Saturday 23 January 2021

BENARKAH RAMAI PENERIMA VAKSIN DI ISRAEL MASIH DIJANGKITI ?

 

Satu lapuran akhbar melapurkan bahawa seramai 12,400 orang penerima vaksin di Israel masih dijangkiti oleh Covid-19. Setakat ini lebih 2 juta penduduk Israel menerima vaksin Pfizer (mRNA). Pihak regulatori vaksin telah melakukan ujian Covid-19 ke atas 189,000 orang penerima vaksin sebagai langkah penilaian semula keberkesanan vaksin. 

Berikut adalah hasil kajian semula tersebut.

1. Jumlah penduduk Israel yang telah menerima vaksin: 2.15 juta orang 

2. Jumlah penerima vaksin yang diuji Covid-19: 189,000 orang

3. Bilangan yang positif Covid-19 walaupun diberi vaksin : 12,400 org

4. Peratusan yang dijangkiti : 12,400 ÷ 189,000 X 100= 6.5%

Tetapi majoriti (89%) mendapat jangkitan kurang dari 2 minggu  selepas suntikan pertama, 1410 orang lagi 2 minggu selepas suntikan pertama. Maksudnya vaksin belum berkesan sepenuhnya dan mereka berkemungkinan telah dijangkiti lebih awal ataupun tidak melindungi diri dengan kaedah lain.

5. Bilangan yang dijangkiti selepas dos kedua: 69

6. Bil yang dijangkiti selepas dos pertama : 12,400 - 69 = 12,331

Jadi daripada 12,400 orang yang dijangkiti, hanya 0.6% (69) berlaku selepas suntikan kedua. Manakala 99.4% dijangkiti sebelum suntikan kedua diberikan di mana pada ketika itu keberkesanan vaksin hanya lebih kurang 50%.

Vaksin mRNA Pfizer diberikan dalam 2 suntikan di mana suntikan kedua diberikan 21 hari (3 minggu) selepas suntikan pertama.

Kajian klinikal yang dijalankan mendapati keberkesanan vaksin Covid-19 jenis Pfizer hanya diperolehi sepenuhnya (95%) selepas 1 minggu suntikan kedua (4 minggu selepas suntikan pertama). Keberkesanan dalam masa 15 hari selepas suntikan pertama hanya 52% dan penerima vaksin akan terdedah kepada jangkitan jika tidak mengambil langkah tambahan. 

Cuba nilai angka2 di atas secara rational. Di samping ada sebab yang boleh diterangkan mengapa boleh berlaku jangkitan selepas menerima vaksin, pengamal perubatan tidak pernah mendakwa yang vaksin adalah "ubat ajaib". 

Semenjak vaksin Covid-19 diberikan kepada lebih 2 juta rakyat Israel dari jumlah penduduk lebih 9 juta orang, bilangan kes harian telah menurun dari 10,058 kes kepada 4,430 kes sehari. Di samping itu kadar kemasukan wad pesakit Covid-19 yang berusia lebih 60 tahun telah menurun sebanyak 60%, 3 minggu selepas suntikan pertama.

Di bawah ini saya terangkan mengapa penerima vaksin masih boleh dijangkiti oleh virus Covid-19.


PUNCA MENGAPA PENERIMA VAKSIN MASIH BOLEH DIJANGKITI OLEH COVID-19

Apa jenis vaksin sekali pun bukan 100% berkesan. Jika ada kes jangkitan Covid-19 berlaku ke atas penerima vaksin, ada beberapa kemungkinan iaitu:

1. Jika keberkesanan vaksin adalah 95%, anda mungkin termasuk di dalam 5% yang masih mendapat jangkitan. 

2. Anda mungkin sudah mendapat jangkitan dan tidak bergejala sebelum vaksin diberikan. Mungkin beban virus pun masih rendah dah jika ujian Covid dilakukan pun boleh dapat keputusan negatif ("false negative").

3. Anda mendapat jangkitan semasa vaksin yang diberikan itu belum berkesan untuk mencegah jangkitan. Umumnya keberkesanan maksima akan diperolehi selepas 2 minggu suntikan kedua. Jadi anda tidak mengamalkan langkah pencegahan dan terdedah kepada virus sebelum vaksin betul2 berkesan.

Walaupun jangkitan berlaku ke atas penerima vaksin, jangkitan itu adalah ringan kerana vaksin membantu menekan serangan virus. Contohnya kajian yang dilakukan ke atas vaksin Sinovac, tidak seorang pun penerima vaksin yang dijangkiti virus Covid-19 perlu dimasukkan ke dalam wad kerana gejalanya ringan.

Jadi jangan hairan kalau ada lapuran penerima vaksin mendapat jangkitan Covid-19. Isu ini dijadikan satu senjata oleh anti-vaksin untuk menyebarkan maklumat yang mengelirukan orang ramai.

Dato' Dr Rushdan Noor

https://www.google.com/amp/s/www.timesofisrael.com/israels-virus-czar-says-1st-dose-less-effective-than-pfizer-indicated-report/amp/

https://www.google.com/amp/s/www.rt.com/news/513139-israel-pfizer-vaccine-coronavirus/amp/

https://www.minda2tinta.com/2020/12/vaksin-mrna-covid-19-apa-yang-orang.html

https://www.timesofisrael.com/israel-sees-60-drop-in-hospitalizations-for-over-60s-in-weeks-after-vaccination/

Friday 22 January 2021

PROTEIN-BASED VAKSIN COVID-19 : ADAKAH VAKSIN COVID-19 YANG TERBAIK?

Setakat ini saya telah menulis 3 kumpulan besar vaksin Covid-19 iaitu vaksin mRNA, vaksin yang menggunakan adenovirus sebagai vektor dan vaksin yang menggunakan virus Covid-19 yang ternyahaktif. Anda boleh membaca tentang vaksin-vaksin ini dengan klik pada tajuk di bawah:

Vaksin mRNA

Vaksin Vektor Virus (Adenovirus)

Vaksin Virus Ternyahaktif




Vaksin mRNA dan vaksin vektor virus menggunakan sel manusia untuk menghasilkan protein virus. Satu lagi vaksin adalah menggunakan virus yang sudah dinyahaktifkan. Kategori ke empat vaksin Covid-19 adalah mengandungi protein yang dihasilkan di luar melalui teknologi kejuruteraan genetik. Protein dari luar ini akan disuntikkan kepada manusia untuk meransang sistem imun, sel manusia tidak digunakan untuk menghasilkan protein. Vaksin jenis ini dikenali sebagai “protein-based vaccine”. Di antara vaksin yang menggunakan prinsip ini adalah vaksin Hepatitis B dan Vaksin HPV. Terdapat 2 jenis utama protein-based vaksin untuk mencegah jangkitan virus SARS-CoV-2 iaitu:

1. Protein Subunit (Protein S ("Spike protein"), Protein RBD, Glycoprotein, Nucleoprotein lain-lain)

2. Selaput protein keseluruhannya (juga dikenali sebagai VLP( "viral liked particle")

Protein subunit mewakili beberapa jenis protein yang membina virus, jadi saiz molekulnya lebih kecil. Manakala VLP pula adalah keseluruhan selaput luar virus di mana bahan genetik RNA di dalamnya sudah tidak ada jadi ianya tidak hidup dan tidak membiak.


Maka jika manusia dapat menghasilkan protein-protein ini di dalam makmal dan kemudian disuntik kepada manusia, tentu tindak-balas sistem imun terhadap protein ini sama dengan tindakbalas terhadap jangkitan virus SARS-CoV-2. Ransangan sistem imun ini dapat dilakukan tanpa menggunakan virus yang hidup.

