Friday, 7 August 2026

KERINTANGAN INSULIN: PUNCA SENYAP DI SEBALIK DIABETES DAN OBESITI

Ramai orang menyangka diabetes berlaku semata-mata kerana paras gula dalam darah tinggi. Hakikatnya, bagi kebanyakan pesakit diabetes jenis 2, masalah sebenar bermula lebih awal iaitu kerintangan insulin (insulin resistance).

Insulin ialah hormon yang dihasilkan oleh pankreas untuk membantu glukosa masuk ke dalam sel bagi menghasilkan tenaga. Apabila seseorang mengalami kerintangan insulin, sel-sel badan menjadi kurang sensitif terhadap tindakan insulin. Akibatnya, pankreas terpaksa menghasilkan lebih banyak insulin untuk mengekalkan paras gula darah yang normal.

Pada peringkat awal, bacaan gula mungkin masih normal, tetapi paras insulin sudah tinggi. Lama-kelamaan, pankreas mula gagal menampung keperluan ini dan paras gula darah mula meningkat. Inilah permulaan diabetes jenis 2.

Kerintangan insulin juga dikaitkan dengan obesiti, terutama lemak di bahagian perut, tekanan darah tinggi, trigliserida tinggi, HDL yang rendah, penyakit hati berlemak dan penyakit jantung.

BAGAIMANA MERAWAT KERINTANGAN INSULIN 

Rawatan yang paling berkesan ialah mengubah gaya hidup. Penurunan berat badan walaupun hanya 5–10% sudah mampu meningkatkan sensitiviti insulin dengan ketara.

Kurangkan pengambilan makanan ultra-proses, minuman bergula dan karbohidrat bertapis. Sebaliknya, lebihkan sayur-sayuran, protein yang mencukupi, kekacang, bijirin penuh dan lemak sihat. Kawalan jumlah kalori juga penting jika ingin menurunkan berat badan.

Aktiviti fizikal adalah "ubat" yang sangat berkesan. Senaman aerobik seperti berjalan pantas, berbasikal atau berenang digabungkan dengan latihan kekuatan dapat meningkatkan keupayaan otot menggunakan glukosa tanpa memerlukan insulin yang tinggi.

Tidur yang mencukupi, mengurus tekanan emosi dan berhenti merokok juga membantu memperbaiki sensitiviti insulin.

Bagi sesetengah individu, terutama mereka yang menghidap diabetes atau pradiabetes, doktor mungkin mencadangkan ubat seperti metformin atau ubat lain yang sesuai. Walau bagaimanapun, ubat tidak dapat menggantikan kepentingan perubahan gaya hidup.

KESIMPULAN

Kerintangan insulin bukanlah satu penyakit yang tidak boleh diubah. Dengan pemakanan yang lebih sihat, pengurangan berat badan, senaman yang konsisten dan rawatan yang sesuai, sensitiviti insulin boleh dipertingkatkan. Lebih awal ia dikesan dan dirawat, lebih besar peluang untuk mencegah diabetes serta mengurangkan risiko penyakit jantung dan komplikasi lain.

Dato'Dr.Rushdan Noor

8hb Ogos 2026

No comments:

Post a Comment