Monday 26 October 2020

SIAPAKAH BIDAN TERLATIH DAN DAOLA


Untuk memastikan sesuatu proses kelahiran itu berakhir dengan ibu dan anak yang sihat, proses kelahiran tersebut hendaklah dikendalikan oleh petugas yang terlatih ataupun bidan terlatih di dalam persekitaran yang kondusif. Apakah yang dimaksudkan dengan bidan terlatih?. Bidan terlatih merujuk kepada petugas kesihatan yang layak untuk mengendalikan kelahiran seseorang ibu yang hamil sehingga proses kelahiran itu dianggap selamat. Mereka juga layak untuk membuat pemeriksaan dan memberi nasihat kesihatan kpd ibu hamil , ibu yang sakit hendak bersalin dan ibu yang di dlm pantang. Pegawai Perubatan O&G dan Pakar O&G adalah doktor-doktor yang telah terlatih untuk mengendalikan proses kehamilan, kelahiran dan selepas bersalin, jadi mereka juga dianggap petugas yang terlatih. Mereka-mereka ini juga akan bertanggungjawab di dalam proses rawatan yang lebih kompleks dan terperinci. Di samping doktor, terdapat juga jururawat yang layak mengendalikan wanita hamil termasuk menyambut kelahiran, kita akan berkenalan dengan mereka.

Terdapat dua kategori jururawat yang layak untuk mengendalikan wanita yang hamil, menyambut kelahiran dan perawatan semasa pantang (mereka juga layak mengendalikan anak yang baru lahir):

1. JURURAWAT TERLATIH (belang topi/tudung bewarna biru di fasiliti KKM). Jururawat terlatih (JT) perlu menamatkan kursus diploma kejururawatan selama 3 tahun. Kemudian untuk layak mengendalikan kehamilan dan kelahiran ibu, JT ini perlu melanjutkan pelajaran/latihan selama 1 tahun di dlm bidang perbidanan ("midwifery"). Latihan selama 1 tahun ini juga dikenali sebagai Posbasik Kebidanan. Mereka memakai topi/tudung berbelang biru. Hanya JT yg lulus postbasik kebidanan sahaja yg layak utk menjadi bidan terlatih. JT mempunyai bidang tugas yg lebih luas daripada Jururawat Masyarakat.


Jururawat terlatih (model)
Sumber: internet

2. JURURAWAT MASYARAKAT/JM (belang bewarna unggu pd topi/tudung bagi petugas di fasiliti KKM). Mereka mengikuti latihan selama 2 tahun 6 bulan kursus kejururawatan dan latihan kebidanan telah diserapkan ke dlm program ini. Semua JM adalah dianggap petugas yang layak menyambut kelahiran anak.


Jururawat Masyarakat (model) 
Sumber : internet

Kedua-dua jururawat di atas perlu berdaftar dengan Lembaga Bidan Malaysia selepas tamat latihan dan akan diberi kad yang tercatit maklumat peribadi, tarikh pendaftaran dan nombor pendaftaran. Jururawat yang TIDAK memiliki kad Lembaga Bidan Malaysia ini tidak layak mengendalikan kehamilan, kelahiran dan rawatan semasa pantang. Pendaftaran ini adalah di bawah akta Bidan 1966 (Akta 436) yang mensyaratkan bahawa selain daripada doktor, hanya anggota kesihatan yang berdaftar dengan Lembaga Bidan Malaysia sahaja boleh mengendalikan kelahiran.

DOULA pula berperanan menemani ibu-ibu hamil semasa proses kelahiran untuk memberi sokongan emosi dan fizikal kepada ibu-ibu bagi melancarkan proses kelahiran. Doula yang TIDAK mempunyai kelulusan di atas TIDAK layak untuk memberi nasihat pengubatan, apatah lagi mengendalikan wanita hamil, menyambut kelahiran dan mengendalikan wanita di dalam pantang. Jika mereka tidak layak untuk mengendalikan kelahiran, tentulah juga mereka tidak layak untuk memberi nasihat dan tunjukajar kepada ibu-ibu yang hendak melahirkan anak di rumah sendirian tanpa kehadiran petugas terlatih. Walaupun daola boleh memainkan peranan penting untuk mengurangkan kesakitan dan tekanan emosi ibu2, perkhidmatannya bukanlah satu kemestian seperti bidan terlatih kerana terdapat bidan2 terlatih sendiri yang berkelayakan untuk melakukan tugas daola. 

Untuk menjadi daola yang terlatih pula bukan dengan cara belajar sendiri dan kemudian mengaku sebagai daola ataupun pembimbing ibu hamil/kelahiran. Di negara UK contohnya seseorang daola perlu menjalani latihan dengan badan yang diiktiraf untuk jangkamasa tertentu, contohnya 6 bulan. Semasa latihan tersebut, mereka akan menjalani pengajian teori, praktikal dan penilaian. Setelah tamat latihan, mereka akan diberikan sijil sebagai bukti mereka adalah daola yang bertauliah. Daola yang bertauliah perlu mematuhi peraturan dan etika kerja yang telah ditetapkan. Mereka perlu menjalankan tugas yang selari dengan amalan perubatan moden perlu akur dengan konsep kelahiran selamat yang ditetapkan oleh badan antarabangsa. Di Malaysia setakat ini belum ada lagi pusat latihan daola sepertimana di UK. Klik di sini untuk contoh badan yang menyediakan latihan daola.

Melahirkan anak di rumah atau mana-mana fasiliti tanpa memenuhi syarat yang dibenarkan dan tanpa kehadiran bidan terlatih adalah dianggap KELAHIRAN YANG TIDAK SELAMAT. Mendapatkan khidmat daola untuk mengendalikan kelahiran  sama seperti melintas jalan yang sesak dengan kenderaan, anda mungkin selamat tetapi rakan anda yang lain mungkin tidak. Satu hari nanti mungkin yang melintas jalan itu adik atau kakak anda sendiri, mereka mungkin tidak senasib dengan anda. Gunalah khidmat bidan terlatih dan doktor, mereka umpama jambatan yang lebih selamat untuk menyeberang jalan. Kelahiran yang tidak selamat meningkatkan risiko kecederaan dan kematian ibu serta anak.

Baca juga nasihat-nasihat kepada ibu-ibu yang hendak melahirkan anak agar proses kelahiran mereka lebih selamat di pautan ini.

Dato' Dr Rushdan Noor

Pakar Perunding Kanan O&G

13 hb Jan 2019




PESANAN KEPADA IBU-IBU YANG AKAN MELAHIRKAN ANAK



Faktor paling utama di dalam proses kelahiran anak adalah KESELAMATAN. Kelahiran yang selamat adalah kelahiran yang dikendalikan oleh petugas yang terlatih di dalam persekitaran yang sesuai dan tempat yang mempunyai akses kepada rawatan kecemasan jika berlaku komplikasi.

Daola mempunyai peranan di dalam membantu melancarkan proses kelahiran dan mengurangkan tekanan ibu. Perubatan moden tidak menolak peranan mereka. Tetapi daola perlu tahu batas tugas mereka. Daola bukan bidan yang terlatih jadi mereka tidak layak memberi nasihat rawatan dan mengendalikan kelahiran. Kehadiran daola bukan bermaksud kelahiran selamat.

