Saturday, 21 November 2026

MENGAPA ISTILAH KOLESTEROL JAHAT DAN KOLESTEROL BAIK MASIH DIGUNAKAN?

 


MENGAPA ISTILAH KOLESTEROL JAHAT DAN KOLESTEROL BAIK MASIH DIGUNAKAN?

Kolesterol sebenarnya diperlukan oleh badan, sama seperti glukosa. Ia penting untuk membina membran sel, menghasilkan hormon dan menjalankan pelbagai fungsi fisiologi. Namun, apabila bercakap tentang kolesterol dalam darah, kita perlu memahami bagaimana ia diangkut dan apakah kesannya terhadap kesihatan.

Kolesterol tidak larut dalam air, jadi ia memerlukan zarah pengangkut yang dinamakan lipoprotein. Dua jenis yang paling dikenali ialah LDL dan HDL. Untuk memudahkan pemahaman, bayangkan lipoprotein seperti lori dan kolesterol sebagai kotak yang dibawanya.

Apabila ujian darah mengukur LDL-C, sebenarnya yang diukur ialah jumlah kolesterol dalam semua zarah LDL, bukannya bilangan zarah LDL itu sendiri. Begitu juga dengan HDL-C, iaitu jumlah kolesterol yang dibawa oleh zarah HDL.

Pada peringkat awal perkembangan perubatan, mengukur kandungan kolesterol lebih mudah berbanding mengukur bilangan zarah pengangkut. Sebab itulah LDL-C dan HDL-C digunakan secara meluas dalam penyelidikan dan amalan klinikal.

Banyak kajian epidemiologi, genetik dan ujian klinikal menunjukkan bahawa peningkatan LDL-C berkait dengan peningkatan risiko penyakit jantung. Lebih penting, kajian intervensi membuktikan bahawa penurunan LDL-C melalui rawatan ubat dapat mengurangkan kejadian serangan jantung dan strok. 

Sebaliknya pula, kajian pemerhatian mendapati HDL-C yang lebih tinggi lazimnya dikaitkan dengan risiko penyakit kardiovaskular yang lebih rendah. Inilah sebabnya LDL-C digelar kolesterol jahat dan HDL-C pula kolesterol baik. Istilah tersebut sebenarnya bertujuan memudahkan penerangan kepada orang awam, bukannya bermaksud molekul kolesterol itu sendiri mempunyai sifat baik atau jahat.

Bagaimanapun, HDL-C yang tinggi tidak semestinya memberikan perlindungan tambahan. Kajian menunjukkan bahawa menaikkan HDL-C menggunakan ubat tidak semestinya mengurangkan risiko serangan jantung. Fungsi HDL dalam pengangkutan kolesterol dan metabolisme badan jauh lebih kompleks daripada sekadar jumlah kolesterol yang dibawanya.

APAKAH APOB DAN Lp(a)?

Dengan kemajuan teknologi makmal, kita kini boleh mengukur bukan sahaja jumlah kolesterol, tetapi juga mendapatkan gambaran tentang bilangan zarah lipoprotein yang mengangkutnya.

Penyelidik mendapati pada pengangkut atau lipoprotein itu ada zarah atau molekul dikenali sebagai Apo B yang turut menyumbang kepada pembentukan plak dalam saluran darah.

Di sinilah pentingnya ujian Apo B. Apo B ialah protein pada permukaan zarah lipoprotein seperti LDL, VLDL, IDL dan Lp(a), yang juga dikenali sebagai zarah aterogenik (menyebabkan penyumbatan). Setiap pengangkut ini mempunyai satu molekul Apo B. Oleh itu, bacaan Apo B boleh digunakan untuk menganggarkan jumlah zarah lipoprotein yang berpotensi menyebabkan penyumbatan.

Dua orang yang mempunyai bacaan kolesterol LDL yang sama boleh mempunyai risiko yang berbeza. Kita kembali kepada analogi lori dan kotak. Bayangkan lori membawa jumlah 100 kotak (kolesterol) yang sama. Keadaan pertama setiap lori membawa 10 kotak, manakala keadaan kedua lori membawa 20 kotak setiap satu. Walaupun jumlah kotaknya sama, bilangan lori yang diperlukan berbeza. Dalam keadaan pertama, lori atau zarah pengangkutnya lebih banyak, jadi risiko lebih tinggi.

Begitulah perbezaan antara LDL-C dengan Apo B. LDL-C mengukur jumlah kolesterol yang dibawa, manakala Apo B memberikan gambaran tentang bilangan zarah pengangkut. Seseorang mungkin mempunyai LDL-C yang tidak begitu tinggi tetapi bilangan zarah ApoB yang banyak. Keadaan ini boleh membawa risiko sakit jantung yang lebih tinggi. Namun, jumlah kolesterol yang dibawa juga tetap penting kerana beban kolesterol yang tinggi turut menyumbang kepada risiko penyakit.

Dalam keadaan tertentu, khususnya apabila terdapat ketidakpadanan antara LDL-C dengan bilangan zarah pengangkut, ujian Apo B memberikan maklumat tambahan yang berguna untuk menilai risiko sakit jantung

Lp(a) atau Lipoprotein(a) pula ialah zarah yang menyerupai LDL, tetapi mempunyai komponen tambahan bernama apolipoprotein(a) yang melekat padanya (pada bahagian Apo B-100). Paras Lp(a) sebahagian besarnya ditentukan oleh faktor genetik. Paras yang tinggi meningkatkan risiko penyakit jantung secara bebas daripada LDL-C. Oleh itu, ujian Lp(a) boleh mengenal pasti individu yang mempunyai risiko tambahan walaupun bacaan LDL-C mereka tidak begitu tinggi.

