Friday, 14 August 2026

MENYANGKAL DAKWAAN RFK JR BAHAWA VAKSIN YANG DIBERIKAN AWAL USIA 6 BULAN PENYEBAB AUTISME

 

Salah satu dakwaan RFK Jr., seorang antivaksin terkenal, ialah kajian-kajian besar yang membuktikan tidak ada kaitan antara vaksin dan autisme sebenarnya hanya mengkaji vaksin yang diberikan selepas usia 6 bulan.

Menurut beliau, vaksin yang diberikan dalam tempoh enam bulan pertama kehidupan, seperti Hepatitis B dan DTP, belum terbukti tidak mempunyai kaitan dengan autisme.

Adakah dakwaan beliau ini benar?

Pertama, beliau sudah tidak dapat mempertahankan tuduhan bahawa vaksin yang diberikan selepas usia 6 bulan menyebabkan autisme. Kini kita ingin pula menjawab helah beliau memfokuskan vaksin DTP dan Hepatitis B.

Ikuti penerangan saya di bawah.

1. BENARKAH KAJIAN SEBELUM INI TIDAK MELIBATKAN BAYI DI BAWAH 6 BULAN?

Tidak benar.

Terdapat kajian besar yang secara khusus menilai pendedahan vaksin pada usia awal bayi.

Antaranya, kajian kohort di United Kingdom melibatkan 109,863 kanak-kanak dan menilai pendedahan thimerosal melalui vaksin DTP dan DT pada usia 3, 4 dan sehingga 6 bulan. Kajian tersebut tidak menemukan bukti bahawa pendedahan melalui vaksin DTP/DT menyebabkan autisme atau gangguan perkembangan saraf.

Satu lagi kajian prospektif UK melibatkan lebih 14,000 kanak-kanak dan menilai pendedahan thimerosal pada usia 3, 4 dan 6 bulan. Selepas pelarasan terhadap faktor-faktor pengeliru, kajian tersebut tidak menemukan bukti meyakinkan bahawa pendedahan awal thimerosal menyebabkan kesan neurologi atau psikologi yang buruk.

Jadi, dakwaan bahawa kajian yang menolak hubungan vaksin-autisme hanya bermula selepas usia enam bulan adalah tidak tepat.

2. KAJIAN BESAR YANG MELIBATKAN VAKSIN PADA BULAN PERTAMA, KETIGA DAN KETUJUH

Kajian Verstraeten et al. menggunakan data 124,170 bayi dalam fasa pertama dan 16,717 kanak-kanak dalam fasa kedua.

Kajian ini secara khusus menilai pendedahan thimerosal daripada vaksin pada bulan pertama, ketiga dan ketujuh kehidupan. Ini sekali lagi menunjukkan bahawa dakwaan bahawa penyelidikan hanya bermula selepas usia enam bulan adalah tidak benar.

3. BAGAIMANA DENGAN VAKSIN DTP?

RFK Jr. boleh menunjukkan kajian Geier & Geier (2006) yang melaporkan lebih banyak laporan gangguan perkembangan saraf, termasuk autisme, selepas vaksin DTP berbanding DTPH. Kajian itu memang wujud.

Tetapi terdapat masalah besar.

Kajian tersebut menggunakan VAERS, iaitu sistem pelaporan kejadian buruk selepas vaksinasi.

Laporan kejadian selepas vaksinasi tidak sama dengan kejadian yang disebabkan oleh vaksin.

VAERS berguna untuk mengesan signal keselamatan yang kemudiannya perlu disiasat dengan kajian epidemiologi yang lebih kukuh. Ia bukan reka bentuk yang sesuai untuk membuktikan bahawa vaksin menyebabkan sesuatu penyakit.

Maka, apabila terdapat laporan autisme selepas vaksin, kita tidak boleh terus membuat kesimpulan bahawa vaksin tersebut menyebabkan autisme.

4. KAJIAN HEPATITIS B — HUJAH YANG SUDAH TIDAK BOLEH DIGUNAKAN

RFK Jr. juga boleh merujuk kepada kajian Gallagher & Goodman (2010) mengenai vaksin Hepatitis B yang diberikan kepada bayi lelaki pada bulan pertama kehidupan.

Kajian itu memang pernah melaporkan association antara vaksinasi Hepatitis B pada bulan pertama dan diagnosis autisme.

Tetapi ada satu fakta yang sangat penting:

Kajian tersebut telah DITARIK BALIK (RETRACTED) pada 21 Mei 2026.

Oleh itu, kajian tersebut tidak lagi boleh dianggap sebagai bukti saintifik yang kukuh untuk menyokong dakwaan bahawa vaksin Hepatitis B menyebabkan autisme.

