TULISAN DARIPADA BUAH FIKIRAN DATO' DR.RUSHDAN NOOR DALAM PELBAGAI ASPEK KEHIDUPAN KHUSUSNYA BIDANG PERUBATAN DAN ISU-ISU SEMASA
Saturday, 25 May 2024
MEMBOIKOT DENGAN ILMU
Friday, 24 May 2024
ANTARA AHLI POLITIK BERAGAMA DAN AHLI AGAMA YANG BERPOLITIK
CABARAN DOKTOR2 MUDA YANG MELETAKKAN JAWATAN
Bilangan pegawai perubatan bukan pakar yang meletakkan jawatan agak membimbangkan. Mengikut kenyataan akhbar yang dibuat oleh YBMK, Datuk Seri Dr. Dzulkefly, seramai 4,310 doktor kontrak meletak jawatan dalam tempoh 7 tahun dan dalam tahun 2023 sahaja, seramai 924 daripada mereka berhijrah ke sektor swasta. Saya tidak berhajat untuk menulis tentang mengapa fenomena ini berlaku kerana ianya sudah diketahui umum dan telah dibincangkan di dalam banyak platform.
Thursday, 23 May 2024
BENARKAH DURIAN BELANDA BOLEH MERAWAT KANSER ?
Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pada hari ini terlalu banyak dakwaan ubat anti-kanser yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu yang kebanyakkannya tidak diketahui asal usul dakwaan tersebut. Walaupun ada di antara dakwaan tersebut mempunyai asas tetapi kesimpulan yang dibuat terlalu awal. Sepatutnya ahli-ahli sains yang menjalankan kajian pra-klinikal tidak mengheboh-hebohkan hasil kajian kerana ia akan memberi kesan kepada persepsi dan salah faham sehingga ada dalam kalangan orang awam yang terus mengambilnya sebagai satu bukti kebenaran. Apa yang dikhuatiri adalah jika maklumat ini diterima oleh orang yang berkepentingan untuk meraih keuntungan dan mereka akan menghasilkan sendiri produk kesihatan yang kemudiannya didakwa boleh mencegah dan merawat kanser.
Di dalam bab ini saya akan menerangkan apakah sebenarnya khasiat buah durian belanda dan adakah ianya benar-benar boleh mencegah dan merawat penyakit kanser. Sebelum membaca bab ini saya sangat menganjurkan anda untuk membaca bab yang lepas berkenaan dengan kaedah membuktikan keberkesan produk kesihatan supaya mendapat gambaran yang jelas bagaimana ahli sains membuktikan keberkesanan sesuatu produk kesihatan ataupun ubat-ubatan.
DURIAN BELANDA
Durian belanda juga dikenali sebagai Graviola dan dalam bahasa Inggeris dipanggil soursop. Durian belanda adalah buah berduri bewarna hijau yang pokoknya boleh didapati di negara Afrika, Amerika Selatan dan juga di Asia Tenggara. Mempunyai isi yang lembut bewarna putih dan rasanya masam-masam manis. Nama saintifik pokok ini adalah Annona Muricata. Seperti mana buah-buahan dan tumbuhan lain, terdapat banyak sebatian kimia yang terkandung di dalamnya, salah satu kompoun yang dikatakan aktif di dalam buah durian belanda adalah Annonaceous Acetogenins.