KKM sedar tentang pentingnya konsep kelahiran mesra ibu dan sedang melaksanakannya secara berperingkat. Konsep ini jika hendak dilaksanakan secara lengkap melibatkan pengubahsuaian infrastruktur, peralatan, latihan kakitangan dan juga kefahaman masyarakat. Jadi ia memerlukan masa dan persediaan yang banyak. Posisi melahirkan anak ("birthing position") dan "waterbirth" tidak boleh dilakukan sewenang2nya kerana faktor yang saya sebutkan di atas. Tanpa latihan kakitangan, tanpa fasiliti yang lengkap, tanpa kefahaman ibu2 dan tanpa kehadiran petugas yang terlatih, konsep ini akan menjadi senjata makan tuan atau serampang dua mata. Di dalam situasi memilih antara dua, keselamatan wajib dijadikan keutamaan. Tak kisahlah tak dapat lahirkan anak sambil mencangkung atau tak dapat lahir anak dalam air asalkan keselamatan ibu dan anak lebih terjamin.

Kelahiran kurang intervensi dan tanpa intervensi ("gentlebirth") pula adalah konsep yang tidak bertentangan dengan amalan perubatan moden tetapi hanya sesuai dilaksanakan ke atas ibu-ibu yang terpilih. Tidak semua proses semulajadi boleh dibiarkan tanpa intervensi kerana ianya tidak sempurna. Seperti mana cuaca alam semulajadi seperti hujan, panas dan sejuk yang boleh mengganas tanpa diduga. Perlu ada intervensi untuk mencegah banjir, kejutan panas dan hipotermia yang boleh mencedera dan membunuh manusia. Begitu juga proses kelahiran anak yang kadangkala perlu intervensi seperti amniotomi, augmentasi, suntikan ubat, pembedahan dan lain-lain bantuan bertujuan untuk mencegah kecederaan dan kematian 2 nyawa yang sangat berharga. Ini sudah terbukti, hasil daripada kepakaran, kadar kelahiran selamat yang lebih tinggi dan intervensi2 yang saya sebutkan tadi, kadar kematian ibu di negara kita telah menurun daripada 540 per 100,000 lahir hidup pada tahun 1950 an kepada 28 per 100,000 lahir hidup pada hari ini.

Tidak kisahlah apa sahaja bentuk proses kelahiran yang diingini ("birthplan") oleh anda, apa yang paling penting pilihlah orang yang layak untuk meneliti serta menilai "birthplan" anda, layak memberi nasihat kesihatan dan layak mengendalikan kelahiran anda. Dengar nasihat mereka dan utamakan keselamatan. Pastikan kelahiran anda berlaku di tempat yang sesuai dan dikendalikan oleh petugas yang terlatih. Jangan terpengaruh dengan golongan yang mengambil kesempatan demi keuntungan peribadi dengan memperjudikan nyawa ibu dan anak, sedangkan mereka bukan petugas kelahiran yang terlatih.


Dato' Dr Rushdan Noor 

Pakar Perunding Kanan O&G

6 hb Julai 2020


BACAAN TAMBAHAN :


https://www.facebook.com/rushdan.noor/posts/10213061609322740


https://www.facebook.com/rushdan.noor/posts/10213061645443643


https://www.facebook.com/rushdan.noor/posts/10212819610792928

Sunday 25 October 2020

BACAAN SELAIN AZAN DI PEMBESAR SUARA PATUT DIHENTIKAN?




OLEH:

Dato' Dr. Mohd Asri Zainal Abidin

Soalan: Dato’ Dr MAZA, telah timbul bantahan sesetengah pihak terhadap bacaan kuat selain azan yang dilaungkan di masjid. Ia dikatakan mengganggu mereka yang berdekatan. Isu ini membawa kemarahan sesetengah umat Islam atas nama mempertahankan masjid. Apakah pandangan Dr MAZA tentang hal ini? – Nasir, Penang.

Jawapan:  Saya sememangnya ingin mengulas sedikit tentang isu bacaan-bacaan –selain azan- yang menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu orang ramai ini. Bacaan ini telah mengelirukan orang bukan muslim sehingga mereka menyangka ia azan. Sesetengah pihak cuba mempertahankan amalan tersebut atas alasan ia bacaan al-Quran atau zikir yang patut diagungkan. Mereka menyangka sikap keras mereka dalam hal ini adalah ‘perjuangan mempertahankan Islam’. Saya ingin mengulas hal ini seperti berikut;

1. Apa yang Islam syariatkan untuk diangkat suara, hanyalah azan. Adapun selain dari itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain. Bahkan perbuatan itu dilarang oleh Nabi s.a.w. Apatah lagi dalam Islam ketenteraman orang lain dipelihara melainkan jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak.

2. Walaupun bacaan al-Quran dan zikir amatlah baik. Namun kita tidak boleh dipaksa orang lain mendengar bacaan kita. Mungkin orang lain ingin membacanya sendiri, atau ingin membacanya pada waktu lain, atau mereka sedang sakit atau ada anak kecil yang tidur, atau mereka tidak difardukan solat seperti wanita yang haid atau bukan muslim dan lain-lain.

3. Ramai orang bukan muslim keliru antara azan dan bacaan-bacaan selain azan yang dilaungkan menerusi corong pembesar suara. Mereka menyangka bacaan-bacaan itu adalah azan yang disuruh oleh Islam, lalu mereka bersangka buruk dengan Islam yang harmoni ini. Apatah lagi bacaan itu mengambil masa yang lama, sedangkan azan yang sebenar tidak lebih dari lima minit.

4. Sebenarnya, Nabi s.a.w sendiri telah melarang orang menguatkan bacaan al-Quran dalam masjid sehingga mengganggu jamaah lain. Dalam hadis Nabi s.a.w, kata Abu Sa’id al-Khudri: 

اعْتَكَفَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْمَسْجِدِ، فَسَمِعَهُمْ يَجْهَرُونَ بِالْقِرَاءَةِ، فَكَشَفَ السِّتْرَ، وَقَالَ: «أَلَا إِنَّ كُلَّكُمْ مُنَاجٍ رَبَّهُ، فَلَا يُؤْذِيَنَّ بَعْضُكُمْ بَعْضًا، وَلَا يَرْفَعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ فِي الْقِرَاءَةِ

“Ketika Nabi s.a.w beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi s.a.w berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda: “Ketahui setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat” (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih). 

Dalam hadis ini Nabi s.a.w melarang mengangkat suara bacaan di masjid sehingga menganggu mereka yang lain yang sedang beribadah, atau menyakitkan orang lain. Jika mereka yang berada dalam masjid yang memang bersedia untuk beribadah pun, tidak dibenarkan untuk diangkat suara bacaan sehingga mengganggu konsentrasi mereka, mana mungkin untuk dikuatkan suara bacaan melalui pembesar suara sehingga menggangu mereka yang di luar masjid. Mungkin mereka itu mempunyai anak kecil, orang sakit dan seumpamanya. 