Menggunakan kajian yang telah diretracted sebagai bukti utama bukanlah cara sains berfungsi.

5. APA KATA KESELURUHAN BUKTI?

Ini perkara yang paling penting.

WHO melalui Global Advisory Committee on Vaccine Safety (GACVS) membuat semakan sistematik terkini terhadap vaksin dan autisme.

Semakan tersebut merangkumi 31 kajian primer dari pelbagai negara serta lima meta-analisis. Dua puluh daripada 31 kajian yang paling kukuh dari segi metodologi, serta kesemua lima meta-analisis, tidak menemukan bukti yang menyokong hubungan antara vaksin dan autisme.

Sebelas kajian yang mencadangkan kemungkinan hubungan pula mempunyai masalah metodologi yang ketara, risiko bias yang tinggi dan kekuatan bukti yang sangat rendah.

WHO akhirnya menegaskan bahawa bukti saintifik berkualiti tinggi tidak menunjukkan hubungan kausal antara vaksin dan autisme, termasuk vaksin yang mengandungi thiomersal atau aluminium.

6. JADI, APA HELAHNYA?

RFK Jr. mengubah persoalan.

Apabila dakwaan umum bahawa vaksin menyebabkan autisme semakin sukar dipertahankan berdasarkan keseluruhan bukti, fokus dialihkan kepada:

“Bagaimana pula dengan vaksin yang diberikan sebelum enam bulan?”

Kemudian beberapa kajian yang melaporkan association dipilih untuk menimbulkan persoalan baharu.

Tetapi prinsip sains tidak berubah:

Association ≠ causation.

Satu kajian yang menunjukkan association tidak boleh mengatasi keseluruhan bukti apabila kajian tersebut lemah, mempunyai risiko bias atau telah ditarik balik.

KESIMPULAN

RFK Jr. tidak membuktikan bahawa vaksin DTP atau Hepatitis B yang diberikan pada usia awal menyebabkan autisme.

Sebaliknya, terdapat kajian besar yang memang menilai pendedahan vaksin pada usia 3, 4 dan 6 bulan, malah terdapat kajian yang menilai pendedahan pada bulan pertama kehidupan, dan kajian-kajian tersebut tidak memberikan bukti kukuh bahawa vaksin menyebabkan autisme.

Kajian Hepatitis B yang sering dijadikan hujah pula telah ditarik balik pada Mei 2026.

Jadi persoalan sebenar bukan:

“Adakah terdapat kajian yang pernah menemukan kaitan?”

Persoalan yang lebih penting ialah:

“Apakah yang ditunjukkan oleh keseluruhan bukti yang paling berkualiti?”

Jawapannya jelas:

VAKSIN TIDAK TERBUKTI MENYEBABKAN AUTISME.

Dalam sains, kita tidak memilih kajian untuk membuktikan apa yang kita percaya.

Kita menilai semua bukti dan membiarkan bukti menentukan apa yang patut kita percaya.


RUJUKAN

  1. Andrews N, Miller E, Grant A, et al. Thimerosal exposure in infants and developmental disorders: A retrospective cohort study in the United Kingdom does not support a causal association. Pediatrics. 2004;114(3):584–591. doi:10.1542/peds.2003-1177-L.

  2. Heron J, Golding J; ALSPAC Study Team. Thimerosal exposure in infants and developmental disorders: A prospective cohort study in the United Kingdom does not support a causal association. Pediatrics. 2004;114(3):577–583. doi:10.1542/peds.2003-1176-L.

  3. Verstraeten T, Davis RL, DeStefano F, et al. Safety of thimerosal-containing vaccines: A two-phased study of computerized health maintenance organization databases. Pediatrics. 2003;112(5):1039–1048. doi:10.1542/peds.112.5.1039.

  4. Geier DA, Geier MR. An evaluation of the effects of thimerosal on neurodevelopmental disorders reported following DTP and Hib vaccines in comparison to DTPH vaccine in the United States. Journal of Toxicology and Environmental Health, Part A. 2006;69:1481–1495. doi:10.1080/15287390500364556.

  5. Gallagher CM, Goodman MS. Hepatitis B vaccination of male neonates and autism diagnosis, NHIS 1997–2002. Journal of Toxicology and Environmental Health, Part A. 2010;73(24):1665–1677. doi:10.1080/15287394.2010.519317. Retracted 21 May 2026.

  6. WHO Global Advisory Committee on Vaccine Safety (GACVS). Statement on vaccines and autism. 11 December 2025.

  7. WHO. Vaccines, Thimerosal and Autism Spectrum Disorder: Evidence Review 2010–2025. 12 December 2025.

Dato' Dr.Rushdan Noor
15 Ogos 2026


No comments:

Post a Comment