Saturday 16 January 2021

MENGAMBIL VAKSIN COVID-19 ATAUPUN TIDAK



Setakat 15hb Jan 2021 sudah 35 juta suntikan vaksin Covid-19 diberikan kepada manusia di seluruh dunia. Jika kita andaikan seorang mengambil 2 suntikan, maka sudah terdapat 17.5 juta orang menerima suntikan vaksin Covid-19. Maka tentu ada yang akan mengalami kesan sampingan. Kematian juga mula dilapurkan samada secara kebetulan ataupun mungkin mempunyai kaitan dengan vaksin, tetapi bilangannya tersangat kecil jika dinisbahkan dengan jumlah orang yang sudah mengambil vaksin ini. Umumnya risiko kematian adalah 1 dalam sejuta dan vaksin dianggap produk perubatan yang paling selamat pernah dihasilkan.

Setiap tahun saya mengambil vaksin Influenza. Dari data2 keberkesanan dan keselamatan Vaksin Covid-19 setakat ini, saya berhajat untuk mengambil vaksin ini. Memang perasaan risau tetap wujud walaupun saya tahu vaksin ini sangat selamat. Cuma jangan sampai kerisauan itu menyebabkan kita menolaknya terus tanpa pertimbangan, lebih parah lagi kalau kita pula membantu golongan antivaksin menakut2kan orang lain. 

Berapa ramai orang mati akibat menunggang motosikal di jalanraya? Pada tahun 2018, seramai 18 orang mati setiap hari di Malaysia  akibat menonggang motosikal ataupun  6,570 orang dalam satu tahun. Itu belum lagi mengambil kira kecederaan dan hilang upaya. Kecederaan semasa berjalan kaki, bermain di padang permainan dan kecederaan akibat kemalangan jalanraya tidak terkira banyaknya. Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kemalangan kapalterbang. Tetapi mengapa kita masih lagi berjalan kaki, menaiki kenderaan, bermain dan menaiki kapalterbang? Ya, sebab kita ingin mendapat manfaat daripada aktiviti tersebut dan daripada pertimbangan kita manfaatnya lebih besar daripada mudarat. 

Samada anda sedar ataupun tidak, semenjak di dalam kandungan hingga keluar ke dunia, manusia tidak terlepas daripada berdepan dengan risiko di dalam apa sahaja perkara yang dilakukan. Hatta semasa anda bernafas dan menelan makanan pun ada risiko, Di Amerika, setiap tahun lebih 5,000 orang mati akibat tercekik semasa makan. Berapa ramai yang menghisap rokok memasukkan gas beracun ke dalam paru2 mereka setiap hari selama bertahun2 lamanya. Jika anda seorang perokok pasif kepada pasangan anda yang merokok, anda mengambil risiko mengidap sakit jantung dan angin ahmar yang 25-30% lebih tinggi daripada orang lain. Di Amerika, seramai 34,000 orang perokok pasif mati pada usia muda setiap tahun akibat sakit jantung. Ini perokok pasif, bagaimana pula dengan perokok itu sendiri?

Pertimbangan yang sama perlu dilakukan semasa membuat keputusan untuk mengambil vaksin Covid-19. Malahan vaksin didapati  lebih selamat berbanding dengan aktiviti2 harian yang saya sebutkan di atas. Setakat ini bilangan kes Covid-19 semakin meningkat. Sudah lebih 2 juta orang telah mati akibat Covid-19 di dunia dan seramai 586 orang mati di Malaysia dalam masa tidak sampai satu tahun. Bilangan kes meningkat dan ianya jauh lebih membunuh dari SARS, MERS dan Influenza. Belum lagi mengambil kira bilangan yang mengalami kerosakan organ dan lain2 komplikasi. Bagaimana pula kesan Covid-19 ke atas lain2 aspek kehidupan seperti ekonomi, sosial, spiritual dan rekreasional. 

Kerisauan untuk mengambil vaksin adalah normal tetapi nampaknya dalam keadaan masyarakat kita yang sukar mematuhi SOP dan keberatan mengamalkan norma baharu, vaksin Covid-19 memberi kelebihan di dalam melindungi kita dan ahli keluarga kita. Mudarat dari jangkitan Covid-19 jauh lebih besar. Tambahan pula kita tidak tahu bila ancaman ini akan berakhir. Sanggupkah kita hidup di dalam situasi sekarang untuk jangkamasa yang panjang?

Insyallah jika tidak ada perkembangan baru mengenai vaksin Covid-19 dan situasi pandemik Covid-19, saya akan mengambil vaksin Covid-19 dan kemudian bertawakal kepada Allah. Jika selepas berikhtiar dan masih dijangkiti ataupun mengalami kesan sampingan, itu adalah ketentuanNya kerana hanya Dia yang memberi bekas, kita hanya mampu berikhtiar. Yang penting, saya sudah berikhtiar sedaya yang mungkin. Kepada anda, terserah kepada pertimbangan yang anda lakukan untuk diri anda sendiri, tepuk dada tanya akal. Ingat, vaksin bukan hanya untuk kebaikan penerima tetapi juga boleh melindungi orang lain termasuk ahli keluarga dan orang-orang yang anda sayangi. Di sebaliknya, tidak melakukan langkah pencegahan termasuk mengambil vaksin boleh mendedahkan risiko jangkitan kepada diri sendiri dan orang lain.

Dato' Dr.Rushdan Noor
17hb Jan 2021

https://www.bloomberg.com/graphics/covid-vaccine-tracker-global-distribution/

https://www.bloomberg.com/news/articles/2021-01-15/norway-warns-of-vaccination-risks-for-sick-patients-over-80

https://www.cdc.gov/tobacco/data_statistics/fact_sheets/secondhand_smoke/health_effects/index.htm#:~:text=Nonsmokers%20who%20are%20exposed%20to,disease%20by%2025%E2%80%9330%25.&text=Secondhand%20smoke%20increases%20the%20risk%20for%20stroke%20by%2020%E2%88%9230%25.&text=Secondhand%20smoke%20exposure%20causes%20more%20than%208%2C000%20deaths%20from%20stroke%20annually.

No comments:

Post a Comment