5. Ulama besar di zaman ini, Al-Syeikh Muhammad Salih al-Uthaimin r.h mengulas hadis tadi dengan katanya: “Realiti hari ini menyaksikan apa yang disebut oleh hadis ini. Ini yang kita lihat mereka yang melakukan hal ini dengan menunaikan solat menggunakan pembesar suara (luar masjid). Mereka itu jika menyakiti sesiapa yang ada di sekeliling mereka, maka mereka berdosa..tiada syak lagi meninggal perbuatan ini lebih afdal yang pada hakikatnya tiada faedah pun, sebab insan tidak bersolat dengan mereka yang di luar masjid, sebaliknya dengan mereka yang berada dalam masjid..dengan itu kita berpesan kepada saudara-saudara kita, khususnya para imam masjid jangan lakukan ini..boleh jadi sesetengah orang telah solat dan perlu tidur dan berehat, boleh jadi dia sakit lalu terganggu dengan suara ini, boleh jadi juga masjid dekat dengan rumah, pada musim panas pula dan anak-anak kecil terganggu dengan bunyi pembesar suara. Kesimpulannya, masalah ini telah menimpa sesetengah orang sehingga mereka menyakiti jiran-jiran masjid atau rumah mereka dalam perkara yang tiada faedah baginya”. (Ibn Uthaimin, Syarh Riyadh al-Salihin: http://www.ibnothaimeen.com/all/eBook-o.shtml). Bayangkan kenyataan ini dikeluarkan oleh ulama besar dan terbilang tersebut di negara Saudi Arabia yang penduduknya kesemuanya muslim. Bagaimanakah pula bagi negara yang seperti kita.

6. Ulama silam juga telah mengingatkan hal ini, bahawa bacaan-bacaan lain di menara-menara masjid adalah dilarang kerana boleh mengganggu orang ramai.  Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi (meninggal 597H) pernah berkata:“Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampur adukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan perantaranya lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan. Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara azan. Dalam kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajjud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar”. ( Ibn Jauzi, Talbis Iblis, 159, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah). 

Ini adalah larangan ulama pada zaman yang belum ada pembesar suara yang gangguannya tidaklah setakat mana, bagaimana jika mereka melihat keadaan pembesar suara pada zaman ini?

7. Maka, dengan itu umat Islam patut menghentikan bacaan-bacaan yang dibuat melalui pembesar suara yang boleh mengganggu orang luar dan dalam masjid. Mematuhi hal ini bukan kerana isu politik semata, tetapi itu arahan Nabi s.a.w. dan juga menjaga Islam yang harmoni. Suara-suara yang dikuatkan itu bukan menambahkan cinta mereka kepada Islam, sebaliknya menimbulkan salahfaham banyak pihak.

Oleh : Datuk Dr.Mohd Asri Zainal Abidin, Mufti Perlis

Pautan: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10153713107732990&id=279290772989

FATWA LARANGAN MENYALAHGUNAKAN PEMBESAR SUARA DI MASJID DAN SURAU


FATWA MELARANG PENGGUNAAN PEMBESAR SUARA LUAR MASJID DAN SURAU SELARAS DENGAN AJARAN ISLAM

Mufti Pulau Pinang


Fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang dalam mesyuaratnya pada 30-31 Oktober 2015, yang membenarkan penggunaan pembesar suara luar di masjid dan surau seluruh Negeri Pulau Pinang hanya untuk laungan azan dan iqamah, adalah selaras dengan ajaran Agama Islam yang sebenar.

Lain-lain aktiviti keagamaan termasuk bacaan al-Qur'an, zikir, qiyamullail, ceramah, kuliah dan seumpamanya dengan menggunakan pembesar suara luar masjid dan surau adalah dilarang menurut hukum syarak kerana perbuatan tersebut boleh mengganggu orang ramai sama ada Muslim atau Bukan Muslim.

Perlu diketahui bahawa agama Islam melarang umatnya daripada menyakiti orang lain sama ada secara fizikal mahupun emosional. Ini termasuklah memaki hamun, mencerca, mempersenda, menghina mengganggu ketenteraman dan sebagainya. Larangan ini boleh difahami daripada banyak nass al-Qur'an dan hadis, antaranya firman Allah SWT di dalam ayat 55 surah al-A'raf yang bermaksud "Serulah Tuhan kamu (melalui do'a, zikir, munajat dan lain-lain) dalam keadaan menghina diri dan memperlahankan suara, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau."

Maksud yang sama boleh difahami daripada ayat 205, juga dalam surah al-A'raf.

Manakala contoh daripada hadis pula kita boleh sebutkan di sini peristiwa Rasulullah s.'a.w. beriktikaf bersama para sahabatnya di dalam masjid, Apabila Baginda mendengar mereka membaca al-Qur'an, dengan meninggikan suara, Baginda lantas bersabda "Setiap orang daripada kalian sedang bermunajat kepada Tuhannya, maka janganlah sebahagian menyakiti sebahagian yang lain dengan bacaannya (yang nyaring)."

Dalam sebuah hadis lsin Baginda melarajng para sahabat menyaringkan suara dalam munajat atau do'a mereka dengan menegaskan Allah tidak pekak atau berjauhan daripada mereka.

Jadi, berdasarkan kepada nass-nass di atas dan kepada amalan golongan Salafussalih zaman dahulu maka umat Islam tidak perlu menyaringkan suara ketika membaca al-Qur'an, berzikir, berdo'a dan sebagainya, apa lagilah dengan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau. Malah di dalam masjid dan suraupun jika tiada keperluan seperti memperdengarkan bacaan imam kepada makmum yang ramai, sebaiknya tidak digunakan pembesar suara. 

Umat Islam perlu faham bahawa untuk beribadat kepada Tuhan mereka tidak wajar menyakiti orang-orang lain. Mereka juga perlu faham perubahan yang berlaku pada zaman kini yang berbeza dengan masa-masa lalu. Dahulu kebanyakan orang Melayu tinggal di kampung-kampung di nana rumah masing-masing terletak berjauhan antara satu sama lain. Kini ramai yang berpindah dan tinggal di bandaraya di mana mereka berjiran atau betkongsi tempat tinggal di kawasan perumahan yang sama, malah ramai yang berkongsi rumah pangsa atau apartment. Justru untuk mencapai kehidupan  yang harmoni dalam masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya, memerlukan sikap saling menghormati antara satu sama lain di samping mengelak perbuatan-perbuatan yang boleh membawa kepada ketegangan dalam hubungan antara mereka.

Penggunaan pembesar suara di luar masjid dan surau mengganggu mereka yang tinggal berdekatan dengan masjid dan surau. Sebagai manysia mereka berhak menikmati kehidupan yang tenang dan tenteram tanpa diganggu dengan kebingitan pembesar suara atau apa jua faktor gangguan. Sudah tentu ada yang sakit, ada orang tua yang uzur, anak kecil, pekerja yang ingin berihat atau tidur setelah penat bekerja, pelajar yang mengulang kaji pelajaran dan sebagainya. Kesemua ini perlu dipetkirakan demi mencapai keharmonian hudup bermasyarakat. Hanya mereka yang hadir di masjid dan surau sahaja yang ingin mendengar ceramah, kuliah dan turut serta dalam program dan aktiviti masjid dan surau. Orang yang tidak hadir di madjid dan surau bererti mereka tidak mahu terlibat dengan program dan aktiviti tersebut.

