Saturday 15 August 2020

MUTASI VIRUS SARS-CoV-2 DARIPADA D614 KEPADA G614 : APAKAH IMPAK KE ATAS MANUSIA



Ketua Pengarah Kesihatan telah mengumumkan bahawa hasil daripada kajian ke atas virus Covid-19 yang diambil daripada 3 pesakit dari kluster PUI Sivagangga dan seorang pesakit dari kluster Ulu Tiram mengesahkan bahawa jenis virus yang menjangkiti mereka adalah daripada jenis G614 (ataupun D614G). Kajian ini dilakukan di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Secara ringkasnya, virus yang menyebabkan penyakit Covid-19 dikenali sebagai SARS-CoV-2 dan virus ini terdiri daripada selaput luar dan RNA (membawa gene) di bahagian dalam. Pada selaput luar virus ini terdapat sejenis protein yang dikenali sebagai “spike protein” ataupun protein S. Protein S ini penting seperti kunci yang akan membuka pintu sel untuk masuk dan menyerang sel-sel manusia. Pendek kata tanpa protein S ini, virus tidak boleh menyerang sel manusia. Protein S dibina oleh banyak asid amino yang merupakan binaan asas (“building block”). Ahli sains telah mengkaji struktur protein S ini dan mendapati berlaku perubahan di dalam susunan asid amino dari masa ke semasa dan ini disebabkan oleh mutasi yang berlaku ke atas gene yang terdapat di dalam RNA virus.


Sebelum bulan Feb 2020, ahli sains mendapati bahawa jenis virus SARS-CoV-2  yang mendominasi penyakit Covid-19 di seluruh dunia adalah daripada jenis D614 . Ia dikenali sebagai D614 kerana asid amino jenis Asid Aspartat terletak pada kedudukan ke 614 asid amino di dalam protein S. Virus jenis D614 ini telah menjalani mutasi di mana Asid Aspartat pada kedudukan ke 614 ini telah digantikan kepada Glycine dan virus yang baru ini dikenali sebagai G614 (ataupun D614G). Kesimpulannya virus G614 adalah mutasi daripada D614 dan pada hari ini virus G614 adalah jenis yang mendominasi jangkitan Covid-19 di seluruh dunia.


Apakah perbezaan di antara virus jenis G614 dengan D614. Hasil kajian masih lagi terhad kerana banyak penemuan mengenai sifat virus G614 ini adalah berdasarkan kepada kajian makmal.

1.       Daripada segi muatan virus (“viral load”), pesakit yang dijangkiti oleh virus jenis G614 mempunyai kandungan virus yang lebih banyak berbanding dengan D614. Kajian ini dilakukan ke atas pesakit yang mempunyai gejala.

2.       Kajian makmal menunjukkan bahawa G614 mempunyai kadar jangkitan 10 kali lebih tinggi daripada virus asal dari Wuhan. Walau bagaimanapun kajian makmal ini tidak semestinya sama dengan apa yang akan berlaku ke atas manusia kerana sistem badan manusia lebih kompleks. Kesimpulannya kadar jangkitan yang sebenar ke atas manusia belum dapat dipastikan lagi.

3.       Kajian ke atas manusia mendapati, walaupun muatan virus lebih tinggi, pesakit yang dijangkiti dengan virus G614 tidak lebih serius daripada dijangkiti oleh virus jenis D614. Pendek kata kedua-dua kumpulan pesakit ini menunjukkan kesan klinikal yang sama. Jadi walaupun G614 mungkin lebih mudah berjangkit, kadar kematian tidak lebih tinggi. Ini mungkin memberi gambaran bahawa, virus ini bermutasi kepada jenis yang lebih mudah berjangkit tetapi kurang ganas sebab itu kadar kematian tidak berubah berbanding dengan D614. Tambahan pula kadar kematian Covid-19 pada era G614 sekarang ini lebih kurang sama dengan era D614 dahulu iaitu sekitar 1% ataupun kurang.

4.       Kaedah rawatan juga sama ke atas virus G614 walaupun Pakar Perubatan agak ragu-ragu dengan keberkesanan ubat yang bertindak merencat protein S kerana mutasi ini berlaku ke atas protein S. Keberkesanan ubat-ubat lain seperti Dexamethasone, Medrol, Remdesivir dan lain-lain adalah sama dengan yang digunakan ke atas virus jenis D614.

5.       Walaupun berlaku perubahan kepada protein S, setakat ini Ahli Sains berpendapat bahawa vaksin yang sedang dihasilkan adalah juga berkesan ke atas virus jenis G614. Ini kerana mutasi ataupun kelainan yang berlaku itu tidak melibatkan bahagian yang paling penting pada protein S yang dikenali sebagai RBD (Receptor binding domain). RBD adalah juga sasaran utama serangan sistem imun manusia untuk melawan virus Covid-19. Jadi setakat ini Ahli Sains berpendapat mutasi yang berlaku ini tidak memberi impak yang besar ke atas keberkesanan vaksin yang sedang dihasilkan.

KESIMPULAN

Pandemik Covid-19 sedang berdepan dengan cabaran mutasi virus SARS-CoV-2 yang menjadi penyebab penyakit Covid-19 daripada jenis D614 kepada G614 akibat daripada perubahan asid amino pada kedudukan ke 614 protein S ataupun “Spike protein”.  Pada hari ini virus jenis G614 sedang mendominasi jangkitan Covid-19 di seluruh dunia dan sekarang ini sudah sampai ke Malaysia melalui kajian ke atas sampel dari pesakit kluster Sivagangga dan Ulu Tiram. Muatan virus (viral load) dari jangkitan virus G614 lebih tinggi daripada D614. Walaupun kajian makmal menunjukkan virus G614 lebih mudah berjangkit, namun ini belum terbukti benar ke atas manusia. Setakat ini, kadar kematian akibat jangkitan G614 juta tidak lebih tinggi daripada D614. Ahli sains percaya melalui maklumat dan bukti yang ada setakat ini, perubahan jenis virus daripada D614 kepada G614 ini tidak memberi impak yang besar ke atas  kaedah rawatan dan keberkesanan vaksin Covid-19.

 

Dato' Dr Rushdan Noor

16hb Ogos 2020 


https://www.sciencedaily.com/releases/2020/07/200702144054.htm

https://medium.com/microbial-instincts/what-the-d614g-mutation-means-for-covid-19-spread-fatality-treatment-and-vaccine-7dda1c066f0d



No comments:

Post a Comment