Saturday, 1 August 2026

BAGAIMANA MENGURANGKAN BERAT BADAN DENGAN KAEDAH DEFISIT KALORI



Ramai orang beranggapan bahawa untuk menurunkan berat badan, mereka perlu mengamalkan diet yang rumit, membeli produk pelangsing atau mengelakkan terus makanan tertentu. Hakikatnya, prinsip asas penurunan berat badan adalah jauh lebih mudah daripada itu. Kuncinya ialah defisit kalori.

APAKAH DEFISIT KALORI ?

Bayangkan badan kita seperti sebuah akaun bank.

Setiap kali kita makan atau minum, kita "memasukkan" tenaga ke dalam akaun tersebut. Pada masa yang sama, badan sentiasa "mengeluarkan" tenaga untuk bernafas, mengepam darah, berfikir, menghadam makanan dan melakukan aktiviti harian seperti berjalan, bekerja dan bersenam.

Jika tenaga yang masuk lebih banyak daripada yang keluar, lebihan itu akan disimpan sebagai lemak. Sebaliknya, jika tenaga yang keluar lebih banyak daripada yang masuk, badan akan menggunakan simpanan lemak sebagai sumber tenaga. Inilah yang dipanggil defisit kalori.

BAGAIMANA HENDAK MENCAPAI DEFISIT KALORI ?

Secara praktikal, hanya ada tiga cara.

Pertama, makan sedikit kurang daripada kebiasaan.

Ini tidak bermaksud perlu berlapar. Sebaliknya, kurangkan saiz hidangan. Jika sebelum ini dua senduk nasi, cuba kurangkan kepada satu atau satu setengah senduk. Kurangkan pengambilan minuman manis, kuih-muih, makanan bergoreng dan snek yang tinggi kalori.

Kedua, bergerak lebih banyak.

Berjalan kaki selama 30 hingga 45 minit sehari, menggunakan tangga, melakukan kerja rumah atau bersenam secara berkala semuanya membantu meningkatkan penggunaan tenaga oleh badan.

Ketiga, gabungkan kedua-duanya.

Inilah pendekatan yang paling mudah diamalkan dan paling berkesan untuk jangka panjang. Makan sedikit kurang dan bergerak sedikit lebih.

TIDAK PERLU MENGIRA SETIAP KALORI

Ramai orang berasa takut apabila mendengar istilah "kalori". Hakikatnya, kebanyakan orang tidak perlu mengira setiap kalori yang dimakan.

Apa yang lebih penting ialah mengamalkan tabiat pemakanan yang lebih baik:

  • Kurangkan makanan dan minuman bergula.
  • Lebihkan sayur-sayuran.
  • Pilih sumber protein seperti ikan, ayam tanpa kulit, telur dan kekacang.
  • Makan secara perlahan dan berhenti sebelum terlalu kenyang.
  • Elakkan snek tanpa disedari ketika menonton televisyen atau menggunakan telefon.

TIADA DIET AJAIB

Sama ada diet rendah karbohidrat, diet Mediterranean, puasa berselang (intermittent fasting) atau mana-mana diet lain, semuanya boleh membantu menurunkan berat badan jika akhirnya menghasilkan defisit kalori.

Nama diet bukanlah faktor utama. Yang penting ialah diet tersebut membantu kita makan dalam jumlah yang sesuai dan dapat diamalkan secara konsisten.

DAPATKAN BANTUAN PAKAR DIETETIK

Walaupun konsep defisit kalori adalah mudah, ramai orang tidak pasti bagaimana hendak mempraktikkannya dalam kehidupan seharian ataupun mereka gagal selepas mencuba. Berapa banyak nasi yang sesuai? Apakah saiz hidangan yang betul? Bagaimana hendak makan jika menghidap diabetes, darah tinggi atau penyakit buah pinggang?

Dalam keadaan ini, mendapatkan nasihat daripada pakar dietetik adalah langkah yang bijak. Pakar dietetik ialah profesional kesihatan yang terlatih dalam pemakanan dan terapi pemakanan. Mereka akan menilai keadaan kesihatan, tabiat pemakanan, gaya hidup dan matlamat anda sebelum menyediakan pelan pemakanan yang sesuai dan realistik.

Mereka bukan sekadar memberitahu apa yang boleh atau tidak boleh dimakan, malah membantu anda menentukan saiz hidangan, memilih makanan yang sesuai, serta membimbing anda mencapai defisit kalori dengan cara yang selamat, seimbang dan boleh diamalkan dalam jangka panjang.

Jika anda mempunyai penyakit seperti diabetes, obesiti, penyakit jantung atau penyakit buah pinggang, mendapatkan bimbingan daripada pakar dietetik adalah lebih digalakkan supaya pelan pemakanan yang disediakan selamat dan memenuhi keperluan kesihatan anda.

Jangan terpedaya dengan individu yang tidak terlatih dan yang mengaku jurulatih kecergasan tetapi sebenarnya  mempromosi amalan diet yang tidak betul dan menjual produk kesihatan overclaim.

KESIMPULAN

Mengurangkan berat badan sebenarnya tidaklah serumit yang disangka. Prinsipnya mudah: makan sedikit kurang, bergerak sedikit lebih, dan lakukan secara konsisten.

Tiada jalan pintas. Tiada pil ajaib. Tiada produk yang boleh menggantikan prinsip asas ini.

Defisit kalori bukanlah satu jenis diet, tetapi prinsip sains yang menjadi asas kepada hampir semua kaedah penurunan berat badan yang berkesan.

Dato' Dr.Rushdan Noor

1hb Ogos 2026

No comments:

Post a Comment