Thursday 20 August 2020

BUMI VERSUS MARIKH : BOLEHKAH MARIKH MENAMPUNG KEHIDUPAN MANUSIA


Masa yang diperlukan untuk sampai ke planet Marikh dengan roket adalah selama 7 bulan. NASA baru sahaja melancarkan roket dari bumi membawa kenderaan robotik bernama Preserverence Rover untuk menerokai dan mengambil sampel dari planet Marikh. Sebelum ini, mereka menghantar Curiosity Rover yang sudah berada di sana selama lebih 7 bulan. Kalau kita menonton video rakaman planet marikh di bawah (diambil oleh Curiosity Rover), seolah-olah manusia boleh hidup di sana kerana terdapat kawasan di bumi yang kelihatan seperti itu. Apakah akan terjadi kepada manusia apabila mereka mendarat di planet Marikh dan keluar daripada kapal angkasa tanpa memakai pakaian angkasa lepas. Kita lihat dahulu perbezaan antara Bumi dan Marikh.



  Video permukaan Marikh

1. SAIZ: Bumi dua kali ganda lebih besar dari Marikh


2. GRAVITI: Marikh mempunyai graviti yang lebih rendah (38%) daripada graviti Bumi. Jika berat badan anda 100 kg di bumi, berat badan anda adalah 38kg di Marikh.


3. ORBIT : 1 tahun di bumi 365 hari, 1 tahun di Marikh 687 hari bumi (earth days)


4. KETUMPATAN (DENSITY): Ketumpatan Marikh hanya 70% daripada ketumpatan Bumi. Sebanyak 6 planet Marikh boleh mengisi isipadu 1 Bumi.


5. STRUKTUR PERMUKAAN :
a. BUMI: 70% permukaan bumi diliputi oleh air.
b. MARIKH: Permukaan Marikh adalah kering, berhabuk dan diliputi oleh kekotoran yang kaya dengan ferous oxide (karat) menyebabkan ianya kelihatan kemerahan.


6. ATMOSFERA:
a. BUMI: Bumi mempunyai atmosfera yang lebih padat berbanding dengan Marikh. Atmosfera bumi mengandungi 78% nitrogen, 21% oksigen dan sedikit wap air, karbon dioksida dan molekul gas.
b. MARIKH: Marikh pula mengandungi 96% karbon dioksida, gas Argon 1.93% dan nitrogen 1.89% dengan sedikit oksigen dan wap air.


7. SUHU:
a. BUMI: Purata suhu di permukaan bumi adalah 14 degree selsius (julat 70.7 darjah selsius hingga -129 darjah selsius). Bumi mempunya atmosfera yang lebih padat kaya dengan oksigen dan wap air, umumnya lebih panas dan lebih sesuai untuk hidup
b. MARIKH: Disebabkan oleh atmosfera yang jauh lebih nipis dan jarah yang lebih jauh daripada matahari, purata suhu permukaan Marikh adalah -46 darjah selsius (julat -143 darjah selsius hingga 35 darjah selsius). Marikh sangat sejuk, tapi boleh menjadi panas pada masa dan tempat tertentu, ia sangat kering dan berdebu.


8. BIDANG MAGNETIK (MAGNETIC FIELD):
a. Bumi mempunyai bidang magnetik yang unik dihasilkan oleh pergerakan struktur di pusat bumi. Bidang magnetik ini penting untuk melindungi kehidupan di bumi kerana ia dapat menghalang kemasukan radiasi yang merbahaya termasuk sinar UV yang berlebihan.
b. Marikh pula mempunyai bidang magnetik yang lemah jadi radiasi lebih mudah sampai ke planet ini.


Kesimpulannya, Marikh adalah planet yang tidak sesuai untuk manusia kerana ianya kering, berdebu, udaranya beracun, tinggi kandungan radiasi dan sangat sejuk. Jika manusia tidak memakai sebarang pakaian angkasalepas, mereka boleh hidup hanya 1-5 minit sahaja (purata 80 saat). Untuk hidup di planet Marikh, manusia memang tidak mampu tanpa peralatan sokongan kecuali mereka menjalani evolusi menjadi makhluk lain yang berbeza.






Dato' Dr Rushdan Noor
21hb Ogos 2020


Rujukan : https://mars.nasa.gov/all-about-mars/facts/

No comments:

Post a Comment