Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Kira-kira
97% daripada air di bumi adalah air masin, manakala hanya 3% sahaja merupakan
air tawar. Air tawar digunakan oleh manusia untuk pelbagai kegunaan. Terdapat
empat sumber air untuk kegunaan manusia iaitu air hujan, air larian di
permukaan (sungai, parit, laut), air dalam tanah dan air dari proses perwapan.
Di Semenanjung Malaysia, 50% dari sumber air datangnya dari air hujan daripada
sejumlah 640 billion meter padu air yang dihasilkan di dalam satu tahun.
Daripada
3% air tawar yang terdapat di bumi, dua pertiga daripadanya adalah di dalam
bentuk ais, manakala bakinya adalah air dalam tanah dan hanya sebahagian kecil
sahaja air permukaan.Terdapat banyak kegunaan air dan di antaranya adalah untuk
penggunaan di rumah, pertanian, perindustrian dan ada juga air digunakan untuk
tujuan rekreasi. Hanya 1% sahaja air yang terdapat di bumi ini boleh diminum.
Terdapat
dua jenis air yang boleh digunakan untuk minum iaitu air mentah dan air yang
dirawat. Air mentah adalah air tawar yang terdapat secara semulajadi seperti
air hujan, air sungai, air tasik dan air di dalam tanah. Manakala air yang
dirawat adalah air yang diperolehi dari sumber air mentah tetapi menjalani
rawatan tertentu untuk menjadikannya selamat digunakan oleh manusia samada
untuk kegunaan di bilik air, ditandas, untuk tujuan memasak makanan ataupun
untuk tujuan diminum.
AIR MENTAH
Air
mentah merupakan sumber air yang paling besar digunakan oleh manusia untuk
tujuan memenuhi keperluan hidup mereka terutamanya di negara-negara mundur dan
membangun. Untuk tujuan minum, air mentah ini akan dididihkan bagi membunuh
organisme yang terdapat di dalamnya. Air mentah juga digunakan di dalam industry
pembinaan, penternakan dan juga untuk tujuan pembersihan. Komposisi air mentah
berbeza-beza bergantung kepada sumber daripada mana ianya diperolehi. Di antara
bahan-bahan yang terdapat di dalam air mentah adalah :
1. Asid humik, iaitu asid komplek yang
dihasilkan dari penguraian tumbuh-tumbuhan, asid ini menyebabkan air menjadi
berwarna.
2. Bahan mineral seperti karbonat,
kalsium dan magnesium. Air yang mengandungi tinggi bahan-bahan mineral ini
dikenali sebagai air keras (hard water), air keras boleh diminum tetapi kurang sesuai
digunakan di dalam alat industry disebabkan oleh pemendapan kapur yang
dihasilkan oleh mineral kalsium dan karbonat. Air mentah yang mengandungi
kurang mineral pula dikenali sebagai “soft water”.
3. Bahan dari tanah liat dan pasir
4. Mikroorganisme seperti bakteria, virus
dan protozoa
5. Molekul oksigen yang terlarut
6. Garam di dalam air mentah boleh
diperolehi apabila berlaku pertemuan di antara air laut dan air sungai.
Kandungan garamnya tidak sebanyak air laut.
AIR YANG DIRAWAT
Air
yang dirawat adalah air yang telah menjalani proses pembersihan dari
bahan-bahan pencemar untuk tujuan digunakan oleh manusia termasuk minum. Sumber
air yang dirawat ini mungkin dari air mentah ataupun air yang telah digunakan
oleh manusia. Air yang telah digunakan oleh manusia dikenali sebagai air sisa
atau kumbahan. Di setengah negara seperti Singapura, air kumbahan dirawat dan
dikitar semula supaya boleh digunakan untuk minum, melalui program yang
dikenali sebagai NEWater. Di Malaysia, disebabkan oleh sumber air yang
mencukupi, mungkin belum sampai ke tahap seperti di Singapura. Bahan-bahan yang
dikeluarkan semasa proses rawatan ini adalah seperti bahan pepejal, bakteria,
algae, virus, kulat, bahan-bahan mineral tertentu seperti besi dan manganese.