Selain itu, dilihat dari sudut dakwah, penggunaan pembesar suara di luar masjid dan surau boleh menjejaskan imej agama Islam itu sendiri terutama bagi orang Bukan Islam. Mereka mungkin  salah faham terhafap agama Islam dan beranggapan ia adalah agama yang mengajar umatnya bersikap keakuan, eksklusif dan tidak sensutif kepada kepentingan orang lain! Ini boleh menghalang mereka daripada mendekati agama kita dan cuba memahaminya sebagai Agama Rahmat untuk sekelian manusia. Kesemua ini merugikan usaha-usaha dakwah untuk menarik lebih ramai lagi penduduk Malaysia yang Bukan Islam kepada agama kita.

Semoga dengan penjelasan di atas umat Islam, di Pulau Pinang Khususnya dan di tempat-tempat lain umumnya, dapat memahami maksud sebenar di sebalik fatwa larangan menggunakan

pembesar suara di luar masjid dan surau di negeri Pulau Pinang, untuk semua program dan aktiviti keagamaan kecuali untuk azan dan iqamah sahaja sebagai menzahirkan syiar Islam. Moga-moga amalan kita yang ikhlas mendapat keredhaan-Nya jua.


DATO' SERI DR. WAN SALIM WAN MIHD NOIR

MUFTI PULAU PINANG

Saturday 17 October 2020

APAKAH PRODUK YANG BEBAS BAHAN KIMIA ?

 



Tubuh badan manusia sendiri sebenarnya dibentuk oleh elemen-elemen dan bahan2 kimia ("chemical compound"). Lebih 98% berat badan manusia disumbangkan oleh 6 jenis elemen iaitu Oksigen,Karbon, Hidrogen, Nitrogen, Kalsium dan Fosforus. Selainnya adalah sulfur, natrium, potasium, klorin, magnesium dll. Ada yang wujud sendirian dan banyak yang bergabung menjadi kompoun.Terdapat banyak bahan kimia di dalam tubuh badan manusia dan 70% daripadanya dibentuk oleh bahan kimia H2O ataupun air. Oksigen juga adalah elemen utama protin, asid nukleik, Karbohidrat dan lemak, semua ini adalah "chemical compound" ataupun bahan kimia. Di dalam darah manusia ada banyak bahan kimia termasuk bahan buangan seperti urea, asid laktik dan karbon dioksida. Kita menyedut masuk ke dalam paru2 bermacam2 jenis bahan kimia daripada udara yang mengandungi oksigen, karbon dioksida, gas nitrogen, karbon monoksida, argon, helium, amonia dan bermacam-macam lagi bahan kimia. 


Kalau kita makan sebiji buah pisang yang dipetik daripada pokok, di dalam sebiji buah pisang itu terkandung bahan kimia di bawah:

"Air, Glukos, Fruktos, Sukros, Sukros, maltos, Kanji, Asid amino, asid glutamik, asid aspartat, histidine, leucine, lysine, fenilalanin, arginin, valine, alanine, serine, glysin, threonin, isoleucine, proline,tryptophan, cystine, tyrosin, methionine, asid lemak, palmitic acid, stearic acid, lauric acid, mysristic acid, capric acid, phytosterol, asid oxalic, phylloquinone, thiamine, riboflavin, metilbut-1-yl ethanoate, metilbutil ethanoate, methlypropan, ethyl hexanoate, ethyl butanoate, pentyl acetate, gas ethene"



Tubuh badan manusia dibentuk oleh bahan kimia dan memerlukan bahan kimia untuk berfungsi dengan normal. Ada bahan kimia yang banyak dan sedikit (trace). Kesemuanya perlu keseimbangan dan dalam kuantiti yang optima serta selamat. Kekurangan ataupun berlebihan elemen2 atau bahan2 kimia tertentu boleh memudaratkan badan manusia. Badan manusia juga mampu untuk menapis dan mengeluarkan bahan kimia yang berlebihan ataupun beracun. Jadi kehidupan manusia tidak dapat dipisahkan daripada bahan kimia. Agaknya hanya Jin, Malaikat dan Iblis sahaja makhluk Allah yang BEBAS BAHAN KIMIA.

Dato' Dr.Rushdan Noor

17hb Okt 2017



Friday 16 October 2020

SAH, SEL KANSER LEBIH TAKUT KEPADA ASID DAN SUKA KEPADA ALKALI

 



Ahli sains telah lama menemui salah satu ciri sel kanser yang berbeza dengan sel normal iaitu pH di dalam sel kanser lebih  beralkali dengan pH > 7.2. Manakala pH di luar pula adalah 6.7-7.1. Dalam keadaan beralkali ini, sel kanser lebih cepat membiak dan lebih ganas. Jadi sel kanser TIDAK SUKA ASID.

Sel kanser lebih beralkali sebab berlakunya metabolisma dan juga pengangkutan protein2 tertentu yang berasid keluar daripada sel. Maka ahli sains sedang mengkaji bagaimana boleh menghasilkan ubat anti kanser untuk menganggu proses pengangkutan ini agar sel kanser menjadi lebih berasid dan mati. Ubat tersebut belum dihasilkan dan kajian ke atas haiwan sedang dilakukan. Kita masih jauh untuk menemui kaedah rawatan kanser yang menggunakan pendekatan ini.

Kesimpulannya SEL KANSER SUKA KEPADA ALKALI dan TAKUT KEPADA ASID. Kalau hendak mematikan sel kanser, ahli sains perlu mencari ubat khusus yang boleh menjadikan sel kanser lebih berasid. Tanggapan bahawa minum air beralkali boleh mencegah dan merawat kanser bukan saja satu mitos tetapi bertentangan dengan kefahaman tentang ciri-ciri sel kanser dan asas keseimbangan asid-alkali tubuh badan manusia.

Tidak semua yang beralkali itu baik kerana madu yang diketahui mempunyai banyak khasiat pengubatan adalah berasid. Purata pH madu adalah 3.9 kerana madu mengandungi banyak jenis asid, bahan organik dan asid amino.

Walaupun ahli sains mendapati asid boleh membunuh sel kanser, bukan bermaksud kita boleh meminum air asid untuk merawat penyakit kanser. Proses menghasilkan ubat yang dapat menukar pH sel kanser memerlukan kajian klinikal yang mendalam seperti mana kajian-kajian klinikal yang lain untuk menghasilkan ubat yang berkesan dan selamat digunakan.

Dato'Dr.Rushdan Noor 

Pakar Ginekologi Onkologi

4hb Sep 2019


RUJUKAN: Persi E, Frigola MD, Damaghi M, et al. Systems analysis of intracellular pH vulnerabilities for cancer therapy. Nature Communications, 2018; 9 (1) DOI: 10.1038/s41467-018-05261-x

Wednesday 14 October 2020

GALAKSI DAN ALAM SEMESTA

Gambar pertama di bawah adalah imej angkasalepas yang diambil oleh teleskop Space Hubble. Setiap titik cahaya yang ada dalam imej tersebut adalah galaksi-galaksi. Alam semesta dibina oleh himpunan galaksi-galaksi. Galaksi nampak bercahaya kerana wujudnya bintang2 (stars) di dalamnya. Apakah Galaksi dan bintang ?

