Sunday, 2 August 2026

BAGAIMANA MENENTUKAN SIAPA YANG PERLUKAN UBAT KOLESTEROL?

 



Bukan semua orang dengan kolesterol tinggi memerlukan ubat, dan bukan semua orang dengan kolesterol "normal" bebas daripada risiko penyakit jantung. Keputusan rawatan dibuat berdasarkan tahap risiko keseluruhan, bukan hanya satu nombor pada keputusan ujian darah.

Ramai orang beranggapan bahawa keputusan untuk mengambil ubat kolesterol hanya bergantung kepada bacaan LDL (kolesterol "jahat"). Hakikatnya, doktor tidak membuat keputusan berdasarkan satu nombor sahaja. Sebaliknya, keputusan dibuat dengan melihat risiko keseluruhan seseorang untuk mendapat penyakit jantung dan strok.

Mudahnya, semakin tinggi risiko seseorang, semakin besar manfaat yang diperoleh daripada ubat penurun kolesterol.

Rawatan biasanya dipertimbangkan berdasarkan beberapa perkara berikut:

1. Adakah anda sudah menghidap penyakit salur darah?

Ini adalah kumpulan yang paling jelas memerlukan rawatan.

Contohnya:

  • Pernah mengalami serangan jantung.
  • Pernah diserang strok akibat salur darah tersumbat.
  • Mempunyai salur darah jantung atau kaki yang sempit.
  • Pernah menjalani angioplasti (stent) atau pembedahan pintasan (bypass).

Golongan ini hampir sentiasa memerlukan ubat penurun kolesterol kerana risiko mendapat serangan berulang adalah tinggi.

2. Berapa tinggi risiko anda mendapat penyakit jantung?

Bagi mereka yang belum pernah mengalami penyakit jantung atau strok, doktor akan menganggarkan risiko menggunakan Skor PREVENT™-ASCVD.

Skor ini mengambil kira beberapa maklumat penting seperti:

  • umur;
  • jantina;
  • jumlah kolesterol dan HDL;
  • tekanan darah sistolik;
  • penggunaan ubat darah tinggi;
  • diabetes;
  • merokok;
  • indeks jisim badan (BMI); dan
  • fungsi buah pinggang (eGFR).

Berdasarkan maklumat ini, doktor menganggarkan risiko seseorang mendapat penyakit kardiovaskular dalam tempoh 10 tahun, dan bagi sesetengah individu, risiko jangka panjang juga boleh dinilai.

3. Adakah bacaan LDL terlalu tinggi?

LDL ialah kolesterol yang paling berkait rapat dengan pembentukan plak dalam salur darah.

Semakin tinggi LDL dan semakin lama ia kekal tinggi, semakin besar risiko mendapat penyakit jantung. Oleh itu, individu yang mempunyai LDL yang sangat tinggi selalunya memerlukan ubat selain perubahan gaya hidup.

4. Adakah anda menghidap diabetes?

Diabetes meningkatkan risiko penyakit jantung dengan ketara. Oleh itu, ramai pesakit diabetes mendapat manfaat daripada ubat penurun kolesterol walaupun bacaan LDL mereka tidak terlalu tinggi.

5. Adakah terdapat faktor yang meningkatkan risiko?

Doktor juga akan menilai faktor-faktor lain seperti:

  • sejarah keluarga penyakit jantung pada usia muda;
  • penyakit buah pinggang kronik;
  • sindrom metabolik;
  • penyakit radang kronik;
  • trigliserida yang tinggi secara berterusan; dan
  • faktor-faktor lain yang berkaitan.

6. Adakah anda memerlukan ujian tambahan?

Dalam sesetengah keadaan, doktor mungkin mencadangkan ujian tambahan seperti:

  • Apolipoprotein B (ApoB) untuk menganggarkan bilangan zarah lipoprotein yang boleh menyebabkan pembentukan plak.
  • Lipoprotein(a) [Lp(a)], iaitu faktor risiko yang banyak dipengaruhi oleh genetik. Garis panduan terkini mencadangkan ujian ini dilakukan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup bagi kebanyakan orang.
  • Coronary Artery Calcium (CAC) Score, iaitu imbasan CT khas untuk mengesan kalsium dalam salur darah jantung. Ujian ini boleh membantu membuat keputusan sama ada ubat penurun kolesterol perlu dimulakan apabila risikonya masih tidak jelas.

Gaya hidup tetap menjadi asas rawatan

Tidak kira sama ada anda mengambil ubat atau tidak, gaya hidup sihat tetap merupakan langkah paling penting. Pemakanan yang seimbang, aktiviti fizikal yang berkala, berhenti merokok, mengawal berat badan, tekanan darah dan diabetes semuanya membantu mengurangkan risiko penyakit jantung.