Terdapat banyak jenis sebatian kimia
yang dikategorikan di bawah Acetogenins ini termasuk Annonacin, Bullatacin,
Isoquinolin dan lain-lain. Pada awalnya daun dan buah durian belanda ini
digunakan oleh penduduk Afrika dan Amerika Selatan untuk tujuan merawat
jangkitan virus serta parasit, sakit sendi dan kemurungan. Mungkin disebabkan
banyak dakwaan pengubatan tentang pokok ini, maka ahli sains telah membuat
kajian. Apabila ahli sains hendak menjalankan kajian terhadap sesuatu jenis
tumbuhan ataupun buah-buahan, mereka akan terlebih dahulu melakukan pencarian
maklumat dan setelah mendapat cukup maklumat barulah mereka akan merancang
untuk melakukan kajian. Kajian peringkat awal dinamakan kajian pra-klinikal
yang hanya bertujuan untuk melihat adakah bukti keberkesanan ke atas sel-sel di
luar badan manusia sebelum diuji ke atas manusia. Peringkat pra-klinikal ini
pula terbahagi kepada dua iaitu peringkat menggunakan bahan mentah untuk
menentukan terdapatnya kesan positif dan ujian ini dilakukan sama ada ke atas
haiwan ataupun lapisan-lapisan sel kanser (cancer cell-line). Kajian ini
dilakukan di dalam makmal. Setelah mendapati ada kesan positif, ahli
sains kemudiannya akan menentukan apakah bahan kimia aktif (extracts)
tersebut dan proses penulenan mengeluarkannya akan dilakukan. Menggunakan
ekstrak tersebut, ahli sains akan melakukan ujian ke atas haiwan untuk melihat
keberkesanan dan juga kesan sampingan. Pada peringkat pra-klinikal ini, kesan
ke atas manusia belum lagi diketahui jadi hasil daripada kajian pra-klinikal
ini tidak boleh langsung digunakan sebagai alasan untuk diamalkan oleh manusia.
Kajian klinikal fasa 1, 2 dan 3 perlu dilakukan terlebih dahulu.
KAJIAN KE ATAS DURIAN BELANDA
Kajian yang dilakukan ke atas pokok durian belanda telah dilaporkan di dalam jurnal seawal tahun 1996 tetapi sehingga hari ini hanya kajian pra-klinikal sahaja yang dilakukan. Kajian-kajian tersebut pula menggunakan ekstrak durian belanda dan bukannya pokok serta buah durian belanda mentah, sama ada diproses ataupun dijadikan jus. Di dalam kajian tersebut, lapisan sel-sel yang disimpan di dalam makmal digunakan dan bukannya ke atas manusia. Lapisan sel-sel kanser ini pula bukan mewakili semua jenis kanser, tetapi sel-sel kanser hati, usus besar dan payudara. Bilangan kajian yang dijalankan pula sangat terhad dan jika menggunakan enjin pencarian Pubmed, kurang daripada 10 kertas kajian sahaja yang ditemui mengenai durian belanda dan kanser. Kesemuanya adalah kajian pra-klinikal yang dijalankan di dalam makmal. Belum terdapat kajian klinikal ke atas manusia yang dijalankan setakat ini.
Adalah sama sekali tidak benar jika ada yang mendakwa bahawa terdapat terlalu banyak kajian tentang keberkesanan durian belanda ke atas penyakit kanser. Di dalam semua laman web pertubuhan kanser di seluruh dunia juga tidak ada yang bersetuju dengan dakwaan durian belanda sebagai anti-kanser, contohnya di dalam laman web Cancer Research UK ada diletakkan kenyataan bahawa ”Many sites on the internet advertise and promote graviola capsules as a cancer cure, but none of them are supported by any reputable scientific cancer organisations.” Manakala di dalam laman web Cancer Network pula dinyatakan: “Despite the absence of supportive data, graviola, like many herbal products, is heavily promoted to cancer patients on the Internet, often with false claims of cure. Patients should be cautioned against herbal supplement use when on treatment.”
Dakwaan yang mengatakan buah durian belanda mempunyai kekuatan 10,000 kali lebih kuat melawan kanser daripada rawatan kemoterapi pula adalah sangat mengelirukan. Dakwaan ini dibuat berdasarkan kepada kajian yang dilakukan pada tahun 1996 yang menggunakan ekstrak daripada biji buah durian belanda. Kajian makmal itu dilakukan di dalam makmal ke atas lapisan sel kanser usus besar. Proses mengekstrak bahan kimia pula adalah menggunakan teknologi makmal dan daripada 5 kompoun baru yang ditemui, kompoun yang dinamakan cisannonacin didapati memberi kesan positif merencat sel yang membiak. Ubat kemoterapi yang dibandingkan pula adalah Adriamycin yang pada hari ini sudah jarang digunakan oleh pakar kanser. Sudahlah ianya kajian makmal, kanser yang dikaji pula hanya kanser usus dan hanya melibatkan satu jenis ubat anti-kanser.