Seperti yang kita ketahui, salah satu protein pada virus SARS-CoV-2 adalah protein S ataupun "spike protein". Apabila virus menyerang manusia, sistem imun akan mengenal virus ini melalui kehadiran Protein S pada selaput luarnya. Untuk menghasilkan protein S di dalam makmal, ahli sains perlu mengetahui kod genetik protein ini yang terletak di dalam RNA virus Covid-19.  Kemudian ahli sains akan menghasilkan keratan DNA yang membawa kod genetik ini. Keratan DNA yang dihasilkan itu akan dipindahkan ke dalam sel yang boleh bertindak seperti kilang menghasilkan protein. Untuk membawa keratan DNA ini kita perlukan pengangkut ataupun vektor yang boleh menerima DNA ini dan membawanya ke dalam sel  tadi.

Terdapat banyak jenis vektor yang digunakan seperti virus yang tidak merbahaya dikenali sebagai Baculovirus atau plasmid. Apabila keratan DNA itu telah bergabung dengan DNA vektor ini ia akan dimasukkan ke dalam sel hidup samada bakteria, yis ataupun sel serangga. Sel-sel bakteria atau yis inilah yang akan bertindak umpama kilang menghasilkan protein S. Sel-sel ini dikenali sebagai sistem expresi ("expression system"). Protein ini akan ditulinkan dan dijadikan vaksin. Teknologi menghasilkan protein ini dikenali sebagai “DNA recombinant technology”.

Disebabkan kita tidak menggunakan virus yang hidup ataupun dilemahkan sebaliknya hanya bahagian badan  virus itu saja maka vaksin ini adalah lebih selamat. Vaksin jenis ini juga lebih stabil dan lebih murah berbanding dengan vaksin dalam bentuk lain.

Vaksin dalam bentuk protein ini sangat berkesan meransang penghasilan antibodi tetapi kelemahannya adalah kurang berkesan meransang sel T-killer berbanding dengan vaksin jenis lain. Untuk meningkatkan keupayaan meransang sistem imun, bahan peransang ataupun dikenali sebagai adjuvan akan dicampurkan dengan protein S. Jadi proses penghasilan vaksin jenis ini lebih kompleks berbanding dengan vaksin yang lain. Tidak hairanlah mengapa di dalam perlumbaan menghasilkan vaksin Covid-19, vaksin jenis ini agak lambat.

Teknologi menghasilkan protein sebagai vaksin sudah lama digunakan di dalam industri penghasilan vaksin dan daripada pengalaman yang lepas vaksin jenis ini didapati sangat selamat dan berkesan. Vaksin Hepatitis B dan vaksin HPV adalah vaksin yang menggunakan teknologi yang sama. Teknologi ini juga digunakan untuk menghasilkan ubat atau protein2 yang lain seperti hormon insulin, hormon tumbesaran (GH), alfa interferon dan lain-lain.

Berikut adalah beberapa vaksin Covid-19 berasaskan protein yang sedang dalam proses pembangunan dan menjalani kajian klinikal:

1. Novavax ( NVX-CoV2373) , Nanoparticle Glycoprotein SARS-CoV-2 dan adjuvan Matrix M, fasa kajian klinikal setakat ini Fasa 3

2. Sanofi Pasteur / GSK (Protein subunit- Protein S menggunakan vektor Baculovirus), fasa kajian setakat ini Fasa 1/2

3. EpiVacCorona (Vector Institute Rusia), merupakan sebahagian kecil protein virus dikenali sebagai Peptides. Fasa 1/2, fasa 3 bermula bulan Nov 2020. Lapuran awal menyebut keberkesanan 100%.

4. Anhui Zhifie Longcom Biopharmaceutical/ Chinese Academy of Science (Protein RBD Dimer dan adjuvan). Fasa kajian setakat ini fasa 2.

5. SpyBiotech/Serum Institute of India ( Viral like particle (VLP). Fasa klinikal setakat ini : Fasa 1/2

6. Clover Biopharmaceutical Inc./GSK/Dynavax (Protein S) : Fasa klinikal setakat ini : Fasa 1

7. Covaxx (Protein RBD).Fasa klinikal setakat ini:Fasa 1

8. Medicago Inc (Plant-derived VLP and adjuvant). Fasa klinikal setakat ini: Fasa 1

Terdapat beberapa lagi vaksin daripada kumpulan yang sama tidak dimasukkan di dalam senarai di atas. Perhatikan kebanyakannya masih di dalam fasa kajian klinikal. Kita perlu menunggu sehingga tamat fasa 3 kajian klinikal untuk menentukan keberkesanan vaksin ini.



Setakat in vaksin keluaran syarikat Novavax di Amerika telah menjalani fasa 3 kajian klinikal. Vaksin ini dinamakan NVX-CoV2373 di bawah kategori protein-based vaccine tetapi menggunakan teknologi recombinan nanoparticle untuk menghasilkan protein yang seiras dengan protein S pada virus SARS-CoV-2. Sel yang digunakan sebagai "kilang" menghasilkan protein S adalah sel serangga.  Untuk meningkatkan tindakbalas system imun, ianya digabungkan dengan adjuvant yang dikenali sebagai Matrix M (mengandungi sebatian kimia yang dikenali sebagai saponin diperolehi dari pokok Quillaja saponaria). Kajian klinikal fasa 1 dan 2 (UK, Afrika Selatan, Australia) menunjukkan yang ianya selamat dan menghasilkan ransangan antibody yang tinggi. Kajian ini juga melihat kesan pengambilan vaksin Covid-19 oleh pesakit AIDs dan ethnik yang berbeza. Kajian keberkesanan fasa 3 sedang dijalankan di UK, Amerika dan Mexico. Kajian ini dilakukan ke atas peserta berusia 18 tahun ke atas dan dijangka dapat digunakan pada separuh kedua tahun 2021. Kajian fasa 3 yang dilakukan di UK menunjukkan keberkesanan sebanyak 89.3% dan ianya juga berkesan ke atas variant baru virus di UK dengan keberkesanan sebanyak 86%. Kajian fasa 3 di UK ini melibatkan 18,000 peserta daripada usia 18 hingga 84 tahun (27% berusia lebih 65 tahun). Vaksin ini telah ditempah oleh negara Filipina dan Australia. Vaksin ini stabil dan boleh disimpan di dalam peti sejuk pada suhu 2-8 darjah selsius. Syarikat vaksin terbesar dunia di India iaitu Serum Institute of India telah memperolehi kebenaran untuk menghasilkan vaksin ini. Vaksin ini diberikan di dalam 2 suntikan di mana suntikan kedua diberikan 21 hari selepas suntikan pertama.

Dua lagi syarikat farmaseutikal yang terlibat di dalam penghasilan protein S ini adalah Sanofi daripada Perancis dan GlaxoSmithKline (GSK) daripada UK. 

Pada bulan Oktober 2020 syarikat Sanofi dan GSK telah mengumumkan permulaan fasa 1 dan 2 kajian klinikal yang dijadualkan bermula pada bulan September 2020. Nampaknya sehingga hari ini vaksin Covid-19 daripada syarikat ini masih lagi menjalankan kajian klinikal. Jenis kajian ini adalah "double blind randomized placebo controlled trial". Ia mengkaji penghasilan antibodi badan pada hari tertentu dan hasil keputusan awal menunjukkan seroconversion pada kadar 88% walaupun kadarnya lebih rendah untuk golongan yang berusia lebih 60 tahun. Kajian fasa 2 masih berjalan dan kita mungkin hanya dapat mengetahui keputusan kajian fasa 3 pada separuh masa kedua tahun 2021.

