Sunday 10 January 2021

VITAMIN C DAN COVID-19: FAKTA DAN MITOS


Keperluan vitamin C harian seorang dewasa adalah 90 mg, seorang wanita yang menyusukan anak memerlukan tambahan vitamin C sebanyak 30 mg , manakala perokok pula memerlukan tambahan 35 mg vitamin C. Keperluan harian vitamin C ini mudah diperolehi daripada makanan terutama daripada sayuran dan buah-buahan. Jadi suplement vitamin C tidak diperlukan untuk tujuan pengambilan vitamin C yang mencukupi setiap hari. Tambahan pula suplemen vitamin C yang ada di pasaran mempunyai kualiti yang berbeza dan ianya mengandungi bahan kimia pewarna, pemampat, pemanis dan pengawet. Vitamin C yang diambil pula tidak kekal lama di dalam darah kerana ianya dibuang dengan cepat melalui buah pinggang ke dalam air kencing kerana ia adalah vitamin larut air.

Suplemen bukan ubat, ianya hanya bertujuan untuk menampung kekurangan. Untuk menjadikan sesuatu suplemen itu berkesan mencegah ataupun merawat penyakit, ianya perlu menjalani kajian klinikal dan dos yang berkesan perlu ditentukan.

Penyakit Covid-19 adalah sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus SARS-CoV-2. Setakat ini ia telah membunuh hampir 2 juta (1.93 juta) orang manusia di seluruh dunia.

VITAMIN C DAN PENCEGAHAN JANGKITAN VIRUS SARS-CoV-2

Setakat rencana ini ditulis, belum ada bukti yang menunjukkan bahawa suplemen vitamin C dapat mencegah jangkitan virus termasuk Covid-19. Walaupun ahli sains akur tentang kepentingan vitamin C tetapi itu adalah di dalam bentuk semulajadi dan bukan suplemen. Kajian menggunakan suplemen ada dilakukan tetapi lebih banyak untuk mengesan kesan biokemikal di dalam badan. Kesan biokemikal tidak semestinya akan dizahirkan dengan kesan klinikal. Contohnya kekurangan bahan toksik A di dalam darah yang dikesan semasa analisa biokemikal tidak semestinya menyebabkan pesakit sembuh ataupun dicegah mengidap sesuatu penyakit. Ini disebabkan sistem tubuh manusia sangat kompleks dan perubahan biokemikal yang berlaku itu belum cukup berkesan.  Kajian yang lebih tepat untuk menentukan keberkesanan adalah melalui kajian klinikal ke atas manusia.

Belum ada lagi kajian klinikal ke atas manusia yang membuktikan suplemen vitamin C dalam apa sahaja dos dapat mencegah jangkitan virus, walaupun ada kajian biokemikal menetapkan 2,000 mg sehari sebagai dos untuk mencegah penyakit.  Dakwaan bahawa amalan mengambil suplemen Vitamin C sebelum dijangkiti virus Covid-19 dapat mengurangkan beban jangkitan Covid-19 apabila dijangkiti adalah andaian semata-mata dan tidak disokong oleh kajian. Jika ada pengamal perubatan mengesyorkan pengambilan suplemen vitamin C kononnya untuk mencegah jangkitan Covid-19 ataupun apa sahaja jangkitan virus, ianya adalah pendapat peribadi yang tidak disokong oleh bukti kajian klinikal yang kukuh.

Jika pengambilan Vit C hendak diteruskan, amalan pencegahan Covid-19 yang sudah terbukti berkesan seperti memakai mask, penjarakkan fizikal dan membasuh tangan mesti diteruskan.

VITAMIN C DAN RAWATAN  PENYAKIT COVID-19

Hampir semua kesan positif pengambilan vitamin C adalah untuk tujuan mengurangkan gejala ataupun beban penyakit. Pesakit sudahpun menghidap penyakit. Tambahan pula ianya bukan untuk menyembuhkan tetapi mengurangkan penderitaan pesakit terutama masalah pernafasan, dibantu oleh ubat-ubatan lain yang standard.  Dalam banyak kajian klinikal menggunakan vitamin C, ianya diberikan di dalam bentuk suntikan. Suntikan intravena memberi kadar kemasukan vitamin C yang lebih tinggi di dalam darah. Dos yang digunakan pula adalah tinggi melebihi 2000 mg (2 gram) sehari, malahan ada yang berpendapat tahap terapeutik/merawat hanya tercapai jika  dos vitamin C diberikan sebanyak 10-16 gram (10,000-16,000 mg) sehari. Disebabkan vitamin C ini larut air, ia mudah dikeluarkan melalui air kencing, jadi perawat perlu memberinya pada kekerapan tertentu contohnya setiap 4 jam bagi mengekalkan kandungan vitamin C di dalam darah pada tahap yang dikehendaki. 

