Tidak dapat dinafikan bahawa fungsi organ di dalam badan kita
boleh dipengaruhi oleh pH yakni samada asid, neutral ataupun alkali. Nilai pH
bermula daripada 0 hingga 14. Neutral adalah apabila pH bernilai 7. Asid adalah
apabila pH kurang daripada 7, lagi kurang nilai pH, semakin tinggi keasidannya.
Manakala alkali pula jika pH lebih daripada 7, lagi tinggi nilai pH lagi tinggi
kealkaliannya.
Nilai pH anggota badan kita berbeza-beza mengikut fungsi
tisu/organ yang berkenaan. Nilai pH darah adalah di antara 7.35–7.45, manakala
pH cecair di dalam perut adalah 1.5-3.5. Begitu juga jika kita mengukur pH sel,
terdapat perbezaan pH antara sel-sel yang berbeza. Umumnya pH di dalam sel
adalah di antara 7.0-7.4, tetapi sel otot mempunyai pH yang lebih rendah iaitu
di antara 6.8-7.1. Jika kita mengambil satu sel, kita dapati pH organ-organ
kecil di dalam sel yang dinamakan organel juga berbeza. Salah satu organel yang
terdapat di dalam sel adalah lysosomes yang lebih berasid iaitu mempunyai nilai
pH 5. Begitu juga persekitaran di dalam faraj seorang wanita juga berasid
mempunyai pH bernilai 4.5-6.0. Kesemua nilai pH ini berperanan di dalam
mengekalkan metabolisma, fungsi organ dan kesihatan di bahagian badan yang
berkenaan. Perubahan pH di mana-mana tempat yang dinyatakan di atas akan
mengganggu metabolisma dan fungsi tisu2/organ2 di tempat tersebut.
Daripada maklumat mengenai nilai pH yang saya nyatakan di atas,
jelas menunjukkan bahawa KEDUA-DUA PERSEKITARAN ASID DAN ALKALI DIPERLUKAN
UNTUK FUNGSI TISU/ORGAN YANG NORMAL. Nilai pH ini khususnya pH darah
dipertahankan supaya ianya kekal di dalam julat yang dinyatakan. Manusia tidak
boleh hidup jika pH darahnya lebih rendah ataupun lebih tinggi daripada julat
yang saya nyatakan di atas (7.35-7.45). Begitu jugalah nilai pH di
tempat-tempat lain anggota badan anda. Apabila pH darah lebih daripada normal
ia dikenali sebagai alkalosis dan jika kurang daripada normal dikenali sebagai
asidosis. Kedua2 alkalosis dan asidosis akan memudaratkan kesihatan sehingga
boleh membawa maut.
Jadi apakah yang mempertahankan nilai pH tersebut supaya ianya
kekal di dalam julat yang normal. Di samping terdapat mekanisma setempat yang
mengawal pH dikenali sebagai "buffer system", dua organ yang paling
penting di dalam mengawal pH darah adalah BUAH PINGGANG dan PARU-PARU. Buah
pinggang, paru2 dan "buffer system" adalah sistem semulajadi yang
sangat cekap mengawal pH di dalam badan manusia.
Sistem kawalan pH ini sebenarnya sangat kompleks untuk difahami
oleh orang awam jadi saya akan cuba terangkan seringkas mungkin. Untuk
mengekalkan pH di dalam julat yang normal, buah pinggang dan paru-paru akan
bertindak membuang asid berlebihan apabila ada faktor yang meningkatkan
keasidan. Kedua-dua organ ini juga akan mengeluarkan alkali yang berlebihan jika
ada factor yang meningkatkan kealkalian. Sistem keseimbangan asid-alkali ini
begitu cekap sehingga nilai pH darah dan lain-lain bahagian badan sentiasa
kekal pada julat yang normal. ANDA TIDAK PERLU MENGAMBIL APA2 PRODUK UNTUK
MENGAMBIL ALEH TUGAS SISTEM KESEIMBANGAN ASID-ALKALI SEMULAJADI YANG SANGAT
CEKAP INI.
MAKANAN BERALKALI, MAKANAN BERASID
Memang terdapat makanan yang menghasilkan asid dan ada yang
menghasilkan alkali selepas menjalani metabolisma di dalam badan. Jadi anda
bolehlah memanggil makanan tersebut berasid, neutral ataupun beralkali walaupun
ianya kurang tepat. Faktor yang menentukan keasidan dan kealkalian sesuatu
makanan bergantung kepada sebatian kimia dan nutrien yang terkandung di
dalamnya. Komponen yang menyebabkan sifat keasidan adalah protein, sulfur dan
fosfat. Manakala komponen makanan yang menyebabkan sifat kealkalian adalah
kalsium, magnesium dan potassium. Jadi keasidan dan kealkalian sesuatu makanan
bergantung kepada komponen mana yang lebih banyak.