Galaksi adalah koleksi gas, debu dan berbilion-bilion bintang yang diikat oleh graviti.Alam ini dibina oleh 100-200 bilion galaksi. Jadi galaksi adalah unit asas alam semesta. Galaksi umpama batu bata (building block) yang membina sebuah rumah.

Bintang adalah objek bercahaya berbentuk spera yang diperbuat dari plasma atau gas2 terutamanya hidrogen dan helium yang dipautkan bersama oleh graviti. Reaksi nuklear yang wujud di pusatnya menyebabkan terhasilnya suhu yang tinggi. Terdapat bintang yang mengandungi planet-planet yang mengelilinginya kerana di bawah pengaruh graviti. Bintang dan planet2 yang mengelilinginya dinamakan sistem solar.  Tidak diketahui berapa banyakkah sistem solar ini di dalam galaksi. Matahari adalah salah satu contoh bintang (star) dan bumi adalah salah sebuah planet di dalam sistem solar matahari. Sebuah galaksi mengandungi berbilion-bilion bintang.  Bayangkan betapa besarnya alam semesta ini yang mengandungi 100-200 bilion galaksi di mana setiap satu galaksi ini pula mengandungi beratus bilion bintang. 

Sistem solar matahari dan planet bumi terletak di dalam sebuah galaksi yang dinamakan Milky Way. Disebabkan bumi terletak di dalam galaksi Milky Way, kita tidak dapat melihat imej Milky Way secara penuh sebaliknya boleh melihat sebahagian daripada komponen galaksi ini di langit menggunakan teleskop. Matahari hanya satu dari berbilion2 bintang yang ada di dalam galaksi Milky Way. Garispusat galaksi Milky Way adalah 105,000 light-year maksudnya jarak dari satu hujung ke hujung yang bertentangan adalah bersamaan dengan jarak perjalanan cahaya selama 105,000 tahun.

Galaksi mempunyai pelbagai bentuk dan diberi nama oleh ahli astronomi. Galaksi Milky Way mempunyai bentuk spiral, ada galaksi yang berbentuk bujur, bulat dan lain-lain lagi. Imej di bawah adalah galaksi yang paling dekat dengan Milky Way iaitu galaksi Andromeda. Ahli Astronomi mendapati galaksi2 ini berkembang dan bergerak sehingga boleh bertembung sesama sendiri. Apakah akan berlaku jika satu hari nanti galaksi Andromeda bertembung dengan Milky Way? Kejadian ini mungkin akan berlaku 5 billion tahun lagi. 



Dato' Dr. Rushdan Noor

14hb Okt 2020


https://spaceplace.nasa.gov/galaxy/

Sunday 11 October 2020

PSIKOLOGI SCAM DAN MODUS OPERANDI SCAMMER

 


Scam bermaksud penipuan yang berbentuk skim, perniagaan ataupun perkhidmatan yang membawa keuntungan cepat. Ada juga yang menipu dengan menggunakan cinta ("love scam"), memancing mangsa dengan perasaan dan kemudian mengaut keuntungan sebelum cabut lari. Menggunakan produk yang berasaskan kesihatan kerap digunakan oleh scammer melalui produk2 yang "overclaim". Macau scam adalah satu bentuk scam yang menipu orang ramai untuk memasukkan wang ke dalam akaun scammer melalui penyamaran sebagai pihak berkuasa. Ada juga yang menggunakan agama untuk menipu, menggunakan label2 yg pada kulit luarnya nampak islamik tetapi untuk tujuan mengaut keuntungan peribadi. Banyak lagi scam yang wujud di negara kita. Menjadi seorang scammer sudah dijadikan kerjaya oleh sekelompok ahli masyarakat, memperolehi pendapatan melalui penipuan terancang.

Modus operandinya banyak persamaan dan objektifnya sama. Orang yang melakukan scam dikenali sebagai scammer. Scammer adalah kerjaya yang lumayan walaupun mempunyai risiko tinggi. Mereka boleh jadi kaya sekelip mata tetapi boleh masuk lokap keesokkan harinya. Ramai yang memilih kerjaya sebagai scammer tapi ada yang tidak perasan mereka sudah berstatus scammer. Scammer ada guru mereka dan untuk menjadi scammer tidak perlu ada kelulusan tinggi. Scammer yang cemerlang mampu menipu mangsa tanpa disedari dan terlepas dari tindakan undang2, pendek kata scammer pun ada yang kelas pertama, kedua dan ketiga.

Saya terbaca rencana mengenai psikologi scam iaitu bagaimana seorang scammer dilatih ataupun mempelajari selok belok menjadi seorang scammer yang berjaya. Berikut adalah beberapa modus operandi yang klasik seorang scammer:

1. TIMBAL BALIK ataupun RECIPROCATION. Scammer memberi sesuatu “pemberian percuma” (seperti umpan) di dalam apa sahaja bentuk supaya menarik perhatian anda dan apabila anda menerima pemberian percuma itu anda akan mula terikat ataupun terhutang budi. 

2. KOMITMEN & KONSISTENSI. Apabila anda sudah masuk ke dalam perangkap pertama, anda akan ditawarkan kepada satu bentuk perjanjian yang mengikat anda untuk terus bersama scammer. Kali ini anda terpaksa mengeluarkan perbelanjaan. Pada ketika ini anda sukar untuk menolak.

3. BUKTI SOSIAL & TESTIMONI. Apabila ramai yang terperangkap, walaupun di dalam peringkat pertama, berita akan tersebar luas dan apabila scammer dapat menunjukkan betapa ramainya orang yang menyertainya, masing2 akan mengganggap ini adalah perkara benar. Dakwaan2 yang baik sahaja akan disebarkan di dalam bentuk testimoni. Scammer akan juga menggunakan testimoni dirinya sendiri.

4. DIKAGUMI DAN DISUKAI. Seorang scammer akan menonjolkan dirinya sebagai seorang yang ada kelulusan dan gelaran untuk meyakinkan orang lain. Ia akan berlakun sebagai seorang yang menarik, memahami orang lain, perhatin tentang orang susah, kuat pegangan agama dan sangat mudah didekati. Ini akan menarik lebih ramai orang mengikut kehendaknya. Scammer akan muncul di dalam banyak program2 dan aktiviti yang melibatkan orang ramai.

5. MENDESAK. Scammer pandai mengwujudkan perasaan terdesak dengan tawaran2 yang kononnya jarang dan murah untuk jangkamasa yg singkat. Pada ketika ini mangsa seolah2 tidak ada pilihan melainkan bersetuju dan menyerahkan wang kepada scammer. Psikologi scammer ini juga seringkali menyebabkan mangsa yang tidak berwang sanggup membuat pinjaman dan berhutang kerana kuatnya desakan.