Nampaknya vaksin daripada jenis protein ini agak ketinggalan di dalam perlumbaan vaksin Covid-19 tetapi adakah ianya akan dapat menyaingi vaksin lain pada jangkamasa panjang memandangkan vaksin dari jenis ini sudah terkenal dan mempunyai sejarah keberkesanan dan keselamatan yang lebih lama. Adakah Vaksin jenis ini umpama cerita kura-kura yang berlumba dengan arnab? Masa akan menentukan.

Dato' Dr. Rushdan Noor
23hb Jan 2021

https://www.yicaiglobal.com/news/covid-vaccine-developed-by-china-zhifei-enters-phase-iii-trials-in-uzbekistan

https://www.nast,com.my/news/nation/2020/12/647456/myeg-conduct-phase-3-clinical-trial-chinas-covid-19-vaccine-msia

https://www.novavax.com/

https://www.pharmaceutical-technology.com/comment/novavaxs-south-african-phase-iib-covid-19-vaccine-trial-likely-to-reveal-results-within-next-fortnight-source-says/

https://www.nih.gov/news-events/news-releases/phase-3-trial-novavax-investigational-covid-19-vaccine-opens

https://www.precisionvaccinations.com/vaccines/coronavac-covid-19-vaccine

https://www.reuters.com/article/uk-health-coronavirus-gsk-sanofi/sanofi-gsk-launch-trial-for-covid-19-protein-based-vaccine-idUKKBN25U0J2?edition-redirect=uk

https://www.google.com/amp/s/www.precisionvaccinations.com/protein-based-covid-19-vaccine-candidate-delays-advanced-research%3famp

https://www.gavi.org/vaccineswork/what-are-protein-subunit-vaccines-and-how-could-they-be-used-against-covid-19

https://www.chemistryworld.com/news/protein-based-covid-19-vaccines-could-overshadow-rivals/4012450.article

https://www.medscape.com/viewarticle/942200

https://www.nature.com/articles/d41586-020-01221-y

https://bbc.in/3clBoOU





Saturday 16 January 2021

MENGAMBIL VAKSIN COVID-19 ATAUPUN TIDAK



Setakat 15hb Jan 2021 sudah 35 juta suntikan vaksin Covid-19 diberikan kepada manusia di seluruh dunia. Jika kita andaikan seorang mengambil 2 suntikan, maka sudah terdapat 17.5 juta orang menerima suntikan vaksin Covid-19. Maka tentu ada yang akan mengalami kesan sampingan. Kematian juga mula dilapurkan samada secara kebetulan ataupun mungkin mempunyai kaitan dengan vaksin, tetapi bilangannya tersangat kecil jika dinisbahkan dengan jumlah orang yang sudah mengambil vaksin ini. Umumnya risiko kematian adalah 1 dalam sejuta dan vaksin dianggap produk perubatan yang paling selamat pernah dihasilkan.

Setiap tahun saya mengambil vaksin Influenza. Dari data2 keberkesanan dan keselamatan Vaksin Covid-19 setakat ini, saya berhajat untuk mengambil vaksin ini. Memang perasaan risau tetap wujud walaupun saya tahu vaksin ini sangat selamat. Cuma jangan sampai kerisauan itu menyebabkan kita menolaknya terus tanpa pertimbangan, lebih parah lagi kalau kita pula membantu golongan antivaksin menakut2kan orang lain. 

Berapa ramai orang mati akibat menunggang motosikal di jalanraya? Pada tahun 2018, seramai 18 orang mati setiap hari di Malaysia  akibat menonggang motosikal ataupun  6,570 orang dalam satu tahun. Itu belum lagi mengambil kira kecederaan dan hilang upaya. Kecederaan semasa berjalan kaki, bermain di padang permainan dan kecederaan akibat kemalangan jalanraya tidak terkira banyaknya. Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kemalangan kapalterbang. Tetapi mengapa kita masih lagi berjalan kaki, menaiki kenderaan, bermain dan menaiki kapalterbang? Ya, sebab kita ingin mendapat manfaat daripada aktiviti tersebut dan daripada pertimbangan kita manfaatnya lebih besar daripada mudarat. 

Samada anda sedar ataupun tidak, semenjak di dalam kandungan hingga keluar ke dunia, manusia tidak terlepas daripada berdepan dengan risiko di dalam apa sahaja perkara yang dilakukan. Hatta semasa anda bernafas dan menelan makanan pun ada risiko, Di Amerika, setiap tahun lebih 5,000 orang mati akibat tercekik semasa makan. Berapa ramai yang menghisap rokok memasukkan gas beracun ke dalam paru2 mereka setiap hari selama bertahun2 lamanya. Jika anda seorang perokok pasif kepada pasangan anda yang merokok, anda mengambil risiko mengidap sakit jantung dan angin ahmar yang 25-30% lebih tinggi daripada orang lain. Di Amerika, seramai 34,000 orang perokok pasif mati pada usia muda setiap tahun akibat sakit jantung. Ini perokok pasif, bagaimana pula dengan perokok itu sendiri?

Pertimbangan yang sama perlu dilakukan semasa membuat keputusan untuk mengambil vaksin Covid-19. Malahan vaksin didapati  lebih selamat berbanding dengan aktiviti2 harian yang saya sebutkan di atas. Setakat ini bilangan kes Covid-19 semakin meningkat. Sudah lebih 2 juta orang telah mati akibat Covid-19 di dunia dan seramai 586 orang mati di Malaysia dalam masa tidak sampai satu tahun. Bilangan kes meningkat dan ianya jauh lebih membunuh dari SARS, MERS dan Influenza. Belum lagi mengambil kira bilangan yang mengalami kerosakan organ dan lain2 komplikasi. Bagaimana pula kesan Covid-19 ke atas lain2 aspek kehidupan seperti ekonomi, sosial, spiritual dan rekreasional. 

Kerisauan untuk mengambil vaksin adalah normal tetapi nampaknya dalam keadaan masyarakat kita yang sukar mematuhi SOP dan keberatan mengamalkan norma baharu, vaksin Covid-19 memberi kelebihan di dalam melindungi kita dan ahli keluarga kita. Mudarat dari jangkitan Covid-19 jauh lebih besar. Tambahan pula kita tidak tahu bila ancaman ini akan berakhir. Sanggupkah kita hidup di dalam situasi sekarang untuk jangkamasa yang panjang?

Insyallah jika tidak ada perkembangan baru mengenai vaksin Covid-19 dan situasi pandemik Covid-19, saya akan mengambil vaksin Covid-19 dan kemudian bertawakal kepada Allah. Jika selepas berikhtiar dan masih dijangkiti ataupun mengalami kesan sampingan, itu adalah ketentuanNya kerana hanya Dia yang memberi bekas, kita hanya mampu berikhtiar. Yang penting, saya sudah berikhtiar sedaya yang mungkin. Kepada anda, terserah kepada pertimbangan yang anda lakukan untuk diri anda sendiri, tepuk dada tanya akal. Ingat, vaksin bukan hanya untuk kebaikan penerima tetapi juga boleh melindungi orang lain termasuk ahli keluarga dan orang-orang yang anda sayangi. Di sebaliknya, tidak melakukan langkah pencegahan termasuk mengambil vaksin boleh mendedahkan risiko jangkitan kepada diri sendiri dan orang lain.

Dato' Dr.Rushdan Noor
17hb Jan 2021

https://www.bloomberg.com/graphics/covid-vaccine-tracker-global-distribution/

https://www.bloomberg.com/news/articles/2021-01-15/norway-warns-of-vaccination-risks-for-sick-patients-over-80

https://www.cdc.gov/tobacco/data_statistics/fact_sheets/secondhand_smoke/health_effects/index.htm#:~:text=Nonsmokers%20who%20are%20exposed%20to,disease%20by%2025%E2%80%9330%25.&text=Secondhand%20smoke%20increases%20the%20risk%20for%20stroke%20by%2020%E2%88%9230%25.&text=Secondhand%20smoke%20exposure%20causes%20more%20than%208%2C000%20deaths%20from%20stroke%20annually.

