Sunday, 25 October 2020

FATWA LARANGAN MENYALAHGUNAKAN PEMBESAR SUARA DI MASJID DAN SURAU


FATWA MELARANG PENGGUNAAN PEMBESAR SUARA LUAR MASJID DAN SURAU SELARAS DENGAN AJARAN ISLAM

Mufti Pulau Pinang


Fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang dalam mesyuaratnya pada 30-31 Oktober 2015, yang membenarkan penggunaan pembesar suara luar di masjid dan surau seluruh Negeri Pulau Pinang hanya untuk laungan azan dan iqamah, adalah selaras dengan ajaran Agama Islam yang sebenar.

Lain-lain aktiviti keagamaan termasuk bacaan al-Qur'an, zikir, qiyamullail, ceramah, kuliah dan seumpamanya dengan menggunakan pembesar suara luar masjid dan surau adalah dilarang menurut hukum syarak kerana perbuatan tersebut boleh mengganggu orang ramai sama ada Muslim atau Bukan Muslim.

Perlu diketahui bahawa agama Islam melarang umatnya daripada menyakiti orang lain sama ada secara fizikal mahupun emosional. Ini termasuklah memaki hamun, mencerca, mempersenda, menghina mengganggu ketenteraman dan sebagainya. Larangan ini boleh difahami daripada banyak nass al-Qur'an dan hadis, antaranya firman Allah SWT di dalam ayat 55 surah al-A'raf yang bermaksud "Serulah Tuhan kamu (melalui do'a, zikir, munajat dan lain-lain) dalam keadaan menghina diri dan memperlahankan suara, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau."

Maksud yang sama boleh difahami daripada ayat 205, juga dalam surah al-A'raf.

Manakala contoh daripada hadis pula kita boleh sebutkan di sini peristiwa Rasulullah s.'a.w. beriktikaf bersama para sahabatnya di dalam masjid, Apabila Baginda mendengar mereka membaca al-Qur'an, dengan meninggikan suara, Baginda lantas bersabda "Setiap orang daripada kalian sedang bermunajat kepada Tuhannya, maka janganlah sebahagian menyakiti sebahagian yang lain dengan bacaannya (yang nyaring)."

Dalam sebuah hadis lsin Baginda melarajng para sahabat menyaringkan suara dalam munajat atau do'a mereka dengan menegaskan Allah tidak pekak atau berjauhan daripada mereka.

Jadi, berdasarkan kepada nass-nass di atas dan kepada amalan golongan Salafussalih zaman dahulu maka umat Islam tidak perlu menyaringkan suara ketika membaca al-Qur'an, berzikir, berdo'a dan sebagainya, apa lagilah dengan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau. Malah di dalam masjid dan suraupun jika tiada keperluan seperti memperdengarkan bacaan imam kepada makmum yang ramai, sebaiknya tidak digunakan pembesar suara. 

Umat Islam perlu faham bahawa untuk beribadat kepada Tuhan mereka tidak wajar menyakiti orang-orang lain. Mereka juga perlu faham perubahan yang berlaku pada zaman kini yang berbeza dengan masa-masa lalu. Dahulu kebanyakan orang Melayu tinggal di kampung-kampung di nana rumah masing-masing terletak berjauhan antara satu sama lain. Kini ramai yang berpindah dan tinggal di bandaraya di mana mereka berjiran atau betkongsi tempat tinggal di kawasan perumahan yang sama, malah ramai yang berkongsi rumah pangsa atau apartment. Justru untuk mencapai kehidupan  yang harmoni dalam masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya, memerlukan sikap saling menghormati antara satu sama lain di samping mengelak perbuatan-perbuatan yang boleh membawa kepada ketegangan dalam hubungan antara mereka.

Penggunaan pembesar suara di luar masjid dan surau mengganggu mereka yang tinggal berdekatan dengan masjid dan surau. Sebagai manysia mereka berhak menikmati kehidupan yang tenang dan tenteram tanpa diganggu dengan kebingitan pembesar suara atau apa jua faktor gangguan. Sudah tentu ada yang sakit, ada orang tua yang uzur, anak kecil, pekerja yang ingin berihat atau tidur setelah penat bekerja, pelajar yang mengulang kaji pelajaran dan sebagainya. Kesemua ini perlu dipetkirakan demi mencapai keharmonian hudup bermasyarakat. Hanya mereka yang hadir di masjid dan surau sahaja yang ingin mendengar ceramah, kuliah dan turut serta dalam program dan aktiviti masjid dan surau. Orang yang tidak hadir di madjid dan surau bererti mereka tidak mahu terlibat dengan program dan aktiviti tersebut.

Selain itu, dilihat dari sudut dakwah, penggunaan pembesar suara di luar masjid dan surau boleh menjejaskan imej agama Islam itu sendiri terutama bagi orang Bukan Islam. Mereka mungkin  salah faham terhafap agama Islam dan beranggapan ia adalah agama yang mengajar umatnya bersikap keakuan, eksklusif dan tidak sensutif kepada kepentingan orang lain! Ini boleh menghalang mereka daripada mendekati agama kita dan cuba memahaminya sebagai Agama Rahmat untuk sekelian manusia. Kesemua ini merugikan usaha-usaha dakwah untuk menarik lebih ramai lagi penduduk Malaysia yang Bukan Islam kepada agama kita.

Semoga dengan penjelasan di atas umat Islam, di Pulau Pinang Khususnya dan di tempat-tempat lain umumnya, dapat memahami maksud sebenar di sebalik fatwa larangan menggunakan

pembesar suara di luar masjid dan surau di negeri Pulau Pinang, untuk semua program dan aktiviti keagamaan kecuali untuk azan dan iqamah sahaja sebagai menzahirkan syiar Islam. Moga-moga amalan kita yang ikhlas mendapat keredhaan-Nya jua.


DATO' SERI DR. WAN SALIM WAN MIHD NOIR

MUFTI PULAU PINANG

No comments:

Post a Comment