Arabic gum juga dikenali sebagai Acacia gum kerana ianya diperolehi daripada batang dan ranting pokok Acacia. Terdapat beberapa spesis pokok Acacia, yang paling utama adalah pokok Acacia Senegal. Pokok ini ditemui dengan banyaknya di negara Sudan, merupakan pokok berduri dengan ketinggian lebih kurang 15 kaki. Terdapat banyak lagi nama lain yang digunakan selain daripada Arabic gum dan Acacia gum contohnya Acacia Arabica, Acacia Senegal, Acacia verek dan lain-lain lagi.
Arabic Gum ataupun cecair daripada pokok Acacia ini keluar daripada pokok apabila kulit pokoknya merekah semasa musim kemarau. Ia mengering dan membeku tetapi sangat larut di dalam air. Untuk tujuan komersial, cecair pokok acacia yang dikenali sebagai Arabic gum ini diperolehi dengan cara menoreh kulitnya. Arabic gum tidak mempunyai bau dan rasa, ia mengandungi gula yang neutral, asid, kalsium dan lain-lain mineral. Komponen dan ciri-ciri sebenar Arabic gum adalah kompleks dan sebab itulah kita akan mendapati terdapat banyak tulisan yang berbeza mengenai kandungan Arabic gum. Komponen yang paling utama di dalam Arabic gum adalah arabin, iaitu asid arabic polysaccharide, sejenis karbohidrat yang kompleks bercampur dengan garam kalsium, magnesium dan potasium. Ia adalah sedikit berasid ataupun neutral. Gum ini dibina daripada tulang belakang unit D-Galactopyranosyl dengan rantai sisi asid D-glucuronopyranosyl dan dihujungnya oleh unit L-rhamnopyranosyl ataupun L-arabinose. Pendek kata gum ini adalah terdiri daripada karbohidat yang kompleks bercampur dengan garam kalsium, magnesium dan potassium. Berat molekulnya dianggarkan di antara 200,000 hingga 600,000 dalton. Arabic gum sangat larut di dalam air tetapi tidak larut di dalam alkohol. Ia juga mengandungi protin. Terdapat banyak lagi ciri-ciri Arabic gum yang belum diketahui termasuk susunan asid amino yang terdapat di dalamnya. Ada yang melapurkan Arabic gum mengandungi 39-42% galaktosa, 24-27% arabinose, 12-16% rhamnose, 15-16% asid glukononik, 1.5-2.6% protin, 0.22-0.39% nitrogen dan 12.5-16.0% pelembap. Komposisi bahan kimia di dalam Arabic gum berbeza-beza mengikut punca, usia pokok, cuaca dan juga keadaan tanah tempat pokok Acacia itu tumbuh.
Arabic gum selamat dimakan tetapi tidak dihadamkan dan tidak boleh masuk ke dalam aliran darah. Arabic gum menjalani fermentasi oleh bakteria di dalam usus besar menghasilkan beberapa rantai pendek asid lemak, terutamanya asid propionik. Kedua-dua bentuk Arabic gum yang asal dan juga produk hasil daripada fermentasi bakteria mungkin bertanggungjawab memberi kesan positif ke atas kesihatan badan. Ianya dianggap sejenis serat dan semenjak tahun 1970 an lagi, FDA melabel Arabic gum ini sebagai sejenis serat yang selamat dimakan.
Terdapat banyak kegunaan Arabic gum di dalam pelbagai industri termasuk digunakan di dalam bidang Perubatan. Sekurang-kurangnya terdapat 3 gred Arabic gum yang terdapat di pasaran dan kualitinya ditentukan oleh warna, cuaca, tanah dan ciri-ciri cecair yang dikumpulkan. Arabic gum yang paling berkualiti adalah jika ianya diperolehi semasa musim kemarau apabila kulit pokok acacia merekah dan mengeluarkan cecair pokok.
