Kemajuan teknologi rawatan kanser moden telah menyebabkan banyak jenis kanser yang dihidapi oleh manusia hari ini dapat dipulihkan. Merawat penyakit kanser memerlukan kepakaran tinggi kerana kanser adalah penyakit yang sangat kompleks dan tidak boleh dipandang ringan.
Kanser yang berbeza memerlukan kaedah rawatan yang berbeza. Malahan adakalanya kanser dari jenis yang sama perlu dirawat dengan pendekatan yang berbeza ke atas orang yang berbeza. Seorang yang berbeza walaupun menghidap kanser yang sama akan melalui fasa kehidupan dan tindak balas yang berbeza. Inilah sebabnya penyakit kanser perlu dirawat oleh pakar kanser.
PERINGKAT-PERINGKAT RAWATAN
Memandangkan kanser adalah penyakit yang kompleks maka rawatan terhadap penyakit ini perlu dilakukan dengan kaedah yang sistematik. Secara umumnya terdapat 7 langkah/peringkat yang perlu dilalui oleh seseorang pesakit kanser:
1. PENGESAHAN KANSER. Ini adalah peringkat yang paling penting. Hampir semua jenis kanser wajib disahkan melalui ujian biopsi/cubitan tisu dan pemeriksaan patologi oleh pakar patologi. Kanser TIDAK boleh disahkan melalui ujian darah dan pengimejan. Ujian-ujian ini hanya membantu. Terdapat ramai orang awam yang menyangka mereka menghidap kanser apabila bertemu dengan pengamal perubatan alternatif untuk mengesahkan kanser sedangkan mereka tidak melalui proses pengesahan yang betul.
2. MENENTUKAN PERINGKAT KANSER. Setelah kanser disahkan, pesakit perlu menjalani ujian menentukan peringkat kanser. Pada umumnya peringkat kanser terbahagi kepada peringkat 1, 2, 3 dan 4. Di antara kaedah-kaedah menentukan peringkat adalah ujian pengimejan (Ultrasound/ CT scan/ MRI/ Pet scan dll) dan pembedahan. Ada juga kanser yang perlu ujian darah dan makmal patologi untuk menentukan peringkat serta faktor risiko.
3. MENENTUKAN MATLAMAT RAWATAN KANSER. Melalui maklumat di atas, pakar kanser akan menentukan apakah matlamat rawatan yang hendak diberikan sama ada untuk menyembuhkan kanser (curative) ataupun hanya untuk tujuan mengurangkan gejala ataupun rawatan paliatif. Selalunya kanser yang berada pada peringkat 4 tidak akan dapat dipulihkan sepenuhnya jadi matlamat rawatannya adalah rawatan paliatif.
4. MENENTUKAN KAEDAH RAWATAN TERBAIK. Selepas melakukan 3 perkara di atas, pakar kanser akan berbincang dengan pakar-pakar lain untuk menentukan kaedah rawatan yang terbaik. Terdapat 5 jenis rawatan kanser yang boleh diberikan iaitu rawatan pembedahan, rawatan kemoterapi, rawatan radioterapi, rawatan hormon, rawatan terapi sasaran (targeted therapy) dan kombinasi rawatan-rawatan yang tersebut.
5. KAUNSELING. Pakar Kanser akan memanggil pesakit dan keluarga untuk menyampaikan berita dan maklumat lengkap mengenai kanser yang dihidapi. Sesi kaunseling akan dijalankan dan pesakit akan terlibat di dalam menentukan kaedah rawatan yang terbaik, kemudian kaedah rawatan akan dimaklumkan. Ketika sesi kaunseling inilah pesakit dan ahli keluarga boleh bertanya semua perkara tentang kanser dan rawatan. Sila buat persediaan untuk mendapatkan maklumat yang secukupnya.
6. MEMULAKAN RAWATAN. Jika pembedahan digunakan untuk merawat, maka spesimen yang dibedah keluar akan dihantar ke makmal patologi untuk tujuan pemeriksaan terperinci oleh pakar patologi. Maklumat ini kemudian akan dimaklumkan kepada pakar kanser dan pakar kanser akan menentukan sama ada rawatan pembedahan tadi sudah mencukupi. Ada dalam kalangan pesakit didapati mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kanser berulang dan mereka ini akan disyorkan untuk rawatan lanjut sama ada radioterapi, kemoterapi, terapi hormon ataupun terapi sasaran. Rawatan tambahan ini dikenali sebagai rawatan adjuvan.
7. LAWATAN SUSULAN DAN PEMANTAUAN. Lawatan susulan adalah sangat penting lebih-lebih lagi untuk 2 tahun pertama kerana kemungkinan kanser berulang adalah paling tinggi dalam tempoh 2 tahun pertama selepas rawatan. Selepas selesai rawatan, pesakit akan menjalani rawatan susulan, diberi tarikh temujanji dan pada setiap lawatan susulan mereka akan dipantau untuk mengesan jika berlaku kanser berulang. Pesakit akan dipantau untuk selama sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum dapat disahkan sembuh sepenuhnya daripada kanser.
Begitulah terperincinya kaedah pengesahan dan merawat kanser. Tidak ada jalan singkat sebelum pakar kanser membuat keputusan untuk memilih kaedah rawatan yang terbaik kepada pesakit. Keberkesanan rawatan kanser bukan sahaja ditentukan oleh tanda-tanda hilangnya kanser tersebut, tetapi juga selama mana pesakit itu bebas daripada kanser dan jangka hayat mereka. Rawatan kanser dianggap kurang berkesan jika tempoh bebas daripada kanser itu singkat ataupun kanser itu tidak dapat dihapuskan sepenuhnya. Pesakit yang berbeza akan memberi tindak balas berbeza walaupun menghidap jenis kanser yang sama. Jadi mereka tidak boleh membanding-bandingkan rawatan kanser mereka dengan pesakit lain.
Dato' Dr Rushdan Noor
30hb Disember 2023

No comments:
Post a Comment