Umumnya makanan yang berasid adalah daging, ayam, ikan, telur,
produk tenusu, madu dan bijirin. Makanan yang neutral pula adalah lemak
semulajadi, kanji dan gula. Manakala makanan beralkali adalah buah2an, sayuran
dan kekacang. Jangan lupa, air beralkali tentulah juga beralkali !!!
Apakah akan terjadi apabila anda mengambil makanan berasid
ataupun beralkali yang berlebihan? Jawapannya adalah tentu sistem semulajadi
yang mengawal pH akan bertindak untuk menstabilkan pH supaya ianya kekal normal
di dalam badan anda. Contohnya jika anda mengambil banyak makanan berasid, buah
pinggang akan mengeluarkan asid berlebihan dan air kencing anda jadi lebih
berasid. Begitu jugalah jika anda mengambil banyak makanan beralkali, maka pH
air kencing anda juga lebih tinggi kerana alkali yang berlebihan dibuang
melalui air kencing. Jadi pH air kencing BUKAN petunjuk pH darah kerana pH
darah sentiasa stabil, sedangkan pH air kencing boleh berubah. Di waktu yang
sama paru-paru anda juga berfungsi mengekalkan pH darah dengan mengawal keluar
masuk karbon dioksida yang dihempus dan disedut. Begitu juga "buffer
system" yang turut berfungsi lengkap melengkapi proses keseimbangan ini.
Pendek kata tubuh badan anda sangat cekap mengawal pH darah dan pH organ-organ
badan yang lain TIDAK KIRA apakah jenis makanan atau minuman yang anda ambil.
UKURAN KUALITI MAKANAN
Kualiti sesuatu makanan bukan dinilai daripada pH makanan
tersebut tetapi apakah nutrient yang terkandung di dalamnya. Buah-buahan dan
sayuran adalah makanan yang beralkali tetapi kebaikan mengambil makanan ini
bukan terletak kepada nilai pH tetapi disebabkan kandungan vitamin, mineral,
antioksidan, air dan serat. Begitu juga daging yang walaupun berasid tetapi
diperlukan sebagai sumber protein yang berkualiti tinggi untuk tenaga,
pengangkut, membaikpulih tisu yg rosak dan lain2. Daging juga membekalkan
lemak, mineral dan vitamin. Keburukan daging bukan disebabkan oleh sifat asid
tetapi disebabkan oleh kandungan kolesterol, lemak tepu, kaedah memasak (minyak
dan garam yg tinggi), apabila ianya diproses (daging proses) dan diambil dalam
kuantiti yang berlebihan.
KESIMPULAN
Kesimpulannya apabila anda mengambil makanan, ambillah yang
seimbang dalam kuantiti yang sederhana mengandungi semua makronutrien dan
mikronutrien tak kira apakah tahap kealkalian ataupun keasidannya. Mengambil
banyak buah2an dan sayuran adalah juga salah satu tabiat makan yang baik. Anda
tidak perlu pening memikirkan samada makanan itu berasid ataupun beralkali
kerana jika anda berpegang kepada prinsip makanan seimbang yang betul, anda
akan sihat. Sebaliknya jika anda cuba mengambil makanan yang hanya terdiri
daripada satu kumpulan sahaja, maka anda bakal mengalami masalah kesihatan
akibat mengambil makanan yang tidak seimbang. Jadi mulai saat ini semasa
memilih makanan, anda tidak perlu stres untuk mengetahui apakah makanan itu
berasid ataupun beralkali. Jangan memandang rendah keupayaan sistem
keseimbangan asid-alkali semulajadi yang sangat cekap di dalam badan anda.
Paling penting anda mengambil makanan seimbang, buah2an dan sayuran, cukup air,
lakukan senaman, tidak merokok, tidak minum alkohol dan kurangkan stres. Jangan
menghabiskan wang kepada produk2 yang berasaskan pH kononnya untuk menyihatkan
badan, mencegah ataupun kononnya boleh merawat penyakit. Allah menganugerahkan
kepada anda sistem keseimbangan asid-alkali semulajadi YANG PERCUMA.
Nota peringatan: MADU yang disebut keistimewaannya di dlm
Al-Quran mempunyai purata pH 3.9 (berasid).
Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor
Medical Mythbusters Malaysia
11 hb Jan 2019
https://www.healthline.com/nutrition/the-alkaline-diet-myth#what-it-is
https://honeybeesuite.com/how-acid-is-honey/
Assalamualaikum wbt
ReplyDeleteMaaf2 Dato Dr R, saya dah tershare this article sebelum terbaca nota kaki kat sini. Tolong maafkan dan halalkan article yang tershare tadi.
Anyway, it is a good arricle and the writing is very easy to understand bagi orang yang buta sains. Thank you.