kebersihan sukar untuk dipelihara dan dipantau. Walaupun terdapat perbezaan pendapat mengenai hukum memakan daging mentah dan darah haiwan, saya secara peribadi tidak akan memakan daging mentah kerana risiko kemudaratan kepada kesihatan. Tambahan pula, daging mentah tidak sedap dimakan. Manakala daging (haiwan yang mati disembelih secara syarak) yang terdapat sedikit darah yang tidak mengalir, Mufti Wilayah dan Nahdatul Ulama sepakat yang ianya suci dan harus dimakan. Di samping itu, pada pandangan ahli sains, cecair kemerahan dari daging bukan darah tetapi kesan kehadiran oxymyoglobin. Memakan daging perlu mematuhi kaedah pemakanan sihat agar ia tidak menyebabkan masalah kegemukan, tahap kolesterol yang tinggi dan lain2 risiko kesihatan yang berkaitan dengan pengambilan daging secara berlebihan.

Dato' Dr Rushdan Noor

13hb Nov 2024

RUJUKAN

https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/umum/5075-irsyad-al-fatwa-siri-ke-654-hukum-memakan-sushi-dan-sashimi

https://nu.or.id/syariah/hukum-mengonsumsi-daging-mentah-Ps9fi

https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/4854-irsyad-al-fatwa-siri-ke-589-hukum-menelan-darah-yang-berada-di-dalam-mulut-ketika-solat?

https://www.facebook.com/share/p/1F2S2cHGvf/

https://www.google.com/amp/s/nu.or.id/amp/syariah/hukum-mengonsumsi-daging-mentah-Ps9fi

https://www.healthline.com/health/video/can-you-eat-raw-beef

https://www.sciencedirect.com/science/article/abs/pii/S1877782123001376

https://www.hopkinsmedicine.org/health/conditions-and-diseases/prion-diseases

No comments:

Post a Comment