Proses merawat air boleh dilakukan dengan pelbagai cara dan ianya terbahagi
kepada kaedah mekanikal, kaedah fizikal, kaedah biological dan juga kaedah
kimia.
PROSES RAWATAN AIR
Untuk
tujuan penggunaan air di rumah, proses rawatan air ini dilakukan di loji
rawatan air. Proses rawatan air ini terdiri dari beberapa peringkat:
1.
Penyaringan
Serpihan kayu, daun, tumbuhan akuatik
dan bendasing yang terapung akan diasingkan melalui proses penyaringan. Selepas
melalui proses penyaringan ini, bahan terampai yang lebih padat akan dibuang
dengan membenarkan air mengalir melalui kebuk yang akan memendapkan bahan ini
di dasar.
2.
Proses Pengudaraan
Air
mentah yang dipam akan dicampurkan dengan udara di ruang pengudaraan. Proses
ini menghasilkan oksigen dari atmosfera untuk melakukan pengoksidan ke atas
besi dan manganese. Besi dan manganese yang asalnya larut di dalam air akan
menjadi tidak larut akibat dari pengoksidan ini dan ianya akan dapat
disingkirkan. Proses pengudaraan ini juga dapat membuang rasa dan bau air yang
tidak menyenangkan.
3.
Proses koagulasi dan flokulasi
Koagulasi
bermaksud pengetulan, manakala flokulasi pula bermaksud pengumpalan. Proses ini
seringkali menggunakan tawas. Hasilnya adalah pembentukan kentalan (ekstrak)
yang boleh mendap.
4.
Sedimentasi
Sedimentasi
bermaksud pemendapan. Kentalan yang mendap tadi akan dibenarkan mengalir
melalui tangki sedimentasi untuk tempoh
yang panjang supaya pemendapan berlaku dengan sempurna. Air yang jernih akan
berkumpul di bahagian atas. Terdapat juga kentalan yang ringan dan tidak mendap
sebaliknya terapung. Kentalan ini akan melalui proses yang berbeza iaitu
menggunakan gelembung udara untuk mengapungkannya dan air di bahagian bawah
menjadi jernih.
5.
Proses Penapisan
Proses ini
akan memisahkan mendapan dari air bersih. Air yang bersih kemudiannya akan
memasuki tangka air jernih. Penapis akan dicuci menggunakan kaedah backwash
dengan kerap melalui kombinasi adunan udara dan air bagi memastikan kelancaran
proses.
6.
Proses Disinfeksi dan Pelarasan pH
Air di
dalam tangka jernih akan disinfeksi bagi menghapuskan mikroorganisma yang masih
tertinggal di dalam air selepas proses penapisan. Klorin bergas ataupun kompoun
klorin lazimnya digunakan untuk tujuan pembasmian kuman. Paras pH diselaraskan
menggunakan kapur ataupun bikarbonat.
7.
Proses fluoridasi
Proses
ini adalah mencampurkan air bersih dengan bahan kimia sodium fluoride untuk
tujuan membekalkan air dengan kandungan fluorida. Fluorida adalah untuk
membantu menjaga kebersihan gigi dan mencegah kaviti pada gigi kanak-kanak. Walaubagaimanapun,
kandungan fluorida di dalam air perlu dipantau agar tidak melebihi paras yang
telah ditetapkan oleh Drinking
Water Quality Standard for Malaysia bagi mengelakkan risiko
fluorosis dikalangan kanak-kanak. Paras kandungan fluorida yang dibenarkan di
dalam air minum adalah 0.4 – 0.6 mg/l
8.
Tangki Air Jernih
Proses
Disinfeksi dan penyelarasan pH merupakan proses terakhir hingga menghasilkan
air yang dirawat. Air ini kemudiannya akan disimpan di dalam tangka air jernih
bagi tujuan pengagihan.
9.