Kajian kecil ada menunjukkan ianya boleh mengurangkan gejala demam selsema (common cold) tetapi pada kadar yang sederhana (18%) tetapi melibatkan virus lain. Itupun dos vitamin C yang digunakan adalah 1000 – 2000 mg sehari. Tetapi kajian metaanalysis ke atas 9 kajian "randomized placebo controlled trial" tidak menunjukkan kesan yang sama, maka peranan vitamin C di dalam rawatan demam selesema juga dianggap kontroversi.

Terdapat sekurang-kurangnya 13 kajian telah dilakukan menggunakan suntikan vitamin C dos tinggi ke atas pesakit Covid-19. Pesakit-pesakit ini pula dalam kategori berat memerlukan bantuan pernafasan. Dos yang digunakan di dalam kajian-kajian ini adalah tinggi sehingga 10 gram (10,000 mg) vitamin C ataupun 50mg/kg diberikan secara suntikan infusi, setiap 6 jam. Vitamin C yang diberikan ini hanya tambahan kepada ubat-ubatan merawat Covid-19 yang sedia ada. Tidak ada lagi kajian menggunakan suntikan vitamin C sahaja untuk merawat Covid-19. Jadi peranan vitamin C di dalam kajian-kajian ini adalah sebagai penggalak ataupun adjuvant, bukan rawatan utama. Kajian meta-analisis ke atas 8 kajian melibatkan 685 orang pesakit Covid-19 yang memerlukan bantuan pernafasan, vitamin C yang digabungkan dengan ubat-ubatan standard Covid-19 yang lain mengurangkan tempoh masa bantuan pernafasan ("duration of ventilation") pada kadar 14%. Terdapat juga kajian lain yang menunjukkan tempoh masa berada di ICU juga lebih singkat pada kadar 7.8%. Walau bagaimanapun , semua kajian-kajian ini bukalah kajian yang mempunyai kualiti yang tinggi dan bilangan sampel yang digunakan belum cukup untuk memberi jawapan yang muktamat.  Jadi setakat ini Vitamin C belum lagi dimasukkan ke dalam senarai ubatan yang standard untuk pesakit Covid-19.

KESAN SAMPINGAN

Vitamin C yang diambil pada dos yang tinggi boleh menyebabkan cirit birit dan terdapat lapuran kes kerosakan buah pinggang yang dinamakan oxalate nephropathy (asid askorbik ditukar kepad oxalate yang boleh membentuk batu karang) ke atas pesakit yang mengambil vitamin C dalam dos melebihi 50mg/kg. Lain-lain kesan sampingan suplemen vitamin C yang pernah dilapurkan adalah pening, loya, mulut kering, berpeluh dan lemah badan. Vitamin C boleh meningkatkan penyerapan logam berat dan mengganggu metabolisma tembaga.

Penyerapan vitamin C di dalam usus juga berbeza-beza dan ia boleh berinteraksi dengan beberapa jenis ubat seperti ubat statin (untuk mengurangkan kandungan kolesterol), mengganggu rawatan kemoterapi dan radioterapi. Individu yang mengidap kekurangan enzim G6PD juga tidak boleh mengambil suplemen vitamin C pada dos yang tinggi.

Vitamin C adalah antioksidan dan walaupun bermanfaat kepada kesihatan namun pengambilan yang berlebihan dalam jangkamasa panjang boleh mengganggu keseimbangan antioksidan dan radikal bebas. Terdapat kajian ke atas haiwan yang menunjukkan suntikan antioksidan boleh meransang kejadian kanser. Sebab itu pesakit2 kanser tidak digalakkan mengambil antioksidan semasa rawatan ataupun jika penyakit kanser belum pulih. Sila rujuk tulisan saya mengenai antioksidan di SINI.

Kesan sampingan yang diakibatkan oleh bahan kimia yang digunakan untuk menghasilkan suplemen Vitamin C belum dibincangkan. Begitu juga dengan suplemen2 lain yang yang ditokok tambah dengan Vitamin C.