Masih terlalu awal dakwaan tersebut boleh dilakukan kerana kajian pra-klinikal pun belum lengkap, apatah lagi kajian klinikal fasa 1 dan seterusnya. Tambahan pula kebanyakan ubat anti-kanser diberikan melalui suntikan kerana ubat yang diambil melalui mulut perlu melalui kesan asid perut dan pelbagai halangan sebelum diserapkan ke dalam aliran darah. Jadi ahli-ahli sains perlu terlebih dahulu mengkaji apakah kaedah pemberian yang terbaik sebelum meneruskan kajian lanjut. Hari ini peniaga menjual jus dan kapsul buah durian belanda yang dihasilkan sendiri. Mungkin apa yang ada di dalamnya adalah pewarna, perasa dan pengawet. Jika pun ada pati durian belanda, mungkin daripada isinya dan bukan daripada bijinya. Walau bagaimanapun mengambil buah durian belanda termasuk meminum jus segar tulen durian belanda secara sederhana adalah baik sebagai sumber air, vitamin, mineral dan serat.
KESAN SAMPINGAN PENGAMBILAN PRODUK DURIAN BELANDA
Hari ini amalan mengambil produk durian belanda ini di dapati meluas lebih-lebih lagi ketika musim kempen makan buah durian belanda dan promosi mengaitkan durian belanda dengan rawatan kanser. Seperti biasa, kempen-kempen seumpama ini akan berakhir dan kemudiannya akan diganti pula dengan kempen produk "anti-kanser" yang lain pula. Seorang Penyelidik daripada AIBMR Life Sciences telah menulis kebimbangan beliau terhadap kesan sampingan pengambilan produk durian belanda terutamanya daripada salah satu kompoun yang bernama annonacin yang berpotensi menyebabkan kerosakan saraf (neurotoxicity). Satu lagi kompoun adalah isoquinolin yang juga boleh memberi kesan kepada sistem saraf pusat, kedua-dua kompoun ini boleh menembusi lapisan otak dan ditemui terutamanya di bahagian daun dan isi buah durian belanda. Kajian epidemiologi telah menunjukkan bahawa terdapat kaitan di antara pengambilan buah durian belanda dengan kadar kejadian penyakit Parkinson’s yang luar biasa (atypical Parkinson's disease), contohnya di Pulau Guam , kepulauan utara Mariana, Western New Guinea dan Semenanjung Kli di Jepun. Perubahan diet penduduk di Pulau Guam khususnya pengurangan pengambilan produk yang berasaskan durian belanda telah mengurangkan kadar kejadian penyakit Parkinson tersebut. Dakwaan ini disokong oleh beberapa kajian makmal yang dilakukan seperti yang tersenarai di dalam rujukan di bawah.