6. EKPLOITASI MAKLUMAT PERIBADI. Apabila mangsa sudah terperangkap, scammer sudah mempunyai banyak maklumat peribadi mangsa termasuk alamat, email, usia, pekerjaan, keluarga dan lain-lain. Maklumat ini digunakan untuk tujuan mendapatkan keuntungan daripada orang lain yang terdekat dengan anda. Scammer mungkin akan mengetahui pergerakan anda dan pada ketika ini mereka boleh mempengaruhi keluarga anda ataupun sanak saudara anda untuk masuk ke dalam perangkap mereka ketika anda tidak bersama mereka. Contohnya scammer akan menghubungi email ahli keluarga mangsa yang ke luar negara, meminta wang kononnya mangsa sedang sakit dan dirawat di hospital.

Kesimpulannya terlalu banyak scam dan scammer yang berkeliaran di sekeliling kita di dalam seribu satu bentuk dan jika kita leka dan tidak berhati2, kita akan masuk ke dalam perangkap mereka. Ramai mangsa yang tertipu bukan disebabkan oleh kelemahan mangsa tetapi adalah disebabkan oleh kecekapan dan kelicikan scammer. Disebabkan scammer dijadikan kerjaya maka untuk menjadi scammer yang berhaya, mereka belajar dan menjadi mahir untuk menipu orang lain. Selagi ada manusia, selagi itulah ada scam dan scammer. Untuk mengelak daripada menjadi mangsa scammer, kenalpasti seorang scammer,   tahu modus operandi mereka, tahu ciri2 sebuah scam dan menjadi orang yang lebih bijak mengelak dari menjadi mangsa.


Dato' Dr.Rushdan Noor


SPAM, SCAM DAN PONZI SCHEME

Mari belajar maksudnya.

SPAM : Pesanan yang berbentuk email dihantar kepada ramai orang yang mengandungi maklumat yang tidak dipohon oleh orang yang menerimanya. Banyak spam yang bertujuan untuk menipu pelanggan ataupun untuk tujuan mempromosi produk tertentu dengan cara yang tidak sah ataupun beretika.


SCAM : Suatu tindakan, rancangan (skim) atau perbuatan penipuan yang mengakibatkan orang2 menerima atau percaya sesuatu yang tidak benar dan tidak sah sebagai perkara yang benar dan sah.


PONZI SCHEME (SKIM PONZI) :   Ponzi scheme adalah pelaburan yang bersifat penipuan dengan janji2 membayar faedah yang tinggi (profit) kepada pelabur terdahulu dengan menggunakan wang para pelabur berikutnya, bukan dari wang yang dihasilkan dari kegiatan perniagaan dan pelaburan sebenar.

Wednesday 7 October 2020

MAKANAN BOLEH MERAWAT PENYAKIT : FAKTA ATAU AUTA


Umumnya bahan makanan ataupun buah2an/sayuran dalam bentuk asal tidak boleh dijadikan ubat untuk merawat penyakit. Dalam makanan ini terdapat terlalu banyak sebatian kimia yang ada kesan positif, kesan negatif dan neutral. Kita perlu mengeluarkan sebatian kimia yang ada kesan positif dan ditentukan dos terlebih dahulu sebelum boleh dijadikan ubat. Kemudian perlu ditentukan pula keselamatan, kaedah pemberian dan keberkesanan ke atas manusia. Kalau dalam bentuk mentah, mungkin kena ambil berkilo2 satu hari dan itupun belum tentu berkesan kalau ubat itu lebih sesuai diberikan dalam bentuk suntikan. Kalau fikir secara lojik akal pun orang biasa sudah boleh menerima pendapat ini tapi kami doktor perubatan mengunakan alasan tidak ada bukti kajian klinikal. 

Mereka memberi alasan kalau tidak ada bukti kajian klinikal tidak semestinya tidak berkesan. Tak akan semuanya mesti ada bukti kajian klinikal, kata mereka lagi. Kami jawab, jadi apakah pula bukti yang anda gunakan untuk mendakwa produk anda berkesan? Testimoni? Depa kata? Kot-kot? Rasa-rasanya? Kajian ke atas tikus ? Pengalaman orang tua2? Kemudian mereka berkata,  yang menyembuhkan itu Tuhan bukan manusia, mula berhujah dengan agama. Jawab kami, betul, yang menyembuhkan itu Tuhan tetapi mestilah dengan ikhtiar yang betul. Contohnya kalau nak tebang pokok balak kena guna gergaji atau kapak baru pokok boleh tumbang, kalau guna gigi sampai bila pun Tuhan tak izinkan sebab ikhtiar itu tak betul, kecualilah anda ada mukjizat. Bukankah Nabi pun bersabda maksudnya "Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah", hadith sahih Riwayat Muslim. Ahli Sains dan pakar perubatan lah yang diberikan kepakaran oleh Allah untuk lebih layak menyatakan ubat itu betul ataupun tidak. Jika yang menentukan betul ataupun tidak itu orang yang bukan pakar di dalam bidangnya, maka ikhtiar itu tidak betul dan akibatnya ramailah yang akan ditimpa kemudaratan. 

Kami membenteras mitos kerana maklumat yang salah akan mengelirukan orang ramai. Walaupun ada amalan yang tidak merbahaya, kepercayaan itu boleh menyebabkan pesakit berpindah dari rawatan doktor yang menggunakan ikhtiar yang betul kepada kaedah lain yang tidak berkesan atau kurang berkesan. Mudaratnya akan kembali kepada pesakit dan mitos ini akan tersebar di dalam masyarakat. Macam merebaknya coronavirus. Masyarakat pula akan menjadi taksub terhadap satu-satu bahan makanan dan tertekan dengan ancaman-ancaman palsu tentang makanan yang lain. Sedangkan satu-satu nutrient dan manfaat boleh diperolehi daripada banyak jenis sumber makanan dan kita sepatutnya bebas memilihnya mengikut selera dan keperluan. 

Apakah masalahnya dengan mendakwa makanan itu dan buah ini boleh cegah dan rawat penyakit? Makanan bukan racun, makan sahajalah, kata mereka lagi. Masalahnya begini, di samping kekeliruan yang saya sebutkan di atas, kepercayaan terhadap mitos ini juga membuka peluang kepada golongan yang mengambil kesempatan menghasilkan produk kesihatan. Ramuan boleh dicampur-adukkan mengikut kemahuan, kemudian boleh buat "overclaim" berkesan merawat berbagai jenis penyakit. Semuanya boleh diproses sendiri dan tidak perlukan kepakaran sains sebab penyediaannya hentam kromo. Modalnya sedikit, untungnya besar tapi autanya pun besar.  Kemudian siapa pula yang akan jadi pelanggan produk-produk ini ? Tentulah pengikut-pengikut di dalam media sosial termasuk pesakit dan pengunjung setia. Tarikan tentu lebih kuat jika yang mempromosikan itu ada gelaran dan pengaruh. Kesudahannya, duit dibazirkan untuk sesuatu yang tidak diperlukan. Inilah yang dinamakan SCAM PERUBATAN. Scam perubatan ini lebih merbahaya daripada scam lain kerana mangsa boleh kehilangan wang ringgit dan juga memudaratkan kesihatan, malahan boleh menyebabkan kematian. 

