Saturday 23 January 2021

BENARKAH RAMAI PENERIMA VAKSIN DI ISRAEL MASIH DIJANGKITI ?

 

Satu lapuran akhbar melapurkan bahawa seramai 12,400 orang penerima vaksin di Israel masih dijangkiti oleh Covid-19. Setakat ini lebih 2 juta penduduk Israel menerima vaksin Pfizer (mRNA). Pihak regulatori vaksin telah melakukan ujian Covid-19 ke atas 189,000 orang penerima vaksin sebagai langkah penilaian semula keberkesanan vaksin. 

Berikut adalah hasil kajian semula tersebut.

1. Jumlah penduduk Israel yang telah menerima vaksin: 2.15 juta orang 

2. Jumlah penerima vaksin yang diuji Covid-19: 189,000 orang

3. Bilangan yang positif Covid-19 walaupun diberi vaksin : 12,400 org

4. Peratusan yang dijangkiti : 12,400 ÷ 189,000 X 100= 6.5%

Tetapi majoriti (89%) mendapat jangkitan kurang dari 2 minggu  selepas suntikan pertama, 1410 orang lagi 2 minggu selepas suntikan pertama. Maksudnya vaksin belum berkesan sepenuhnya dan mereka berkemungkinan telah dijangkiti lebih awal ataupun tidak melindungi diri dengan kaedah lain.

5. Bilangan yang dijangkiti selepas dos kedua: 69

6. Bil yang dijangkiti selepas dos pertama : 12,400 - 69 = 12,331

Jadi daripada 12,400 orang yang dijangkiti, hanya 0.6% (69) berlaku selepas suntikan kedua. Manakala 99.4% dijangkiti sebelum suntikan kedua diberikan di mana pada ketika itu keberkesanan vaksin hanya lebih kurang 50%.

Vaksin mRNA Pfizer diberikan dalam 2 suntikan di mana suntikan kedua diberikan 21 hari (3 minggu) selepas suntikan pertama.

Kajian klinikal yang dijalankan mendapati keberkesanan vaksin Covid-19 jenis Pfizer hanya diperolehi sepenuhnya (95%) selepas 1 minggu suntikan kedua (4 minggu selepas suntikan pertama). Keberkesanan dalam masa 15 hari selepas suntikan pertama hanya 52% dan penerima vaksin akan terdedah kepada jangkitan jika tidak mengambil langkah tambahan. 

Cuba nilai angka2 di atas secara rational. Di samping ada sebab yang boleh diterangkan mengapa boleh berlaku jangkitan selepas menerima vaksin, pengamal perubatan tidak pernah mendakwa yang vaksin adalah "ubat ajaib". 

Semenjak vaksin Covid-19 diberikan kepada lebih 2 juta rakyat Israel dari jumlah penduduk lebih 9 juta orang, bilangan kes harian telah menurun dari 10,058 kes kepada 4,430 kes sehari. Di samping itu kadar kemasukan wad pesakit Covid-19 yang berusia lebih 60 tahun telah menurun sebanyak 60%, 3 minggu selepas suntikan pertama.

Di bawah ini saya terangkan mengapa penerima vaksin masih boleh dijangkiti oleh virus Covid-19.


PUNCA MENGAPA PENERIMA VAKSIN MASIH BOLEH DIJANGKITI OLEH COVID-19

Apa jenis vaksin sekali pun bukan 100% berkesan. Jika ada kes jangkitan Covid-19 berlaku ke atas penerima vaksin, ada beberapa kemungkinan iaitu:

1. Jika keberkesanan vaksin adalah 95%, anda mungkin termasuk di dalam 5% yang masih mendapat jangkitan. 

2. Anda mungkin sudah mendapat jangkitan dan tidak bergejala sebelum vaksin diberikan. Mungkin beban virus pun masih rendah dah jika ujian Covid dilakukan pun boleh dapat keputusan negatif ("false negative").

3. Anda mendapat jangkitan semasa vaksin yang diberikan itu belum berkesan untuk mencegah jangkitan. Umumnya keberkesanan maksima akan diperolehi selepas 2 minggu suntikan kedua. Jadi anda tidak mengamalkan langkah pencegahan dan terdedah kepada virus sebelum vaksin betul2 berkesan.

Walaupun jangkitan berlaku ke atas penerima vaksin, jangkitan itu adalah ringan kerana vaksin membantu menekan serangan virus. Contohnya kajian yang dilakukan ke atas vaksin Sinovac, tidak seorang pun penerima vaksin yang dijangkiti virus Covid-19 perlu dimasukkan ke dalam wad kerana gejalanya ringan.

Jadi jangan hairan kalau ada lapuran penerima vaksin mendapat jangkitan Covid-19. Isu ini dijadikan satu senjata oleh anti-vaksin untuk menyebarkan maklumat yang mengelirukan orang ramai.

Dato' Dr Rushdan Noor

https://www.google.com/amp/s/www.timesofisrael.com/israels-virus-czar-says-1st-dose-less-effective-than-pfizer-indicated-report/amp/

https://www.google.com/amp/s/www.rt.com/news/513139-israel-pfizer-vaccine-coronavirus/amp/

https://www.minda2tinta.com/2020/12/vaksin-mrna-covid-19-apa-yang-orang.html

https://www.timesofisrael.com/israel-sees-60-drop-in-hospitalizations-for-over-60s-in-weeks-after-vaccination/

No comments:

Post a Comment