Monday 31 July 2023

AED ( AUTOMATED EXTERNAL DEFRIBRILLATOR) BOLEH MENYELAMATKAN NYAWA

 


Kita seringkali terdengar berita orang yang mati mengejut semasa melakukan sesuatu aktiviti seperti bersukan. Terdapat juga yang mati ketika makan dan melakukan aktiviti lain termasuk sedang melakukan ibadah. Berkemungkinan besar kes-kes ini adalah akibat serangan sakit jantung. Kebanyakan ahli masyarakat kita tidak tahu apa yang perlu dilakukan kerana tidak terlatih untuk melakukan CPR ataupun cardiopulmonary resuscitation. Kajian mendapati, setiap minit tidak melakukan apa2 ke atas mangsa peluang untuk selamat berkurang sebanyak 10%. Maksudnya jika 5 minit lambat, peluang mangsa untuk hidup turun sebanyak 50%. Jantung yang berhenti berdenyut dinamakan "cardiac arrest". Kajian di Amerika mendapati setiap tahun terdapat 280,000 kes "cardiac arrest" berlaku di luar hospital.



Apabila diserang sakit jantung, denyutan nadi mangsa akan terhenti ataupun menjadi tidak tetap (arithmia). Keadaan ini dapat dipulihkan dengan mengenakan aliran elektrik ke atas dada pesakit ataupun dikenali sebagai defibrillation. Alat yang digunakan untuk tujuan ini dinamakan Defibrillator. Alat Defibrillator yang ada di hospital adalah canggih dan besar. Ianya juga perlu dikendalikan oleh perawat yang terlatih.

AED ataupun Automated External Debribrillator adalah defibrillator mudah-aleh yang ringan (1-2kg) dan mudah dibawa ke mana-mana menggunakan bateri yang boleh bertahan selama 4 tahun.Ia digunakan untuk mengenakan aliran elektrik pada bahagian dada mangsa bagi mengembalikan denyutan jantung yang normal. Apa yang menariknya AED ini boleh dikendalikan oleh orang awam yang telah menjalani latihan kerana ianya mudah digunakan (lihat video).

AED ini disambungkan dengan alat electrode yang boleh dilekapkan pada dada mangsa untuk membaca denyut nadi mangsa. Di dalam AED in terdapat computer yang mampu mengesan jenis denyutan jantung mangsa dan akan menentukan samada mangsa memerlukan defibrillation. AED akan mengeluarkan arahan bersuara bagaimana menggunakannya termasuk jika mangsa memerlukan defibrillation.

Individu yang bukan petugas perubatan seperti polis, ahli bomba dan orang ramai yang sudah terlatih boleh menggunakan AED. Memandangkan ianya alat yang mudah-aleh, senang dan selamat digunakan, ia dapat digunakan oleh orang awam semasa kecemasan bagi membantu ramai mangsa serangan jantung, bila-bila masa dan di mana2.

Di negara kita, AED adalah sebahagian daripada alat yang terdapat di dalam ambulan. AED juga terdapat di beberapa tempat orang awam tetapi belum menyeluruh seperti di negara2 maju. Di antara tempat-tempat lain yang sesuai diletakkan AED ini adalah lapangan terbang (seperti dalam gambar di KLIA), sekolah, stadium, pusat membeli belah, pusat konvensyen, hotel, sekolah, tempat pengangkutan awam, rumah ibadat dan lain-lain yang menjadi tumpuan orang ramai. Tinjauan saya di dalam internet mendapati harga satu unit AED adalah di antara di antara USD1500-2000 dolar. Kesedaran dan kemahiran melakukan CPR dan menggunakan AED perlu dipertingkatkan lagi dalam kalangan orang awam. Manalah tahu, satu hari nanti mungkin saudara mara ataupun diri kita sendiri yang memerlukannya.