Kesimpulan

Keputusan untuk memulakan ubat kolesterol bukan berdasarkan bacaan LDL sahaja, tetapi berdasarkan risiko keseluruhan seseorang untuk mendapat penyakit jantung dan strok.

Sebab itu, doktor akan menilai sejarah penyakit, mengira risiko menggunakan Skor PREVENT™-ASCVD, mempertimbangkan faktor-faktor yang meningkatkan risiko, dan jika perlu melakukan ujian tambahan seperti ApoB, Lp(a) dan CAC Score sebelum membuat keputusan.

Matlamat utama rawatan bukan sekadar menurunkan bacaan kolesterol, tetapi mencegah serangan jantung, strok dan kematian pramatang. Itulah sebabnya pendekatan moden memberi tumpuan kepada merawat individu berdasarkan tahap risiko mereka, bukannya berdasarkan satu nombor semata-mata.

Dato' Dr.Rushdan Noor

2hb Ogos 2026

RUJUKAN

Blumenthal RS, Morris PB, Gaudino M, Johnson HM, Anderson TS, Bittner VA, et al. 2026 ACC/AHA/AACVPR/ABC/ACPM/ADA/AGS/APhA/ASPC/NLA/PCNA Guideline on the Management of Dyslipidemia: A Report of the American College of Cardiology/American Heart Association Joint Committee on Clinical Practice Guidelines. Journal of the American College of Cardiology. 2026;87(19):2624–2757. doi:10.1016/j.jacc.2025.11.016.


GERAF YANG MENGUBAH PEMAHAMAN KITA TENTANG KOLESTEROL LDL DAN PENYAKIT JANTUNG

 


Dalam dunia perubatan, terdapat ribuan kajian yang mengkaji hubungan antara kolesterol LDL dan penyakit jantung. Namun, ada satu geraf yang dianggap antara bukti paling kukuh bahawa kolesterol LDL bukan sekadar dikaitkan dengan penyakit jantung, tetapi merupakan punca (causal factor) kepada aterosklerosis dan penyakit kardiovaskular (ASCVD).

Geraf ini diterbitkan oleh European Atherosclerosis Society Consensus Panel dalam European Heart Journal pada tahun 2017 hasil kajian dan analisis oleh Prof. Brian A. Ference dan rakan-rakan. Keistimewaan geraf ini ialah ia menggabungkan bukti daripada tiga jenis kajian yang berbeza, tetapi semuanya menunjukkan kesimpulan yang sama.

Apa yang ditunjukkan oleh geraf ini?

Pada paksi mendatar (X) ialah jumlah penurunan LDL-C (mg/dL), manakala paksi menegak (Y) menunjukkan peratus pengurangan risiko penyakit jantung koronari (CHD).

Geraf ini memaparkan tiga garisan:

1. Kajian Randomized Controlled Trials (RCT) – Garisan Merah

Ini merupakan kajian intervensi yang dianggap piawaian emas dalam penyelidikan klinikal. Pesakit diberikan ubat seperti statin, ezetimibe atau PCSK9 inhibitor untuk menurunkan LDL, kemudian dibandingkan dengan kumpulan kawalan.

Keputusannya jelas. Semakin banyak LDL diturunkan, semakin rendah risiko serangan jantung dan strok. Secara purata, penurunan LDL sebanyak 1 mmol/L (≈39 mg/dL) selama kira-kira lima tahun mengurangkan risiko kejadian kardiovaskular sekitar 20–25%.


2. Kajian Kohort Prospektif – Garisan Hijau

Kajian ini mengikuti ratusan ribu individu selama lebih sedekad tanpa memberikan sebarang rawatan khusus. Para penyelidik hanya memerhati hubungan antara paras LDL dengan kejadian penyakit jantung.

Keputusannya juga menunjukkan hubungan linear. Individu yang mempunyai LDL lebih rendah secara semula jadi mempunyai risiko penyakit jantung yang lebih rendah.


3. Kajian Mendelian Randomization – Garisan Biru

Inilah bukti yang paling menarik.

Sesetengah individu dilahirkan dengan variasi genetik yang menyebabkan paras LDL mereka lebih rendah sepanjang hayat. Mereka tidak mengambil sebarang ubat, tetapi secara semula jadi terdedah kepada LDL yang lebih rendah sejak lahir.

Hasilnya, mereka mempunyai pengurangan risiko penyakit jantung yang jauh lebih besar berbanding mereka yang hanya mula menurunkan LDL ketika dewasa.

Ini membuktikan bahawa tempoh pendedahan kepada LDL juga sangat penting.

Mengapa garisan biru lebih curam?