Durian belanda telah menjadi salah satu daripada banyak jenis tumbuhan dan buah-buahan yang didakwa boleh mencegah dan merawat kanser. Ia sebenarnya adalah sejenis pokok buah seperti mana buah-buahan yang lain, mengandungi antioksidan dan jika dikaji dengan mendalam memang mengandungi pelbagai sebatian kimia. Kajian terhadap khasiat durian belanda sebagai anti-kanser memang ada dijalankan tetapi sangat terhad. Kesemua kajian tersebut adalah kajian pra-klinikal yang dijalankan di dalam makmal terhadap lapisan sel. Malahan ahli sains tidak menggunakan durian belanda yang mentah, jus ataupun kapsul, sebaliknya ahli sains perlu mengeluarkan (mengekstrak) sebatian kimia tersebut untuk menjalankan kajian. Kanser yang terlibat di dalam kajian tersebut pula hanya terhad kepada kanser usus dan kanser payudara. Walaupun ada kesan positif tetapi proses mengesahkan keberkesanan masih terlalu jauh. Disebabkan oleh potensi kesan sampingan yang diakibatkan olehnya, saya sangat ragu bahawa kajian peringkat klinikal ke atas manusia akan dilakukan. Pendek kata, setakat ini tidak ada bukti bahawa durian belanda boleh digunakan untuk merawat kanser dengan berkesan. Ramai pakar perubatan dan pertubuhan kanser dunia bimbang terhadap penyebaran maklumat palsu mengenai khasiat durian belanda. Apa yang lebih membimbangkan adalah akibat daripada maklumat palsu ini, pesakit kanser lewat mendapatkan rawatan kanser di hospital sehingga menjejaskan peluang mereka untuk sembuh. Menghasilkan produk durian belanda yang dihasilkan secara tidak betul dan kemudian mendakwanya sebagai produk yang berkesan merawat dan meringankan penyakit kanser adalah tindakan yang tidak beretika, satu bentuk penipuan, merugikan pesakit dan melanggar undang-undang.
Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor
RUJUKAN
2. http://www.cancernetwork.com/integrative-oncology/graviola-annona-muricata
3. Rieser MJ, Gu ZM, Fang XP, et al. Five novel
mono-tetrahydrofuran ring acetogenins from seeds of Annona muricata. J. Nat
Prod, 1996; 59(2):100-8
4. Champy P, Hoglinger GU, Feger J, et al. Annonacin,
a lipophilic inhibitor of mitochondrial complex I, induces nigral and striatal
neurodegeneration in rats: possible relevance for atypical parkinsonism in
Guadeloupe. J Neurochem, 2004; 88(1):63-9
5. Champy P, Guerineau V, Laprevote O. MALDI-TOF MS
profiling of annonaceous acetogenins in Annona muricata products for human
consumption. Molecules, 2009; 14(12):5235-46
6. Melot A, Guerineau Eng V, Champy P, et al. Qualification of acetogenins in Annona muricata
linked to atypical parkinsonism in Guadeloupe. Moy Disord, 2005;20(12):1929-33
7. Caparros Lefebvre D, Elbaz A. Possible relation of
atypical parkinsonism in the French West Indies with consumption of tropical
plants: a case-control study. Caribbean Parkinsonism Study Group. Lancet, 1999;
354(9175):281-6
Thursday, 16 May 2024
DILEMA PEGAWAI PERUBATAN KONTRAK
Pada tahun 2022, seramai 3215 Pegawai Perubatan Kontrak (PPK) telah ditawarkan jawatan tetap, hanya 2% yang menolak. Tetapi pada tahun 2023, penolakkan meningkat kepada 20.3% di mana dari sejumlah 5489 PPK yang ditawarkan jawatan tetap, 1118 orang telah menolak (sumber data, rujuk pautan di bawah).
Pihak bertanggungjawab perlu mengkaji mengapa kadar penolakkan ini terlalu besar sedangkan inilah salah satu perkara yang PPK perjuangkan selama ini. Ada beberapa kemungkinan :
1. Perlu dipindahkan ke hospital atau pusat kesihatan lain yang tidak dipersetujui oleh pegawai atas pelbagai alasan.
2. Masalah seniority dan gaji, di mana tempoh khidmat semasa bertugas sebagai PPK tidak diambil kira untuk kenaikan gred jawatan ataupun tangga gaji setara dengan pegawai tetap. Gaji permulaan mereka untuk skim baru mungkin lebih rendah dari gaji akhir mereka sebagai PPK. Mereka juga tidak layak untuk membuat tuntutan perjalanan semasa berpindah ke tempat kerja baru.
