Untuk memudahkan kefahaman, saluran pernafasan dibahagi kepada saluran pernafasan atas (SPA) dan saluran pernafasan bawah (SPB). SPA diwakili oleh hidung, mulut dan tekak, manakala SPB diwakili oleh saluran pernafasan di bawah tekak ataupun lebih tepat kotak suara hinggalah ke bahagian paling hujung iaitu alveolar yang mengandungi sel-sel paru2. Sel-sel paru2 inilah sasaran jangkitan Covid-19 di mana virus ini akan menyerang dan membiak menggunakan sel paru2.
Virus SARS-CoV-2 masuk melalui SPA dan terus ke SPB di mana ia menyerang sel-sel paru2 dan membiak. Jadi seseorang pesakit Covid-19 mempunyai virus di bahagian SPA dan SPB. Antara kedua2 saluran, beban virus di SPB lebih penting kerana inilah medan perang sebenar. Di sinilah juga "kilang" menghasilkan virus. Lazimnya apabila banyak virus di SPB, maka banyaklah juga virus di SPA sebab virus yang membiak di SPB akan "melimpah" naik ke SPA.
Untuk mendapatkan sampel yang paling senang, swab diambil pada SPA iaitu hidung dan tekak. Apabila sampel ini dikesan mengandungi virus (kehadiran RNA virus) melalui ujian PCR, pada nilai CT yang tertentu, seseorang itu dianggap POSITIVE dan akan dikenalpasti sebagai pesakit Covid. Jadi keputusan ujian swab bergantung kepada kehadiran virus di bahagian SPA. Walau bagaimanapun tidak semua ujian positive itu menggambarkan keadaan sebenar di SPB, seseorang pesakit yang sudah sembuh ataupun tidak dijangkiti boleh mendapat ujian positif dan ini dinamakan "false positive". Di sebaliknya pula seseorang yang mempunyai virus hidup di SPB boleh mendapat ujian swab negatif dan ini dinamakan "false negative". Banyak punca mengapa boleh mendapat "false negative" di antaranya adalah jika teknik pengambilan sampel di SPA tidak betul ataupun beban virus di SPA sangat rendah.
Ujian PCR yang kita gunakan mempunyai kadar "false positive" dan "false negative" yang rendah, jadi jangan bimbang. Kita lebih risau dengan "false negative" yakni pesakit Covid-19 yang memberi ujian negatif. Dia boleh menjadi penyebar virus secara senyap.
Dengan kefahaman ini, mari kita teliti hasil kajian yang menggunakan "mouthwash" untuk mencuci SPA termasuk virus Covid-19. Berdasarkan kepada kajian makmal (bukan kajian manusia), penyelidik bersetuju tentang potensi "mouthwash" (yang mengandungi CPC dan LAE) untuk membersihkan SPA daripada virus (termasuk virus Covid-19) . Walau bagaimanapun, mouthwash membasuh mulut dan tekak sahaja (SPA) tetapi TIDAK akan membersihkan SPB daripada virus. Begitu juga virus yang sudah menyerang lain2 organ. Ramai penyelidik memberi amaran supaya berhati2 menilai kajian2 mengenai mouthwash yang didakwa dapat mengurangkan beban virus di SPA. Salah satu kebimbangan yang mereka nyatakan adalah kemungkinan untuk menyebabkan ujian swab mendapat "false negative". Akibat dari pembersihan mulut dan tekak dengan mouthwash yang mengandungi antivirus, beban virus di SPA ini sangat kurang sehingga memberi keputusan negatif apabila dilakukan ujian swab. Sedangkan virus sudah membiak di SPB. Sebab itu salah satu nasihat yang diberikan sebelum menjalani ujian swab untuk Covid-19 adalah tidak digalakkan membasuh mulut dengan mouthwash.
Jadi kajian-kajian tentang keberkesanan menggunakan mouthwash untuk membersihkan mulut dan tekak daripada virus Covid-19 sebenarnya tidak memberi maklumat yang bermakna tentang kaitan antara mouthwash dengan kehadiran jangkitan dan beban virus sebenar seseorang yang dijangkiti. Tambahan pula, mulut dan tekak yang bersih pada ketika itu tidak semestinya bebas dari virus pada waktu yang lain kerana virus daripada SPB boleh sahaja berkumpul semula di SPA. Di samping potensi memberi keputusan "false negative" ujian Covid-19, ia boleh menyebabkan salahfaham orang ramai dengan menganggap mouthwash boleh mencegah dan merawat penyakit Covid-19 sehingga mereka tidak mengamalkan kaedah pencegahan yang sudah terbukti berkesan.
Membasuh mulut dengan "mouthwash" mungkin bermanfaat dari segi mengurangkan kebolehjangkitan pesakit Covid-19 ke atas orang lain walaupun belum ada bukti kajian yang mengesahkannya. Tidak ada kajian yang menunjukkan bahawa membasuh mulut dengan mouthwash boleh mencegah jangkitan Covid-19. Ianya juga tidak mengubati penyakit Covid-19. Membasuh mulut tidak membersihkan hidung dan mata yang sudah diketahui tempat masuknya virus Covid-19. Membasuh mulut dengan "mouthwash" bagus untuk menjaga kebersihan mulut dan gigi, jadi tidak salah untuk mengamalkannya untuk tujuan tersebut. Anda masih perlu terus mengamalkan penjarakkan, memakai mask dan membasuh tangan sebagai kaedah mencegah Covid-19. Tidak lama lagi kita berpeluang pula untuk meningkatkan keberkesanan mencegah jangkitan dengan suntikan vaksin Covid-19.
CPC : Cetylpyridinium Chloride
LAE : Ethyl lauroyl arginate
Dato' Dr. Rushdan Noor
15hb Jan 2021
https://oatext.com/does-the-use-of-mouthwash-before-collecting-saliva-specimen-increase-the-possibility-of-a-false-negative-result-in-covid-19-testing.php#gsc.tab=0
https://www.google.com/amp/s/www.washingtonpost.com/lifestyle/wellness/mouthwash-inactivate-covid-study/2020/10/22/1735cdd4-13c5-11eb-bc10-40b25382f1be_story.html%3foutputType=amp
https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC7399563/
https://www.nejm.org/doi/full/10.1056/nejmc2001737
https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC7323671/
https://www.health.com/condition/infectious-diseases/coronavirus/does-mouthwash-kill-covid-19
No comments:
Post a Comment