Thursday, 12 November 2026

MENURUNKAN KOLESTEROL DARAH TIDAK MENJEJASKAN BEKALAN KOLESTEROL KE OTAK


MENURUNKAN KOLESTEROL DARAH TIDAK MENJEJASKAN BEKALAN KOLESTEROL KE OTAK

Kira-kira 25% daripada keseluruhan kolesterol dalam tubuh manusia berada di dalam otak.

Kolesterol memainkan peranan penting dalam memastikan otak berfungsi dengan baik. Antaranya ialah membentuk membran sel saraf, membantu hubungan antara neuron melalui sinaps dan menghasilkan lapisan mielin yang melindungi serabut saraf.

Namun, ada satu perkara yang sering terlepas pandang. Otak sebenarnya menghasilkan hampir keseluruhan kolesterol yang diperlukan untuk kegunaannya sendiri.

Kolesterol LDL yang beredar dalam aliran darah pula tidak mudah menembusi blood–brain barrier (penghalang darah-otak). Oleh itu, penurunan paras LDL dalam darah tidak bermakna otak akan kekurangan kolesterol untuk menjalankan fungsinya.

Sebaliknya, manfaat menurunkan LDL terhadap kesihatan kardiovaskular (jantung) telah dibuktikan melalui pelbagai kajian yang kukuh. Ia membantu mengurangkan risiko serangan jantung dan strok (angin ahmar)

BAGAIMANA PULA DENGAN KESAN PENURUNAN LDL TERHADAP FUNGSI OTAK DAN RISIKO DEMENTIA ?

Satu meta-analisis yang diterbitkan pada tahun 2025, melibatkan lebih 7.7 juta individu, mendapati penggunaan statin yang mengurangkan kolesterol  LDL dikaitkan dengan pengurangan risiko:

* 14% untuk demensia.

* 18% untuk penyakit Alzheimer.

Suruhanjaya Lancet 2024 juga menyenaraikan paras kolesterol LDL yang tinggi pada usia pertengahan sebagai salah satu faktor risiko demensia yang berpotensi diubah suai.

Satu lagi perkara yang meyakinkan ialah dapatan daripada kajian klinikal rawak. Setakat ini, kajian-kajian tersebut tidak menemukan bukti kukuh bahawa penurunan LDL secara intensif menjejaskan fungsi kognitif atau keupayaan seseorang untuk berfikir.

Walaupun begitu, kita tidak boleh membuat kesimpulan secara berlebihan. Belum ada bukti muktamad bahawa penurunan LDL secara langsung dapat mencegah demensia. Hubungan antara penggunaan statin dengan pengurangan risiko demensia juga tidak semestinya membuktikan hubungan sebab dan akibat.

STATIN BOLEH MENEMBUSI BLOOD-BRAIN BARRIER. ADAKAH IA MEROSAKKAN OTAK?

Lebih penting, kenyataan saintifik American Heart Association (AHA) pada 2023, yang menilai pelbagai bukti termasuk kajian rawak terkawal, tidak menemukan bukti bahawa penurunan LDL secara agresif meningkatkan risiko demensia atau kemerosotan kognitif. Meta-analisis 22 kajian rawak terkawal yang melibatkan 117,781 peserta juga tidak menemukan peningkatan gangguan kognitif akibat rawatan penurun lipid. 

Inilah salah satu prinsip penting dalam sains perubatan: PLAUSIBILITI BIOLOGI BUKAN BUKTI KLINIKAL. Sesuatu mekanisme yang kelihatan munasabah di peringkat biologi mesti diuji melalui kajian klinikal untuk menentukan sama ada kesan tersebut benar-benar berlaku dan bermakna kepada pesakit. Dalam perubatan, keputusan rawatan sepatutnya berpandukan keseluruhan bukti klinikal yang terbaik, bukan andaian teori semata-mata.

KESIMPULAN

Memang benar otak memerlukan kolesterol untuk berfungsi dengan baik. Tetapi keperluan tersebut bukan alasan untuk mengekalkan paras LDL yang tinggi dalam darah.

Otak mempunyai sistem tersendiri untuk menghasilkan kolesterol yang diperlukan agar sentiasa mencukupi walaupun ada perubahan bacaan kolesterol dalam darah. Kolesterol LDL yang beredar dalam darah bukan sumber utama bekalan kolesterol kepada otak.

Justeru, kebimbangan bahawa rawatan menurunkan kolesterol darah, termasuk penggunaan statin, akan menyebabkan otak kekurangan kolesterol tidak disokong oleh bukti saintifik semasa.

Kita tidak sepatutnya mengorbankan manfaat menurunkan risiko penyakit kardiovaskular dan strok hanya kerana salah faham tentang keperluan kolesterol oleh otak.

Dato' Dr.Rushdan Noor

12hb Nov 2026

RUJUKAN

1.Giugliano RP, et al. N Engl J Med. 2017;377:633–643.

2. Reddin C, et al. Age Ageing. 2025;54:afaf219.

3. Livingston G, et al. Lancet. 2024;404:572–628.

4. Westphal Filho FL, et al. Alzheimers Dement (N Y). 2025;11:e70039.

5. Giugliano RP et al. NEJM. 2017;377:633–643. 

6. Goldstein LB et al. AHA Scientific Statement. 2023. Aggressive LDL-C Lowering and the Brain

7. Long-Term Cognitive Safety of Achieving Very Low LDL Cholesterol with Evolocumab. J Am Coll Cardiol. 2025. Kajian susulan jangka panjang⁠.

8. Adhikari A, et al. Association between statin use and cognitive function: A systematic review of randomized clinical trials and observational studies. J Clin Lipidol. 2021. Kajian sistematik⁠.



No comments:

Post a Comment