3. Sudah ada perancangan untuk meletak jawatan ke sektor swasta, ke universiti atau ke luar negara disebabkan pelbagai alasan (persekitaran kerja yang toksik, isu imbuhan, tawaran lebih baik, keluarga, dan lain2)
4. Sudah tidak berminat untuk jadi doktor, mungkin menukar profesion
5. Lain2
Kalau kita diberikan data2 yg lebih terperinci tentang punca2 penolakkan di atas dan peratusannya, kita akan dapat gambaran yang lebih jelas. Walau apapun, punca no 2, iaitu isu berkaitan dengan seniority dan kenaikan gaji adalah isu yang sangat penting dan diharap pihak yang berkewajipan dapat menyelesaikannya. Isu no 3 juga perlu diberi perhatian serius terutama faktor2 "menolak" ("pushing factors") seperti persekitaran kerja yang toksik dan budaya buli.
Bilangan yang menolak jawatan tetap ini diharap akan dimasukkan ke dalam jumlah peruntukan tawaran jawatan tetap yang sedia ada agar dapat dibawa ke hadapan dan juga memberi peluang kepada PPK yang gagal mendapat jawatan tetap membuat rayuan. Manakala PPK yang ditamatkan jawatan juga diberi peluang untuk mambuat rayuan samada untuk dapat kekal sebagai pegawai kontrak ataupun jika prestasi mereka baik, diberikan jawatan tetap. Secara peribadi, saya berpendapat bahawa PPK tidak sepatutnya ditamatkan jawatan mereka melainkan jika ada masalah prestasi dan disiplin yang serius. Kita masih kekurangan pegawai perubatan, lagipun pegawai di bawah skim kontrak tidak memerlukan tambahan perjawatan baru.
Setakat ini proses penambahbaikan sedang dilaksanakan seperti peluang yang sama untuk melanjutkan pelajaran ke ijazah lanjutan. Kita masih menunggu langkah2 lanjut dari pihak KKM. YBMK juga telah berjanji untuk memberi perhatian serius tentang isu ini. Perlu ada komunikasi yang lebih berkesan di antara penggubal dasar dan kepimpinan KKM dengan pihak yang terlibat serta badan2 yang berkaitan seperti MMA. Ini termasuklah maklumat tentang proses dan kriteria tapisan ke jawatan tetap, melanjutkan tempoh PPK dan menamatkan jawatan PPK. Banyak masalah dan ketidakpuasan dapat diselesaikan melalui ketelusan dan komunikasi yang berkesan. Tambahan pula ramai pihak yang membawa masalah peribadi ataupun kes2 terpencil ke media sosial dan tersebar luas hingga orang ramai boleh membuat persepsi yang berbeza dari realiti.
Akhir sekali saya ingin mencadangkan agar KKM dapat membuat penilaian yang lebih menyeluruh berkenaan dengan status keperluan sebenar pegawai perubatan dan pakar2 berdasarkan kepada beban serta kompleksiti kerja, menggunakan indikator yang lebih tepat. Penilaian ini diharap dapat menentukan jumlah sebenar bilangan pegawai yang diperlukan agar dapat merancang target minima keperluan tambahan pegawai setiap tahun dan projeksi 10-20 tahun akan datang. Melalui penilaian ini juga, kita dapat mengetahui keperluan sebenar petugas perubatan bagi setiap fasiliti kesihatan dan perubatan supaya dapat dilakukan pengagihan semula ("redistribution") pegawai2 ini. Pengagihan semula ini dapat memastikan setiap fasiliti mempunyai bilangan pegawai yang setara berdasarkan kepada beban kerja masing-masing. Di samping itu KKM juga perlu menentukan senarai tugas bagi setiap kategori petugas perubatan daripada peringkat bawah hinggalah ke peringkat teratas agar beban tugas ini lebih adil mengikut kategori petugas, kelayakan dan pangkat. Ini dapat memastikan tidak ada pihak yang menekan pihak lain melakukan tugas yang sepatutnya dilakukan oleh mereka. Penilaian 360 darjah perlu dilakukan ke atas semua kategori petugas termasuk Pengarah dan Ketua Jabatan/Unit bagi mengenalpasti persekitaran kerja yang toksik dan punca-puncanya. Pihak pentadbiran wajib memantau semua jabatan dan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang menjadi punca kepada kes-kes buli dan persekitaran kerja yang toksik. Mengujudkan komunikasi yang lebih berkesan antara pihak atasan dengan pihak yang terlibat serta pertubuhan2 kebajikan petugas perubatan akan mengurangkan isu ketidakpuasan dan lebih mudah menyelesaikan masalah.