Thursday 14 January 2021

MEMBASUH MULUT DENGAN "MOUTHWASH" DAN COVID-19


Untuk memudahkan kefahaman, saluran pernafasan dibahagi kepada saluran pernafasan atas (SPA) dan saluran pernafasan bawah (SPB). SPA diwakili oleh hidung, mulut dan tekak, manakala SPB diwakili oleh saluran pernafasan di bawah tekak ataupun lebih tepat kotak suara hinggalah ke bahagian paling hujung iaitu alveolar yang mengandungi sel-sel paru2. Sel-sel paru2 inilah sasaran jangkitan Covid-19 di mana virus ini akan menyerang dan membiak menggunakan sel paru2.

Virus SARS-CoV-2 masuk melalui SPA dan terus ke SPB di mana ia menyerang sel-sel paru2 dan membiak. Jadi seseorang pesakit Covid-19 mempunyai virus di bahagian SPA dan SPB. Antara kedua2 saluran, beban virus di SPB lebih penting kerana inilah medan perang sebenar. Di sinilah juga "kilang" menghasilkan virus.  Lazimnya apabila banyak virus di SPB, maka banyaklah juga virus di SPA sebab virus yang membiak di SPB akan "melimpah" naik ke SPA. 



Untuk mendapatkan sampel yang paling senang, swab diambil pada SPA iaitu hidung dan tekak. Apabila sampel ini dikesan mengandungi virus (kehadiran RNA virus) melalui ujian PCR, pada nilai CT yang tertentu, seseorang itu dianggap POSITIVE dan akan dikenalpasti sebagai pesakit Covid. Jadi keputusan ujian swab bergantung kepada kehadiran virus di bahagian SPA. Walau bagaimanapun tidak semua ujian positive itu menggambarkan keadaan sebenar di SPB, seseorang pesakit yang sudah sembuh ataupun tidak dijangkiti  boleh mendapat ujian positif dan ini dinamakan "false positive". Di sebaliknya pula seseorang yang mempunyai virus hidup di SPB boleh mendapat ujian swab negatif dan ini dinamakan "false negative". Banyak punca mengapa boleh mendapat "false negative" di antaranya adalah jika teknik pengambilan sampel di SPA tidak betul ataupun beban virus di SPA sangat rendah.

Ujian PCR yang kita gunakan mempunyai kadar "false positive" dan "false negative" yang rendah, jadi jangan bimbang. Kita lebih risau dengan "false negative" yakni pesakit Covid-19 yang memberi ujian negatif. Dia boleh menjadi penyebar virus secara senyap. 

Dengan kefahaman ini, mari kita teliti hasil kajian yang menggunakan "mouthwash" untuk mencuci SPA termasuk virus Covid-19. Berdasarkan kepada kajian makmal (bukan kajian manusia), penyelidik bersetuju tentang potensi "mouthwash" (yang mengandungi CPC dan LAE) untuk membersihkan SPA daripada virus (termasuk virus Covid-19) . Walau bagaimanapun, mouthwash membasuh mulut dan tekak sahaja (SPA) tetapi TIDAK akan membersihkan SPB daripada virus. Begitu juga virus yang sudah menyerang lain2 organ.  Ramai penyelidik memberi amaran supaya berhati2  menilai kajian2 mengenai mouthwash yang didakwa dapat mengurangkan beban virus di SPA. Salah satu kebimbangan yang mereka nyatakan adalah kemungkinan untuk menyebabkan ujian swab mendapat "false negative". Akibat dari pembersihan mulut dan tekak dengan mouthwash yang mengandungi antivirus, beban virus di SPA ini sangat kurang sehingga memberi keputusan negatif apabila dilakukan ujian swab. Sedangkan virus sudah membiak di SPB. Sebab itu salah satu nasihat yang diberikan sebelum menjalani ujian swab untuk Covid-19 adalah tidak digalakkan membasuh mulut dengan mouthwash.

Jadi kajian-kajian tentang keberkesanan menggunakan mouthwash untuk membersihkan mulut dan tekak daripada virus Covid-19 sebenarnya tidak memberi maklumat yang bermakna tentang kaitan antara mouthwash dengan kehadiran jangkitan dan beban virus sebenar seseorang yang dijangkiti. Tambahan pula, mulut dan tekak yang bersih pada ketika itu tidak semestinya bebas dari virus pada waktu yang lain kerana virus daripada SPB boleh sahaja berkumpul semula di SPA. Di samping potensi memberi keputusan "false negative" ujian Covid-19, ia boleh menyebabkan salahfaham orang ramai dengan menganggap mouthwash boleh mencegah dan merawat penyakit Covid-19 sehingga mereka tidak mengamalkan kaedah pencegahan yang sudah terbukti berkesan. 

Membasuh mulut dengan "mouthwash" mungkin bermanfaat dari segi mengurangkan kebolehjangkitan pesakit Covid-19 ke atas orang lain walaupun belum ada bukti kajian yang mengesahkannya. Tidak ada kajian yang menunjukkan bahawa membasuh mulut dengan mouthwash boleh mencegah jangkitan Covid-19. Ianya juga tidak mengubati penyakit Covid-19. Membasuh mulut tidak membersihkan hidung dan mata yang sudah diketahui tempat masuknya virus Covid-19. Membasuh mulut dengan "mouthwash" bagus untuk menjaga kebersihan mulut dan gigi, jadi tidak salah untuk mengamalkannya untuk tujuan tersebut. Anda masih perlu terus mengamalkan penjarakkan, memakai mask dan membasuh tangan sebagai kaedah mencegah Covid-19. Tidak lama lagi kita berpeluang pula untuk meningkatkan keberkesanan mencegah jangkitan dengan suntikan vaksin Covid-19. 

CPC : Cetylpyridinium Chloride

LAE : Ethyl lauroyl arginate



Dato' Dr. Rushdan Noor

15hb Jan 2021


https://oatext.com/does-the-use-of-mouthwash-before-collecting-saliva-specimen-increase-the-possibility-of-a-false-negative-result-in-covid-19-testing.php#gsc.tab=0

https://www.google.com/amp/s/www.washingtonpost.com/lifestyle/wellness/mouthwash-inactivate-covid-study/2020/10/22/1735cdd4-13c5-11eb-bc10-40b25382f1be_story.html%3foutputType=amp

https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC7399563/

https://www.nejm.org/doi/full/10.1056/nejmc2001737

https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC7323671/

https://www.health.com/condition/infectious-diseases/coronavirus/does-mouthwash-kill-covid-19

Sunday 10 January 2021

VITAMIN C DAN COVID-19: FAKTA DAN MITOS


Keperluan vitamin C harian seorang dewasa adalah 90 mg, seorang wanita yang menyusukan anak memerlukan tambahan vitamin C sebanyak 30 mg , manakala perokok pula memerlukan tambahan 35 mg vitamin C. Keperluan harian vitamin C ini mudah diperolehi daripada makanan terutama daripada sayuran dan buah-buahan. Jadi suplement vitamin C tidak diperlukan untuk tujuan pengambilan vitamin C yang mencukupi setiap hari. Tambahan pula suplemen vitamin C yang ada di pasaran mempunyai kualiti yang berbeza dan ianya mengandungi bahan kimia pewarna, pemampat, pemanis dan pengawet. Vitamin C yang diambil pula tidak kekal lama di dalam darah kerana ianya dibuang dengan cepat melalui buah pinggang ke dalam air kencing kerana ia adalah vitamin larut air.