Tajuk makanan, buah2an dan sayuran boleh merawat penyakit memang sangat disukai oleh orang ramai kerana ini adalah benda2 yang mereka hadap setiap hari. Tajuk2 ini menarik ramai peminat dan memberi keterujaan yang tinggi. Wow, tak sangka makan kunyit boleh merawat kanser, minum air kelapa serta makan kangkung boleh mencegah jangkitan virus, limau nipis boleh rawat darah tinggi dan minum teh boleh rawat diabetes. Tajuk yang santai dan mudah dihadam ini sangat digemari oleh masyarakat kita dan tidak hairanlah tajuk2 ini juga menjadi pilihan utama akhbar, station radio dan TV. Mitos2 ini juga paling banyak dikongsikan di dalam media sosial sehingga sukar untuk ditepis. Tajuk seperti ini juga akan mendapat 'share' dan 'like' paling banyak. Masyarakat tidak sedar yang mereka dihidangkan dengan sains perubatan caca-merba, fakta dan auta bercampur aduk. Bahan makanan dan tumbuh2an boleh menjadi ubat dengan syarat ianya melalui proses-proses mengeluarkan sebatian kimia aktif yang spesifik di dalam nya dan diuji ke atas manusia di dalam kajian klinikal. Malahan banyak ubat yang digunakan di hospital adalah dihasilkan daripada sumber alam semulajadi tetapi mematuhi disiplin ilmu dan amalan yang betul.

Beginilah modus operandi bagaimana tersebarnya mitos perubatan dan pseudosains yang berlaku di dalam masyarakat kita. Kebenaran bukan lagi keutamaan kerana yang lebih penting adalah populariti dan pendapatan. Fenomena ini mengecewakan kami yang berusaha untuk menyanggah mitos perubatan dan pseudosains yang menjadi racun kepada masyarakat. Hanya semangat dan kemahuan untuk mendidik  sahaja membuat kami terus berjuang tanpa ganjaran, mengharapkan ada kesan positif yang boleh ditinggalkan dan saham akhirat yang boleh di bawa ke sana nanti. Semoga masyarakat kita tidak akan dikuasai oleh Dr.Quack, pengamal pseudosains dan pendokong mitos perubatan. 

Dato' Dr Rushdan Noor 

Medical Mythbusters Malaysia

14hb Feb 2020

Tuesday 6 October 2020

PANDUAN MENILAI KESAHIHAN SESUATU MAKLUMAT


Hidup lebih setengah abad ini mengajar saya untuk tidak mudah taksub kepada seseorang atau apa2 kumpulan. Sebarang maklumat perlu ditapis dengan teliti dan tidak diterima bulat2 kerana sudah masak dengan sikap manusia yang seringkali mendahului mulut dari otak. Hari ini kita lihat begitu ramai yang bercakap memberi pendapat tentang bidang yang bukan kepakaran mereka.

Masyarakat kita kurang cermat dan tidak tahu menapis maklumat, mereka malas menyelidik tetapi menilai maklumat berdasarkan imej luaran,  populariti dan gelaran. Mereka tidak terbiasa untuk menyelidik latarbelakang pendidikan dan bidang ilmu yang dimiliki oleh penyampai. Sedangkan apa yang dilakukan oleh orang tersebut adalah menyebar fakta yang salah. Akibat taksub, apa sahaja yang keluar dari mulut orang ini dianggap benar belaka oleh pengikutnya. Maka tersebarlah kepalsuan dan ramailah pengikut menjadi jahil dan sesat. Inilah punca wujudnya fahaman bumi leper, golongan antivaksin, ektremis naturopath, teori konspirasi, ektrimis agama, ajaran sesat dan lain2 lagi. 

Tidak salah untuk mempunyai pendapat peribadi tentang apa bidang sekali pun (selagi tidak menggugat aqidah)  termasuk bidang yang bukan kepakaran kita tetapi cara mengendalikan pendapat itu perlu cermat. Jika anda bukan pakar di dalam bidang tersebut dan mempunyai pendapat yang berbeza, seelok2nya simpan kepada diri anda sendiri. Jika anda sebarkan juga maka anda berkemungkinan untuk berkongsi salah faham dan ilmu yang salah  dengan orang lain. Apatah lagi jika anda seseorang yang mempunyai gelaran dan kedudukan di mata masyarakat. Anda pasti ada pengikut dan pentaksub yang akan bermati-matian mempertahankan anda. 

Sistem komunikasi moden yang ada pada hari ini sangat berkesan menularkan maklumat dengan cepat. Tulisan dan video "guru2" ini akan terus dijadikan rujukan dan ilmu yang salah itu terus tersebar, walaupun orangnya sudah tiada. Maka semuanya akan berbalik kepada sejauh mana persediaan diri dan sikap diri kita. Marilah kita kembali kepada  asas menuntut ilmu iaitu BERGURU dengan GURU YANG BETUL, jadilah seorang yang teliti dan kritis dalam menilai maklumat. Jauhi orang2 yang meragukan, mengajar sesuatu yang bukan bidang kepakaran mereka atau ada kepentingan lain. InshaAllah kita akan selamat dunia akhirat.


Dato' Dr Rushdan Noor 

7hb Oktober 2019

BINTANG DAN GALAKSI


Milky Way

BINTANG DAN GALAKSI

Imej pertama (Rajah 1) yang tertera di bawah adalah bintang dan galaksi-galaksi yang diambil oleh Teleskop Hubble NASA/ESA. Setiap satu titik cahaya yang kelihatan adalah sebuah galaksi. Berapakah jarak objek-objek yang kelihatan di dalam imej tersebut daripada kita? Unit jarak yang digunakan oleh Ahli Astronomi adalah light-years. Satu light-year adalah jarak yang dilalui oleh cahaya dalam masa 1 tahun. Jadi jika kita menyuluh cahaya yang cukup kuat, ia akan bergerak dengan kelajuan 300,000 km dalam masa satu saat. Maka 1 light-year adalah bersamaan dengan 9 trillion km (6 trillion batu). 1 trilion adalah 1,000,000,000,000 (12 kosong). Lagi jauh jarak objek, lagi lama cahayanya akan sampai kepada kita. Ini bermaksud imej yang dilihat di dalam teleskop itu bukan imej sekarang, sebaliknya imej yang lama bergantung berapa lama cahaya akan sampai kepada teleskop.

Rajah 1

Bintang yang terdekat dengan bumi adalah matahari mempunyai jarak 93 juta batu. Berdasarkan kepada kelajuan cahaya, cahaya dari matahari akan sampai ke bumi dalam masa 8.3 minit. Ini bermaksud, imej matahari yang kita lihat pada satu-satu masa adalah imej matahari yang sudah berusia 8.3 minit. Bintang yang jaraknya 5 light-year, apabila kita melihatnya pada ketika itu sebenarnya sudah berusia 5 tahun dahulu. Disebabkan alam semesta ini tersangat luas, ada objek dan galaksi yang jaraknya berjuta-juta light-year. Sistem solar terletak di dalam galaksi yang dikenali sebagai Milky Way (imej paling atas). Galaksi yang paling dekat dengan Milky Way adalah Andromeda. Rajah kedua di bawah adalah galaksi Andromeda yang diambil oleh NASA (menggunakan teleskop Galex) dan jaraknya adalah 2.5 juta light-years. Maka imej yang diambil itu sebenarnya imej galaksi Andromeda 2.5 juta tahun dahulu. Dalam tahun 2016 Teleskop Hubble NASA dapat mengambil imej galaksi paling jauh yang mampu diambil iaitu galaksi GN-z11. Jarak galaksi GN-z11 adalah 13.4 bilion light-year. Gambar di rajah 3 adalah galaksi GN-z11, disebabkan ianya tersangat jauh maka kedudukannya semakin dekat dengan kejadian asal-usul alam semesta yang dikenali sebagai BIG BANG. Galaksi GN-z11 boleh dianggap salah satu galaksi yang paling awal dihasilkan selepas BIG BANG di mana kedudukan galaksi ini adalah 400 juta tahun selepas big bang. Dengan perkataan lain, galaksi GN-z11 adalah di antara galaksi yang paling tua. Melalui pemerhatian dan kajian inilah Pakar Astronomi dapat mempelajari kejadian alam semesta secara lebih dekat dan lebih tepat.