Baca juga tulisan saya tentang cabaran doktor kontrak yang meletakkan jawatan, klik paparan ini.klik paparan ini.
Dato'Dr Rushdan Noor
17hb Mei 2024
Rujukan:
https://codeblue.galencentre.org/2024/03/25/contract-doctors-resignation-trend-rising-moh-to-cut-permanent-appointment-offers-by-31-for-2024-2025/
Friday, 3 May 2024
BLACK HOLE (LOHONG HITAM)
Black hole (“lohong hitam”) adalah salah satu kejadian alam yang paling pelik dan ahli sains sendiri merasa sangat takjub. Ianya juga dianggap salah satu struktur di dalam alam ini yang paling menakutkan. Dari manakah black hole ini berasal ? Bintang seperti matahari mempunyai kitaran hidup, dari mula dilahirkan dan sampai masa, ia akan mati. Ahli sains percaya bahawa kebanyakkan black hole adalah hasil akhir dari proses kematian bintang terutama bintang yang mempunyai saiz dan jisim yang besar. Manakala black hole yang lain mungkin terhasil dari proses yang berbeza dan belum diketahui dengan sepenuhnya.
PROSES KEJADIAN BLACK HOLE
Bintang seperti matahari terdiri daripada pengumpulan atom hydrogen yang tersangat banyak yang termampat di pusat ataupun terasnya. Di dalam teras bintang ini atom hydrogen bergabung ("fusion") sesama sendiri untuk membentuk helium dan menghasilkan tenaga yang tersangat tinggi (tenaga nuklear). Tenaga ini adalah di dalam bentuk radiasi. Ini adalah tenaga yang menolak ke luar melawan arah tarikan graviti. Jadi bintang kekal stabil apabila tekanan ke luar daripada radiasi ini diimbangi oleh tekanan ke dalam yang dikenakan oleh graviti. Selagi tindakbalas hydrogen ("nuclear fushion") yang membentuk helium ini berterusan, tenaga yang menolak ke luar (tenaga nuklear) dan yang menarik ke dalam (graviti) bintang akan mencapai keseimbangan.
Tetapi bagi bintang yang sudah sampai ke penghujung hayatnya, berlaku proses2 berikut. Apabila tekanan dan suhu yang terlalu tinggi di teras, akan berlaku berlaku gabungan atom yang menghasilkan elemen2 yang lebih berat seperti karbon, neon, oksigen, silicon sehingga kepada pembentukan atom besi (iron atom). Berbeza dengan atom2 lain, pembentukan atom besi kurang menghasilkan tenaga. Atom2 besi akan berkumpul dan membesar di teras bintang, tenaga nuklear yang menolak ke arah luar akan mencapai tahap kritikal di mana tenaga yang dihasilkan itu tidak mampu mengimbangi tarikan graviti, akibatnya teras bintang ini akan runtuh (“collapse”). Dalam beberapa detik sahaja bintang akan implode (meletup ke dalam) dan menimbunkan lebih banyak kandungannya (jirim) ke teras bintang. Kemudian akan diikuti oleh letupan keluar ("explosion") yang sangat besar dikenali sebagai letupan supernova. Debu dan gas yang terhasil dari letupan ini akan membentuk nebula. Jadi letupan supernova yang dikesan menggunakan teleskop ini adalah petanda sebuah bintang sedang menjalani proses kematiannya.