Suplemen bukan ubat, ianya hanya bertujuan untuk menampung kekurangan. Untuk menjadikan sesuatu suplemen itu berkesan mencegah ataupun merawat penyakit, ianya perlu menjalani kajian klinikal dan dos yang berkesan perlu ditentukan.

Penyakit Covid-19 adalah sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus SARS-CoV-2. Setakat ini ia telah membunuh hampir 2 juta (1.93 juta) orang manusia di seluruh dunia.

VITAMIN C DAN PENCEGAHAN JANGKITAN VIRUS SARS-CoV-2

Setakat rencana ini ditulis, belum ada bukti yang menunjukkan bahawa suplemen vitamin C dapat mencegah jangkitan virus termasuk Covid-19. Walaupun ahli sains akur tentang kepentingan vitamin C tetapi itu adalah di dalam bentuk semulajadi dan bukan suplemen. Kajian menggunakan suplemen ada dilakukan tetapi lebih banyak untuk mengesan kesan biokemikal di dalam badan. Kesan biokemikal tidak semestinya akan dizahirkan dengan kesan klinikal. Contohnya kekurangan bahan toksik A di dalam darah yang dikesan semasa analisa biokemikal tidak semestinya menyebabkan pesakit sembuh ataupun dicegah mengidap sesuatu penyakit. Ini disebabkan sistem tubuh manusia sangat kompleks dan perubahan biokemikal yang berlaku itu belum cukup berkesan.  Kajian yang lebih tepat untuk menentukan keberkesanan adalah melalui kajian klinikal ke atas manusia.

Belum ada lagi kajian klinikal ke atas manusia yang membuktikan suplemen vitamin C dalam apa sahaja dos dapat mencegah jangkitan virus, walaupun ada kajian biokemikal menetapkan 2,000 mg sehari sebagai dos untuk mencegah penyakit.  Dakwaan bahawa amalan mengambil suplemen Vitamin C sebelum dijangkiti virus Covid-19 dapat mengurangkan beban jangkitan Covid-19 apabila dijangkiti adalah andaian semata-mata dan tidak disokong oleh kajian. Jika ada pengamal perubatan mengesyorkan pengambilan suplemen vitamin C kononnya untuk mencegah jangkitan Covid-19 ataupun apa sahaja jangkitan virus, ianya adalah pendapat peribadi yang tidak disokong oleh bukti kajian klinikal yang kukuh.

Jika pengambilan Vit C hendak diteruskan, amalan pencegahan Covid-19 yang sudah terbukti berkesan seperti memakai mask, penjarakkan fizikal dan membasuh tangan mesti diteruskan.

VITAMIN C DAN RAWATAN  PENYAKIT COVID-19

Hampir semua kesan positif pengambilan vitamin C adalah untuk tujuan mengurangkan gejala ataupun beban penyakit. Pesakit sudahpun menghidap penyakit. Tambahan pula ianya bukan untuk menyembuhkan tetapi mengurangkan penderitaan pesakit terutama masalah pernafasan, dibantu oleh ubat-ubatan lain yang standard.  Dalam banyak kajian klinikal menggunakan vitamin C, ianya diberikan di dalam bentuk suntikan. Suntikan intravena memberi kadar kemasukan vitamin C yang lebih tinggi di dalam darah. Dos yang digunakan pula adalah tinggi melebihi 2000 mg (2 gram) sehari, malahan ada yang berpendapat tahap terapeutik/merawat hanya tercapai jika  dos vitamin C diberikan sebanyak 10-16 gram (10,000-16,000 mg) sehari. Disebabkan vitamin C ini larut air, ia mudah dikeluarkan melalui air kencing, jadi perawat perlu memberinya pada kekerapan tertentu contohnya setiap 4 jam bagi mengekalkan kandungan vitamin C di dalam darah pada tahap yang dikehendaki. 

Kajian kecil ada menunjukkan ianya boleh mengurangkan gejala demam selsema (common cold) tetapi pada kadar yang sederhana (18%) tetapi melibatkan virus lain. Itupun dos vitamin C yang digunakan adalah 1000 – 2000 mg sehari. Tetapi kajian metaanalysis ke atas 9 kajian "randomized placebo controlled trial" tidak menunjukkan kesan yang sama, maka peranan vitamin C di dalam rawatan demam selesema juga dianggap kontroversi.

Terdapat sekurang-kurangnya 13 kajian telah dilakukan menggunakan suntikan vitamin C dos tinggi ke atas pesakit Covid-19. Pesakit-pesakit ini pula dalam kategori berat memerlukan bantuan pernafasan. Dos yang digunakan di dalam kajian-kajian ini adalah tinggi sehingga 10 gram (10,000 mg) vitamin C ataupun 50mg/kg diberikan secara suntikan infusi, setiap 6 jam. Vitamin C yang diberikan ini hanya tambahan kepada ubat-ubatan merawat Covid-19 yang sedia ada. Tidak ada lagi kajian menggunakan suntikan vitamin C sahaja untuk merawat Covid-19. Jadi peranan vitamin C di dalam kajian-kajian ini adalah sebagai penggalak ataupun adjuvant, bukan rawatan utama. Kajian meta-analisis ke atas 8 kajian melibatkan 685 orang pesakit Covid-19 yang memerlukan bantuan pernafasan, vitamin C yang digabungkan dengan ubat-ubatan standard Covid-19 yang lain mengurangkan tempoh masa bantuan pernafasan ("duration of ventilation") pada kadar 14%. Terdapat juga kajian lain yang menunjukkan tempoh masa berada di ICU juga lebih singkat pada kadar 7.8%. Walau bagaimanapun , semua kajian-kajian ini bukalah kajian yang mempunyai kualiti yang tinggi dan bilangan sampel yang digunakan belum cukup untuk memberi jawapan yang muktamat.  Jadi setakat ini Vitamin C belum lagi dimasukkan ke dalam senarai ubatan yang standard untuk pesakit Covid-19.

KESAN SAMPINGAN

Vitamin C yang diambil pada dos yang tinggi boleh menyebabkan cirit birit dan terdapat lapuran kes kerosakan buah pinggang yang dinamakan oxalate nephropathy (asid askorbik ditukar kepad oxalate yang boleh membentuk batu karang) ke atas pesakit yang mengambil vitamin C dalam dos melebihi 50mg/kg. Lain-lain kesan sampingan suplemen vitamin C yang pernah dilapurkan adalah pening, loya, mulut kering, berpeluh dan lemah badan. Vitamin C boleh meningkatkan penyerapan logam berat dan mengganggu metabolisma tembaga.

Penyerapan vitamin C di dalam usus juga berbeza-beza dan ia boleh berinteraksi dengan beberapa jenis ubat seperti ubat statin (untuk mengurangkan kandungan kolesterol), mengganggu rawatan kemoterapi dan radioterapi. Individu yang mengidap kekurangan enzim G6PD juga tidak boleh mengambil suplemen vitamin C pada dos yang tinggi.

Vitamin C adalah antioksidan dan walaupun bermanfaat kepada kesihatan namun pengambilan yang berlebihan dalam jangkamasa panjang boleh mengganggu keseimbangan antioksidan dan radikal bebas. Terdapat kajian ke atas haiwan yang menunjukkan suntikan antioksidan boleh meransang kejadian kanser. Sebab itu pesakit2 kanser tidak digalakkan mengambil antioksidan semasa rawatan ataupun jika penyakit kanser belum pulih. Sila rujuk tulisan saya mengenai antioksidan di SINI.