Pengagihan Air
Pengagihan
air akan bermula dari tangka air jernih di loji rawatan air. Air dari tangki air
jernih ini akan dipam melalui sistem saluran yang panjang bagi mengimbangi
takungan dengan ketinggian yang mencukupi untuk tujuan pengagihan menggunakan
tekanan gravity. Melalui kaedah ini, air akan disalurkan kepada tangka-tangki air
pengguna.
PEMANTAUAN AIR YANG
DIRAWAT
Proses
pemantauan air yang dirawat dilakukan di bawah Program Pemantauan Kualiti Air
minum. Garispanduan pemantauan ini dikeluarkan oleh Unit Kawalan Mutu Air Minum
Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan, Kementerian Kesihatan Malaysia. Garispanduan
ini berdasarkan kepada piawaian yang dikeluarkan oleh WHO dan merupakan
standard kualiti air yang selamat diminum, dirumus melalui perbincangan ahli
panel dari Jabatan kerjaraya, Jabatan Kimia dan Jabatan Alam Sekitar. Standard
kualiti air (Drinking Water Quality
Standard for Malaysia) untuk tujuan diminum telah ditetapkan dan
ianya meliputi ujian pH, suhu, warna, kandungan bahan organik, organisma,
logam, bahan kimia, racun serangga dan lain-lain. Untuk melihat jadual Piawaian
ini sila ke laman web http://kmam.moh.gov.my/.
Manakala kaedah dan kekerapan pemantauan boleh diketahui di laman web ini http://engineering.moh.gov.my/v4/page.php?i=8.
Secara amnya ada 4 kumpulan pemantauan iaitu kumpulan 1 hingga 4. Contohnya
kumpulan 1 adalah pemantauan parameter fizikal dan mikrobiologi yang dijalankan
sekali setiap minggu di Basic Station dan setiap bulan di sistem agihan.
Pemantauan untuk kumpulan 1 ini dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Kumpulan 2 adalah parameter kimia inorganic, Kumpulan 3 : Parameter logam berat
dan kimia organic dan Kumpulan 4 parameter pestisid. Kumpulan 2-4 dipantau oleh
Jabatan Kimia. Sampel air untuk mengukur bahan radioaktif juga dilakukan oleh
Agensi Nuklear Malaysia.
KUALITI BEKALAN AIR PAIP
Air
yang telah menjalani proses rawatan akan sampai ke dalam rumah pengguna melalui
saluran paip. Ramai yang bertanya adakah air dari bekalan paip awam ini selamat
untuk diminum tanpa perlu melalui proses rawatan tambahan seperti menggunakan
alat penapis air. Berikut adalah petikan jawapan yang diberikan oleh Bahagian
Perkhidmatan Kejuruteraan, KKM:
“Bekalan air awam telah melalui suatu proses
rawatan yang ketat mengikut fasa-fasa rawatan yang ditetapkan hingga dapat
mencapai piawaian yang dikehendaki. Fasa-fasa proses rawatan yang asas adalah
bermula dengan rawatan Pengudaraan, Flokulasi dan Kogulasi, Pemendapan,
Penapisan, Pembetulan pH (jika perlu), Flouridasi dan Pengklorinan. Proses
rawatan tersebut terbukti dapat menyah-lupus semua unsur-unsur yang tidak
dikehendaki pada air minum. Kawalan kualiti pula dijalankan pada peringkat
akhir proses rawatan sebelum pengagihan bekalan air dilakukan manakala
pemantauan secara rutin dan berkala dilaksanakan disepanjang rangkaian sistem bekalan
air sebelum diterima oleh pengguna. Dengan itu bekalan air yang dibekalkan
daripada bekalan paip air awam adalah selamat untuk diminum tanpa perlu melalui
apa-apa proses selanjutnya”.
KLORIN DAN FLORIDA DI DALAM AIR YANG DIRAWAT
Klorin
adalah bahan kimia yang sering digunakan untuk membunuh banyak mikroorganisma.