Ramai orang tertanya-tanya mengapa garisan biru berada jauh di atas garisan merah.

Jawapannya mudah.

Dalam kajian ubat, LDL biasanya diturunkan hanya selepas seseorang berusia 50 atau 60 tahun, dan rawatan berlangsung sekitar lima tahun.

Sebaliknya, dalam kajian genetik, LDL telah rendah sejak lahir. Ini bermakna arteri mereka terdedah kepada LDL yang rendah selama lebih 50 tahun.

Kesannya jauh lebih besar.

Dengan kata lain,

Bukan sahaja paras LDL yang penting, tetapi juga berapa lama salur darah terdedah kepada LDL tersebut.

Konsep ini dikenali sebagai LDL burden atau beban kumulatif LDL.

Apakah mesej utama geraf ini?

Ketiga-tiga jenis kajian—genetik, epidemiologi dan ujian klinikal—menghasilkan corak yang sama.

Semakin rendah LDL, semakin rendah risiko penyakit jantung.

Lebih penting lagi,

Semakin awal LDL dikawal, semakin besar manfaatnya.

Apabila tiga jenis kajian yang menggunakan kaedah berbeza semuanya memberikan kesimpulan yang sama, keyakinan bahawa hubungan itu benar-benar bersifat sebab-akibat menjadi sangat kuat.

Mengapa geraf ini sangat penting?

Dalam sains, satu kajian sahaja jarang mencukupi untuk membuktikan sesuatu.

Tetapi apabila:

  • kajian genetik,
  • kajian pemerhatian, dan
  • kajian klinikal rawak,

semuanya menghasilkan dapatan yang konsisten, maka bukti menjadi amat kukuh.

Geraf ini memenuhi beberapa Kriteria Bradford Hill untuk membuktikan hubungan sebab-akibat, antaranya:

  • Konsisten (consistency): keputusan yang sama dalam pelbagai jenis kajian.
  • Hubungan dos-tindak balas (biological gradient): semakin besar penurunan LDL, semakin besar pengurangan risiko.
  • Urutan masa (temporality): LDL tinggi mendahului berlakunya aterosklerosis.
  • Eksperimen (experiment): menurunkan LDL melalui rawatan mengurangkan kejadian penyakit jantung.

Kesimpulan

Geraf ini merupakan salah satu bukti paling kukuh dalam bidang kardiologi moden bahawa LDL memainkan peranan penyebab dalam pembentukan aterosklerosis dan penyakit jantung.

Ia juga membawa satu mesej penting kepada masyarakat:

Mengurangkan LDL bukan sekadar memperbaiki keputusan ujian darah, tetapi mengurangkan risiko serangan jantung dan strok. Lebih awal LDL dikawal, lebih besar manfaatnya kerana ia mengurangkan beban kumulatif LDL sepanjang hayat.

Inilah sebabnya mengapa garis panduan antarabangsa menekankan pengesanan awal individu berisiko tinggi dan rawatan yang sesuai untuk mencapai sasaran LDL yang disyorkan.


Dato'Dr.Rushdan Noor

Rujukan

  1. Ference BA, Ginsberg HN, Graham I, et al. Low-density lipoproteins cause atherosclerotic cardiovascular disease. 1. Evidence from genetic, epidemiologic, and clinical studies. European Heart Journal. 2017;38(32):2459–2472. doi:10.1093/eurheartj/ehx144.

  2. Cholesterol Treatment Trialists' (CTT) Collaboration. Efficacy and safety of more intensive lowering of LDL cholesterol: a meta-analysis of data from 170,000 participants in 26 randomised trials. Lancet. 2010;376:1670–1681.

  3. Ference BA, Yoo W, Alesh I, et al. Effect of long-term exposure to lower LDL cholesterol beginning early in life on the risk of coronary heart disease. Journal of the American College of Cardiology. 2012;60(25):2631–2639.

Saturday, 1 August 2026

BAGAIMANA MENGURANGKAN BERAT BADAN DENGAN KAEDAH DEFISIT KALORI



Ramai orang beranggapan bahawa untuk menurunkan berat badan, mereka perlu mengamalkan diet yang rumit, membeli produk pelangsing atau mengelakkan terus makanan tertentu. Hakikatnya, prinsip asas penurunan berat badan adalah jauh lebih mudah daripada itu. Kuncinya ialah defisit kalori.

APAKAH DEFISIT KALORI ?

Bayangkan badan kita seperti sebuah akaun bank.

Setiap kali kita makan atau minum, kita "memasukkan" tenaga ke dalam akaun tersebut. Pada masa yang sama, badan sentiasa "mengeluarkan" tenaga untuk bernafas, mengepam darah, berfikir, menghadam makanan dan melakukan aktiviti harian seperti berjalan, bekerja dan bersenam.