Kesan sampingan yang diakibatkan oleh bahan kimia yang digunakan untuk menghasilkan suplemen Vitamin C belum dibincangkan. Begitu juga dengan suplemen2 lain yang yang ditokok tambah dengan Vitamin C.

KESIMPULAN

Suplemen vitamin C bertujuan untuk menampung kekurangan vitamin C dan bukan bertujuan untuk mencegah ataupun merawat penyakit. Keperluan harian vitamin C adalah dalam lingkungan 90 -120 mg sehari di mana ianya dengan mudah diperolehi daripada sumber makanan terutama buah dan sayuran. Sumber makanan semulajadi memberi lebih kelebihan kerana mengandungi lain-lain nutrient dan juga serat. Jika vitamin C hendak digunakan untuk tujuan pencegahan dan rawatan penyakit, maka ianya perlu diambil di dalam dos yang tinggi sekurang-kurangnya 1000 mg sehari (berdasarkan kepada kajian makmal dan farmakologikal). Walau bagaimanapun setakat ini belum ada bukti yang menunjukkan bahawa vitamin C di dalam apa sahaja dos dapat mencegah jangkitan virus SARS-CoV-2 dengan berkesan ke atas manusia. Dakwaan mengatakan suplemen vitamin C yang diambil oleh individu yang sihat dapat mengurangkan gejala ataupun beban penyakit apabila mengidap Covid-19 adalah hanya andaian. Vitamin C yang diberikan terutama dalam bentuk suntikan intravena dalam dos yang tinggi mungkin dapat mengurangkan tempoh masa bantuan pernafasan dan tempoh masa dirawat di dalam ICU. Manfaat suntikan vitamin C ini hanya ditemui ke atas pesakit Covid-19 yang serius terutama yang memerlukan bantuan pernafasan. Memandangkan kajian-kajian yang dijalankan masih dianggap kecil dan bukan kajian yang bermutu tinggi, penggunaan vitamin C di dalam rawatan Covid-19 masih dianggap dalam fasa kajian (investigational) dan belum dimasukkan ke dalam rawatan standard. Suplemen vitamin C boleh menyebabkan kesan sampingan dan juga berinteraksi/gangguan dengan beberapa jenis ubat. Setakat ini kaedah yang terbukti berkesan mencegah jangkitan virus Covid-19 adalah penjarakkan fizikal, memakai mask, selalu mencuci tangan dan vaksin Covid-19. Kepercayaan bahawa suplemen vitamin C boleh mencegah Covid-19 akan menyebabkan seseorang itu tidak mengambil langkah pencegahan yang sepatutnya kerana perasaan selamat ("false sense of security") dan ini akan memudaratkan.

Dato' Dr.Rushdan Noor


RUJUKAN

1.World Health Organization (WHO). Coronavirus disease (COVID-19) pandemic. https://www.who.int/emergencies/diseases/novel-coronavirus-2019. (Accessed on 6 November 2020)

2. World Health Organization (WHO). COVID-19 Strategy Update. 14 April 2020. Available from: https://www.who.int/docs/default-source/coronaviruse/covid-strategy-update14april2020.pdf?sfvrsn=29da3ba0_19 (Accessed on 6 November 2020)

3. Meng L, Zhao X, Zhang H. HIPK1 Interference attenuates inflammation and oxidative stress of acute lung injury via autophagy. Med Sci Monit 2019 25: 827–835

4. Mousavi S, Bereswill S, Heimesaat MM. Immunomodulatory and antimicrobial effects of vitamin C.Eur J Microbiol Immunol. 2019;9(3):73–79 CONCLUSION REFERENCE

5. Hiedra R, Lo KB, Elbashabsheh M et al. The Use of IV vitamin C for patients with COVID19: a single center observational study. Expert Rev Anti Infect Ther. 2020:1–3

6. Khan HMW, Parikh N, Megala SM et al. Unusual early recovery of a critical COVID-19 patient after administration of intravenous vitamin C. Am J Case Rep 2020;21:1–6

7. Wong CKW, Letchuman GR, Foong KW et al. Effects of High Dose Vitamin C Supplementation on Severe COVID-19 Patients in the ICU: A Retrospective Analysis. Zenodo. 2020 doi: 10.5281/zenodo.4001199

8. Liu F, Zhu Y, Zhang J, Li Y et al. Intravenous high-dose vitamin C for the treatment of severe COVID-19: Study protocol for a multicentre randomised controlled trial. BMJ Open 2020.10;7

9. Hemila H, Chalker E. Vitamin C may reduce the duration of mechanical ventilation in critically ill patients: a meta-regression analysis. J Intensive Care 2020.8:15 10. Hemilä H, Chalker E. Vitamin C Can Shorten the Length of Stay in the ICU: A MetaAnalysis. Nutrients 2019.11:708

10.https://www.uspharmacist.com/article/vitamin-c-and-covid19-hope-or-hype

11.https://www.healthline.com/nutrition/vitamin-c-coronavirus#vitamin-c-covid-19

12.https://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S2213716520302587
SCIENCED

13.https://www.covid19treatmentguidelines.nih.gov/adjunctive-therapy/vitamin-c/


Tuesday 5 January 2021

VAKSIN COVID-19 VIRUS TERNYAHAKTIF DARI CHINA (SYNOPHARM DAN SINOVAC)



Salah satu Vaksin Covid-19 yang telah digunakan ke atas manusia dihasilkan oleh syarikat Synopharm di negara China. Vaksin ini dinamakan BBIBP-CorV. Ia telah diluluskan untuk kegunaan rakyat negara China, Bahrain dan UAE. 

Vaksin Pfizer-BionTech dan Moderna menggunakan mRNA, manakala Vaksin Oxford-AstaZeneca pula menggunakan adenovirus. Vaksin Synopharm atau    BBIBP-CorV.ini diperbuat dari virus Covid-19 yang telah dilemahkan ataupun ternyahaktif. Virus ini diperolehi dari pesakit dan kemudian dibiakkan dalam lapisan sel buah pinggang monyet di dalam tangki biorektor. Apabila ahli sains berjaya menghasilkan banyak virus, proses melemahkannya dilakukan menggunakan bahan yang dikenali sebagai beta-propiolactone. Bahan ini akan mengikat RNA virus dan menyebabkan ia menjadi tidak aktif dan tidak mampu untuk membiak. Virus ini kemudian dicampurkan dengan adjuvant untuk meningkatkan antigenisitinya. 


Vaksin menggunakan virus yang ternyahaktif ini telah digunakan berkurun lamanya dan didapati sangat selamat. Di antara vaksin yang menggunakan kaedah ini adalah vaksin polio, vaksin rabies dan vaksin hepatitis A. Apabila vaksin ini disuntik kepada manusia protein yang ada di permukaannya akan meransang sistem imun dan memori bagi menghasilkan antibodi. Apabila jangkitan Covid-19 berlaku, ia akan meransang sistem imun termasuk sel T-helper dan juga sel limfosit B yang akan menghasilkan antibodi untuk memusnahkan virus ini. Antibodi adalah senjata utama badan melawan virus oleh vaksin jenis ini. Keputusan awal kajian fasa 3 menunjukkan vaksin ini mempunyai keberkesanan sebanyak 79.3%.Keputusan kajian fasa 3 di UAE menunjukkan keberkesanan sebanyak  86%. Keputusan resmi yang lengkap belum dikeluarkan.



Vaksin ini telah menjalani kajian klinikal hingga ke fasa 3 yang bermula pada bulan Julai di UAE dan kemudian di Moroco dan Peru. Sejumlah 60,000 orang menyertai kajian ini. Sehingga Nov 2020 sejuta rakyat China telah menerima suntikan vaksin ini. UAE mula menggunakan vaksin ini pada bulan September 2020, diikuti oleh Dubai, Bahrain dan Mesir. 