KESIMPULAN

Suplemen vitamin C bertujuan untuk menampung kekurangan vitamin C dan bukan bertujuan untuk mencegah ataupun merawat penyakit. Keperluan harian vitamin C adalah dalam lingkungan 90 -120 mg sehari di mana ianya dengan mudah diperolehi daripada sumber makanan terutama buah dan sayuran. Sumber makanan semulajadi memberi lebih kelebihan kerana mengandungi lain-lain nutrient dan juga serat. Jika vitamin C hendak digunakan untuk tujuan pencegahan dan rawatan penyakit, maka ianya perlu diambil di dalam dos yang tinggi sekurang-kurangnya 1000 mg sehari (berdasarkan kepada kajian makmal dan farmakologikal). Walau bagaimanapun setakat ini belum ada bukti yang menunjukkan bahawa vitamin C di dalam apa sahaja dos dapat mencegah jangkitan virus SARS-CoV-2 dengan berkesan ke atas manusia. Dakwaan mengatakan suplemen vitamin C yang diambil oleh individu yang sihat dapat mengurangkan gejala ataupun beban penyakit apabila mengidap Covid-19 adalah hanya andaian. Vitamin C yang diberikan terutama dalam bentuk suntikan intravena dalam dos yang tinggi mungkin dapat mengurangkan tempoh masa bantuan pernafasan dan tempoh masa dirawat di dalam ICU. Manfaat suntikan vitamin C ini hanya ditemui ke atas pesakit Covid-19 yang serius terutama yang memerlukan bantuan pernafasan. Memandangkan kajian-kajian yang dijalankan masih dianggap kecil dan bukan kajian yang bermutu tinggi, penggunaan vitamin C di dalam rawatan Covid-19 masih dianggap dalam fasa kajian (investigational) dan belum dimasukkan ke dalam rawatan standard. Suplemen vitamin C boleh menyebabkan kesan sampingan dan juga berinteraksi/gangguan dengan beberapa jenis ubat. Setakat ini kaedah yang terbukti berkesan mencegah jangkitan virus Covid-19 adalah penjarakkan fizikal, memakai mask, selalu mencuci tangan dan vaksin Covid-19. Kepercayaan bahawa suplemen vitamin C boleh mencegah Covid-19 akan menyebabkan seseorang itu tidak mengambil langkah pencegahan yang sepatutnya kerana perasaan selamat ("false sense of security") dan ini akan memudaratkan.

Dato' Dr.Rushdan Noor


RUJUKAN

1.World Health Organization (WHO). Coronavirus disease (COVID-19) pandemic. https://www.who.int/emergencies/diseases/novel-coronavirus-2019. (Accessed on 6 November 2020)

2. World Health Organization (WHO). COVID-19 Strategy Update. 14 April 2020. Available from: https://www.who.int/docs/default-source/coronaviruse/covid-strategy-update14april2020.pdf?sfvrsn=29da3ba0_19 (Accessed on 6 November 2020)

3. Meng L, Zhao X, Zhang H. HIPK1 Interference attenuates inflammation and oxidative stress of acute lung injury via autophagy. Med Sci Monit 2019 25: 827–835

4. Mousavi S, Bereswill S, Heimesaat MM. Immunomodulatory and antimicrobial effects of vitamin C.Eur J Microbiol Immunol. 2019;9(3):73–79 CONCLUSION REFERENCE

5. Hiedra R, Lo KB, Elbashabsheh M et al. The Use of IV vitamin C for patients with COVID19: a single center observational study. Expert Rev Anti Infect Ther. 2020:1–3

6. Khan HMW, Parikh N, Megala SM et al. Unusual early recovery of a critical COVID-19 patient after administration of intravenous vitamin C. Am J Case Rep 2020;21:1–6

7. Wong CKW, Letchuman GR, Foong KW et al. Effects of High Dose Vitamin C Supplementation on Severe COVID-19 Patients in the ICU: A Retrospective Analysis. Zenodo. 2020 doi: 10.5281/zenodo.4001199

8. Liu F, Zhu Y, Zhang J, Li Y et al. Intravenous high-dose vitamin C for the treatment of severe COVID-19: Study protocol for a multicentre randomised controlled trial. BMJ Open 2020.10;7

9. Hemila H, Chalker E. Vitamin C may reduce the duration of mechanical ventilation in critically ill patients: a meta-regression analysis. J Intensive Care 2020.8:15 10. Hemilä H, Chalker E. Vitamin C Can Shorten the Length of Stay in the ICU: A MetaAnalysis. Nutrients 2019.11:708

10.https://www.uspharmacist.com/article/vitamin-c-and-covid19-hope-or-hype

11.https://www.healthline.com/nutrition/vitamin-c-coronavirus#vitamin-c-covid-19

12.https://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S2213716520302587
SCIENCED

13.https://www.covid19treatmentguidelines.nih.gov/adjunctive-therapy/vitamin-c/


No comments:

Post a Comment