KEGUNAAN PERUBATAN
Arabic gum telah lama digunakan di dalam pelbagai kegunaan harian dan juga salah satu amalan perubatan tradisional. Ada yang menggunakannya sebagai gam, bahan pemekat, pengemulsi (“imulsifier”), asas untuk membuat bahan pemegang ubat sapu, bahan perisa tambahan dalam makanan (“food addictive”), penstabil warna dalam cat, agen membuat filem mask muka dan lain-lain.
Salah satu manfaat Arabic gum adalah ciri-ciri prebiotik. Prebiotik adalah makanan kepada bacteria-bakteria yang baik di dalam usus manusia. Bakteria-bakteria yang baik ini dikenali sebagai Probiotik, jadi Prebiotik adalah makanan kepada probiotik. Kajian kecil yang dijalankan menunjukkan bahawa pengambilan Arabik gum sebanyak 10 gram sehari selama 4 minggu meningkatkan kandungan probiotik seperti Bifidobacteria, Lactobacteria dan Bacteroides. (1)
Kajian keatas haiwan dan sebilangan kecil manusia juga menunjukkan potensi Arabic gum untuk mengurangkan kolesterol, antikanser dan kesan antioksidan. (2,3)
Beberapa kajian kecil menunjukkan pengambilan Arabic gum sebanyak 30 gram sehari menurunkan kolesterol, LDL dan VLDL. Tidak ada kesan ke atas kolesterol jenis HDL dan trigliserida. Mekasnisma bagaimana Arabic gum menurunkan kandungan kolesterol tidak diketahui dengan jelas, berkemungkinan melalui ikatannya dengan asid bile dan mengurangkan penyerapan semula di usus kecil dan ini menyebabkan lebih banyak asid bile dikeluarkan melalui najis. Akibatnya lebih banyak kolesterol digunakan untuk menghasilkan asid bile. Terdapat beberapa lagi mekanisma yang dipercayai bertanggungjawab mengurangkan tahap kolesterol.
Kajian kecil juga menunjukkan bahawa Arabic gum mengurangkan gejala kegagalan buah pinggang ke atas manusia walaupun kajian lanjut perlu dijalankan untuk mengesahkan dakwaan ini (4,5,6). Pengurangan gejala penyakit buat pinggang bukanlah bermaksud buah pinggang yang gagal telah dapat dipulihkan tetapi kesan tidak langsung mengurangkan kandungan urea dan kreatinin di dalam darah melalui tindakan Arabic gum di dalam usus. Kajian ini juga telah dilakukan ke atas sebilangan pesakit dan memandangkan ia bukan kajian yang besar dan randomized control trial, dakwaan manfaat terhadap penyakit buah pinggang ini tidak dapat disahkan.(7)
Terdapat juga kajian ke atas haiwan yang menunjukkan bahawa Arabic gum melindungi buah pinggang ke atas pesakit kanser yang dirawat dengan cisplatin dan gemcitabine, mengurangkan kesan toksik jantung pesakit yang mengambil doxorubicin dan melindungi hati ke atas pesakit yang mengambil paracetamol. (8,9) Walau bagaimanapun ke semua kajian ini adalah kajian ke atas haiwan dan kajian semula oleh penyelidik lain tidak menunjukkan kesan yang sama.(10)
Kajian epidemiologi juga menunjukkan manfaat mengambil makanan berserat termasuk Arabic gum ke atas metabolisma lemak. Makanan berserat mempercepatkan rasa kenyang, mengubah indek glisemik makanan lain yang mempunyai indek glisemik yang tinggi, melambatkan proses pengosongan perut, kawalan hormon di dalam usus dan ini dipercayai boleh membantu mengurangkan berat badan.(11,12,13)
Kajian randomized placebo controlled trial telah dijalankan ke atas 120 orang wanita yang sihat oleh sekumpulan penyelidik untuk melihat manfaat pengambilan Arabic gum ke atas berat badan dan peratusan lemak badan. Kumpulan kajian mengambil Arabic Gum sebanyak 30 gram sehari selama 6 minggu. Pengambilan Arabic gum didapati menurunkan BMI dan juga peratusan lemak badan ke atas wanita-wanita sihat. Walau bagaimanapun penurunan berat badan yang berlaku hanyalah 1.24%. Kajian ini dianggap masih kecil dan penyelidik mencadangkan supaya kajian yang lebih besar dijalankan. (14)
Kesan Arabic gum ke atas gula darah belum dapat disahkan kerana kajian yang dijalankan adalah ke atas haiwan dan haiwan tersebut pula tidak menghidap diabetes. Kajian awal yang tidak dapat disahkan ada mengaitkan amalan mengunyah bola-bola getah Arabic gum dengan pengurangan plug pada gusi dan gigi.