Satu lagi vaksin Covid-19 dari China adalah dihasilkan oleh Syarikat Sinovac menggunakan kaedah yang sama. Vaksin ini dikenali sebagai Coronavac.Coronavav telah melalui fasa 3 kajian klinikal di beberapa buah negara termasuk Brazil, Indonesia dan Turki. Hasil awal kajian di Turki menunjukkan kadar keberkesanan sebanyak 91.25%.Setakat rencana ini ditulis, kita masih lagi menunggu hasil kajian yang lebih terperinci. Setakat ini vaksin ini juga didapati selamat dengan kadar kesan sampingan ringan berlaku tidak lebih dari 5%. Sinovac mula digunakan di China pada bulan Julai 2020 dan dalam.proses pengedaran global di mana sejumlah 40 juta dos telah dipesan oleh Indonesia. 

Kedua2 vaksin ini diberikan melalui suntikan dalam otot di lengan dalam 2 dos di mana vaksin Synopharm dalam  masa selang 3 minggu dan Sinovac selang 2 minggu. Kelebihan vaksin2 menggunakan virus yang ternyahaktif ini adalah ianya lebih stabil dan boleh disimpan dalam peti sejuk bersuhu 2-8 darjah selsius. Walaupun keberkesanan vaksin ini lebih rendah dari vaksin mRNA, ia memlunyai kelebihan dari segi penyimpanan dan keselamatan berdasarkan kepada sejarah vaksin jenis ini yang panjang.

Kelulusan penggunaan vaksin ini telah dibuat melalui penilaian yang teliti ke atas data2 dengan mengambil kira pertimbangan manfaat dan mudarat oleh penguatkuasa ubatan yang berwibawa, berdasarkan situasi pandemik Covid-19 pada masa ini. Kenyataan ini dikeluarkan oleh pihak autoriti ubat negara China iaitu China's National Medical Products Administration.

Dato' Dr.Rushdan Noor

6hb Jan 2021




https://www.google.com/amp/s/www.nytimes.com/interactive/2020/science/coronavirus-vaccine-tracker.amp.html

https://www.nytimes.com/2020/12/30/business/china-vaccine.html

https://www.nytimes.com/interactive/2020/health/sinopharm-covid-19-vaccine.html

https://www.google.com/amp/s/www.bbc.com/news/amp/world-asia-china-55212787

https://www.pmlive.com/pharma_news/sinopharms_covid-19_vaccine_scores_approval_in_china_1360725?SQ_DESIGN_NAME=2&

https://www.thestar.com.my/aseanplus/aseanplus-news/2021/01/02/chinas-sinopharm-reports-strong-interim-results-for-its-covid-19-vaccine

https://www.nytimes.com/interactive/2020/health/sinovac-covid-19-vaccine.html

Monday 4 January 2021

VAKSIN COVID-19

 












Jenis-jenis Vaksin Covid-19 yang sudah dan akan digunakan untuk tujuan mencegah jangkitan Covid-19.




Sunday 3 January 2021

VAKSIN COVID-19 OXFORD-ASTRAZENECA, JOHNSON & JOHNSON , SPUTNIKV DAN CANSINO (VAKSIN VEKTOR VIRUS) : APA YANG ORANG AWAM PERLU TAHU

 


Vaksin Covid-19 Oxford-AstraZeneca adalah vaksin yang berbeza dengan vaksin mRNA kerana ia menggunakan adenovirus sebagai vektor untuk menghasilkan Protein-S ("spike protein") di dalam sel penerima vaksin. Ia bukan vaksin mRNA seperti vaksin Moderna dan Pfizer, sebaliknya ia terdiri dari adenovirus yang membawa DNA. DNA yang dibawanya ini mengandungi kod genetik protein-S yang dipindahkan melalui teknologi kejuruteraan genetik. 

Idea untuk menghasilkan vaksin ini bermula apabila kod genetik lengkap virus Covid-19 yang dikongsi oleh ahli saintis China diterima oleh pasukan penyelidik di UK. Satu pasukan penyelidik yang diketuai oleh Professor Sarah Gilbert dari Jenner Institut, Universiti Oxford terus memulakan kerja penyelidikan. Mereka menemui kod genetik protein S.

Vaksin Covid-19 Oxford-Astrazeneca ini juga dikenali sebagai "viral vector vaccine". Ia menggunakan teknologi memindahkan gene ke dalam DNA virus lain yang dijadikan pembawa/vektor untuk tujuan mengangkut/memindah gene tersebut. Teknologi ini sudah mantap dan digunakan di dalam penghasilan vaksin sebelum ini seperti vaksin Ebola. Virus yang digunakan ini tidak merbahaya kepada manusia dan dikenali sebagai adenovirus, ianya sudah diubah menjadi lemah dan tidak boleh membiak. Adenovirus yang digunakan di dalam vaksin ini dinamakan ChAdOx1. Ia boleh masuk ke dalam sel manusia tetapi tidak boleh membiak. Kelebihan menggunakan teknik ini adalah ianya boleh dihasilkan dalam makmal dalam kuantiti yang banyak, sangat selamat digunakan, murah  dan boleh meransang sistem imun dengan kuat. Jadi berbeza dengan vaksin mRNA yang menyuntik mRNA, apa yang disuntik ke dalam tubuh manusia adalah adenovirus yang telah menjalani proses kejuruteraan genetik yang dinyatakan di atas. Disebabkan adenovirus ini telah diubahsuai, ia tidak boleh menjangkiti penerima vaksin dan ia tidak juga boleh berinteraksi dengan gene penerima vaksin.

Vaksin yang mengandungi Adenovirus yang membawa keratan DNA mengandungi gene protein S ini dinamakan ChAdOx1 nCoV-19. Disebabkan adenovirus mengandungi selaput luar, maka ia menjadi pelindung kepada DNA di dalamnya, sebab itu vaksin ini lebih stabil dan tidak mudah dimusnahkan sepertimana mRNA. Jadi vaksin jenis adenovirus boleh bertahan selama 6 bulan jika disimpan di dalam peti ais pada suhu 2-8 darjah selsius. Kelemahan vaksin jenis ini adalah keberkesanan yang berbeza-beza mengikut usia penerima dan berkemungkinan reaksi tubuh kepada adenovirus yang boleh menjadi penyebab menurunnya kadar keberkesanan. Penghasilannya juga agak kompleks.



Apabila vaksin ini disuntik dalam otot lengan, adenovirus akan masuk ke dalam sel dan melepaskan DNA yang mengandungi gene protein S ke dalam nukleas dan nukleas akan menyalin gen ini dalam bentuk mRNA. mRNA yang mengandungi kod genetik protein S akan keluar dari nukleas dan kemudiannya digunakan untuk menghasilkan protein S di dalam sitoplasma . Apabila protein S dihasilkan, ia akan dipersembahkan kepada sistem imun dan ransangan pun berlaku untuk dikenali dan diingati (memori).  Apabila penerima vaksin ini terdedah kepada virus Covid-19 di masa hadapan, sistem imun akan mengenalinya dan terus memusnahkannya samada oleh sel pembunuh (Killer T cell) ataupun antibodi. Dua suntikan akan diberikan dalam masa 4-12 minggu. Suntikan vaksin kali kedua adalah untuk meningkatkan ransangan ataupun booster supaya tahap imuniti lebih tinggi semasa jangkitan virus Covid-19 nanti.

