Tuesday 6 October 2020

BINTANG DAN GALAKSI


Milky Way

BINTANG DAN GALAKSI

Imej pertama (Rajah 1) yang tertera di bawah adalah bintang dan galaksi-galaksi yang diambil oleh Teleskop Hubble NASA/ESA. Setiap satu titik cahaya yang kelihatan adalah sebuah galaksi. Berapakah jarak objek-objek yang kelihatan di dalam imej tersebut daripada kita? Unit jarak yang digunakan oleh Ahli Astronomi adalah light-years. Satu light-year adalah jarak yang dilalui oleh cahaya dalam masa 1 tahun. Jadi jika kita menyuluh cahaya yang cukup kuat, ia akan bergerak dengan kelajuan 300,000 km dalam masa satu saat. Maka 1 light-year adalah bersamaan dengan 9 trillion km (6 trillion batu). 1 trilion adalah 1,000,000,000,000 (12 kosong). Lagi jauh jarak objek, lagi lama cahayanya akan sampai kepada kita. Ini bermaksud imej yang dilihat di dalam teleskop itu bukan imej sekarang, sebaliknya imej yang lama bergantung berapa lama cahaya akan sampai kepada teleskop.

Rajah 1

Bintang yang terdekat dengan bumi adalah matahari mempunyai jarak 93 juta batu. Berdasarkan kepada kelajuan cahaya, cahaya dari matahari akan sampai ke bumi dalam masa 8.3 minit. Ini bermaksud, imej matahari yang kita lihat pada satu-satu masa adalah imej matahari yang sudah berusia 8.3 minit. Bintang yang jaraknya 5 light-year, apabila kita melihatnya pada ketika itu sebenarnya sudah berusia 5 tahun dahulu. Disebabkan alam semesta ini tersangat luas, ada objek dan galaksi yang jaraknya berjuta-juta light-year. Sistem solar terletak di dalam galaksi yang dikenali sebagai Milky Way (imej paling atas). Galaksi yang paling dekat dengan Milky Way adalah Andromeda. Rajah kedua di bawah adalah galaksi Andromeda yang diambil oleh NASA (menggunakan teleskop Galex) dan jaraknya adalah 2.5 juta light-years. Maka imej yang diambil itu sebenarnya imej galaksi Andromeda 2.5 juta tahun dahulu. Dalam tahun 2016 Teleskop Hubble NASA dapat mengambil imej galaksi paling jauh yang mampu diambil iaitu galaksi GN-z11. Jarak galaksi GN-z11 adalah 13.4 bilion light-year. Gambar di rajah 3 adalah galaksi GN-z11, disebabkan ianya tersangat jauh maka kedudukannya semakin dekat dengan kejadian asal-usul alam semesta yang dikenali sebagai BIG BANG. Galaksi GN-z11 boleh dianggap salah satu galaksi yang paling awal dihasilkan selepas BIG BANG di mana kedudukan galaksi ini adalah 400 juta tahun selepas big bang. Dengan perkataan lain, galaksi GN-z11 adalah di antara galaksi yang paling tua. Melalui pemerhatian dan kajian inilah Pakar Astronomi dapat mempelajari kejadian alam semesta secara lebih dekat dan lebih tepat.

Rajah 2


Rajah 3

Dengan kemampuan teleskop Hubble setakat ini, di dalam alam semesta ini terdapat 100-200 bilion galaksi. Bilangan galaksi akan meningkat jika keupayaan teleskop lebih tinggi di masa hadapan. Saiz dan bentuk galaksi ini pula berbeza-beza. Galaksi pula dibina oleh bintang (star), bintang adalah objek bercahaya yang boleh kelihatan di angkasa lepas, bintang yang terdekat dengan bumi adalah matahari. Sebuah bintang pula dikelilingi oleh beberapa planet, bumi adalah salah satu planet yang mengelilingi matahari. Sistem solar ataupun cakera suria dibentuk oleh satu bintang yakni matahari yang dikelilingi oleh planet-planet di bawah pengaruh gravitinya. Di samping planet-planet, sistem solar ini juga mengandungi bulan, asteroid, komet dan lain-lain objek. Terdapat lebih 100 bilion bintang di dalam satu galaksi. Jadi alam semesta dibina oleh 100-200 bilion galaksi dan setiap galaksi mengandungi sekitar 100 bilion bintang. Jadi bolehlah dikatakan bahawa galaksi adalah unit asas alam semesta, umpama bata yang membina sebuah rumah. Indah dan hebat ciptaan Allah swt.


Dato'Dr.Rushdan Noor


RUJUKAN : https://spaceplace.nasa.gov/light-year/en/

No comments:

Post a Comment