Video bagaimana AED digunakan




Dato' Dr Rushdan Noor 

Tuesday 4 July 2023

DAKWAAN MELAMPAU ("OVERCLAIM") PRODUK KESIHATAN : MUDARAT KEPADA PENGGUNA

 


DAKWAAN MELAMPAU ("OVERCLAIM") PRODUK KESIHATAN : MUDARAT KEPADA PENGGUNA

Overclaim" ataupun dakwaan melampau adalah dakwaan yang berlebihan tentang satu-satu produk sedangkan perkara yang didakwa itu tidak menepati fakta sebenar ataupun dakwaan yang menipu kerana perkara yang didakwa itu tidak wujud di dalam produk yang dijual. Sebenarnya istilah produk di sini merangkumi banyak perkara tetapi di dalam tulisan ini saya hanya menumpukan perhatian kepada produk kesihatan.

Ada banyak ciri-ciri produk overclaim dan salah satu daripadanya adalah satu jenis produk boleh merawat banyak jenis penyakit. Overclaim adalah juga salah satu ciri2 produk pseudosains ataupun pseudoperubatan. Disebabkan penyakit yang selalu dihidapi oleh orang ramai adalah sakit jantung, darah tinggi dan diabetes, tiga2 jenis penyakit ini paling popular. Kadangkala jenis penyakit itu pula ditambah dari masa ke semasa. Tujuannya adalah supaya lebih ramai orang boleh diumpan. Satu lagi kemungkinan adalah jika pengeluar memasukkan ubat2an moden ke dalam produk tersebut ataupun dikenali sebagai campur-palsu. KKM seringkali menemui ubat steroid, kencing manis dan lain-lain di dalam produk2 ini.

Lazimnya produk overclaim ini bermusim, apabila sudah tidak ada mangsa baru yang berjaya diperangkap, mangsa sudah tidak ulang membeli, orang ramai sudah sedar ataupun pihak berkuasa mengambil tindakan, produk ini akan hilang dari radarnya. Mungkin founder produk itu sudah kaya raya tetapi apalah ada dengan pendapatan yang diperolehi daripada perniagaan seumpama ini. Apabila orang ramai sudah lupa, produk ini akan muncul semula (mungk8n dalam bentuk dan jenama berbeza) dan begitulah kitaran seterusnya.

Yang malang dan sedihnya adalah sahabat2 kita, ahli keluarga kita atau jiran2 kita yang tertipu. Tertipu wang ringgit satu hal, tertipu sehingga mengancam kesihatan dan nyawa tentu lebih serius. Lebih malanglah jika mangsa kehilangan kedua2nya sekali. Saya sendiri telah menyaksikan dan mendapat maklumat daripada rakan2 seperjuangan, ramai pesakit yang melengah2kan rawatan daripada hospital ataupun meninggalkan rawatan hospital kerana terpengaruh dengan produk overclaim. Akibatnya apabila datang ke hospital, sudah terlambat. Produk2 overclaim itu sendiri boleh menyebabkan kesan sampingan dan berinteraksi dengan ubat2an yang lain.

Kalaulah ada satu produk yang boleh merawat penyakit darah tinggi, sakit jantung dan diabetes sekaligus tentulah pakar2 perubatan akan menggunakannya. Tentulah heboh merata-rata dan saintis2 akan menulis dan bercakap berkenaan dengannya di seluruh dunia. Saya yakin pencipta produk ini juga tentu akan dicalonkan sebagai pemenang Nobel Prize dan memang layak untuk menang. Kalau kita mampu untuk menggunakan kaedah berfikir begini pun sudah cukup baik dan tentu ramai yang terselamat.

Menggunakan testimoni untuk mendakwa produk itu berkesan juga boleh dianggap satu kaedah mengelirukan pengguna kerana bagi pandangan pengamal perubatan, testimoni adalah bukti keberkesanan  yang paling lemah. Malahan dalam banyak keadaan kelegaan yang diperolehi itu adalah secara kebetulan dan tidak ada kaitan dengan produk tersebut. Testimoni hanya boleh digunakan jika gejala yang dihidapi oleh seseorang itu belum dapat dikesan penyebabnya walaupun sudah menjalani pemeriksaan dan ujian oleh pengamal perubatan moden.