Kandungan klorin di dalam air sentiasa dipantau supaya tidak melebihi had yang
dibenarkan. Klorin sangat berkesan membunuh bakteria tetapi tidak berkesan
membunuh protozoa. Klorin larut di dalam air dan membentuk asid hipoklorus yang
akan dipecahkan pula kepada ion hipoklorit, kedua-dua kompoun ini akan membunuh
mikroorganisma dan hasilnya, air akan bebas dari tercemar. Klorin pada kuantiti
yang tinggi boleh bertindakbalas dengan kompoun organik semulajadi untuk
menghasilkan bahan kimia yang boleh memudaratkan kesihatan iaitu
trihalomethanes dan haloacetic acids. Kesan kedua-dua bahan kimia ini ke atas
badan manusia khususnya sebagai penyebab penyakit kanser (kanser pundi kencing
dan usus) masih tidak disahkan. Malah banyak kajian menunjukkan bahawa meminum
air berklorin tidak memudaratkan kesihatan seperti yang diwar-warkan oleh
syarikat pengedar penapis. IARC (International Agency for Research of Cancer)
sendiri telah membuat analisa berkenaan dengan keselamatan penggunaan klorin di
dalam air dan mereka merumuskan bahasa tidak ada cukup bukti yang boleh
mengesahkan kaitan di antara klorin di dalam air dengan kanser samada kepada
manusia ataupun haiwan (rujuk di sini).
Banyak ujian yang dijalankan adalah menggunakan model haiwan. WHO menetapkan
had kandungan klorin di dalam air minum tidak lebih dari 5 mg per liter.
Kandungan klorin di dalam air yang dirawat di Malaysia juga mengikut garispanduan
dari WHO ini iaitu dari 0.2 – 5.0 mg/liter.
Florida
pula digunakan untuk tujuan kesihatan gigi. Proses merawat air dengan florida
dinamakan “water fluoridation” (WF). Sebenarnya florida ini boleh diperolehi
dari alam semulajadi, malah di dalam air mentah, udara dan tanah mengandungi
florida. Sebenarnya hampir semua jenis air mengandungi florida secara
semulajadi. Di Amerika Syarikat, proses WF ini mula diperkenalkan semenjak
tahun 1945 lagi apabila pakar sains mendapati penduduk yang tinggal di kawasan
yang tinggi kandungan florida di dalam air minuman mereka jarang mendapat
kerosakan gigi. Kandungan maksimum florida yang dibenarkan untuk tujuan minum
di Amerika adalah 4.0 mg/L. Ada yang
menetapkan tahap maksimum yang lebih rendah. Di Malaysia, KKM telah menetapkan
had kandungan florida di dalam air mentah kepada 1.5 mg/L dan air minum 0.4-0.6
mg/L.
Pendedahan air yang tinggi kandungan florida untuk jangkamasa panjang boleh menyebabkan
masalah tulang dan sendi dinamakan skeletal fluorosis (tulang menjadi lemah).
Kaitan di antara florida dan kanser tulang belum dapat disahkan kerana hasil
kajian masih belum meyakinkan walaupun ada sedikit bukti melalui kajian ke atas
tikus. Lebih 50 kajian populasi telah dijalankan untuk melihat kaitan di antara
florida dan kanser, tetapi kajian-kajian ini tidak menunjukkan sebarang bukti
kukuh bahawa florida boleh menyebabkan kanser tulang.Kanser tulang sangat
jarang berlaku dan tidak mungkin untuk dapat dibuktikan bahawa penggunaan
florida boleh menyebabkan kanser tulang kerana memerlukan sampel kajian yang
sangat besar dan perlu menolak faktor-faktor lain yang juga mungkin
bertanggungjawab. Malah banyak badan-badan antarabangsa seperti National
Research Council, National Health Service UK,
IARC, US Public Health Service dan European Scientific Committee on
Health and Environmental Risks telah membuat kenyataan bahawa setakat ini tidak
ada kaitan di antara pengambilan florida dengan kadar kejadian kanser tulang,
kanser tiroid dan lain-lain kanser.
