Tuesday, 24 November 2026

DOKTOR PERUBATAN TIDAK TAHU ROOT CAUSE? JANGAN KELIRUKAN ORANG RAMAI DENGAN RETORIK KESIHATAN

 


Ada satu kelompok pengamal perubatan alternatif yang gemar memperlekehkan doktor perubatan moden. Mereka mendakwa doktor tidak memahami "root cause" (punca sebenar penyakit), tidak belajar tentang "medical nutrition", hanya tahu merawat simptom atau gejala dan terlalu mudah memberikan ubat-ubatan yang kononnya mereka sendiri tidak pasti keberkesanannya.
Sebaliknya, mereka mendakwa kaedah mereka lebih tepat kerana menggunakan makanan, pemakanan dan suplemen untuk merawat punca penyakit. Persoalannya, benarkah begitu? Kita teliti hujah-hujah berikut:
DOKTOR PERUBATAN TIDAK HANYA MERAWAT GEJALA
Doktor perubatan bukan sekadar belajar merawat gejala atau simptom. Nampaknya pihak yang mendakwa ini tidak pernah melalui sistem pendidikan dan perkhidmatan perubatan. Mereka ini selalunya dari pengamal rawatan alternatif seperti kiropraktik, naturopati, osteopati dan lain2. Pendidikan perubatan mengambil masa bertahun-tahun dan merangkumi anatomi, fisiologi, biokimia, patologi, farmakologi, pemakanan, imunologi dan pelbagai disiplin lain.
Doktor dilatih untuk mengenal pasti punca penyakit melalui sejarah pesakit, pemeriksaan klinikal, ujian makmal, pengimejan dan penyelidikan saintifik. Malah, mencari punca penyakit merupakan asas kepada amalan perubatan. Merawat simptom semata-mata bukan matlamat perubatan moden. Ada kalanya simptom perlu dikawal sementara punca penyakit sedang dikenal pasti atau dirawat. Merawat simptom tidak boleh dipandang remeh kerana ia boleh meningkatkan kualiti hidup pesakit.
DOKTOR PERUBATAN MEMPUNYAI ASAS DALAM ILMU NUTRISI, PEMAKANAN DAN DIBANTU OLEH PAKAR PEMAKANAN
Dakwaan bahawa doktor tidak belajar tentang pemakanan adalah tidak tepat. Pemakanan merupakan sebahagian daripada pendidikan perubatan (medical nutrition). Doktor mempelajari bagaimana nutrien, corak pemakanan, obesiti, kekurangan zat dan metabolisma mempengaruhi kesihatan serta penyakit. Memang benar tidak ada tempoh khusus untuk pembelajaran tentang pemakanan tetapi dalam sistem pendidikan negara wujud bidang dietetik di mana graduan daripada bidang ini akan bekerjasama dengan doktor untuk merawat pesakit. Sebab itulah terdapat pakar dietetik dan pakar pemakanan klinikal di semua hospital, yang bekerjasama dengan doktor dalam pengurusan pesakit.

TIDAK SEMUA MASALAH KESIHATAN BOLEH DIURUSKAN DENGAN DIET DAN PEMAKANAN. MAKANAN BUKAN UBAT


Makanan dan suplemen bukan secara automatik lebih baik daripada ubat-ubatan. Pemakanan yang baik memang penting untuk mencegah dan mengurus pelbagai penyakit. Ada penyakit yang boleh bertambah baik dengan perubahan gaya hidup dan pemakanan. Namun, makanan tidak boleh menjadi ubat apabila tubuh tewas dengan serangan penyakit yang serius. Jadi, dalam keadaan tertentu, ubat, pembedahan atau rawatan khusus diperlukan. Pesakit diabetes jenis 1, jangkitan bakteria serius, kanser dan serangan jantung tidak boleh bergantung kepada makanan atau suplemen semata-mata.

Menganggap semua penyakit berpunca daripada kekurangan nutrien atau pemakanan ialah pendapat yang tidak tepat. Orang yang menjaga pemakanan dan berat badan masih boleh mengalami penyakit kanser, penyakit jantung dan sebagainya kerana sifat penyakit yang multifactorial. Ada faktor-faktor yang tidak boleh dielakkan dan sukar dipulihkan.
DAKWAAN YANG BESAR MEMERLUKAN BUKTI YANG BESAR. SETAKAT DAKWAAN, SESIAPA PUN BOLEH LAKUKAN
Mendakwa rawatan ke atas root cause bukan bukti bahawa sesuatu rawatan itu berkesan jika hanya keluar dari bibir. Semua pengamal kesihatan boleh mendakwa mereka merawat punca penyakit. Tetapi persoalan yang lebih penting ialah: Bagaimana punca itu dikenal pasti? Apakah bukti saintifik yang menyokong diagnosis tersebut? Adakah rawatan yang diberikan telah diuji melalui kajian klinikal berkualiti? Adakah ia terbukti memberikan manfaat kepada pesakit, bukan sekadar testimoni individu? Sila tunjukkan bukti.

