Friday 24 May 2024

ANTARA AHLI POLITIK BERAGAMA DAN AHLI AGAMA YANG BERPOLITIK

Ahli politik ataupun politikus sepatutnya dianggap satu kerjaya seperti guru, doktor, jurutera dan lain-lain. Apabila ianya dianggap satu kerjaya, sepatutnya seseorang yang ingin menjadi seorang ahli politik, perlu mempunyai kelayakan akademik yang minima dan juga berpengalaman. Bagi memastikan mereka ini dalam kalangan orang yang cerdik, sekurang2nya mereka memiliki ijazah yang sah dalam apa2 bidang. Lebih mantap lagi jika mereka pernah mengikuti kursus ataupun latihan di dalam ilmu kepimpinan, komunikasi, sains politik, sejarah dan undang-undang.

Di negara kita, ahli-ahli politik tidak dikehendaki mempunyai kelayakan akademik minima seumpama itu. Pengalaman juga bukan prasyarat wajib. Ada calun2 pilihanraya yang "ditangkap-muat" dan ada yang dipilih sebab mempunyai latarbelakang selebriti semata2. Tidak kurang juga yang dicalunkan itu, sudah mempunyai status dan pengaruh dalam masyarakat, walaupun di dalam bidang yang tidak ada kena mengena dengan politik.
Apabila tidak ada syarat kelayakan akademik dan pengalaman, kita tidak tahu sejauh mana ahli2 politik ini mampu menjalankan tugas mereka. Mungkin kualiti mereka boleh dinilai dari tingkahlaku serta perbahasan mereka di dalam dewan, cara mereka berkomunikasi, ucapan2 mereka dan juga penilaian 360 darjah oleh rakyat yang tinggal di kawasan mereka.
Ahli politik di negara kita mempunyai latarbelakang akademik dan kerjaya yang berbagai. Ada yang pernah menjadi guru, jurutera, doktor, pemain bola, ustaz, pensyarah dan lain-lain. Ramai juga yg ada ijazah walaupun ketulinannya selalu dipertikaikan. Umumnya, rakyat tidak memilih berdasarkan kepada kelayakan ahli politik tetapi berdasarkan kepada parti mana yang mereka wakili. Jadi parti2 politik ini akan bermain sentimen untuk memancing penyokong dan kalau boleh menjadikan mereka taksub agar mereka akan menyokong sesiapa sahaja calun yang diletakkan.
Dalam banyak2 latar-belakang ahli politik ini, yang paling menarik untuk dibincangkan adalah ahli agama ataupun golongan yang mempunyai kelayakan mengajar agama. Tanggungjawab mereka memang besar, bukan sahaja berkaitan dengan kerjaya sebagai ahli politik, tetapi membawa imej agama di mata masyarakat. Mereka mempunyai pengaruh dalam masyarakat kerana ahli agama ini dipandang mulia dan apa yang mereka tuturkan itu akan dianggap benar belaka oleh pengikut mereka. Jika mereka seorang ahli politik yang cekap dan pada waktu yang sama seorang ahli agama yang beramal, maka mereka boleh menjadi alat untuk melonjakkan imej agama. Ini tentulah sesuatu yang positif. Tetapi jika disebaliknya pula, mereka boleh menjadi liabiliti bukan sahaja terhadap imej kerjaya mereka sebagai seorang ustaz/tok guru/ulamak tetapi juga imej agama itu sendiri.
Sesiapa sahaja boleh menjadi orang beragama jika mereka belajar ilmu agama dan beramal (saya gunakan istilah "beragama"), tetapi tidak semestinya seorang ahli agama akan beramal (ada ilmu, layak mengajar, tapi kurang amal). Dalam konteks ini, saya setuju dengan satu pendapat mengatakan "adalah lebih selamat memilih seorang ahli politik yang beragama daripada memilih seorang ahli agama yang berpolitik".
Dato' Dr Rushdan Noor
21hb Mei 2024

No comments:

Post a Comment