Jika tenaga yang masuk lebih banyak daripada yang keluar, lebihan itu akan disimpan sebagai lemak. Sebaliknya, jika tenaga yang keluar lebih banyak daripada yang masuk, badan akan menggunakan simpanan lemak sebagai sumber tenaga. Inilah yang dipanggil defisit kalori.

BAGAIMANA HENDAK MENCAPAI DEFISIT KALORI ?

Secara praktikal, hanya ada tiga cara.

Pertama, makan sedikit kurang daripada kebiasaan.

Ini tidak bermaksud perlu berlapar. Sebaliknya, kurangkan saiz hidangan. Jika sebelum ini dua senduk nasi, cuba kurangkan kepada satu atau satu setengah senduk. Kurangkan pengambilan minuman manis, kuih-muih, makanan bergoreng dan snek yang tinggi kalori.

Kedua, bergerak lebih banyak.

Berjalan kaki selama 30 hingga 45 minit sehari, menggunakan tangga, melakukan kerja rumah atau bersenam secara berkala semuanya membantu meningkatkan penggunaan tenaga oleh badan.

Ketiga, gabungkan kedua-duanya.

Inilah pendekatan yang paling mudah diamalkan dan paling berkesan untuk jangka panjang. Makan sedikit kurang dan bergerak sedikit lebih.

TIDAK PERLU MENGIRA SETIAP KALORI

Ramai orang berasa takut apabila mendengar istilah "kalori". Hakikatnya, kebanyakan orang tidak perlu mengira setiap kalori yang dimakan.

Apa yang lebih penting ialah mengamalkan tabiat pemakanan yang lebih baik:

  • Kurangkan makanan dan minuman bergula.
  • Lebihkan sayur-sayuran.
  • Pilih sumber protein seperti ikan, ayam tanpa kulit, telur dan kekacang.
  • Makan secara perlahan dan berhenti sebelum terlalu kenyang.
  • Elakkan snek tanpa disedari ketika menonton televisyen atau menggunakan telefon.

TIADA DIET AJAIB

Sama ada diet rendah karbohidrat, diet Mediterranean, puasa berselang (intermittent fasting) atau mana-mana diet lain, semuanya boleh membantu menurunkan berat badan jika akhirnya menghasilkan defisit kalori.

Nama diet bukanlah faktor utama. Yang penting ialah diet tersebut membantu kita makan dalam jumlah yang sesuai dan dapat diamalkan secara konsisten.

DAPATKAN BANTUAN PAKAR DIETETIK

Walaupun konsep defisit kalori adalah mudah, ramai orang tidak pasti bagaimana hendak mempraktikkannya dalam kehidupan seharian ataupun mereka gagal selepas mencuba. Berapa banyak nasi yang sesuai? Apakah saiz hidangan yang betul? Bagaimana hendak makan jika menghidap diabetes, darah tinggi atau penyakit buah pinggang?

Dalam keadaan ini, mendapatkan nasihat daripada pakar dietetik adalah langkah yang bijak. Pakar dietetik ialah profesional kesihatan yang terlatih dalam pemakanan dan terapi pemakanan. Mereka akan menilai keadaan kesihatan, tabiat pemakanan, gaya hidup dan matlamat anda sebelum menyediakan pelan pemakanan yang sesuai dan realistik.

Mereka bukan sekadar memberitahu apa yang boleh atau tidak boleh dimakan, malah membantu anda menentukan saiz hidangan, memilih makanan yang sesuai, serta membimbing anda mencapai defisit kalori dengan cara yang selamat, seimbang dan boleh diamalkan dalam jangka panjang.

Jika anda mempunyai penyakit seperti diabetes, obesiti, penyakit jantung atau penyakit buah pinggang, mendapatkan bimbingan daripada pakar dietetik adalah lebih digalakkan supaya pelan pemakanan yang disediakan selamat dan memenuhi keperluan kesihatan anda.

Jangan terpedaya dengan individu yang tidak terlatih dan yang mengaku jurulatih kecergasan tetapi sebenarnya  mempromosi amalan diet yang tidak betul dan menjual produk kesihatan overclaim.

KESIMPULAN

Mengurangkan berat badan sebenarnya tidaklah serumit yang disangka. Prinsipnya mudah: makan sedikit kurang, bergerak sedikit lebih, dan lakukan secara konsisten.

Tiada jalan pintas. Tiada pil ajaib. Tiada produk yang boleh menggantikan prinsip asas ini.

Defisit kalori bukanlah satu jenis diet, tetapi prinsip sains yang menjadi asas kepada hampir semua kaedah penurunan berat badan yang berkesan.

Dato' Dr.Rushdan Noor

1hb Ogos 2026