Akibat daripada letupan supernova ini, teras bintang tadi akan bertukar menjadi bintang neutron yang sangat padat (garispusat 20 km) jika saiz asalnya tidak begitu besar (10-40 jirim matahari). Jika bintang ini cukup besar, padat dan melibatkan tenaga dan graviti yang tersangat besar, ia akan bertukar menjadi black hole di mana graviti yang terlalu kuat itu akan memampatkan serpihan bintang menjadi satu titik tunggal yang tersangat kecil ("infinite small") dan tersangat mampat ("infinite dense") dikenali sebagai singulariti. Pada titik ini, masa akan terhenti dan hukum2 fizik yang sedia ada sudah tidak terpakai. Akibat daripada graviti yang terlalu tinggi di tengah2nya, cahaya tidak dapat melepasi ataupun dipantulkan dan ia kelihatan gelap ataupun hitam pekat. Jadi black hole ini sebenarnya tidak kelihatan, yang dapat dikesan adalah perubahan yang berlaku di sekelingnya. Sempadan black hole dikenali sebagai Event Horizon. Apa sahaja yang jatuh ke dalamnya tidak mungkin dapat kembali.
BAGAIMANA MENGESAN BLACK HOLE
Disebabkan black hole tidak boleh dilihat, maka kajian ke atasnya dilakukan ke atas apa yang belaku di sekitarnya, contohnya gas2, debu dan jirim yang beredar disekitarnya menjadi sangat panas dan menghasilkan cahaya yang terang. Penemuan black hole juga berasaskan kepada fenomena yang sama. Black hole yang sangat besar juga didapati mempunyai bintang2 yang mengelilinginya dan sifat atau pergerakan bintang2 ini telah dijadikan panduan kepada ahli sains untuk mempelajari sifat2 black hole. Gas, debu dan bintang yang berdekatan boleh disedut atau ditelan ke dalam black hole dan kemudian dihambur keluar seperti asap jet (mengandungi gas, debu dan radiasi) dari tengah black hole dengan kelajuan cahaya, ini dikenali sebagai "relativistic jets". Fenomena ini jarang berlaku dan hanya dikesan ke atas suppermasdive black hole. Kawasan luar di keliling black hole dikenali sebagai Accretion Disk yang terdiri dari gas dan debu yang sangat panas berputar dan menghasilkan radiasi dalam bentuk sinar X-Ray. Mengesan sinar X-Ray ini juga telah dijadikan petunjuk yang digunakan untuk mengenal black hole, contohnya semasa ahli sains menemui black hole Cygnus X-1. Walau bagaimanapun, tidak semua black hole mempunyai accretion disk (mungkin hanya 1% sahaja yang dikesan mempunyai struktur ini).
JENIS-JENIS BLACK HOLE
Saintis telah membahagikan beberapa jenis black hole:
1. Stellar mass black hole ( 10X saiz matahari), paling banyak. Terbentuk apabila bintang bersaiz 10-20 kali saiz matahari mati (seperti yang diterangkan di atas). Mungkin terdapat berjuta stellar black hole di dalam galaksi Milky Way sahaja. Kebanyakan black hole yang wujud dalam alam ini adalah dari jenis ini.
2. Supermassive black hole adalah black hole yang tersangat besar, mungkin berjuta, malahan berbillion kali lebih besar dari saiz matahari. Ianya didapati wujud di tengah2 pusat galaksi yang besar termasuk Milky Way dan juga Andromeda. Supermassive black hole yang terletak di tengah pusat Galaksi Milky Way dikenali sebagai Sagittarius A, mempunyai saiz 4 juta matahari dan bergarispusat bersamaan dengan jarak daripada bumi ke matahari (150 juta km). Jarak Sagitarius A dari bumi adalah 26,000 tahun cahaya. Imej sebenar black hole ini telah diperolehi menggunakan teleskop event horizon dan disiarkan pada tahun 2022. Proses kejadian black hole jenis ini ("supermassive black hole") belum dapat dipastikan. Setengah ahli sains berpendapat yang black hole yang sebesar ini dibentuk secara terus dari keruntuhan dan kemampatan (oleh graviti mereka sendiri) awan debu serta gas yang tersangat besar.