Rajah 2


Rajah 3

Dengan kemampuan teleskop Hubble setakat ini, di dalam alam semesta ini terdapat 100-200 bilion galaksi. Bilangan galaksi akan meningkat jika keupayaan teleskop lebih tinggi di masa hadapan. Saiz dan bentuk galaksi ini pula berbeza-beza. Galaksi pula dibina oleh bintang (star), bintang adalah objek bercahaya yang boleh kelihatan di angkasa lepas, bintang yang terdekat dengan bumi adalah matahari. Sebuah bintang pula dikelilingi oleh beberapa planet, bumi adalah salah satu planet yang mengelilingi matahari. Sistem solar ataupun cakera suria dibentuk oleh satu bintang yakni matahari yang dikelilingi oleh planet-planet di bawah pengaruh gravitinya. Di samping planet-planet, sistem solar ini juga mengandungi bulan, asteroid, komet dan lain-lain objek. Terdapat lebih 100 bilion bintang di dalam satu galaksi. Jadi alam semesta dibina oleh 100-200 bilion galaksi dan setiap galaksi mengandungi sekitar 100 bilion bintang. Jadi bolehlah dikatakan bahawa galaksi adalah unit asas alam semesta, umpama bata yang membina sebuah rumah. Indah dan hebat ciptaan Allah swt.


Dato'Dr.Rushdan Noor


RUJUKAN : https://spaceplace.nasa.gov/light-year/en/

Friday 2 October 2020

KAEDAH MEMUTIHKAN KULIT: MENGAPA MEMUDARATKAN



Salah satu produk kecantikan yang paling menarik perhatian orang ramai adalah produk memutihkan kulit. Warna kulit ditentukan oleh kandungan pewarna/pigmen kulit yang dinamakan MELANIN. Melanin adalah pelindung kulit semulajadi. Melanin dihasilkan oleh sel2 khusus yang dinamakan MELANOSIT yg terdapat di bawah kulit.

Apabila anda melihat kulit muka yang putih (dalam gambar ataupun hidup), ada 5 kemungkinan:

1. Semulajadi, orang itu memang berkulit putih

2. Akibat penyakit yang dikenali sebagai Vitiligo ataupun Sopak

3. Make-up /solekan

4. Edit foto dalam komputer/hp (gambar)

5. Merawat muka dengan rawatan pemutih kulit. Asas rawatan pemutih kulit adalah rawatan yang dapat MENGURANGKAN MELANIN dalam kulit.

BAGAIMANA MELANIN DIKURANGKAN

1. MENIPISKAN KULIT dengan menggunakan bahan kimia (dalam bentuk krim ataupun losyen), rawatan laser dan rawatan mekanikal. Apabila pengelupasan kulit terjadi, lapisan kulit yg baru mengandungi kurang melanosit dan melanin. Di dlm bahasa Inggeris dinamakan "skin peeling".

2. MENGAMBIL UBAT yang merencatkan sel-sel melanosit dan proses penghasilan melanin (dalam bentuk krim/losyen ataupun makan/ suntikan)

3. GABUNGAN (1) DAN (2)

APAKAH AKIBAT YANG DIALAMI JIKA MELANIN DIKURANGKAN

1. Penggunaan ubat untuk memutihkan kulit ini sepatutnya hanya layak diberikan oleh pakar kulit di atas sebab2 yang dibenarkan oleh perubatan seperti kulit yang tidak sekata akibat penyakit hormon dan juga parut akibat jerawat.

2. Ubat pemutih boleh menyebabkan kesan sampingan samada setempat ataupun ke seluruh badan. Banyak ubat2 ini sebenarnya ubat daripada kategori racun berjadual ataupun ubat yang tidak dilesenkan untuk tujuan pemutihan kulit. Ubat yang disapu boleh meresap masuk ke dalam aliran darah. Di antara ubat2 pemutih adalah raksa (mercury), hidroquinone, glutatione, ascorbic acid, tranexamic acid, kojic acid, azelic acid dll.

3. Apabila melanin dikurangkan, ia akan membenarkan lebih banyak sinaran ultraunggu daripada matahari untuk merosakkan sel2 kulit. Kerosakan DNA sel-sel kulit boleh menyebabkan kanser kulit. Kulit yang nipis juga tidak dapat berfungsi sebagai pelindung yang berkesan dan mudah terbakar serta dijangkiti kuman. Kulit mudah menjadi kemerahan dan mengelupas.

4. Kesan jangkapanjang mengurangkan melanin ini adalah kesan yang dinamakan ochronosis iaitu kesan terbalik yakni kulit menjadi hitam dan kekal. Satu lagi kesan jangkapanjang adalah "bleach panda effect", iaitu kulit di sekeliling mata menjadi kehitaman macam mata seekor panda.

5. Banyak kaedah rawatan mekanikal dan laser menyakitkan dan mahal. Ianya perlu dilakukan secara berkala kerana kesan pemutihan ini tidak berpanjangan.

6. Kesan pemutihan kulit bukan kesan yang kekal, perlu rawatan berterusan. Kulit akan kembali kepada warna asal jika rawatan dihentikan kerana warna kulit yakni bilangan sel-sel melanosit dan kandungan pigmen melanin telah ditentukan oleh faktor genetik.

Dari segi indikasi perubatan, memutihkan kulit hanya sesuai dilakukan ke atas individu yang mengalami masalah penyakit sopak ataupun vitiligo. Apabila vitiligo ini menyeluruh, maka pakar kulit boleh mempertimbangkan untuk memutihkan bahagian kulit yang tidak terlibat supaya warna kulit kelihatan sekata.

Kesimpulannya, kaedah memutihkan kulit nampaknya lebih banyak membawa kemudaratan daripada memberi manfaat melainkan jika ianya dibawah pengawasan pakar kulit. Warna kulit yang dijadikan oleh Tuhan itu sudah sempurna dengan orang tersebut. Apa yang lebih penting adalah menjaga kulit daripada terbakar (sunburn), tercedera dan rosak akibat bahan kimia, kekotoran, jerawat dan juga jangkitan.

Kalau nak baca dengan lebih lanjut mengenai proses memutihkan kulit dan kesannya ke atas manusia, klik di bawah untuk membaca: 

PRODUK PENCERAH KULIT: MITOS DAN REALITI


Dato' Dr.Rushdan Noor