Perbuatan dakwaan melampau dan mengiklankan produk2 ini untuk rawatan keatas 20 jenis penyakit adalah juga salah di sisi undang2 dan peraturan pengiklanan yang boleh dikenakan tindakan denda oleh pihak berkuasa.

Kepada pihak yang terlibat dengan mempromosi dan menjual produk "overclaim" ini, ingatlah bahawa perbuatan ini bukan sahaja tidak baik dan tidak beretika ke atas sesama manusia tetapi juga dimurkai oleh Allah kerana ianya boleh dianggap salah satu bentuk penipuan. Rasulullah pernah bersabda maksudnya: "Sesiapa yang merawat dalam keadaan dia tidak pernah belajar ilmu perubatan, maka dia menjadi penjamin (membayar ganti rugi jika berlaku musibat kepada orang yang dirawati" (Ibn Majah 2009, no hadith 3466)

Jika berlaku kematian akibat daripada produk overclaim ini, ulamak ada membahaskan tentang hukum ke atas individu yang terlibat di mana mereka berpendapat individu tersebut boleh diqiyaskan dengan pembunuhan melalui racun. Ulamak bersepakat bahawa pembunuhan melalui racun ini adalah berdosa dan termasuk di dalam hukum bunuh walaupun mereka berbeza pendapat dari segi kategori bunuh samada sengaja ataupun tidak sengaja. (1)

Pendapat yang sama diberikan oleh Fatwa Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan di dalam Irsyad Al-Fatwa Siri ke-646 hukum melakukan dakwaan melampau (overclaim) dalam pemasaran (2). Perbuatan overclaim atau bersubahat dengannya adalah dilarang dalam Islam kerana memakan harta orang lain dengan cara-cara menipu. Ini adalah berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah (188) maksudnya: "Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah". Imam al-Baghawi menerangkan ayat di atas sebagaimana berikut: Janganlah kamu makan harta sebahagian kamu dengan cara yang batil iaitu daripada cara yang tidak diharuskan Allah. (Rujuk Tafsir al-Baghawi 210/1)

Semoga pihak berkuasa KKM akan lebih tegas ke atas mana2 syarikat atau individu yang melakukan perbuatan dakwaan melampau semasa mempromosi dan menjual produk kesihatan.

KESIMPULAN

Perbuatan melakukan dakwaan melampau ("overclaim") semasa mempromosi atau menjual produk kesihatan adalah bertentangan dengan etika dan moral yang baik. Ianya adalah satu bentuk penipuan yang boleh memudaratkan orang ramai khususnya pesakit-pesakit kronik, di samping membawa implikasi beban kewangan dan melanggar undang2. Alim ulamak juga sependapat bahawa perbuatan dakwaan melampau ini adalah perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam dan pengamalnya berdosa jika akibat daripada perbuatan ini memudaratkan kesihatan dan nyawa orang lain.

Dato' Dr Rushdan Noor 

5hb Julai 2023

Rujukan

1. Ramli MA, Hamdan MN, Zulkepli MIS. Teknik dakwaan melampau dalam pemasaran Produk Pengguna Menurut Perspektif Hukum Islam. Journal of Contemporary Islamic Law. (2018)Vol. 3(2): 11-19

e-ISSN: 0127-788X (http://www.ukm.my/jcil/2018-3-2-article-2-2/?et_fb=1)

2. Fatwa Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan di dalam Irsyad Al-Fatwa Siri ke-646 hukum melakukan dakwaan melampau (overclaim) dalam pemasaran. (https://www.muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/5066-irsyad-al-fatwa-siri-ke-646-hukum-melakukan-dakwaan-melampau-overclaim-dalam-marketing-pemasaran)

3. https://www.minda2tinta.com/2023/07/dakwaan-melampau-overclaim-produk.html?m=1