Jika inflamasi, kerintangan insulin, ketidakseimbangan hormon dan masalah mikrobiota usus dianggap "root cause", kita boleh juga katakan semua keadaan ini pun ada puncanya dan akhirnya tidak akan ada penghujungnya. Sains menemukan punca setakat kemampuan teknologi yang ada dan punca ini akan menjadi sasaran untuk dipulihkan, yang penting adalah hasil rawatan itu memulihkan pesakit dan mencegah komplikasi serta memanjangkan hayat. Perubatan moden mempunyai bukti yang menunjukkan matlamat ini tercapai, bukan sekadar dakwaan kosong semata-mata.
Jika seseorang mendakwa suplemen tertentu boleh membaiki hormon, memulihkan metabolisme, membersihkan salur darah atau menyembuhkan penyakit kronik, dakwaan itu perlu dibuktikan melalui kajian yang kukuh. Istilah saintifik yang kedengaran meyakinkan tidak menjadikan sesuatu rawatan itu benar.
RAWATAN UBAT TIDAK DIBERIKAN SEMBERONO
Ubat-ubatan moden bukan diberikan secara semberono. Setiap ubat mempunyai mekanisma tindakan, indikasi, dos, manfaat, risiko dan kesan sampingan yang perlu dinilai. Memang benar ubat tidak sempurna dan ada yang mempunyai kesan sampingan. Sebab itulah doktor perlu menimbang manfaat berbanding risiko sebelum menetapkan rawatan. Perubatan moden juga sentiasa mengemaskini amalan berdasarkan bukti apabila ada penyelidikan baharu. Jika sesuatu ubat tidak berkesan atau mendatangkan lebih banyak mudarat, penggunaannya perlu dinilai semula.
PERUBATAN MODEN MENGAMALKAN PENDEKATAN YANG HOLISTIK. UBAT HANYA SATU DARI BANYAK LAGI PENDEKATAN.
Prinsip perubatan moden bukan bermula dengan memberikan ubat. Doktor dilatih mengamalkan tiga peringkat pencegahan penyakit, iaitu primary prevention (mencegah penyakit sebelum berlaku), secondary prevention (mengesan penyakit lebih awal) dan tertiary prevention (mengurangkan komplikasi serta meningkatkan kualiti hidup pesakit). Ubat hanyalah salah satu pilihan rawatan. Setiap rawatan dipilih berdasarkan diagnosis, keadaan pesakit dan bukti saintifik. Keberkesanan serta keselamatannya dipantau, dinilai dan ditambah baik dari semasa ke semasa berdasarkan kajian klinikal. Berbeza dengan banyak kaedah rawatan alternatif yang tidak melalui proses penilaian dan pemantauan setara.
Perubatan moden juga tidak menolak semua pendekatan alternatif. Kaedah tertentu yang mempunyai bukti keselamatan dan keberkesanan boleh diterima sebagai pelengkap kepada rawatan konvensional. Inilah konsep integrative medicine atau perubatan integratif. Namun, ia bukan lesen untuk menerima semua dakwaan perubatan alternatif tanpa bukti, apatah lagi menggantikan rawatan yang terbukti berkesan dengan kaedah yang belum teruji.
MENGAPA ISTILAH "ROOT CAUSE" ITU MENARIK ORANG RAMAI
Mengapa istilah "root cause" begitu mudah menarik perhatian orang ramai? Jawapannya ialah istilah ini memberikan gambaran kononnya mereka menawarkan penyelesaian kepada punca sebenar penyakit, bukannya sekadar mengawal simptom. Ditambah pula dengan penekanan terhadap makanan dan suplemen yang dianggap semula jadi, ia mudah mencetuskan emosi, harapan dan keterujaan orang yang sedang mencari penawar. Dari sudut perniagaan, produk makanan dan suplemen juga mempunyai potensi pasaran yang luas, kos pembangunan dan pemasaran yang boleh disesuaikan serta laluan pendaftaran yang berbeza dan lazimnya kurang ketat berbanding ubat-ubatan. Produk dalam kategori ini tidak semestinya perlu membuktikan keberkesanan merawat penyakit seperti yang diwajibkan bagi ubat. Gabungan faktor emosi, permintaan pasaran dan potensi keuntungan inilah yang menjadikan bidang ini sangat menarik secara komersial. Namun, sesuatu produk yang mudah dipasarkan tidak semestinya terbukti berkesan, dan sesuatu yang laris dijual tidak semestinya mempunyai nilai terapeutik.

Mereka yang mencipta istilah "root cause" dan mereka sendiri yang mendakwa boleh menanganinya, dengan cara mereka? Dengan diet, gayahidup, produk makanan dan suplemen. Diet dan gayahidup itu bukan asing kepada pengamal perubatan moden, tetapi mereka menggantikan kaedah rawatan moden dengan produk makanan dan suplemen yang memberi pulangan besar dalam perniagaan dengan prinsip "cuba dulu, bukti kemudian".
KESIMPULAN
Jangan terpesona dengan pengamal yang mendakwa mereka sahaja memahami root cause, sedangkan doktor perubatan kononnya hanya tahu memberikan ubat. Dalam perubatan, siapa yang membuat dakwaan bukan perkara paling penting, tetapi sejauh mana dakwaan itu disokong oleh bukti. Makanan, pemakanan dan gaya hidup memang mempunyai peranan besar dalam kesihatan, tetapi ia bukan pengganti kepada semua rawatan perubatan. Kita tidak sepatutnya menolak sesuatu kaedah hanya kerana ia datang daripada perubatan moden, atau menerimanya hanya kerana ia dilabel sebagai semula jadi dan alternatif.
Perubatan yang baik bukan tentang siapa paling pandai bercakap tentang punca penyakit, tetapi siapa yang mampu membuktikan bahawa diagnosis dan rawatannya benar-benar membantu pesakit. Jangan jadikan istilah root cause sebagai alat pemasaran untuk menjual harapan kepada orang yang sedang sakit.

Dato' Dr.Rushdan Noor
24hb Nov 2026

No comments:

Post a Comment