Dos Arabic gum yang perlu diambil bergantung kepada beberapa faktor seperti usia, kesihatan dan lain-lain. Pada ketika ini belum terdapat cukup kajian saintifik yang dapat memberi maklumat mengenai apakah dos Arabic gum yang sesuai. Dengan sebab ini, pengamal Arabic gum perlu mendapatkan nasihat daripada Pakar Farmasi ataupun doktor jika ingin mengambil Arabic gum dalam jangkamasa panjang.
KESAN SAMPINGAN ARABIC GUM
Umumnya Arabic gum adalah selamat diambil, kesan sampingan jarang berlaku. FDA mengkategorikan Arabic gum sebagai “generally recognized as safe”. Terdapat lapuran kesan alahan ataupun hipersensitiviti ke atas Arabic gum di mana pengguna mengalami gatal kulit dan serangan asma. Jika diambil dengan banyak ia boleh menyebabkan loya, muntah, kembong perut, cirit, najis lembek dan penghasilan gas yang banyak di dalam usus (kembung perut). Disebabkan tidak ada data keselamatan Arabic gum diambil wanita hamil, bayi dan kanak-kanak, ketiga-tiga golongan ini tidak digalakkan mengambil Arabic gum. Kesan pengambilan Arabic gum oleh ibu yang menyusu juga tidak digalakkan di atas sebab yang sama. Terdapat bukti bahawa boleh berlaku interaksi Arabic gum dengan penyerapan ubat antibiotik Amoxicillin. Arabic gum boleh mencegah penyerapan ubat Amoxicillin dan mengurangkan kesan ubat antibiotik ini ke atas pesakit. Untuk mencegah kesan ini, disyorkan mengambil Arabic gum sekurang-kurangnya 4 jam sebelum Amoxicillin.
KESIMPULAN
Arabic gum ataupun Acacia gum adalah cecair yang diperolehi daripada batang dan ranting pokok Acacia Senegal yang banyak terdapat di Negara Afrika terutamanya di Sudan. Arabic gum adalah polysakarida yang mempunyai kandungan serat yang tinggi. Kesan manfaat daripada pengambilan Arabic gum ini adalah daripada ciri-ciri tinggi serat, mineral dan kandungan antioksidan. Arabic gum digunakan untuk pelbagai kegunaan sebagai bahan tambahan di dalam makanan, gula-gula getah, penambat ubat dan lain-lain. Di dalam bidang perubatan, banyak kajian dijalankan tetapi kajian tersebut adalah kecil dan banyak daripadanya adalah kajian ke atas haiwan. Kesan sebenar ke atas kesihatan belum dapat disahkan walaupun terdapat petunjuk yang ia mungkin boleh bertindak sebagai prebiotik, mengurangkan kolesterol, menurunkan berat badan dan menurunkan peratusan lemak badan. Semua potensi manfaat ini masih memerlukan kajian yang lebih besar untuk disahkan. Kesan manfaat ke atas buah pinggang, jantung dan hati hanya ditemui melalui kajian ke atas haiwan dan belum disahkan ke atas manusi. Setakat ini tidak ada bukti kukuh ia boleh merawat diabetes dan mencegah kanser. Arabic gum diakui selamat diambil oleh manusia dan ia tidak dihadamkan oleh usus tetapi menjalani proses fermentasi oleh bakteria di dalam usus besar. Walau bagaimanapun keselamatan ini hanya terjamin jika ianya tidak diambil berlebihan. Apa yang menjadi persoalan besar adalah apakah dos yang sesuai diambil samada untuk tujuan kesihatan ataupun untuk mencegah dos berlebihan. Kajian lanjut yang lebih besar perlu dijalankan untuk melihat kesan sebenar Arabic gum terhadap kesihatan manusia.