Walaupun ApoB dan Lp(a) memberikan maklumat penting, LDL-C tidak boleh diketepikan. LDL-C masih menjadi penanda utama dalam penilaian dan rawatan risiko kardiovaskular kerana terdapat bukti yang sangat kukuh, termasuk ujian klinikal berskala besar, bahawa penurunan LDL-C mengurangkan kejadian serangan jantung. Apo B dan Lp(a) melengkapkan penilaian risiko, bukannya menggantikan LDL-C sepenuhnya.

JADI, KOLESTEROL ITU BAIK ATAU JAHAT?

Persoalan ini hampir sama seperti bertanya sama ada glukosa itu baik atau jahat. Kedua-duanya diperlukan oleh badan, tetapi jumlah berlebihan atau gangguan metabolisma boleh membawa kemudaratan.

Dalam penyakit kardiovaskular, masalah utamanya bukan kewujudan kolesterol dalam badan, tetapi pendedahan berpanjangan kepada zarah pengangkut atau lipoprotein yang mengandungi Apo B. Zarah-zarah ini boleh memasuki dan tertahan dalam lapisan dinding arteri, lalu mencetuskan tindak balas keradangan serta pembentukan plak aterosklerosis.

Plak tersebut bukan terdiri daripada zarah pengangkut semata-mata. Ia mengandungi pelbagai komponen, termasuk kolesterol, sel keradangan, tisu penghubung dan bahan lain. Oleh itu, peranan kolesterol dalam pembentukan plak tidak boleh dinafikan.

Kita juga perlu faham bahawa masalah ini bukan hanya disebabkan oleh LDL yang kecil dan padat atau LDL yang telah teroksida. Semua zarah lipoprotein yang mengandungi Apo B berpotensi menyumbang kepada penyumbatan. Saiz, komposisi dan pengubahsuaian zarah boleh mempengaruhi risikonya, tetapi bilangan zarah serta tempoh pendedahan kepada zarah tersebut juga sangat penting.

Bukti bahawa LDL-C merupakan faktor penyebab plak saluran darah bukan sekadar berdasarkan perkaitan statistik. Ia disokong oleh pelbagai lapisan bukti yang saling mengukuhkan, termasuk kajian epidemiologi, genetik manusia seperti familial hypercholesterolaemia, kajian mekanistik dan RCTs yang menunjukkan bahawa penurunan LDL-C dapat mengurangkan kejadian kardiovaskular.

Kesimpulannya, istilah kolesterol baik dan jahat masih berguna untuk pendidikan kesihatan awam, asalkan kita memahami maksud sebenarnya. Kolesterol itu sendiri bukan jahat jika bacaannya normal. Yang lebih menjadi masalah ialah zarah pengangkut khususnya Apo B yang tinggi dan pendedahan berlaku secara berlebihan serta berpanjangan.

Apabila melihat keputusan ujian darah, LDL-C, HDL-C, non-HDL-C, Apo B dan Lp(a) sebenarnya memberikan gambaran daripada sudut yang berbeza tentang sistem pengangkutan lemak dalam darah. Setiap satunya mempunyai peranan tersendiri dalam menilai risiko penyakit jantung.

Sebagai rumusan, ada dua perkara penting yang perlu kita ingat:

1. LDL-C mengukur jumlah kolesterol yang dibawa oleh zarah LDL, manakala Apo B membantu menganggarkan bilangan zarah lipoprotein yang berpotensi menyebabkan penyumbatan Kedua-duanya berkaitan tetapi bukan perkara yang sama.

2. Kita bukan sekadar mahu mengetahui berapa banyak kolesterol yang dibawa oleh lori, tetapi juga berapa banyak lori aterogenik yang berada dalam aliran darah dan berapa lama arteri terdedah kepadanya.

3. Walaupun pengangkut itu penting, muatan atau kolesterol juga tidak boleh diabaikan kerana umpama jalan raya yang dipenuhi oleh lori yang tinggi muatannya, tetap merbahayakan keselamatan. Jadi kolesterol LDL yang mewakili muatan tetap penting, boleh menyumbang kepada penyumbatan saluran darah, sebab itu dikenali sebagai kolesterol jahat.

Dato' Dr.Rushdan Noor

24hb Nov 2026


RUJUKAN


1. Ference BA, et al. Low-density lipoproteins cause atherosclerotic cardiovascular disease. European Heart Journal. 2017;38:2459–2472.

2. Borén J, et al. Low-density lipoproteins cause atherosclerotic cardiovascular disease: pathophysiological, genetic, and therapeutic insights. European Heart Journal. 2020;41:2313–2330.

3. Mach F, et al. 2019 ESC/EAS Guidelines for the management of dyslipidaemias. European Heart Journal. 2020;41:111–188.

4. Kronenberg F, et al. Lipoprotein(a) in atherosclerotic cardiovascular disease and aortic stenosis. European Heart Journal. 2022;43:3925–3946.





No comments:

Post a Comment