Untuk memastikan sesuatu proses kelahiran itu berakhir dengan ibu dan anak yang sihat, proses kelahiran tersebut hendaklah dikendalikan oleh petugas yang terlatih ataupun bidan terlatih di dalam persekitaran yang kondusif. Apakah yang dimaksudkan dengan bidan terlatih?. Bidan terlatih merujuk kepada petugas kesihatan yang layak untuk mengendalikan kelahiran seseorang ibu yang hamil sehingga proses kelahiran itu dianggap selamat. Mereka juga layak untuk membuat pemeriksaan dan memberi nasihat kesihatan kpd ibu hamil , ibu yang sakit hendak bersalin dan ibu yang di dlm pantang. Pegawai Perubatan O&G dan Pakar O&G adalah doktor-doktor yang telah terlatih untuk mengendalikan proses kehamilan, kelahiran dan selepas bersalin, jadi mereka juga dianggap petugas yang terlatih. Mereka-mereka ini juga akan bertanggungjawab di dalam proses rawatan yang lebih kompleks dan terperinci. Di samping doktor, terdapat juga jururawat yang layak mengendalikan wanita hamil termasuk menyambut kelahiran, kita akan berkenalan dengan mereka.
Terdapat dua kategori jururawat yang layak untuk mengendalikan wanita yang hamil, menyambut kelahiran dan perawatan semasa pantang (mereka juga layak mengendalikan anak yang baru lahir):
1. JURURAWAT TERLATIH (belang topi/tudung bewarna biru di fasiliti KKM). Jururawat terlatih (JT) perlu menamatkan kursus diploma kejururawatan selama 3 tahun. Kemudian untuk layak mengendalikan kehamilan dan kelahiran ibu, JT ini perlu melanjutkan pelajaran/latihan selama 1 tahun di dlm bidang perbidanan ("midwifery"). Latihan selama 1 tahun ini juga dikenali sebagai Posbasik Kebidanan. Mereka memakai topi/tudung berbelang biru. Hanya JT yg lulus postbasik kebidanan sahaja yg layak utk menjadi bidan terlatih. JT mempunyai bidang tugas yg lebih luas daripada Jururawat Masyarakat.
2. JURURAWAT MASYARAKAT/JM (belang bewarna unggu pd topi/tudung bagi petugas di fasiliti KKM). Mereka mengikuti latihan selama 2 tahun 6 bulan kursus kejururawatan dan latihan kebidanan telah diserapkan ke dlm program ini. Semua JM adalah dianggap petugas yang layak menyambut kelahiran anak.
Kedua-dua jururawat di atas perlu berdaftar dengan Lembaga Bidan Malaysia selepas tamat latihan dan akan diberi kad yang tercatit maklumat peribadi, tarikh pendaftaran dan nombor pendaftaran. Jururawat yang TIDAK memiliki kad Lembaga Bidan Malaysia ini tidak layak mengendalikan kehamilan, kelahiran dan rawatan semasa pantang. Pendaftaran ini adalah di bawah akta Bidan 1966 (Akta 436) yang mensyaratkan bahawa selain daripada doktor, hanya anggota kesihatan yang berdaftar dengan Lembaga Bidan Malaysia sahaja boleh mengendalikan kelahiran.
DOULA pula berperanan menemani ibu-ibu hamil semasa proses kelahiran untuk memberi sokongan emosi dan fizikal kepada ibu-ibu bagi melancarkan proses kelahiran. Doula yang TIDAK mempunyai kelulusan di atas TIDAK layak untuk memberi nasihat pengubatan, apatah lagi mengendalikan wanita hamil, menyambut kelahiran dan mengendalikan wanita di dalam pantang. Jika mereka tidak layak untuk mengendalikan kelahiran, tentulah juga mereka tidak layak untuk memberi nasihat dan tunjukajar kepada ibu-ibu yang hendak melahirkan anak di rumah sendirian tanpa kehadiran petugas terlatih. Walaupun daola boleh memainkan peranan penting untuk mengurangkan kesakitan dan tekanan emosi ibu2, perkhidmatannya bukanlah satu kemestian seperti bidan terlatih kerana terdapat bidan2 terlatih sendiri yang berkelayakan untuk melakukan tugas daola.
Untuk menjadi daola yang terlatih pula bukan dengan cara belajar sendiri dan kemudian mengaku sebagai daola ataupun pembimbing ibu hamil/kelahiran. Di negara UK contohnya seseorang daola perlu menjalani latihan dengan badan yang diiktiraf untuk jangkamasa tertentu, contohnya 6 bulan. Semasa latihan tersebut, mereka akan menjalani pengajian teori, praktikal dan penilaian. Setelah tamat latihan, mereka akan diberikan sijil sebagai bukti mereka adalah daola yang bertauliah. Daola yang bertauliah perlu mematuhi peraturan dan etika kerja yang telah ditetapkan. Mereka perlu menjalankan tugas yang selari dengan amalan perubatan moden perlu akur dengan konsep kelahiran selamat yang ditetapkan oleh badan antarabangsa. Di Malaysia setakat ini belum ada lagi pusat latihan daola sepertimana di UK. Klik di sini untuk contoh badan yang menyediakan latihan daola.
Melahirkan anak di rumah atau mana-mana fasiliti tanpa memenuhi syarat yang dibenarkan dan tanpa kehadiran bidan terlatih adalah dianggap KELAHIRAN YANG TIDAK SELAMAT. Mendapatkan khidmat daola untuk mengendalikan kelahiran sama seperti melintas jalan yang sesak dengan kenderaan, anda mungkin selamat tetapi rakan anda yang lain mungkin tidak. Satu hari nanti mungkin yang melintas jalan itu adik atau kakak anda sendiri, mereka mungkin tidak senasib dengan anda. Gunalah khidmat bidan terlatih dan doktor, mereka umpama jambatan yang lebih selamat untuk menyeberang jalan. Kelahiran yang tidak selamat meningkatkan risiko kecederaan dan kematian ibu serta anak.
Baca juga nasihat-nasihat kepada ibu-ibu yang hendak melahirkan anak agar proses kelahiran mereka lebih selamat di pautan ini.
Dato' Dr Rushdan Noor
Pakar Perunding Kanan O&G
13 hb Jan 2019
No comments:
Post a Comment