RUJUKAN
1. Calame W, Weseler AR, Viebke C, Flynn C, Siemensma AD. Gum Arabic establishes prebiotic functionality in healthy human volunteers in a dose-dependent manner. Br J Nutr. 2008;100(6):1269–1275. doi: 10.1017/S0007114508981447
2. Sharma RD. Hypocholesterolemic effect of gum acacia in men. Nutr Res. 1985;5(12):1321–1326. doi: 10.1016/S0271-5317(85)80042-7
3. Nasir O, Wang K, Föller M. et al. Downregulation of angiogenin transcript levels and inhibition of colonic carcinoma by Gum Arabic (Acacia senegal) Nutr Cancer. 2010;62(6):802–810. doi: 10.1080/01635581003605920
4. Ali BH, Al-Salam S, Al-Husseni I. et al. Effects of Gum Arabic in rats with adenine-induced chronic renal failure. Exp Biol Med (Maywood) 2010;235(3):373–382.,
5. Ali BH, Ziada A, Blunden G. Biological effects of Gum Arabic: a review of some recent research. Food Chem Toxicol. 2009;47(1):1–8,
6. Glover DA, Ushida K, Phillips AO, Riley SG. Acacia(sen) SUPERGUM™ (Gum Arabic): an evaluation of potential health benefits in human subjects. Food Hydrocolloids. 2009;23(8):2410–2415
7. Ali, A.A., Ali, K.E., Fadlalla, A., Khalid, K.E., 2008. The effects of G.A. oral treatment on the metabolic profile of chronic renal failure patients under regular haemodialysis in Central Sudan. Nat. Prod. Res. 22, 12–21
8. Al-Majed, A.A., Mostafa, A.M., Al-Rikabi, A.C., Al-Shabanah, O.A., 2002. Protective effects of oral arabic gum administration on gentamicin-induced nephrotoxicity in rats. Pharmacol. Res. 46, 445–451
9. Abd-Allah, A.R., Al-Majed, A.A., Mostafa, A.M., Al-Shabanah, O.A., Din, A.G., Nagi,M.N., 2002. Protective effect of arabic gum against cardiotoxicity induced by doxorubicin in mice: a possible mechanism of protection. J. Biochem. Mol.Toxicol. 16, 254–259
10. Al-Majed, A.A., Abd-Allah, A.R., Al-Rikabi, A.C., Al-Shabanah, O.A., Mostafa, A.M., 2003. Effect of oral administration of Arabic gum on cisplatin-induced nephrotoxicity in rats. J. Biochem. Mol. Toxicol. 17, 146–153)
11. Ali BH, Ziada A, Blunden G. Biological effects of Gum Arabic: a review of some recent research. Food Chem Toxicol. 2009;47(1):1–8,
12. Glover DA, Ushida K, Phillips AO, Riley SG. Acacia(sen) SUPERGUM™ (Gum Arabic): an evaluation of potential health benefits in human subjects. Food Hydrocolloids. 2009;23(8):2410–2415
13. Slavin J. Why whole grains are protective: biological mechanisms. Proc Nutr Soc. 2003;62(1):129–134
14. Babiker R, Merghani TH, Elmusharaf K, et al. Effects of gum Arabic ingestion on body mass index and body fat percentage in healthy adult females: two-arm randomized, placebo controlled, double-blind trial. Nutr. J , 2012;11:111).
15. Ali BH, Ziada A, Blunden. Review: Biological effects of gum arabic: A review of some recent research. Food and Chemical Toxicology, 2009; 47:1-8.
No comments:
Post a Comment