Pada bulan April 2020, Universiti Oxford berkoleberasi dengan syarikat Astrazeneca untuk menghasilkan vaksin ini. Ketua penyelidik dalam kajian klinikal vaksin ini adalah Profesor Andrew Pollard. Vaksin ini telah melalui semua fasa kajian klinikal. Ia mula memasuki fasa ke 3 kajian pada bulan Jun 2020 di Brazil yang kemudiannya disertai oleh beberapa negara lain. Di samping Brazil, beberapa buah negara lagi yang terlibat dengan kajian ini adalah UK, Amerika dan Afrika Selatan. Peserta di dalam kajian ini diberikan suntikan dos pertama yang berbeza (dos rendah dan dos tinggi) dibandingkan dengan plasebo. Dos suntikan yang kedua adalah sama. Kajian ini adalah "single blind placebo controlled trial" yang berkualiti tinggi. 



Pada 8hb Disember, kertas kajian fasa 3 telah disiarkan dalam journal Lancet. Ini adalah keputusan penilaian peer (peer review results). Keberkesanan secara menyeluruh untuk gabungan kedua-dua dos vaksin ini adalah 70.4%. Apabila diasingkan kumpulan yang berbeza dos untuk suntikan pertama (dos suntikan kedua adalah sama), keberkesanan vaksin pada dos yang lebih rendah adalah 90%. Manakala dos yang lebih tinggi pula memberi keberkesanan sebanyak 62.1%. Walau pun terdapat teori, tidak dapat dipastikan mengapa dos yang lebih rendah menghasilkan keberkesanan yang lebih tinggi. Salah satu teori adalah disebabkan dos yang rendah lebih cepat meransang sel memori dan lebih berkesan  meransang sel T yang menyokong penghasilan antibodi. Vaksin ini juga didapati sangat selamat dan telah lulus penilaian keselamatan. Majoriti peserta dalam kajian ini berusia antara 18-55 tahun. Kesan sebenar  ke atas golongan yang berusia lebih 55 tahun memerlukan data yang lebih banyak. Walaupun telah wujud mutan virus Covid-19 yang baru di UK, namun pakar-pakar berpendapat virus ini tidak lebih ganas dari yang sedia ada dan kemungkinan besar akan dapat ditangani oleh vaksin yang diberikan.

Pada 30hb Disember, UK telah meluluskan penggunaan vaksin ini secara kecemasan. Ia akan diberikan secara besar-besaran bermula pada 4hb Jan 2021. Autoriti Regulatori Ubat negara ini (MHRA) dan NHS telah pun meluluskan penggunaan vaksin covid Pfizer-BioNTech (vaksin mRNA) semenjak 8hb Disember lagi dan lebih 900 ribu rakyat mereka telah menerima vaksin tersebut. Vaksin adenovirus Oxford-Astrazeneca ini adalah yang kedua diluluskan oleh MHRA. Dengan adanya vaksin ini maka akan ada lebih banyak pilihan untuk orang ramai di samping dapat mengurangkan masalah kekurangan bekalan dan monopoli sesebuah syarikat.

Syarikat Farmaseutikek Johnson & Johnson telah mengeluarkan satu lagi vaksin Covid-19 yang berasaskan virus vektor. Vaksin ini dikenali sebagai JNJ-78436735 (juga dikenali sebagai Ad26.COV2.S) telah melepasi kajian keselamatan fasa 1 dan fasa 2. Kajian fasa 3 juga telah dianalisa dan keputusan awal hasil kajian ini telah dikeluarkan. Kajian vaksin ini dilakukan di Amerika, Amerika Latin dan Afrika Selatan. Kajian klinikal fasa 3 vaksin ini dikenali sebagai ENSEMBLE melibatkan 3 benua iaitu Amerika utara, Amerika latin (Argentina, Brazil, Mexico dll) dan Afrika Selatan. Kajian ini adalah "double blind randomized placebo controlled trial" dengan sasaran ke atas 80,000 peserta dari 3 benua. Tumpuan usia adalah 18 tahun ke atas dan agak ramai dalam kalangan berusia lebih 60 tahun. Tumpuan utama kajian ini adalah untuk mengurangkan keseriusan Covid-19 dan kemasukan ke wad serta ICU. 

Hasil awal (melibatkan lebih 40 ribu peserta) kajian ini selepas satu bulan suntikan diberikan adalah 72% keberkesanan mencegah jangkitan Covid-19 tahap sederhana dan berat,  di Amerika. Manakala keberkesanan keseluruhan dari hasil kajian di 3 benua adalah 66% di dalam mencegah tahap sederhana dan berat. Keseluruhannya ia berkesan sebanyak  85% mencegah tahap berat jangkitan Covid-19. Di samping itu ia juga didapati 100% mencegah kematian akibat Covid-19. Keberkesanan vaksin ini nampaknya rendah di Afrika Selatan yakni 57% , mungkin disebabkan oleh variant virus Covid-19 bernama B.1.351 yang didapati mudah merebak.

Apa yang menarik tentang vaksin ini adalah ia diberikan dalam satu suntikan sahaja. Johnson & Johnson menghasilkan vaksin ini di atas tanggungjawab sosial dan tidak mementingkan keuntungan kerana vaksin ini nanti akan dapat digunakan di negara2 yang kurang berkemampuan dan ianya juga dapat menyelesaikan masalah penyimpanan dan kesukaran memberi 2 suntikan seperti mana vaksin2 Covid-19 yang lain. Vaksin ini dapat bertahan selama 2 tahun pada suhu -20 darjah selsius dan 3 bulan pada suhu 2-8 darjah selsius. 



Satu lagi vaksin dalam kategori yang sama dikeluarkan oleh syarikat dari Rusia dikenali sebagai SputnikV, sedang menjalani fasa 3 kajian klinikal. Keputusan awal kadar keberkesanan adalah 91.4%. Hasil kajian ini disiarkan dalam jurnal Lancet.

Syarikat dari China CanSino Biologic Inc. juga menghasilkan vaksin vektor virus yang diberikan dalam satu suntikan sama seperti SputnikV dan Johnson & Johnson. Vaksin Cavid-19 CanSino sudah menjalani kajian klinikal fasa 3 dengan keberkesanan mencegah jangkitan Covid bergejala sebanyak 65.7% (kajian di Pakistan sahaja 74.8%), manakala berkesan mencegah Covid-19 bergejala serius sebanyak 90%. 

Untuk membaca tentang vaksin Covid-19 jenis mRNA, sila baca di pautan ini:

Vaksin mRNA: Apa yang orang awam perlu tahu


Dato' Dr.Rushdan Noor

4hb Jan 2021




MHRA: Medicines and Healthcare products Regulatory Agency

https://www.nytimes.com/interactive/2020/health/oxford-astrazeneca-covid-19-vaccine.html

https://www.thelancet.com/journals/lancet/article/PIIS0140-6736(20)32661-1/fulltext

https://www.google.com/amp/s/www.telegraph.co.uk/global-health/0/covid-19-vaccine-oxford-moderna-astrazeneca-pfizer-coronavirus-uk-news/amp/

https://www.ox.ac.uk/news/2020-12-08-first-peer-reviewed-results-phase-3-human-trials-oxford-coronavirus-vaccine

https://edition.cnn.com/2021/01/29/health/johnson-coronavirus-vaccine-results/index.html

https://www.jnj.com/johnson-johnson-initiates-pivotal-global-phase-3-clinical-trial-of-janssens-covid-19-vaccine-candidate

https://www.prnewswire.com/news-releases/johnson--johnson-announces-single-shot-janssen-covid-19-vaccine-candidate-met-primary-endpoints-in-interim-analysis-of-its-phase-3-ensemble-trial-301218035.html

https://www.rt.com/russia/514334-lancet-sputnikv-clinical-trial-data/