3. Intermediate - mass black hole bersaiz antara 100 hingga 100,000 saiz matahari. Ia mungkin terbentuk hasil dari pertembungan Stellar mass black hole.
4. Miniature atau Primordial black hole terbentuk beberapa saat selepas kelahiran alam semesta. Belum pernah ditemui oleh ahli sains.
Stellar dan Supermassive black hole paling kerap dijumpai. Black hole yang pertama ditemui adalah Cygnus X-1 terletak di galaksi Milky Way pada tahun 1965. Image black hole pertama berjaya direkodkan adalah pada tahun 2019 oleh Teleskop Event Horizon yang berjaya mengesan black hole di tengah galaksi M87.
PERSOALAN DAN NASIB MASA DEPAN BLACK HOLE
Apakah nasib black hole? Ahli sains tidak pasti. Tetapi Stephen Hawkin berpendapat bahawa tenaga dan radiasi dari black hole ini boleh terlepas keluar dari masa ke semasa hingga saiznya semakin kecil. Radiasi ini telah dinamakan sebagai "Hawkin's Radiation". Jadi kemungkinan black hole akan mengecil dan lama kelamaan lenyap. Black hole juga boleh bergabung sesama sendiri dan menjadi lebih besar. Ahli sains juga percaya black hole yang aktif menelan bahan2 di sekelilingnya juga boleh membesar. Ada juga pendapat yang black hole supermassive (terletak di tengah galaksi) memainkan peranan di dalam pembentukan dan kemusnahan galaksi. Yang mana datang dahulu? Galaksi ataupun black hole yang datang dahulu? Jika benar, ia memainkan peranan penting dalam pembentukan galaksi, maka black hole juga boleh dianggap struktur yang sangat penting dalam perkembangan alam semesta sebab galaksi adalah unit asas ("building block") kepada alam semesta. Adakah black hole ini laluan dari satu alam ke alam yang lain? Ada juga teori yang mengatakan alam ini lahir dari black hole. Banyak lagi teori dan pendapat ahli sains tentang black hole tetapi banyak antaranya belum dapat dibuktikan lagi kerana black hole dianggap struktur yang paling bermisteri di alam semesta.
Lebih banyak soalan dari jawapan tentang black hole ini sebenarnya. Ahli sains masih mengkaji dan menyelidik tentang black hole untuk lebih memahami struktur yang paling menakjubkan ini.
Dato' Dr Rushdan Noor
https://www.cfa.harvard.edu/research/topic/black-holes
https://spaceplace.nasa.gov/black-holes/en/
https://www.nationalgeographic.com/science/article/black-holes
https://www.space.com/15421-black-holes-facts-formation-discovery-sdcmp.html
https://news.uchicago.edu/explainer/black-holes-explained
https://www.physicsoftheuniverse.com/topics_blackholes_event.html
https://www.space.com/8293-universe-born-black-hole-theory.html
https://youtu.be/1ZJz-eFeHGI?si=JdSg1LV-DGjuk_Ew
TAHUN GALAKTIK
Bumi mengelilingi matahari yang mengambil masa 365 hari untuk lengkap satu pusingan dan dikenali sebagai 1 tahun bumi ("1 earth year"). Matahari pula yang mewakili sistem solar kita mengelilingi pusat galaksi Milky Way di mana terdapat black hole (lohong hitam) bernama Sagitarius A. Matahari serta sistem solarnya bergerak dengan purata kelajuan 820,000 km sejam dan ia mengambil masa selama 230 juta tahun untuk membuat satu pusingan lengkap mengelilingi pusat galaksi. Satu pusingan lengkap mengelilingi pusat galaksi ini dikenali sebagai 1 tahun galaktik ("1 galactic year"). Usia matahari adalah 4.6 billion tahun jadi setakat ini ia telah mengelilingi pusat galaksi sebanyak 20 kali. Jadi usia matahari kita adalah 20 tahun galaktik ("20 galactic year").