BAGAIMANA MENGUJI KEBERSIHAN AIR
Mengambil air yang bersih adalah salah satu amalan yang sangat baik untuk menjaga kesihatan badan anda. Seperti yang anda ketahui, air yang sampai ke dalam rumah anda sudah melalui proses rawatan dan kerajaan menjamin bahawa air itu selamat digunakan termasuk untuk tujuan meminum. Walaupun jaminan diberi dan anda mengetahui bagaimana air dirawat, ramai dalam kalangan anda tentu masih merasa ragu-ragu. Berikut adalah beberapa kaedah bagaimana anda dapat menguji kebersihan air di rumah anda (baca di sini mengenai jenis pencemaran air):
1. Rupa
fizikal air. Air yang
jernih selalunya bermaksud air yang bersih, manakala air yang keruh ataupun
berwarna mungkin disebabkan oleh pencemaran akibat benda-asing ataupun organisma.
Kaedah ini tidaklah begitu tepat tetapi sekurang-kurangnya dapat memberi
sedikit maklumat mengenai kebersihan air. Ambil satu gelas air dan lihat air
itu pada arah cahaya lampu ataupun matahari, perhatikan jika ada partikel yang
mendap ataupun kekeruhan.
2. Bau
dan rasa air.
Air
yang berbau busuk ataupun tidak menyenangkan mungkin disebabkan oleh
pencemaran
terutamanya pencemaran bahan organik disebabkan oleh penguraian
organisma
ataupun tumbuhan yang mati. Bau busuk juga boleh disebabkkan oleh
kandungan
sulfur di dalam air yang wujuk secara semulajadi. Air yang berbau klorin
adalah
perkara biasa dan tidak perlu dirisaukan melainkan jika ianya terlalu
kuat. Air yang tercemar boleh menyebabkan rasa air tidak menyenangkan
seperti rasa sabun, terlalu payau dan lain-lain. Rasa sabun mungkin
disebabkan oleh air terlalu beralkali dan terlalu payau mungkin
disebabkan kandungan mineral garam yang tinggi.
3. Kaedah
objektif mengukur kebersihan air
adalah dengan kaedah ujian makmal. Ujian makmal yang dilakukan oleh badan yang
bertanggungjawab merawat air yang sampai ke rumah kita adalah yang paling ideal
sebab mereka memeriksa berpuluh-puluh jenis bahan pencemaran yang mungkin ada
di dalam air termasuk kandungan organisma, racun serangga, bahan mineral, logam
dan lain-lain.Walau
bagaimanapun bagi orang awam, terdapat alat pengukur yang lebih ringkas boleh
digunakan dirumah. Alat pengukur ini dapat mengukur pH, kandungan klorin,
nitrat, mineral dan logam seperti besi, tembaga dan pelumbum. Ianya juga dapat
menguji kekerasan air (hardness of water). Air yang keras (hard water)
mengandungi kandungan mineral dan logam yang tinggi. Contoh kit ujian yang
boleh digunakan untuk menguji air di rumah adalah Watersafe kit yang boleh
menguji 4 pencemar iaitu kehadiran bakteria, racun serangga (pesticide), Nirat
dan jumlah klorin. Untuk mengetahui bagaimana menggunakan kit ini, boleh layari
video youtube ini (https://youtu.be/HEhXsaL0Vh0)
4. Menghubungi pembekal air setempat dan
dapatkan maklumat kebersihan air di rumah anda. Mereka tentu menyimpan bacaan
ataupun keputusan proses pemantauan air yang mereka lakukan secara berkala. Ini
adalah tanggungjawab mereka. Ujian kebersihan dan pencemaran air adalah
terletak di bawah tanggungjawab Jabatan Kimia Malaysia, Kementerian Sains,
Teknologi dan Inovasi.
5. Mendapatkan ujian air dari Makmal Profesional. Kaedah ini memerlukan perbelanjaan sendiri
dan saya tidak pasti samada ada makmal yang menyediakan perkhidmatan ini di
Malaysia. Tetapi di luar negara, perkhidmatan professional ini memang ada dan
digunakan oleh orang ramai. Malah sampel air yang diambil boleh diposkan kepada
makmal berkenaan untuk analisa.
Rujukan
http://www.saj.com.my/V2/ContentBM.php?menu_parent_id=2&content_id=87
http://www.kimia.gov.my/%20index.php?option=com_content&view=article&id=137